Nur Hanisah: Malu Nak Dakwah ?

 

Pagi itu aku melihat ke arah jalanan di kota Sydney. Ada seorang wanita bertudung sedang menyeberang jalan. Tiba-tiba wanita itu berteriak memanggil seorang lelaki di depannya yang turut menyeberangi jalan tersebut. Namun, lelaki tersebut tidak mendengarnya.

Wanita yang kebetulan baru sahaja selesai berbelanja itu dengan bersusah payah menolak troli yang penuh dengan barangan sambil berteriak kuat daripada sebelumnya. Di seberang jalan, lelaki tersebut menoleh dan berhenti kebingungan. Wanita itu kemudiannya menghampiri lelaki tersebut lalu menghulurkan sejumlah wang.

Rupa-rupanya, ketika menyeberangi jalan tersebut, tanpa sedar, lelaki itu keciciran wang daripada poketnya, lalu wanita itu mengutip lantas mengejar untuk mengembalikan wangnya.

Aku melihat kejadian itu dengan hati yang bergetar.

Ketika Islam dipotretkan sebagai sebuah agama yang menganjurkan keganasan dan sebuah agama yang merendahkan kedudukan wanita, tindakan kecil seperti ini sangat bererti. Perisitiwa yang berlangsung selama dua minit tersebut berlaku secara spontan, bukan direka-reka atau diolok-olokkan dan disaksikan oleh banyak mata.

Seorang Muslimah mengejar seorang lelaki yang tidak dikenalinya dengan bersusah payah hanya untuk mengembalikan wangnya yang tercicir. Subhanallah!

Sesungguhnya aku dapat saksikan jejak budi pekerti yang diajarkan Raasulullah SAW dalam tindakan kecil dan spontan wanita Muslimah tadi. Hakikatnya, every single thing does matter. Barang siapa yang membuat kebajikan walau sebesar zarah sekalipun akan mendapat ganjarannya.

Perbuatan baik akan melahirkan kebajikan lainnya. Dakwah Islam itu sederhana. Tanpa perlu mencemuh, mengejek dan merendah-rendahkan ajaran atau keyakinan orang lain, atau berteriak untuk mengajak orang lain membunuh pihak yang berbeza dengan kita.

Setiap dari kita mampu menampilkan keindahan Islam yang rahmatan lil alamin. Tidak kita perlu mempersoalkan apa bangsa dan etniknya Muslimah tersebut. Apa yang kita tahu, dia telah melakukan dakwah menerusi tindakannya itu.

Tidak juga perlu mempersoalkan berapa jumlah wang yang keciciran itu. Mungkin, jumlah wang tersebut kecil buat orang lain, tapi buat mereka yang kehilangan wangnya boleh jadi dia sangat memerlukannya. Begitu pula tidak penting untuk kita mempersoalkan apakah ada dalilnya untuk membantu orang bukan Islam seperti itu. Semua tindakan berlangsung dengan spontan sebagai indikasi bahawa kebaikan itu boleh datang dari mana sahaja. Berbuat baik tidak perlu menunggu alasan.

Begitulah, dakwah itu “simple” dan anda tidak perlu menunggu untuk menjadi ustaz mahupun ustazah untuk menunjukkan keindahan budi pekerti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW, kekasih yang tercinta. Setiap kita punya kewajiban untuk berbuat baik tanpa harus punya penjelasan yang panjang lebar.

Apa Erti Kekayaan?

Posted: Jun 15, 2020 in think tank thought

DOA MOHON PETUNJUK , KETAQWAAN & KEKAYAAN | Al Auf Vibes~ ~ Al Auf ...

Apa itu kekayaan? Adakah kekayaan itu didefinisikan oleh duit yang banyak? Harta yang banyak? Mewah berbelanja? Adakah kekayaan itu hanya bersifat fizikal?

Kekayaan adalah sesuatu yang subjektif. Tiada definasi yang tepat tentang kekayaan. Ianya tertakluk kepada cara pemikiran dan pemahaman seseorang tentang konsep kekayaan.

Pendapat terbanyak melihat kekayaan sebagai sesuatu yang bersifat fizikal dan boleh diukur, sesuatu yang boleh dilihat dengan masa kasar, boleh dinilai dan yang paling penting boleh dibuat perbandingan. Misalnya, jika aset yang dimiliki melebihi aset orang lain atau mencapai standard tertentu dia dikira kaya.

Hakikatnya, sebagai makhluk Allah yang sentiasa diuji, kita harus sentiasa berhati-hati. Ujian Allah tidak datang hanya ketika susah tetapi juga ketika senang. Malah ujian yang terhebat adalah ketika kita mengecapi kesenangan kerana ketika itulah kita mudah alpa dan lupa diri.

Benar, jika diberikan pilihan, semua orang hendak menjadi kaya. Justeru, tetapkanlah maksud dan makna kekayaan mengikut batasan agama dan norma adat dan budaya kerana jika tersilap meletakkan garis panduan dan makna sebenarnya kekayaan, kita akan mengejar ‘kekayaan’ yang hanya akan membawa kepada kehancuran.

“Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (jiwa).” (HR Bukhari, Muslim, at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)

Makna kekayaan bukanlah dengan banyaknya harta kerana kebanyakan manusia yang dilapangkan hartanya tidak puas dengan harta yang telah dimiliki, sentiasa berusaha untuk menambah hartanya.

Kekayaan sebenar adalah kekayaan jiwa, iaitu merasa cukup dengan pemberian kepadanya (qanaah), reda dan tidak tamak dalam mencari harta.

Moga Allah SWT menjadikan diri kita seorang yang kaya hati iaitu dengan akhlak terpuji dalam setiap perlakuan sama ada yang berhubung dengan Tuhannya, sesama manusia dan makhluk yang lain. Amin.

Cara mendapatkan doa mustajab

“Ustaz, kenapa anak saya masih lagi bersikap degil dan keras kepala sedangkan saban waktu usai solat saya akan panjatkan doa untuknya agar berubah kepada lebih baik? Dia saya seperti tidak diterima dan dimakbulkan,” seorang ibu menceritakan keadaan anaknya yang sedang bersekolah di peringkat menengah.

Ustaz Badrul terdiam seketika. Dia cuba mencerna keseluruhan cerita ibu tadi. Dengan nada berhati-hati, Ustaz Badrul bertanya, “Maafkan jika saya bertanya, adakah puan atau suami pernah memberikan makanan dari hasil syubhah atau haram kepada anak?”

Mendengarkan soalan itu, wanita itu terus terdiam dan tertunduk. Air mukanya terus berubah keruh dan perlahan-lahan matanya berkaca-kaca.

“Ustaz…suami saya sering membawa pulang pelbagai jenis makanan dan barangan ke rumah. Katanya, semuanya adalah pemberian daripada pelanggannya. Kadang kami dibawa melancong hasil daripada ‘pemberian hadiah’ yang tidak jelas puncanya. Dia sering mengelak daripada memberikan jawapan jika saya bertanyakan punca pemberian tersebut.”

Ustaz Badrul mengangguk-anggukkan kepalanya. Faham. Ditariknya nafas dalam-dalam lalu berkata, “ingat, makanan haram yang dimakan akan menyebabkan doa ditolak oleh Allah SWT. Ketika anak-anak disuapkan dengan makanan yang haram atau syubhah, salah satu kesannya ialah doa tertolak walaupun doa tersebut datangnya daripada seorang ibu kepada anaknya.”

*****

Daripada Ibnu Abbas melalui al-Awsat dengan lafaznya, beliau berkata: “Ayat al-Quran ini (surah al-Baqarah, ayat 168) dibaca oleh Nabi Muhammad SAW: ‘Wahai manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik. Lalu Sa’ad bin Abi Waqqas bangun dan berkata: ‘Wahai Rasul Allah, tolonglah berdoa kepada Allah SWT dan pintalah supaya doa aku ini diterima. Maka, Baginda menjawab: Wahai Sa’ad, bersihkanlah makananmu dan percayalah doamu akan diterima oleh Allah SWT. Sesungguhnya jiwa Muhammad di tangan-Nya, seorang hamba yang makanannya daripada sesuap benda yang haram ke dalam perutnya. Sesungguhnya Allah tidak akan memakbulkan doanya selama empat puluh hari dan setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram dan riba, maka api nerakalah yang layak baginya.” (HR al-Tabrani)

Wahai ibu dan ayah, jagalah diri dari makanan dan hal-hal yang haram. Kita jaga pula anak-anak kita dari makanan dan hal-hal yang haram dan syubhah. Dengan demikian, semoga tak ada penghalang antara doa kita dan Allah SWT. Semoga tak ada penghalang terkabulnya doa kita untuk kebaikan anak-anak kita.

Jika halal haram makanan telah dijaga, janganlah bersedih jika doa masih tidak dimakbulkan-Nya. Barangkali, doa kita tidak dimakbulkan kerana Allah SWT telah memilih sesuatu yang terbaik untuk diri kita dengan menggantikan apa yang kita minta dengan sesuatu yang lebih bermanfaat di syurga dan di akhirat kelak.

Kemungkinan juga, Allah sebenarnya menggantikan permintaan kita tadi dengan maslahah lain seperti menghindarkan kita daripada pelbagai keburukan tanpa disedari. Jangan berputus asa dan berburuk sangka kepada Allah. Sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui apa keperluan kita.

Apa pun, sebagai hamba-Nya, kita perlu terus berdoa kepada Sang Pencipta. Kerana doa adalah senjata orang Mukmin.

