Arkib untuk Februari, 2012

Rantau Timur Tengah sememangnya tidak pernah sunyi daripada konflik. Malahan, mutakhir ini, rantau yang sedia bergolak ini, dihambat pula dengan pemberontakan rakyat. Beberapa negara berubah pemerintah, manakala sebahagian yang lain masih dapat bertahan.

Biarpun rantau ini sentiasa tegang, namun pergolakan yang berlaku dewasa ini ada bezanya. Ia bukan perang menentang  musuh hakiki dunia Arab, iaitu Israel mahupun menentang pencerobahan kuasa Amerika, tetapi ia adalah penentangan rakyat di negara itu sendiri. Rakyat di beberapa negara Asia Barat  seolah-olah baru tersedar selama ini mereka ditindas dan kebebasan mereka dinafikan lantas keluar ke jalanan menentang pemimpin sedia ada.

Merungkaikan masalah ini adalah sesuatu yang amat kompleks. Namun biarpun isu mungkin berbeza-beza atau unik di setiap negara, tetapi pokok persoalannya tetap sama iaitu rakyat bangkit menentang pemerintah yang dianggap zalim, mengongkong dan menekan rakyat, sedangkan rakyat mahukan kebebasan.

Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, fenomena Arab Spring ini, sebenarnya satu kisah yang panjang dan bertitik tolak daripada kejatuhan Empayar Uthmaniyyah atau Ottomon Empire pada 1924 lagi.

“Jika kita melihat kepada apa yang berlaku pada tahun ini, iaitu sejak Januari, sehinggalah yang muktahir ini di Syria, sebagai pengkaji sejarah dan sains politik, saya melihat dari aspek bagaimana ia boleh berlaku;  bermaksud ia bukan berlaku secara tiba-tiba, kerana (apa yang berlaku) ada latar belakang,’’ katanya.

Beliau mengulas sebelum kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah seluruh rantau Timur Tengah berada di bawah kerajaan itu sama ada secara langsung atau tidak. Ketika itu, terdapat satu entiti yang menggabung dan menyatukan rantau berkenaan sama ada kerajaan Turki atau pun Arab.

Namun jelasnya, entiti itu kemudiannya mengalami kemerosotan terutama pada awal abad ke-20 yang turut menyaksikan situasi politik dunia bergolak sehinggalah tercetusnya Perang Dunia Pertama. Perang itu berlaku di banyak negara termasuklah di Tanah Melayu.

“Barat melihat potensi Timur Tengah sebagai satu kawasan strategik dan juga kepentingan dari sudut sumber tenaga. Dengan sebab itu apabila berlakunya proses untuk mendapatkan pengaruh, sudah tentu Timur Tengah juga menjadi sasaran kepada kuasa-kuasa besar,’’ katanya.

Beliau berkata, sebenarnya Perang Dunia Pertama telah memberi kesan yang cukup besar kepada rantau Timur Tengah kerana ketika berlakunya perang, pihak Barat telah membuat beberapa perancangan yang telah diwarisi sehingga berlakunya Arab Spring mutakhir ini.

Oleh yang demikian, Prof. Dr. Mohammad Redzuan membuat kesimpulan bahawa rantau Timur Tengah yang wujud pada hari ini adalah dari segi strukturnya dan negaranya, bermodalkan dan perancangan Barat. Dalam erti kata lain, negara Timur Tengah sebenarnya tidak  `merdeka’ tetapi berubah hanya dari segi siapa yang menguasai mereka.

Beliau berkata, bagi menjelaskan keadaan ini, kuasa-kuasa Barat sebenarnya telah membuat pelbagai perancangan ketika Perang Dunia Pertama dengan tujuan menjayakan perluasan kuasa mereka.

“Ketika Perang Dunia Pertama dan sebelumnya, Barat telah membuat beberapa perancangan. Pertama, ialah apa yang dipanggil sebagai “surat-menyurat” antara Hussein, penguasa Mekah pada masa itu dengan Sir Henry McMahon iaitu Pesurahjaya British di Mesir ketika itu.

“`Dalam kandungan surat-menyurat itu, British menggalakkan orang Arab supaya memberontak terhadap Daulah Uthmaniah dan mewujudkan negara-negara Arab. Mereka menyemarakkah semangat kebangsaan Arab yang mana negara Arab tidak sepatutnya diperintah oleh orang Turki tetapi oleh orang Arab sendiri,’’ katanya.

Menurutnya, bukti-bukti sejarah dengan jelasnya menunjukkan bahawa British secara terang-terangan menyokong bangsa Arab supaya memberontak dan akhirnya berlakunya  Pemberontakan Arab pada tahun 1916.

