Pukul 9 Malam, Malam Jumaat

Posted: Disember 10, 2015 in think tank thought

Tikus mengintai disebalik celah dinding papan separa batu itu. Apakah isi kandungan bungkusan yang berada di tangan sang petani? Harapannya menggunung. Mungkinkah ada makanan?

Telahannya meleset sama sekali. Apa yang dilihat membuatkan seluruh badan kecilnya menggigil. Jantung terasa bagai mahu tercabut dari tangkainya. Ternyata bungkusan itu bukannya berisi makanan tetapi sebuah perangkap bagi memerangkap kaumnya. Perangkap tikus!

Kecut perut membayangkan diri dikepit dengan besi bersaiz segi empat persegi panjang itu. Mau terkeluar isi perut!

Tanpa berlengah, langkah diatur. Seluruh ladang perlu diberitahu agar masing-masing beringat dan berawas-awas.

“Ada perangkap tikus di dalam rumah sang petani, awas ada perangkap tikus di dalam rumah sang petani!” Jerit tikus berulang kali memberi peringatan kepada seluruh haiwan yang menghuni ladang itu.

Semua haiwan penghuni ladang itu terpinga-pinga dengan lolongan tikus. “Sudah gilakah tikus, melolong, menjerit seperti hilang akal?” Fikir mereka. Dipasangnya telinga betul-betul untuk menangkap butir bicara tikus.

 “Awas, ada perangkap tikus di dalam rumah sang petani, awas ada perangkap tikus di dalam rumah sang petani!” Lolongan tikus kian meninggi.

Gila. Tikus memang sudah hilang akal. Fikir mereka. Masing-masing kembali tidak mengendahkan lolongan tikus. Sang ayam terus mencakar tanah mencari cacing. Sang kambing kembali meragut rumput nan menghijau di tepi sungai. Sang lembu meragut rumput yang sama secara berjemaah dengan sang kambing.

Tikus pergi menemui sang ayam. “Ayam, awas, ada perangkap tikus di dalam rumah sang petani,” kata tikus.

Sang ayam mengangkat mukanya mengadap tikus lalu berkata, ” Maafkan aku wahai tikus. Aku faham, ini merupakan masalah besar buat kaummu. Aku doakan kamu sekeluarga terselamat,” balas sang ayam seraya mencakar-cakar tanah semula. Acuh tak acuh.

Kecewa.

Tikus tidak berputus asa. Bahkan tidak boleh berputus asa. Dia tekad untuk memberi amaran kepada semua haiwan penghuni ladang. Kesejahteraan semua penghuni bergantung kepada amarannya ini. Langkah diatur menuju sungai. Arah di mana sang kambing sedang meragut rumput nan menghijau di tepi tebing sungai.

 “Kambing, awas, ada perangkap tikus di dalam rumah sang petani,” kata tikus.

Kambing berhenti meragut. Dipandangnya wajah tikus yang keresahan itu.“Aku bersimpati dengan berita ini wahai tikus. Sungguh. Tapi ini bukan masalah bagi kaumku untuk memikirkannya,” jawab sang kambing. Malas ambil peduli.

Hampa.

Pandangannya berkalih ke arah sang lembu pula. Lembu yang sedari tadi mendengar hanya tersenyum sinis.

“Kau tak payahlah menyemakkan kepala kami dengan masalah kau itu wahai tikus. Berita ini tidak langsung memberikan apa-apa kesan kepada kami sepertimana ia memberi kesan kepada kaummu. Pergilah kau menguruskan masalahmu sendiri,” tempelak sang lembu tanpa sempat tikus berkata apa-apa.

Sang ayam, sang kambing dan sang lembu serentak ketawa geli hati kepada tikus. Luluh hati tikus mendengarkan jawapan dari sahabat-sahabatnya itu. Patah hatinya dengan reaksi mereka itu. Bukannya mahu mengambil berat, malah disindir dan ditertawakan pula.

*****************************

Apalah salahnya jika mereka menunjukkan sedikit keprihatinan untuk sama-sama duduk berbincang dan bermusyawarah. Bukankah bermusyawarah sangat ditekankan dalam Islam terutama dalam urusan agama dan kemaslahatan kehidupan bermasyarakat?

Bukannya mereka tidak tahu, setiap malam jumaat, pukul 9 malam, mereka seronok pakat-pakat duduk selonggok di sebalik penjuru dinding rumah berdinding papan separa batu itu memasang telinga mendengar ceramah Forum Perdana Ehwal Islam dari peti televisyen buruk sang petani. Banyak yang dibincangkan oleh ustaz dan ustazah jemputan dalam Forum Perdana Ehwal Islam itu. Berkenaan kepentingan bermusyawarah juga telah dibincangkan.

