Nama lengkapnya ialah Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm bin ‘Afif bin Sahim bin ‘Adwy bin Tsa’labah bin Sa’ad al-Muzani. Dia dilahirkan di kalangan kabilah Muzainah di celah-celah gunung Warqon, yang terletak berhampiran Yathrib (Madinah).

Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm dibesarkan oleh ibunya sementelah kematian ayah ketika dia masih kecil lagi. Walaupun kedua ibu bapanya miskin, namun dia dibesarkan dalam suasana yang penuh kemewahan oleh bapa saudaranya yang kaya.

Hari bersilih ganti, Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm membesar sebagai seorang anak muda yang penuh dengan rasa ingin tahu. Ketika berlaku penghijrahan para sahabat dari Mekah ke Madinah, pada saat itulah Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm mendengar tentang keindahan agama Islam. Setiap hari, tanpa jemu, Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm akan menunggu di pinggir jalan menuju ke Madinah semata-mata untuk bertanya kepada orang yang lalu-lalang tentang keindahan agama Islam.

Apa yang didengari itu, terus menusuk ke sanubari hingga membuka hatinya memeluk agama yang di bawa Muhammad bin Abdullah (SAW) ini. Namun, demi kasih dan sayangnya kepada bapa saudaranya, Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm tetap bersabar untuk bersama-sama Kekasih Allah; Muhammad SAW dan para sahabat. Tiga tahun lamanya, Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm secara halus mengajak bapa saudaranya itu kembali kepada Islam, namun usahanya ternyata ibarat mencurah air ke daun keladi.

Akhirnya Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm nekad. Terlalu banyak peluang dan peristiwa penting dalam perjalanan dakwah dan jihad Rasulullah serta para sahabat terlepas begitu sahaja. Walau bagaimanapun penerimaan dan keputusan bapa saudaranya kelak, Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm tetap akan mengakui penyaksiannya terhadap agama Islam. Dia nekad untuk berterus-terang.

Ketika akhirnya Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm menyatakan keislamannya, inilah yang dikatakan kepada pemuda tersebut oleh bapa saudara kesayangannya: “Hai anak saudaraku, jika engkau ingin kekayaan dan kemewahan ini terus bersamamu, teruslah berada di sini dan kembalilah kepada agama asal nenek moyangmu. Tetapi sekiranya engkau ingin berhijrah dan bersama dengan Muhammad, maka kembalikan semua harta kekayaan yang telah engkau ambil dariku.”

Tidak dapat digambarkan perasaannya pada ketika itu. Sedih, pilu dan kecewa bercampur-baur dalam dirinya. Bukan kerana terpaksa meninggalkan segala harta kemewahan yang dinikmatnya selama ini, tetapi kerana kegagalannya untuk membawa bapa saudaranya bersama dalam rangkulan agama Islam yang syumul. Walau kata-kata itu mengguris hatinya, Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm langsung tidak teragak-agak dengan kata dua daripada bapa saudaranya. Dia tidak akan berganjak daripada keputusan yang diambilnya itu. Kecintaan terhadap Islam dan kerinduan terhadap Rasulullah SAW lebih menebal dalam dirinya. Dia tetap berpegang teguh kepada Islam sekalipun seluruh kabilah Muzainah mengecamnya.

Segala kemewahan yang pernah dimilikinya sebelum ini diserahkan kembali kepada pemiliknya. Apa yang tinggal hanyalah sehelai kain kasar lusuh yang dipotong dua untuk menutupi auratnya. Tinggallah segala kemewahan, kerana kemewahan dunia sementara sifatnya.

Maka berhijrahlah Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm ke Madinah dengan sehelai sepinggang demi kecintaannya terhadap Rasulullah SAW. Tiba di Madinah, Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm mengambil keputusan untuk bermalam di Masjid Nabawi.

Zikir dan pujian kepada Rabbul Jalil dan Kekasih-Nya tidak lekang dari bibir Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm. Dialunnya zikrullah dengan lantang dan penuh penghayatan sambil memujuk hati yang lara. Daripada Zaid bin Aslam RA, beliau berkata: Berkata Ibnu al-Arda’: “Aku keluar bersama Rasulullah SAW pada satu malam. Kami melalui seorang lelaki di masjid. Dia mengangkat suaranya. Lalu aku bertanya kepada Rasulullah: ‘Wahai Rasulullah, bukankah itu perbuatan menunjuk-nunjuk? Rasulullah SAW lalu bersabda: ‘Tidak! tetapi dia adalah Awwah (sering merintih saat memanjatkan doa dan zikir kerana perasaan takut kepada Allah)’. (Dari Imam Ahmad dalam musnadnya, jilid 4: 159.)