Menerusi Pemberontakan Arab inilah lahirnya negara-negara seperti Arab Saudi, Jordan, Kuwait, Qatar dan sebagainya. Apa yang jelas, kewujudan negara-negara ini dibuat bagi menguatkan kuasa-kuasa Barat kerana pemerintah negara-negara berkenaan sememangnya dipilih dari golongan pro-Barat seperti keluarga Ibn Saud, al-Sabah dan al-Khalifah. Golongan ini diletakkan sebagai khalifah yang boleh dikatakan berdekad-dekad amat pro-Barat.

“Perancangan kedua Barat ialah melalui satu perjanjian yang dipanggil Sykes-Picot Agreement yang melibatkan tiga kuasa besar iaitu Britain, Rusia dan Perancis.

“Perjanjian ini dibuat dengan tujuan untuk  membahagi-bahagikan kawasan Timur Tengah kepada kawasan pengaruh seperti meletakkan Lubnan dan Syria di bawah kuasa Perancis, Mesir di bawah kuasa British dan Turki di bawah Rusia. Tetapi, apabila berlaku Revolusi Rusia pada tahun 1917, Rusia telah menarik diri,’’ jelasnya.

Beliau berkata, kesan daripada perjanjian itu telah menyebabkan pengaruh-pengaruh Barat itu terhadap negara-negara Timur Tengah itu kekal sehingga hari ini seperti pengaruh Perancis yang amat besar di Lubnan dan Syria.

Selain daripada surat menyurat Hussein-McMahon dan Perjanjian Sykes-Picot, beliau berkata, satu lagi perancangan Barat yang telah memberi kesan besar kepada rantau Timur Tengah adalah pernyataan Deklarasi Balfour pada 2 November 1917.

Deklarasi ini adalah sepucuk surat dari Menteri Luar Britain ketika itu, Arthur James Balfour kepada Baron Rothschild iaitu ketua komuniti Yahudi di Britain. Kandungan deklarasi itu menyebut Britain berjanji kepada orang-orang Yahudi untuk mewujudkan satu negara Yahudi di Palestin. Ironinya, orang Palestin dan Arab  tidak dimaklumkan mengenai deklarasi ini.

“Deklarasi ini membuka jalan bagi mewujudkan negara Israel di Palestin yang akhirnya tercapai pada  1948. Ini bermakna, negara Israel itu diwujudkan oleh negara Barat dan itulah yang diwarisi oleh Timur Tengah sehingga berlakunya peristiwa Arab Spring,’’ katanya.

Beliau berpendapat berdasarkan rentetan sejarah itu, menunjukkan negara Arab sebenarnya tidak pernah merdeka atau dalam dalam erti kata lain, negara Arab yang wujud selepas Perang Dunia Pertama, merupakan negara Arab yagn dicorakkan oleh British, Perancis dan juga kuasa-kuasa luar lain.   Menurutnya, negara-negara Timur Tengah itu sebenarnya negara yang masih dijajah Cuma yang membezakan, jika dahulu penjajahan dilakukan oleh Barat, tetapi kini penjajahan dilakukan oleh monarki, regim tentera ataupun kelompok-kelompok tertentu.

“ Akhirnya apa yang berlaku, negara kaya tetapi rakyat tidak diberi kebebasan; kebebasan hampir tidak ada. Ini menyebabkan rakyat berasakan perlu ada perubahan. Dan inilah yang mencetuskan kebangkitan Arab yang bermula di Tunisia apabila Mohamed Bouazizi yang tidak berpuas hati lalu membakar dirinya,’’ katanya.

Beliau berkata, itu merupakan satu percikan kerana sebenarnya perasaan tidak puas hati telah membara begitu lama. Peristiwa itu kemudiannya, diikuti dengan demonstrasi di Mesir, Syria dan Yemen (masih lagi tiada penyelesaian) dan sebelum itu berlaku di Bahrain. Bantahan juga berlaku di Arab Saudi dan negara-negara lain tetapi dapat dibendung oleh kerajaan.

Menurutnya, apa yang boleh saya jelaskan di sini, walaupun pada masa ini hanya tiga negara telah melengkapkan apa yang dipanggil sebagai Arab Spring, tetapi dengan bentuk kerajaan yang ada, sebenarnya hampir kesemua negara di Timur Tengah itu akan berdepan dengan kebangkitan rakyat.

Ini  kerana rakyat pada hari ini mahukan kebebasan dan harga diri yang mana selama ini bagi mereka tidak pernah dikecapi atau miliki. Kebangkitan rakyat ini berlaku kerana sistem itu dilihat tidak membantu rakyat mengembangkan daya kreatif mereka dan daya mereka sebagai manusia kerana ekonomi dimonopili oleh pihak tertentu, penindasan berlaku berleluasa. Mereka mahu supaya negara  dimiliki oleh seluruh rakyat, bukan kelompok.