Tikus masih ingat, ustaz berkata, dengan bermusyawarah, hati-hati umat dapat disatukan kerana bilamana umat bersatu hati, maka mudahlah urusan-urusan seterusnya. Ustaz ada menambah, dengan bermusyawarah juga dapat membentuk kesatuan dalam berfikir untuk menyelesaikan sesuatu urusan dan permasalahan.

Bahkan, yang betul-betul melekat di dalam hati kecil tikus adalah bagaimana Allah SWT sendiri menjadikan musyawarah sebagai salah satu sifat orang yang beriman. Dalam surah asy-Syura ayat 38, Allah SWT berfirman dengan menyebut beberapa sifat orang beriman: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.”

 Tikus sedar, tubuh kecilnya tidak mampu mengerjakan pekerjaan yang besar-besar sepertimana sahabat-sahabatnya yang lain. Berbanding dengan mereka, apalah jasa yang mampu dia lakukan sementelahan dia hanya dilihat sebagai makhluk perosak. Malah tikus faham, keterbatasannya menyebabkan dia tidak mungkin boleh hidup sendirian tanpa bantuan dan pertolongan sahabat-sahabat yang lain.

Tikus melangkah lambat-lambat memikirkan reaksi yang diberikan oleh sahabat-sahabatnya. “Tidak mengapalah, mungkin sang pipit masih mahu mendengar amaranku dan sudi bersama-sama memikirkan cara bagi menjamin keselamatan semua,” tikus memujuk hatinya.

Tikus pergi menemui sang pipit yang sedang leka bertenggek di sebatang ranting pokok terung pipit sambil menikmati seekor ulat beluncas. Asyik sungguh hingga tidak sedar kehadiran tikus di depannya.

Sang pipit ‘terkejut beruk.’ Sekonyong-konyong tikus terpacul betul-betul depan muka sebaik sahaja dia membuka matanya. Disebabkan itu, ranting pokok terung pipit itu patah. Nyaris sahaja dia tergolek ke bawah. Sipi-sipi muka tikus terkena libasan kepaknya. Mujur tikus sempat mengelak.

Geli hati tikus melihat gelagat sang pipit. Pipit memang terkenal di kalangan sahabat penghuni ladang sebagai seekor haiwan yang mudah terkejut dan melatah. Pernah suatu hari lembu melenguh betul-betul di belakangnya. Mengusik. Habis satu ladang kecoh dengan kicauan pipit yang kuat. Habis kalas barang-barang di dalam bangsal jatuh bertaburan dek libasan kepak pipit. Kecil-kecil cili padi, walau kecil tetapi kudratnya mengalahkan seekor helang!

“Kamu tikus. Terkejut aku dibuatnya. Mujur aku sempat mengepakkan sayapku, jika tidak, pasti aku sudah tergolek ke tanah,” kata pipit sebaik sahaja dia bertenggek di atas ranting yang lain.

Tikus ketawa geli hati lalu memohon maaf. “Maafkan aku wahai sahabat kerana membuatkan engkau terkejut,” kata tikus.

“Sebenarnya apa niat kedatanganmu wahai tikus? Ada apa-apa yang boleh dibantu? Insya-Allah akanku bantu sedaya mungkin,” balas pipit.

“Sebenarnya aku ingin menyampaikan amaran bahawa sang petani telah memasang perangkap tikus di dalam rumahnya. Jika kita tidak memikirkan jalan bagaimana untuk menyelamatkan diri dan berawas-awas daripada terjerat, ditakuti ada yang akan menjadi mangsa.

 Aku telah memberi amaran kepada sahabat-sahabat yang lain dengan harapan untuk diadakan mesyuarat tergempar, namun penerimaan mereka sangat mendukacitakan. Mereka tidak mengendahkan amaranku malah ditertawakan pula,” jelas tikus dengan pedar hati.

Pipit menghela nafas panjang. Tidak disangka sahabat-sahabat lain memperlakukan tikus sedemikian rupa. Perkenalan mereka sudah lama. Masing-masing telah bersahabat semenjak mula-mula lagi –­­ sejak sang petani membuka ladang ini. Malah, adakah sang ayam lupa, tikus pernah menolongnya melepaskan diri daripada jaring yang meliliti kakinya sehingga membengkak? Lupakah kambing kepada budi tikus yang membawakannya lalang kering setiap hari ketika kakinya dipatuk ular kapak sehingga dia tiada daya untuk bangun? Ibarat menabur benih di atas batu! Dasar tidak mengenang budi.