Usai solat subuh berjemaah, melonjaklah hati Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm untuk menemui satu-satunya lelaki yang sangat dirinduinya. Sang Kekasih Allah itu, Rasulullah SAW.

Penyatuan dengan Kekasih Allah dan para sahabat yang lain membolehkan Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm sentiasa disisi Rasulullah dalam usaha penyebaran dakwah pimpinan Rasulullah SAW sendiri. Kesetiaan dan keberanian tanpa gentar ditunjukkan dalam setiap peperangan memerangi musuh Islam.

Bagi Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm, tiada yang lebih utama dari mempertahan dan memperjuangkan agama Allah dengan segala apa yang ada. Segala jiwa dan raganya hanya untuk berbakti kepada agama seikhlas hati. Hanya satu impiannya – syahid dijalan Rabbul Alamin.

Ketika perang Tabuk, Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm meminta Rasulullah SAW mendoakannya dikurniakan syahid di dalam peperangan itu, tetapi sebaliknya, Rasulullah mendoakan agar darahnya terjaga dari pedang orang-orang kafir. Dengan penuh kekecewaan, Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm berkata kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, sungguh bukan ini yang aku minta.”

Mendengarkan rintihan hati Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm itu, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila engkau keluar berperang di jalan Allah, kemudian engkau jatuh sakit lalu mati kerananya, maka itu adalah syahid. Sekiranya tungganganmu pula memberontak menyebabkan engkau jatuh daripadanya lalu mati, maka itu juga adalah mati syahid.”

Apa yang diimpikannya menjadi kenyataan. Tidak berapa lama selepas itu, Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm jatuh sakit, lalu memperoleh syahid.

Ketika pengkebumiannya, Rasulullah SAW sendiri turun ke liang lahad untuk menyambut jasad Abdullah, gelaran yang diberikan kepada Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm oleh Baginda dengan kedua tangannya yang mulia. Rasulullah jugalah yang meratakan tanah kubur Abdullah; antara sahabat sejati Baginda yang setia. Sehinggakan para sahabat berharap untuk menjadi penghuni kubur itu.

Abdullah bin Masud yang turut menyaksikan pengkebumian tersebut berkata: “Alangkah bertuahnya jika saya menjadi pemilik liang lahad ini. Demi Allah, saya berharap sayalah yang berada di tempatnya. Saya telah memeluk Islam 15 tahun lebih awal daripadanya.”

 Abdul ‘Uzza bin Abdu Nahm, atau Abdullah kini telah benar-benar melalui kehidupan yang mulia dengan menemui syahid. Para sahabat menggelarnya “Zulbijadain” yang bermaksud pemilik dua kain kasar kerana apa yang dialami sebelum peristiwa penghijrahannya itu.

Abdullah Zulbijadain… Hamba Allah pemilik dua kain kasar. Sanggup meninggalkan kemewahan untuk bersama-sama Kekasih Allah.

 

 

Malam itu cukup istimewa. Malam yang menyempurnakan cinta kasihnya kepada kekasih hati tercinta. Jamilah, kekasih halalnya kini.

Malam mula menyingkap tirainya. Kemesraan yang telah dikecapi direnggut satu suara sayup-sayup kedengaran. Tidak dapat dipastikan butir bicaranya. Namun, lama-kelamaan butirannya semakin jelas kedengaran. “Hayya’alal jihad, hayya’alal jihad…”

Seruan itu terus meresap di dalam jiwa pahlawannya. Rangkulan sang isteri yang baru dinikahinya dilerai lembut. Seruan jihad ke jalan Allah lebih utama daripada bersedap-sedapan menikmati nikmat duniawi dan segala isi bumi. Seruan jihad itu irama syurgawi.

Sebagai isteri solehah, Jamilah pasrah. Walau lintasan hatinya berdetik adakah malam yang dilayari adalah malam pertama bersama sang suami tercinta atau malam perpisahan buat mereka.

Jamilah melihat sang pahlawan kesayangan hati bersiap siaga. Segala peralatan perang yang sememangnya sentiasa tersedia diambil. Diperhatikan kelibat sang pahlawan kesayangan hatinya yang akan berjuang mempertahankan agama Allah hingga hilang dari pandangan. Hanya doa yang dapat dipanjatkan semoga sang pahlawan kesayangan hati dianugerahi paling tidak salah satu daripada dua kebaikan – menang atau mati syahid.