Daripada Ibnu Abbas RA, daripada Nabi SAW, Baginda meriwayatkan (hadith qudsi) daripada Tuhannya Azza Wa Jalla berfirman, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan (balasan) setiap kebaikan (pahala) dan setiap kejahatan (dosa). Kemudian Allah menjelaskan maksudnya: ‘Maka sesiapa berniat melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya (kerana keuzuran), maka Allah SWT menulis kebaikan itu disisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna untuknya. Sekiranya dia berniat untuk melakukan kebaikan, lalu dia melakukannya, maka Allah SWT menulis kebaikan itu disisi-Nya sebanyak sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus gandaan, sehingga gandaan kebaikan yang banyak untuknya. (Sebaliknya) Jika dia berniat melakukan kejahatan, tetapi dia tidak melakukannya (kerana takut kepada Allah SWT), maka Allah SWT menulis disisi-Nya satu kebaikan yang sempurna baginya. Sekiranya dia berniat melakukan kejahatan, lalu dia melakukannya, maka Allah akan menulis kejahatan itu baginya hanya sebagai satu kejahatan.” (HR Bukhari, No. 6491, Muslim, No. 131, Ahmad, No. 2684)

 

Pengajaran:

Niat, azam, tekad, cita-cita dan keinginan adalah lintasan hati seseorang dan apabila diniatkan ke arah kebaikan itu adalah anugerah dan taufik daripada Allah SWT. Andai seseorang itu sudah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melakukannya namun terdapat halangan (keuzuran), maka jangan putus asa mahupun kecewa kerana Allah Maha Mengetahui akan apa yang terdetik dalam hati seseorang hamba dan membalasnya dengan ganjaran kebaikan.

Seseorang Muslim perlu menyedari dan memahami bahawa setiap apa yang terdetik dalam hatinya itu diketahui Allah SWT. Setiap manusia diberikan sifat ikhtiyariah iaitu pilihan dalam setiap amalan yang akan dilakukan. Namun, setiap niat kebaikan jika tidak mampu dilakukannya disebabkan keuzuran turut akan diberikan pahala. Begitu juga setiap niat kejahatan, jika tidak dilakukan kerana takut kepada Allah turut akan diberikan pahala untuknya. Maka apabila niat kejahatan terbit maka perasaan malu dan takut akan menjadi pendinding agar dirinya menjauhi kejahatan dan kemaksiatan. Maksud hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah SWT memaafkan umatku pada perkara (kejahatan) yang dibisikkan dalam dirinya selama mana dia tidak melakukannya dan tidak menuturkannya.” (HR Bukhari, No. 6171 dan Muslim, No. 182)

Manusia sering kali tertewas dan kecundang dengan bisikan syaitan dan hawa nafsu sehingga meletakkan dirinya dalam lembah dosa dan kehinaan. Sekiranya tergelincir, segeralah bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh. Sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat hamba-Nya Maha dan Pemurah.

Bertudung Ikut Syariat

Posted: Jun 15, 2020 in think tank thought

bertudung

Setiap umat Islam wajib menutup aurat berlandaskan syariat Islam. Aurat bagi lelaki adalah dari pusat hingga ke paras lutut manakala untuk perempuan adalah keseluruhan tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan.

Kita sering digembar-gemburkan dengan cara penggayaan tudung yang salah, tidak mengikut tuntutan syariat dan juga penjualan tudung yang terlalu mengikut trend sehingga terlupa  akan batas-batas dalam bertudung. Pemakaian tudung mengikut trend terkini tidak salah selagi ia berlandaskan syarak.

Kaum wanita dan juga para suami perlu mengetahui cara-cara dalam menutup aurat bagi mengelakkan kaum wanita melanggar batas syariat yang ditetapkan. Selain menuntut perintah Allah SWT dalam menutup aurat, ia juga untuk memelihara daripada diganggu dan difitnah.

Penjualan tudung bukan sahaja untuk memperoleh keuntungan tetapi untuk memperoleh pahala yang berlipat ganda. Reka bentuk tudung juga tidak seharusnya keterlaluan sehingga boleh menarik perhatian kaum lelaki dan menaikkan syahwat.

Tudung tidak boleh ketat, jarang, nipis dan perlu dilabuhkan melepasi bahagian dada. Allah berfirman dalam surah an-Nur ayat 31 yang membawa maksud: “…dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka…”

Dalam erti kata lain, kita harus memakai tudung seperti mana pakaian solat. Sekiranya tudung itu jarang, anda digalakkan untuk pakai inner neck. Pastikan anda pakai anak tudung untuk mengelakkan anak rambut anda kelihatan. Ia juga nampak kemas dan memudahkan lagi untuk anda memakai tudung.

Ada yang memakai tudung kecil dan menampakkan bentuk dadanya yang sememangnya bertentangan dengan Islam. Teknik penggunaan dan penggayaan tudung yang betul mengikut garis panduan Islam adalah sangat penting. Muslimah juga perlu lebih prihatin dalam menggayakan tudung mengikut saiz tubuh badan.

Pilihlah tudung dan gaya bersesuaian yang menutupi rambut, leher dan dada. Bertudung bukan sahaja untuk kelihatan cantik tetapi untuk memenuhi tuntutan agama iaitu menutup aurat. Islam tidak melarang seseorang itu untuk berfesyen tetapi perlulah mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan. Malah kita digalakkan untuk kelihatan kemas dan cantik agar agama lain melihat bahawa agama Islam itu indah.