Sememangnya setiap kejadian itu ada hikmah di sebaliknya. Apa yang berlaku di Timur Tengah misalnya, telah menyebabkan beberapa perubahan positif kepada dunia Islam khususnya. Biarpun ketika berlaku ketegangan, umat Islam seluruh dunia merasakan rasa ketidaktentuan, namun hakikatnya, apa yang berlaku itu telah menyebabkan golongan yang dilabel sebagai Islami mendapat tempat di kalangan rakyat.

Tunisia yang sebelumnya diperintah oleh rejim diktator dan korup, Zine El Abidine Ben Ali, kini telah beralih ke pemerintahan baru yang Islamis. Parti An Nahda menang dalam pilihanraya umum pada 23 Oktober lalu dengan mendpat 41.47 peratus undi. Sementara Parti Kebebasan dan Keadilan yang ditunjangi Ikhwan Muslimin memenangi fasa pertama pilihan raya Mesir. Menurut Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, rakyat di kebanyakan negara bergolak itu meyakini bahawa golongan Islami yang dilihat mampu membawa negara mereka kembali pulih dan rakyat diberikan lebih banyak kebebasan.

“Sekarang ini telah masuk fasa kedua bagi negara-negara seperti Tunisia, Mesir dan Libya. Satu kecenderungan yang paling ketara adalah proses demokrasi yang berlaku dan menunjukkan kumpulan Islami telah mendapat tempat,’’ katanya.

Lebih menarik lagi, perkembangan itu menyaksikan, biarpun dikuasai golongan Islami, mereka bersedia berkongsi kuasa dengan pihak-pihak lain termasuk golongan minoriti bukan Islam. Dari sudut ini, dilihat bahawa golongan Islami mahu memperlihatkan bahawa mereka bukan mengejar kekuasaan semata-mata tetapi mahu proses pembangunan semula negara dilakukan oleh seluruh masyarakat. Mereka mahu situasi negara segera dipulihkan dan kehidupan rakyat kembali aman seperti sediakala.

“Bagi kumpulan Islamis, mereka membuktikan bahawa mereka merupakan kumpulan yang boleh diyakini untuk membawa perubahan. Walaubagaimanapun, terdapat masalah kerana kumpulan Islamis mewarisi sebuah negara yang kucar-kacir, negara yang ekonominya rosak dan menariknya bagi kali ini, kumpulan Islamis mengetahui keterbatasan mereka.

“Dengan sebab itulah, baik di Tunisia mahupun di Mesir, mereka berasakan bahawa untuk membangunkan negara, bukan mereka sahaja perlu dipertanggungjawabkan. Pernah berlaku sebelum ini bahawa kumpulan Islamis berasakan bahawa mereka sahaja patut memerintah, tetapi kini mereka memahami konsep berkongsi kuasa itu merupakan yang terbaik.’’ katanya.

Beliau berkata, hal ini berlaku di Tunisia apabila pemimpin An Nahda, Rachid Ghannouchi secara terbuka menyatakan bahawa kesediaan berkongsi kuasa dengan sesiapa sahaja dan tidak akan melaksanakan syariah secara tergesa-gesa. Hal yang sama juga berlaku di Mesir, mereka bersedia untuk bekerjasama dengan kumpulan Qibti Kristian, liberal dan sebagainya kerana mereka berpendapat untuk membangunkan Mesir ini harus kesemunya bertanggungjawab.

Pendekatan bekerjasama ini juga adalah langkah terbaik yang boleh diambil berbanding jika sesebuah kerajaan yang memenangi pilihan raya memilih untuk berkuasa penuh. Kerana, sekiranya mereka mengalami kegagalan dalam proses itu, maka golongan Islami ini akan dipersalahkan. Oleh yang demikian, golongan ini melihat proses membangunkan semula ini diambil sebagai suatu proses bersama.

“Ini pengalaman yang mereka belajar daripada apa yang berlaku di Algeria. Ini bermakna, kumpulan Islami (jika ingin berkuasa), mereka harus bersedia berkongsi dengan menggunakan model Turki,’’ katanya. Beliau berkata, keikhlasan parti atau pihak yang mendapat sokongan majoriti untuk berkongsi kuasa adalah amat ketara dan dapat dilihat dari banyak tindakan yang diambil.

“Di Mesir misalnya, Parti Kebebasan dan Keadilan yang ditunjangi Ikhwan Muslimin mengambil keputusan memecat pemimpinnya, Dr. Abdel Moneim Aboul Fotouh Abdel Hady apabila tokoh itu membuat pengumuman untuk mencalonkan dirinya sebagai Presiden Mesir dan bertanding pilihanraya presiden,’’ katanya.