Bukit Uhud. Pertengahan bulan Syawal, tahun ketiga hijrah.

Setelah menanggung malu dalam Perang Badar, kafir Quraisy bertekad menuntut bela. Kematian rakan dan saudara mara yang terbunuh harus dibela. Selama setahun dirancang rapi, segala persiapan siap tersedia menunggu hari. Seramai 3,000 orang tentera berjaya dikumpul dan dilatih. Pasukan tentera kafir Quraisy yang diketuai Abu Sufyan bin Harb dan dibantu Khalid bin Walid kini siap siaga membalas dendam.

Berat sebelah. Kekuatan anggota pasukan tentera Islam yang diketuai Rasulullah SAW hanya seramai 700 berbanding tentera kafir Quraisy. Namun gentar tidak sekali-kali. Semangat juang tentera Islam tidak pernah luntur malah bertambah-tambah lagi.

Berjuang di sisi Rasulullah SAW,  bapa saudara Baginda, Hamzah bin Abdul Mutalib serta pahlawan-pahlawan agung Islam yang lain memberi kekuatan luar biasa kepada tentera Islam. Mereka berjuang bermati-matian melindungi Rasulullah dan agama yang dibawanya sehingga titisan darah yang terakhir.

Sang pahlawan kesayangan hati kepada Jamilah binti Abdullah bin Ubay bin Salul tidak terkecuali dan terus menunjukkan keperwiraannya. Ditewaskannya musuh satu persatu dengan penuh gagah berani. Namun, sasaran yang sangat didambakan adalah Abu Sufyan bin Harb. Didekatinya ketua tentera kafir Quraisy itu ketika tentera pimpinan Abu Sufyan diambang kekalahan.

Pertarungan keduanya begitu sengit. Bahkan Abu Sufyan bin Harb dilihat tidak terdaya dan hampir tewas. Untung tak dapat diraih, malang tak dapat ditolak, ketika pedang tajam menghunus leher dan hampir sahaja menembusi lehernya, Abu Sufyan berteriak meminta pertolongan. Syaddad bin Aswad yang mendengar dan berada berhampiran datang membantu dan berjaya menikam pahlawan Islam yang gagah itu. Darah merah pekat mengalir deras dari tubuhnya. Apa yang diidamkan menjadi kenyataan – gugur sebagai syuhada di jalan Allah.

Tatkala perang usai di mana kemenangan yang sepatutnya menjadi milik Islam berakhir akibat ketamakan manusia, para sahabat pun menghimpun jasad para syuhada untuk disemadikan.

Satu persatu jasad perwira Islam ditemui antaranya jasad bapa saudara kesayangan Rasulullah SAW sendiri, Hamzah bin Abdul Mutalib yang dibelah perutnya oleh Hindun binti Utbah dan dilapah dan dikunyah hatinya dengan penuh kebencian. Tidak cukup dengan itu, dipotongnya juga telinga dan hidung Hamzah.

Tiba masanya jasad pahlawan gagah kesayangan Jamilah binti Abdullah ditemukan. Subhanallah! Betapa luar biasa jasadnya, tidak seperti jasad-jasad para syuhada Uhud yang lainnya. Jasadnya kelihatan seperti telah dimandikan dengan titisan air masih lagi tersisa. Lalu dikhabarkan keajaiban itu kepada Rasulullah.

Rasulullah SAW yang menerima perkhabaran itu kemudiannya berdoa, melihat ke langit dan berkata kepada para sahabat: “Aku melihat malaikat-malaikat sedang memandikan Hanzhalah bin Abu Amir di antara langit dan bumi dengan menggunakan air Muzn (awan mendung) yang diambil dari bejana perak.”

Lalu Baginda mengarahkan salah seorang sahabat untuk menyampaikan hal ini kepada Jamilah dan menjemput wanita itu menemuinya. Menanyakan apa yang telah dikerjakan suaminya sebelum turun ke medan jihad.

Jamilah tertunduk malu. Rona dipipinya kemerahan.

“Ketika mendengar seruan untuk berjihad, suamiku segera menyahut seruan itu, padahal ketika itu suamiku dalam keadaan junub,” jawab Jamilah.