Pipit selalu berpegang kepada ayat Allah SWT yang satu ini dalam melayari kehidupannya. Surah az-Zalzalah ayat tujuh dan lapan. Ayatnya bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”

 Lagi pun, Islam adalah agama rahmat yang penuh dengan kasih sayang. Sebagai umat Islam, hidup rukun dalam bertetangga adalah moral yang paling ditekankan dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah ia menghormati tetangganya.” Dan di dalam riwayat lain disebutkan, “Hendaklah ia berbuat baik terhadap tetangganya.” (Muttafaq’alaih).

 “Katakanlah apa yang perlu kita lakukan untuk menghadapi perangkap tikus sang petani ini?” Tanya pipit.

“Aku rasa baik jika kita mengadakan mesyuarat tergempar di kalangan kita. Aku akan kumpulkan kaum kerabatku dan kita bertemu di tepi sungai malam ini,” balas tikus.

Dikumpulkannya seluruh kaum kerabat duduk setempat. Perkara utama adalah bagi membincangkan langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan diri daripada memasuki jerangkap sang petani.

“Kita perlu tahu dimanakah lokasi perangkap dipasang. Jangan terpedaya dan tertarik dengan umpan yang digunakan,” kata tikus kepada ahli kerabatnya termasuk sang pipit.

Masing-masing memberikan pandangan dan cadangan. Mesyuarat berjalan dengan sangat harmoni. Betullah kata ustaz Forum Perdana Ehwal Islam, “hati-hati umat dapat disatukan dengan bermusyawarah. Bilamana umat bersatu hati, maka mudahlah urusan-urusan seterusnya.”

Kata sepakat dicapai. Langkah-langkah yang perlu diambil disepakati. Mesyuarat tergempar bersurai. Masing-masing selesai diberikan tugasan. Apa yang penting berhati-hati agar tidak terjerat.

Lokasi perangkap dipasang telah dikenalpasti. Seluruh penghuni ladang telah dimaklumkan. Sang ayam, sang kambing dan sang lembu mendengar acuh tak acuh. Malas mahu melayan.

Malam itu semua ahli kerabat tikus dan pipit berwaspada. Masing-masing diarahkan duduk di dalam sarang masing-masing. Perintah berkurung dijalankan.

Seluruh penghuni ladang terjaga. Mereka dikejutkan oleh satu jeritan yang kuat. Adakah perangkap telah mengenai mangsanya?

Tikus senyap-senyap menyusup keluar dari sarang. Langkah kaki kecilnya terus diatur menuju tempat perangkap tikus dipasang. Jantungnya berdebar-debar. Tidak sanggup memikirkan siapa dari kalangan penghuni ladang yang menjadi mangsa perangkap itu.

“Rasanya seluruh penghuni ladang telah dimaklumkan tentang lokasi perangkap berada, mungkinkah ada yang tidak dimaklumi?” Hatinya terasa tidak sedap. Rasa bersalah menyelubungi diri.

*****************************

“Aku sengaja mengambil keputusan untuk bermalam di atas para-para betul-betul dimana perangkap berada, kata pipit memulakan bicara.

 “Dalam cahaya samar-samar, aku lihat ular senduk datang menghampiri perangkap. Mungkin tertarik dengan bau umpan yang dipasang. 

 Tak sempat aku memberikan amaran, ular senduk terus memasuki perangkap. Meliuk-liuk badannya mahu melepaskan diri. Aku mahu menolong, tapi kemudian aku ternampak isteri sang petani bergegas ke arah perangkap itu berada.

 Tanpa berawas-awas, mungkin terlalu teruja dengan hasil jerangkapnya, isteri sang petani terus sahaja memegang perangkap tikus itu tanpa mengetahui bahaya yang bakal menimpa. Ular senduk yang cemas terus sahaja mematuk tangan isteri sang petani itu.

 Isteri sang petani terus menjerit sekuat hatinya. Mungkin terkejut dan mungkin juga kerana menahan kesakitan. Mendengarkan jeritan nyaring, sang petani bergegas mendapatkan isterinya. Dibunuhnya ular senduk lalu dibawa isterinya pergi.” Demikian sang pipit menceritakan susunan peristiwa yang berlaku kepada tikus, dan seluruh penghuni ladang. Masing-masing melongo mendengar cerita pipit.

“Syukur kerana bukan dari kalangan kita yang menjadi mangsa. Namun, takziah kepada ahli keluarga dan para sahabat ular senduk,” ujar tikus.

*****************************

Keesokan harinya, berita tentang kejadian yang menimpa isteri sang petani menjadi topik utama berbualan. Dia dibawa ke hospital dan khabarnya masih lagi ditempatkan di dalam wad kecemasan.

