Dakwah Itu “Simple”

Posted: Jun 15, 2020 in think tank thought

Nur Hanisah: Malu Nak Dakwah ?

 

Pagi itu aku melihat ke arah jalanan di kota Sydney. Ada seorang wanita bertudung sedang menyeberang jalan. Tiba-tiba wanita itu berteriak memanggil seorang lelaki di depannya yang turut menyeberangi jalan tersebut. Namun, lelaki tersebut tidak mendengarnya.

Wanita yang kebetulan baru sahaja selesai berbelanja itu dengan bersusah payah menolak troli yang penuh dengan barangan sambil berteriak kuat daripada sebelumnya. Di seberang jalan, lelaki tersebut menoleh dan berhenti kebingungan. Wanita itu kemudiannya menghampiri lelaki tersebut lalu menghulurkan sejumlah wang.

Rupa-rupanya, ketika menyeberangi jalan tersebut, tanpa sedar, lelaki itu keciciran wang daripada poketnya, lalu wanita itu mengutip lantas mengejar untuk mengembalikan wangnya.

Aku melihat kejadian itu dengan hati yang bergetar.

Ketika Islam dipotretkan sebagai sebuah agama yang menganjurkan keganasan dan sebuah agama yang merendahkan kedudukan wanita, tindakan kecil seperti ini sangat bererti. Perisitiwa yang berlangsung selama dua minit tersebut berlaku secara spontan, bukan direka-reka atau diolok-olokkan dan disaksikan oleh banyak mata.

Seorang Muslimah mengejar seorang lelaki yang tidak dikenalinya dengan bersusah payah hanya untuk mengembalikan wangnya yang tercicir. Subhanallah!

Sesungguhnya aku dapat saksikan jejak budi pekerti yang diajarkan Raasulullah SAW dalam tindakan kecil dan spontan wanita Muslimah tadi. Hakikatnya, every single thing does matter. Barang siapa yang membuat kebajikan walau sebesar zarah sekalipun akan mendapat ganjarannya.

Perbuatan baik akan melahirkan kebajikan lainnya. Dakwah Islam itu sederhana. Tanpa perlu mencemuh, mengejek dan merendah-rendahkan ajaran atau keyakinan orang lain, atau berteriak untuk mengajak orang lain membunuh pihak yang berbeza dengan kita.

Setiap dari kita mampu menampilkan keindahan Islam yang rahmatan lil alamin. Tidak kita perlu mempersoalkan apa bangsa dan etniknya Muslimah tersebut. Apa yang kita tahu, dia telah melakukan dakwah menerusi tindakannya itu.

Tidak juga perlu mempersoalkan berapa jumlah wang yang keciciran itu. Mungkin, jumlah wang tersebut kecil buat orang lain, tapi buat mereka yang kehilangan wangnya boleh jadi dia sangat memerlukannya. Begitu pula tidak penting untuk kita mempersoalkan apakah ada dalilnya untuk membantu orang bukan Islam seperti itu. Semua tindakan berlangsung dengan spontan sebagai indikasi bahawa kebaikan itu boleh datang dari mana sahaja. Berbuat baik tidak perlu menunggu alasan.

Begitulah, dakwah itu “simple” dan anda tidak perlu menunggu untuk menjadi ustaz mahupun ustazah untuk menunjukkan keindahan budi pekerti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW, kekasih yang tercinta. Setiap kita punya kewajiban untuk berbuat baik tanpa harus punya penjelasan yang panjang lebar.

Tinggalkan komen