Mendengarkan jawapan daripada Jamilah itu, lalu Rasulullah SAW bersabda: “Oleh kerana itu Hanzhalah dimandikan oleh malaikat.” Dari kejadian tersebut, Hanzhalah bin Abu Amir mendapat gelaran “Ghasilul Malaikat”(orang yang dimandikan malaikat).

Nama lengkapnya Hanzhalah bin Abu Amir bin Shaify bin Malik bin Umayyah bin Dhabi’ah bin Zaid bin Uaf bin Amru bin Auf bin Malik al-Aus al-Anshory al-Ausy.

Hanzhalah bin Abu Amir adalah anak pemimpin suku Aus yang terbilang dan kaya di Yatrib (Madinah) pada masa penghijrahan Rasulullah ke Madinah. Ayahnya, Abu Amir bin Shaify terkenal sebagai orang yang sangat benci kepada Islam dan digelar Abu Amir Sang Pendeta. Tetapi selepas Madinah dikuasai orang Islam, beliau digelar Abu Amir Si Fasik.

 

“Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janji-Nya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izin-Nya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurnia-Nya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada orang-orang yang beriman.” (Ali Imran: 152).

Bukit Uhud. Pertengahan bulan Syawal, tahun ketiga hijrah.

Strategi mula disusun. Arahan diberi.

“Sekiranya kamu melihat kami disambar burung( tewas), jangan kamu bergerak dari tempat kamu sehingga dihantar utusan kepada kalian. Dan sekiranya kamu melihat kami berjaya mengatasi musuh serta menewaskan mereka, jangan kamu bergerak  sehingga dihantar utusan kepada mereka.” (HR Imam al-Bukhari dalam al-Maghazi bab peperangan Uhud, no.4043, Ahmad, j.4, hal.293-294, Abu Daud no.2662, al-Baihaqiy dalam Dalail al-Nubuwwah, j.3, hal.229-230. Hadith yang sepertinya diriwayatkan daripada Ibnu Abbas (RA) dalam riwayat Ahmad, j.1, h.287-288, al-Hakim j.2, h.296-297 dan disepakati oleh al-Zahabi).

Walau apa pun yang berlaku pada tentera Islam, 50 orang pemanah di bawah pimpinan Abdullah bin Jubayr ini mesti tetap pada kedudukan mereka. Diulanginya arahan tersebut beberapa kali.

Alhamdulillah. Kemenangan menjadi milik kita. Walau 700 orang sahaja tentera yang dipimpin berbanding 3,000 orang tentera musuh.

Namun, kemenangan yang dikecapi tidak bertahan lama…

Kerana kelobaan, 50 orang pemanah meninggalkan tempat mereka apabila nafsu tamak menguasai diri melihat rakan tentera Islam yang lain memungut harta rampasan. Akibat loba, musuh mengambil peluang. Bukit Uhud disirami darah. 70 orang sahabat gugur sebagai syahid.

Di antara para syuhadah adalah Hamzah bin Abdul Mutalib, ayah saudara kesayangan yang jasadnya dibelah perutnya oleh Hindun binti Utbah dan hatinya dilapah dan dikunyah dengan penuh kebencian. Tidak cukup dengan itu, dipotongnya juga telinga dan hidung Hamzah. Selain itu, berita palsu tentang kematian Rasulullah SAW menambahkan lagi kekalutan dalam tentera Islam.

Daripada al-Zubayr bin al-Awwam (RA) katanya: “Demi Allah aku telah melihat khadam kepada Hind dan Utbah serta teman-temannya lari bertempiaran dengan mengangkat kain mereka dan meninggalkan harta benda mereka. Pada waktu ini pasukan pemanah mula meninggalkan bukit dan ini membuka ruang untuk tentera berkuda menyerang. Mereka menyerang kami dari belakang. (Pada saat getir) seorang dari pihak musuh menjerit bahawa Muhammad telah dibunuh. Kami mengalami kekalahan dan kaum Quraisy menewaskan kami setelah sebelum ini kami menewaskan pemegang-pemegang panji mereka. (Keadaan sangat getir) sehingga suatu ketika tidak ada sahabat yang mengawal Rasul SAW.” (HR Ibnu Ishaq dengan sanad yang sahih. Lihat sirah Ibnu Hisyam, j.2,h.77, al-Bayhaqi dalam Dalail al-Nubuwwah, j.3,h.228, al-Tabari dalam Tarikh al-Tabari j.2,h.513 melalui Ibnu Ishaq).