Isteri sang petani dibenarkan pulang dari hospital pada hari berikutnya.Kendatipun diberi kebenaran pulang, beliau masih dalam pantauan pihak hospital. Keadaannya lemah dan tidak berdaya.

 “Abang, aku terasa benar ingin merasai sup ayam untuk menghilangkan rasa pahit kerongkongku ini,” sang isteri menyampaikan hasratnya itu kepada suami tercinta sejurus tiba dirumah papan separa batu itu.

“Baiklah sayang, apa saja untukmu isteriku asalkan kau cepat sembuh seperti sedia kala,” kata sang petani penuh kasih lalu mencapai golok buruk kepunyaannya lantas terus menuju ke ladang mencari bahan-bahan sup untuk isteri tercinta.

Walau sepenuh daya telah dicurahkan untuk mengubati sang isteri, penyakitnya semakin melarat. Sang petani hilang arah. Seluruh sanak saudara dan sahabat handai bersilih ganti datang menjenguk tidak putus-putus. Kambing disembelih untuk dijamukan kepada para tetamu.

Berita kematian isteri sang petani tersebar ke seluruh kampung. Orang-orang kampung membanjiri perkarangan rumah sang petani untuk membantu menguruskan jenazah. Malam itu akan diadakan tahlil. Seluruh kampung dipanggil. Orang kampung dijamu dengan kari daging lembu.

*****************************

Pukul 9, malam jumaat.

Semua penghuni ladang pakat-pakat duduk selonggok di sebalik penjuru dinding rumah berdinding papan separa batu itu. Tikus dan pipit tidak ketinggalan. Mereka semua sedang memasang telinga mendengar ceramah Forum Perdana Ehwal Islam dari peti televisyen buruk sang petani.

Hadirin dan hadirat sekalian, apabila kamu dengar ada seseorang yang menghadapi masalah dan kamu fikir itu tiada kaitan dengan kamu, ingatlah sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang tidur nyenyak dan tidak mengambil peduli urusan umat Islam, maka ia bukan dari golongan mereka.” (HR al-Baihaqi, at-Tabari, Abu Nua’im, dan al-Hakim).

Kita selalu tidak mengendahkan nilai-nilai baik seperti nasihat, teguran, petua, peringatan, panduan, pengalaman dan ilmu yang diberikan oleh orang-orang biasa. Walhal pada itu semua tentu ada hikmah yang tersurat dan tersirat yang dapat diambil manfaat bagi orang-orang yang berfikir.  Kita akan rugi dan kehilangan banyak hikmah sekiranya nasihat, teguran, petua, peringatan, panduan, pengalaman dan ilmu diambil hanya dari orang-orang yang berpangkat, ternama dan segak sahaja, dan meremehkan jika ia keluar dari mulut-mulut orang biasa.

 Hadirin dan hadirat sekalian, mulai hari ini, mari kita sama-sama pakat beringat. Dengarlah apa yang diucap, bukan siapa yang berucap. Luangkanlah sedikit masa untuk mendengar. Dengarlah dari semua orang. Jangan membeza-bezakan manusia untuk kita dengar dan beri perhatian. Jangan kerana dia berpangkat, maka kata-katanya dianggap bernilai. Jangan kerana dia tidak ternama, maka kata-katanya dibuang begitu sahaja. Pasanglah pancaindera kita untuk mendengar, melihat, menghidu, merasa dan berfikir. Utamakanlah pada inti. Bukan pada kulit atau rupa.Utamakanlah apa yang diucap. Bukan siapa yang berucap.”

*****************************

Ceramah Forum Perdana Ehwal Islam malam itu sangat meninggalkan kesan dalam hati setiap penghuni ladang lagi-lagi tikus dan sang pipit. Akibat sikap tidak mahu mendengar dan tidak mengambil pedulilah mereka kehilangan sahabat. Jika boleh dikembalikan masa, tikus rela merayu dan melutut kepada sahabat-sahabatnya; sang ayam, sang kambing dan sang lembu untuk mendengar dan ambil peduli amarannya.

Namun kini apa yang boleh dilakukan hanyalah mendoakan kesejahteraan mereka di sana dan berharap moga-moga diambil ikhtibar dan dijauhkan dari anak keturunannya dari sifat-sifat yang merugikan ini. Apa yang pasti, kata-kata nasihat ustaz jemputan Forum Perdana Ehwal Islam itu pasti diingati mereka sampai mati!

 

 

Komen-komen
  1. aleciawatts19835 berkata:

    You take the discussion hostage by saying ‘Turkey cannot be wrong all the time’. Where did I wrote this down? The world would be more happier if peopl Click http://pepij.nl/dukcc100645

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s