Prinsip Jadi Kaya Goh Tong

Posted: Oktober 25, 2007 in think tank thought

Kota keriangan Genting Highlands, Pahang. Siapa yang tidak kenal kepada satu-satunya kota yang dibina untuk memberikan keseronokan dan keriangan kepada pengunjung.

Kota dikenali, pengasasnya juga tersohor seantero dunia. Menduduki tempat ke-204 dunia dan ketiga di Malaysia dengan nilai aset sebanyak AS$4.2 bilion, Tan Sri Lim Goh Tong dinobatkan sebagai antara individu yang terkaya serta berjaya.

Pengasas Kumpulan Genting ini bermula tidak tersohor seperti yang dimilikinya kini. Beliau bermula dengan poket yang kosong. Pada usia 20 tahun, beliau berhijrah dari daerah Anxi, wilayah Fujian, China ke Malaysia (ketika itu Malaya).

Bermula sebagai tukang kayu, beliau kemudiannya menceburi diri dalam bidang perniagaan pembinaan dan perlombongan bijih timah serta besi di Johor. Berkat kegigihan dan berani mengambil risiko memperlihatkan syarikat miliknya, Kien Huat Berhad menjalankan beberapa projek besar antaranya Empangan Air Itam (Pulau Pinang) dan Projek Kuasa Hidro Elektrik di Cameron Highlands.

Namun, empayar kota keriangannya hanya bermula pada tahun 1965 apabila beliau bersama seorang rakan bumiputera, Tan Sri Mohd. Noah Omar mendapat kelulusan untuk membina hotel dan resort di kawasan pergunungan di sempadan Selangor-Pahang (Genting Sempah), yang kemudiannya kini dikenali sebagai Genting Highlands.

Genting, adalah nama yang dipilihnya sendiri yang membawa maksud di puncak awan.

Semenjak itu, pembangunan dibukit peranginan tersebut bertukar rancak dengan pembinaan jalan perhubungan dari kaki bukit di Genting Sempah hingga ke Hulu Kali dilaksanakan. Ia kemudiannya menyaksikan pembinaan hotel pertama, Highlands Hotel (kini dikenali sebagai Theme Park Hotel) siap pada tahun 1971.

Pusat peranginan Genting Highlands yang pada satu ketika dahulu hanya menyediakan 200 bilik kini mempunyai lebih 10,000 bilik dan dilawati lebih 18 juta pelancong sepanjang tahun.

Kemudahan-kemudahan yang terdapat di Genting Highlands antaranya taman tema luar dan dalam Genting, kereta kabel terpanjang di Asia Tenggara, Arena Bintang yang mampu memuatkan lebih 6,000 penonton dan beberapa buah hotel seperti Hotel Genting, Hotel Highlands dan Hotel Resort.

Selasa lalu (23 Oktober 2007), pada usia 89 tahun, taikun perniagaan ini telah meninggalkan hasil kejayaannya itu buat selama-lamanya. Beliau meninggal dunia kerana sakit tua di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC). Namun beliau sempat menurunkan 15 prinsip kejayaannya kepada kita sebagai ikutan bersama. Prinsip yang telah diamalkannya sehingga membawa beliau ke puncak kejayaan.

Menurutnya, untuk berjaya dalam hidup dan perniagaan kita mesti:
1. Merendah diri;
2. Bersopan-santun dan menghormati orang lain;
3. Menepati masa atau tiba sepuluh minit awal dari masa yang dijanjikan;
4. Jangan sesekali membatalkan temu janji;
5. Berdisiplin;
6. Bangun awal dan tidur lambat;
7. Sentiasa membawa kertas untuk merekod sebarang perkara yang datang dalam fikiran;
8. mencatat segera sebarang idea yang datang;
9. bertindak segera dan memberi reaksi tepat pada waktunya;
10. Percaya dan yakin kepada diri, jika anda percayakan sesuatu, teruskan, jangan fikir negatif, dalam perniagaan – lakukan secara berperingkat walaupun perlahan – asalkan ia tindakan tepat, elakkan diri daripada bersikap tikam belakang dan jangan mencari musuh;
11. Jangan sesekali membuat helah kerana tidak ada jalan pintas untuk berjaya;
12. Kerja keras dan selalu berminat dengan apa yang dikerjakan;
13. Perlu tahu apa yang dilakukan dan sentiasa sedar diri;
14. Selalu ada kepercayaan kepada mereka yang berada di sekeliling;
15. Percaya kepada Tuhan dan selalu minta keberkatan daripada-Nya.

Selain itu, beliau juga senantiasa berpegang kepada pepatah iaitu, “Untuk berjaya, kita harus menggunakan sepenuhnya keupayaan diri dan melakukan dengan sebaik mungkin.”
Islam menganjurkan umatnya agar berniaga kerana sembilan persepuluh daripada rezeki adalah datang daripada berniaga.

Islam turut menganjurkan umatnya merendah diri dan menghormati orang lain. Malah Islam juga sentiasa mengingatkan umatnya agar sentiasa mengingati Tuhan dan sentiasa meminta keberkatan dari-Nya.

Pada hemat penulis, walaupun mendiang bukan beragama Islam, 15 prinsip yang digunapakai sangat sesuai diperhalusi dan dijadikan amalan kepada semua golongan yang berkeinginan dan memasang angan-angan untuk berjaya dan kaya seperti mendiang.

Allah s.w.t sangat suka kepada hamba-Nya yang kaya. Hadis riwayat Saad bin Abi Waqqas: “Sesungguhnya Allah menyukai hamba-Nya yang bertakwa dan yang kaya.” (Hadis riwayat Muslim dan Ibn Hibban).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s