Ketika mana serangan dari musuh Islam amat hebat sekali bagaikan hujan yang turun ke bumi, dalam suasana yang kucar-kacir inilah, para sahabat termasuk Qatadah bin Nu’man bertindak melindungi Rasulullah menjadi perisai manusia dari serangan tentera musyrikin pimpinan Abu Sufian apabila mendapati berita kematian itu hanyalah helah musuh.

Dengan panah yang dihadiahi Rasulullah kepadanya, Qatadah bin Nu’man dengan gagah berani menyerang musuh sambil melindungi Baginda. Tiba-tiba, entah dari mana, datang satu anak panah  menghala tepat ke wajah Baginda Rasulullah SAW. Tanpa ragu-ragu, Qatadah menghadangnya dengan wajahnya sendiri. Anak panah tepat mengenai mata Qatadah sehingga bola matanya terkeluar. Urat-urat menjulur bersama darah yang mengalir laju membasahi wajahnya.

Melihat keadaan Qatadah itu, Rasulullah SAW tidak dapat menahan hiba seraya berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya Qatadah telah melindungi wajah Nabi-Mu dengan wajahnya sendiri, kerana itu jadikanlah kedua matanya lebih baik dan lebih elok serta tajam penglihatannya.”

Baginda mengambil bola mata Qatadah dan diletakkannya kembali ditempatnya. Dengan izin Allah, mata Qatadah sembuh seperti sedia kala malah lebih baik lagi daripada sebelumnya.

Qatadah bin Nu’man bin Zaid Al-Anshary Azh-Zhafari adalah salah seorang sahabat junjungan Nabi Muhammad SAW daripada kaum Ansar. Bukan sahaja Peperangan Uhud, beliau juga turut serta berjuang bersama-sama Rasulullah dan sahabat lain semasa Perang Badar yang berlaku pada tahun kedua hijrah. Beliau bersaudara  dengan Abu Sa’id Al-Khudri.(Abu Sa’id Al-Khudri adalah antara tujuh orang  yang banyak meriwayatkan hadis Rasulullah SAW. Jumlah hadis yang beliau riwayatkan adalah sebanyak 1,170 hadis, sebagaimana yang disebutkan oleh As Suyuthi di dalam kitab Tadribur Rawi).

 

Kasih ibu membawa ke syurga. Walau tidak dikurnia harta dunia, cukuplah hanya kasihnya ibu tercinta. Baginya, ibulah segala-galanya.

Ibunya yang uzur lagi lumpuh ditatang ibarat minyak yang penuh. Kerjayanya sebagai gembala kambing tidak pernah menjadi halangan untuk berbakti kepada ibu. Segala permintaan sang ibu, diusahakan hingga dapat dipenuhi. Namun, permintaan ibu yang satu itu membuatkan hatinya gundah gulana.

“Anakku, ibu rindu benar untuk menjejakkan kaki di rumah Allah nan satu itu. Ibu rindu untuk sujud syukur di Masjid Al-Haram. Ibu ingin benar mengerjakan haji. Wahai anakku yang disayangi, ikhtiarkanlah agar hajatku yang satu ini dimakbulkan.”

Dia sedar, kemiskinan yang melingkari hidup mereka ini tidak akan memungkinkan hajat ibunya dipenuhi. Sedangkan makanpun ibarat kais pagi makan pagi, pakaian juga hanya dua helai dan tidak pernah berganti, inikan pula menyediakan perbelanjaan untuk mengerjakan haji. Perjalanan dari Yaman ke Mekah memerlukan beberapa ekor unta yang dipasang dengan Haudat (sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk berlindung daripada cuaca panas dan hujan). Masakan dengan kemiskinan ini dia dapat menyediakan semua itu. Namun, siapalah dia tanpa ibu yang sangat dikasihi. Mana mungkin permintaan ibu tercinta diingkari.

Usai membaca al-Quran, dalam sendu, dia memanjatkan doa kepada Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah culas untuk membaca al-Quran, tidak pernah lengah untuk mengalunkan zikir munajat dan mengerjakan ibadah puasa setiap hari. Malam hari, masanya terisi dengan solat sunat dan tahajud kepada Allah SWT.

Disetiap doa yang dititipkan, hanya nama ibu disebut. Tidak sekali-kali berdoa untuk dirinya sendiri – “Maka Kau kabulkanlah doaku ini, ya  Allah, Tuhan Yang Maha Mendengar, demi hajat ibuku, untuk menunaikan haji. Hanya ibulah satu-satunya harta yang kumiliki, tanpa mengenal kasih seorang ayah yang telah pergi ketika aku masih kecil, hanya ibulah satu-satunya insan untuk dicurahkan rasa kasih dan sayangku ini. Makbulkanlah doaku ini ya Allah… Aamiin.”

Doanya dimakbulkan. Allah SWT telah memberikannya suatu ilham. Dengan ilhamnya itu, dia membeli seekor anak lembu yang baru dilahirkan. Dibinanya sebuah kandang di atas tanah tinggi. Setiap petang, dia akan mendukung anak lembunya ke atas bukit itu. Paginya pula, didukungnya anak lembu itu menuruni bukit untuk diberikan makanan. Ada ketikanya dia mendukung anak lembunya itu mengelilingi bukit tempatnya memberi makanan. Begitulah rutinnya setiap hari selama lapan bulan.

Tidak sedikit celaan dan hinaan yang dilemparkan terhadap perlakuannya itu. Dia dituduh sebagai orang gila dan dungu. “Sudahlah badan dipenuhi sopak, fakir miskin dan gila pula.” Pun begitu, dia tidak pernah mengambil endah dengan setiap celaan dan hinaan tersebut. Baginya, setiap perlakuannya itu adalah ilham yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuknya memenuhi hajat ibu semata-mata.

Genap bulan yang ke lapan, anak lembu yang asalnya hanya seberat 20 kilogram (kg), kini telah mencecah 100 kg. Bukan sahaja anak lembunya telah membesar menjadi seekor lembu dewasa yang sihat, malah otot-otot tangan dan badannya juga menjadi kuat hingga dengan mudah mengangkat lembu seberat 100 kg itu menuruni dan mendaki bukit setiap hari.

Maka tibalah musim haji. Rupa-rupanya perbuatannya yang digelar gila selama ini adalah persediaan baginya untuk memenuhi hajat ibu tercinta mengerjakan haji. Lembu yang beratnya 100 kg pun dapat diangkatnya, inikan pula ibunya yang lebih ringan. Dia telah memangku ibunya dari kampung halamannya, Qarn, sebuah desa terpencil dekat Nejed, Yaman hingga ke Mekah dengan kedua tangannya sendiri. Di belakangnya, diletakkan barang-barang keperluan dan bekalan termasuk air dan roti.

Sepanjang di Mekah, dia mendukung dan memangku ibunya mengerjakan wukuf, tawaf dan saie dengan mudah. Malah dengan kedua tangannya jugalah dia membawa ibunya pulang semula ke kampung halaman mereka.

Usai tiba di rumah mereka, ibunya bertanya: “Wahai anakku, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”

“Aku berdoa agar Allah mengampunkan segala dosa-dosamu, ibu,” jawabnya.

Lalu ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosamu.”

Dia menjawab: “Dengan terampunnya dosamu ibu, maka syurgalah tempatmu kelak. Cukuplah keredaanmu untukku menuruti kamu di syurga nanti, wahai ibu kesayanganku.”

Mendengarkan jawapan dari anaknya itu, ibunya berkata: “Ibu mahu supaya kamu berdoa agar Allah menghilangkan penyakitmu ini.”  Namun anaknya membalas: ‘Aku keberatan untuk berdoa kerana Allah lah yang menjadikan penyakitku ini. Jika aku tidak reda dengan kejadian-Nya, ibarat aku tidak mensyukuri dengan apa yang dikurniakan-Nya kepadaku.”

Lantas ibunya berkata: “Kalau kamu ingin masuk ke syurga, maka kamu mestilah taat kepada perintah ibumu ini. Ibu perintahkan agar kamu berdoa.” Dia terpaksa akur dengan permintaan ibunya lalu menadah tangan dan berdoa supaya diberikan kesembuhan dari penyakit yang dihadapi sepanjang hidupnya itu.

*****

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidina Umar RA dan Saidina Ali RA bahawa akan lahir di kalangan tabiin seorang yang sangat makbul doanya yang akan lahir di zaman mereka (zaman selepas kewafatan Baginda).

“Sesungguhnya sebaik-baik generasi tabiin adalah orang yang bernama Uwais. Dia mempunyai seorang ibu dan mempunyai belang putih ditubuhnya (sopak). Lalu dia berdoa hingga Allah menghilangkan belang itu kecuali hanya tersisa berbentuk seperti sebutir dirham.” (HR Muslim dalam shahihnya No. 2542, Imam Ahmad dalam Musnadnya, I/38).

Lalu Saidina Umar RA dan Saidina Ali RA bertanya kepada Baginda Rasulullah: “Apakah yang patut kami minta daripada Uwais, ya Rasulullah?” Baginda menjawab: ‘Mintalah kepadanya agar dia memohon kepada Allah supaya mengampuni dosa-dosa kalian.”

Uwais atau nama lengkapnya Uwais bin Amir bin Juz bin Malik bin Amru bin Mus’adah bin Amru bin Sa’ad bin Ashwan bin Qorn bin Rodman bin Najiyah bin Murod Al Murodi berasal dari Qarn, sebuah desa terpencil dekat Nejed, Yaman. Dia dilahirkan dalam kalangan kabilah Murad.

Uwais bin Amir al-Qarni wafat pada tahun 657M ketika bersama-sama Saidina Ali RA dalam Perang Siffin. Beliau dikuburkan di daerah Baykan, Turki.

Kebiasaannya jika berat badan melepasi BMI (Body Mass Index) yang sepatutnya, kita akan mula panik dan menu yang selalu dinikmati akan cuba ditukar kepada menu yang melebihkan sayur-sayuran selain menjauhi menu yang mengandungi lemak dan kalori tinggi.

Maka menu serba mewah yang mengecurkan air liur wajib dijauhi dan diperangi sehabis-habisnya ibarat misi menyelamatkan bumi daripada ditawan makhluk asing! Junkfood yang selalunya menjadi kegemaran itu menjadi ‘makhluk asing’ yang perlu dinyahkan dari pinggan setiap kali waktu santapan tiba.

Bila berat yang diingini dan BMI berada di paras ‘berat badan unggul,’ bukan main gembira lagi. Baju lama yang sebelum ini ibarat ‘pembalut buah nangka’ sudah boleh dipakai dan digayakan semula. Bagi meraikan kejayaan, dihadiahkan cheat day pada diri sendiri – makanlah apa saja yang tekak inginkan sampai perut tak boleh terima!

Keesokkan harinya,  kejayaan ‘misi memerangi lemak tepu’ diraikan bersama rakan-rakan pula. Maka sekali lagi, cheat day untuk diri sendiri. Lama-kelamaan tak sedar, punyalah asyik meraikan sehingga ‘ditipu’ diri sendiri berhari-hari lamanya. Akhirnya, panik semula kerana berat semakin naik dan baju sudah jadi pembalut nangka semula! Maka lagi sekali, ‘misi memerangi lemak tepu’ dilancarkan. Begitulah keadaannya diulang-ulang tanpa jemu.

Sebenarnya kalau mahu berjaya dalam misi ini, kita hanya perlu meneladani insan contoh sepanjang zaman dalam amalan pemakanan Baginda. Dari Aisyah RA, beliau berkata: “Selama hidupnya, Rasulullah SAW tidak pernah makan kenyang dengan roti gandum dalam dua hari berturut-turut hingga Baginda wafat.” (HR Tirmidzi dalam kitab Syama’il Tirmidzi).

Malah ada suatu ketika, puteri Baginda, Fatimah RA telah membawa sepotong roti kepada Baginda. Lalu Baginda SAW bertanya kepada Fatimah: “Apakah itu?” Fatimah menjawab: ‘Ya Rasulullah, hari ini saya telah membakar roti dan saya tidak suka memakannya tanpa engkau ikut sama makan bersama kami.’ Mendengar jawapan dari puteri kesayangannya itu, Baginda bersabda: ‘Dalam tiga hari, inilah makanan pertama yang masuk ke mulut ayahmu.” (HR Tirmidzi dalam kitab Syama’il Tirmidzi).

Al-Quran Surah al-A’raf ayat 31 yang bermaksud: “…dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (al-A’raf: 31). Maka kata kunci di sini ialah jangan makan hingga kenyang melampau. Larangan Allah SWT ini pastinya sebagai petunjuk kepada keburukan yang wujud pada cara pemakanan yang melampaui batas ini. Malah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Perut itu adalah rumah penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit.”

Sebenarnya, kaedah ‘makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang’ yang diamalkan oleh Rasulullah ini adalah kaedah pencegahan penyakit yang cukup berkesan. Hakikatnya, memadailah dengan suapan kecil yang mampu mendirikan tulang sulbi (bahagian tulang belakang) dan mengisi perut dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga lagi dengan udara. (HR Tirmidzi, Ahmad, Nasai’e dan Ibnu Majah).

Ini penting kerana batang tubuh manusia boleh diibaratkan seperti sebuah mesin. Badan memerlukan bahan bakar yang boleh didapati daripada makanan untuk membolehkannya berfungsi. Lebih atau kurangnya ‘bahan bakar’ itulah yang menentukan jangka hayat ‘mesin’ tersebut.

Dari segi saintifiknya, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila seseorang itu makan sehingga terlalu kenyang, otak akan menjadi lemah untuk berfikir dan akan rasa mengantuk dan malas.

Keadaan ini sudah pasti mendatangkan kesan berantai bukan saja kepada kesihatan dan aktiviti harian, tetapi juga mendatangkan kesan kepada amalan kita di sisi Maha Pencipta. Kisah yang dibawa oleh Imam Ghazali dalam kitabnya “Minhajul Abidin” sangat sesuai dijadikan panduan.

Kisahnya, suatu hari Nabi Yahya AS bertemu dengan Iblis yang sedang membawa sesuatu dalam tangannya. Lalu Nabi Yahya pun bertanya kepada Iblis apa yang dibawanya dan untuk apa. Lalu Iblis menjawab bahawa barang itu adalah syahwat yang akan digunakan untuk memancing (menyesatkan) manusia.

Mendengarkan jawapan dari Iblis itu, Nabi Yahya AS pun bertanya: “Adakah dalam diriku sesuatu yang dapat engkau pancing?” Iblis menjawab: ‘Tidak ada. Hanya pernah terjadi pada suatu malam, engkau makan agak kenyang, dan kami dapat menarikmu sehingga engkau berasa berat untuk mengerjakan solat.”

Menyedari kesilapannya itu, Nabi Yahya AS pun berkata: “Jika begitu, aku tidak akan makan terlalu kenyang lagi selama aku hidup.” Mendengarkan jawapan dari nabi Allah itu, Iblis tersedar dia telah tersilap langkah dengan membongkar rahsia besarnya untuk menyesatkan anak Adam. Lalu Iblis berkata: “Sungguh menyesal sekali aku membuka rahsia ini. Mulai saat ini, kami tidak akan menceritakan rahsia ini kepada sesiapapun.”

Petua diet Rasulullah dan kisah yang dibawa oleh Imam Ghazali ini patut dijadikan panduan kepada kita bukan hanya semasa menjalani ‘misi memerangi lemak tepu’ saja tetapi juga dalam menjaga pemakanan seharian. Apa yang masuk ke dalam perut perlu dipantau kuantiti dan kualitinya.

Makanlah seperti Rasulullah dan carilah yang halal lagi bersih. Makanan yang halal dan bersih bukan saja dituntut agama, tetapi juga memberi kesan mendalam terhadap jiwa, emosi dan akal. Apa yang penting, keberkatan dari Allah SWT. Hakikatnya, makan hingga kenyang terbukti serba-serbi memudaratkan. Bukan saja untuk kesihatan tetapi juga boleh menggugat akidah!

Percaya atau tidak, orang yang perutnya selalu kenyang termasuk golongan ahli bidaah. Ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh isteri kesayangan Rasulullah  SAW sendiri iaitu Aisyah RA yang bermaksud: “Pertama kali bidaah yang terjadi setelah zaman Rasulullah adalah kenyang. Kerana sesungguhnya kaum (orang-orang) ketika perut mereka kenyang, dikendalikan oleh hawa nafsu mereka ke arah dunia.” (Kitab “Qutul Qulub” karya Imam Abu Thalib bin Muhammad bin Ali bin ‘Athiyah al-Haritsi al-Makki (wafat 386 H/996 M), jilid 2 hal. 247, cetakan “Al-Halabi,” Mesir).

Nauzubillah min zalik. Semoga kita terhindar dari tergolong sebagai ahli bidaah dan sentiasa mencontohi amalan pemakanan Rasulullah SAW dalam mengekalkan kesihatan seterusnya dapat meningkatkan kualiti ibadat seharian. Apa yang pasti, badan yang sihat sudah tentu membolehkan kita beribadat kepada Allah SWT dengan sempurna. Setuju tak?