Dalam konteks ini, jelas sekali, Ikhwan Muslimin mahu memperlihatkan bahawa mereka tidak mahu dilihat sebagai sebuah badan yang hanya mahukan kuasa semata-mata. Mereka juga mahu memperlihatkan kepada semua pihak yang diajak untuk bekerjasama bahawa mereka ikhlas berkerjasama atas tujuan mengembalikan keamanan, mendapatkan kepercayaan rakyat dan seterusnya untuk membangunkan negara Mesir.

Beberapa tokoh pemimpin Ikhwan Muslimin seperti Midhat al-Haddad juga menyeru supaya semua calon presiden menarik diri dan sebaliknya menyerahkan kepada masyarakat Mesir memilih calon yang mereka yakini.

“Ini sebenarnya bukan menjadi kepentingan orang-orang Mesir bahawa aktivis Islam berusaha merebut kekuasaan,” katanya.

Beliau juga meyakinkan bahawa golongan minoriti Kristian Koptik juga akan dilindungi dalam pemerintahan Islam. Reaksi itu adalah bagi menjawab kenyataan tokoh perniagaan Kristian Koptik iaitu Naguib Sawiris yang mengatakan bahawa dia akan meninggalkan negara jika kelompok Islamis berkuasa. Kenyataan itu, sekali lagi ditegaskan oleh seorang ulama Salafi terkemuka Mesir yang memfatwakan bahawa dibenarkan menyokong calon Kristian jika calon tersebut lebih baik daripada calon Muslim. Fatwa ini belum pernah dikeluarkan sebelum ini dan lebih mengejutkan ia dinyatakan oleh seorang ulama Salafi paling dihormati di Mesir iaitu Syaikh Muhammad Hassan.

Daripada petikan-petikan kenyataan yang diperolehi itu, jelas dan nyata sekali apa yang dikehendaki oleh pemimpin negara berkenaan adalah keamanan, kestabilan dan kemajuan negara. Dan, semua itu hanya mampu diperolehi dengan adanya kerjasama semua rakyat di negara berkenaan tanpa mengira pegangan parti ataupun agama.

Dr. Mohammad Redzuan berkata, ketegasan Ikhwan dalam meletakkan pemulihan dan kemajuan negara sebagai aspek utama yang diberikan penekanan amat jelas.

“Ini memberikan keyakinan kepada kelompok-kelompok lain bahawa kumpulan Islamis boleh bersikap terbuka. Malahan mereka tidak menjadikan syariah sebagai suatu agenda sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat. Jika rakyat bersetuju, mereka akan laksanakan. Agenda utama pemimpin politik di negara berkenaan adalah mengembalikan kestabilan dan mengembalikan dan memperkasakan hak rakyat’’ jelasnya.

Beliau berkata, keadaan yang sama juga berlaku di Tunisia apabila Parti An Nahda yang menguasai pilihanraya memberi laluan kepada pemimpin parti pembangkang, Parti Kongres Republik, Moncef Marzouki memegang jawatan Presiden, manakala, Hamadi Jebali dari Parti An Nahda dilantik sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beliau berkata, perjalanan untuk demokrasi di Asia Barat dan Timur Tengar sebenarnya masih jauh. Ini kerana, negara-negara di rantau berkenaan belum lagi mencapai `kematangan’ demokrasi sebagaimana negara-negara lain di dunia terutamanya di Barat.

“Malahan, sistem demokrasi yang cuba dilaksanakan di Asia Barat sebenarnya tidaklah selancar yang disangka. Sebagai contoh, di Iraq, dalam pilihanrayanya, seseorang calon turut menerima ugutan bunuh sehinggakan mereka tidak berani menonjolkan diri,’’ katanya.

Beliau berkata, contoh-contoh itu menunjukkan rantau berkenaan masih memerlukan masa yang panjang untuk melaksanakan demokrasi dengan lebih baik. Dalam konteks demikian, beliau menjelaskan, apa yang penting usaha perlu dibuat bagi mematangkan rakyat di negara-negara berkenaan tentang demokrasi. Oleh kerana negara Arab tiada pengalaman menjadi negara demokrasi, untuk mencapai tahap kematangan demokrasi mengambil tempoh yang panjang. Sebagai perbandingan, Malaysia mengambil masa 50 tahun untuk mencapai tahap kematangan biarpun masih lagi mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki.

Keadaan sekarang katanya, tidak dinafikan telah mengubah lanskap dan pemikiran rakyat Timur Tengah yang selama bertahun-tahun tidak diberikan kebebasan. Apa yang berlaku itu, telah memberi harapan baru kepada rakyat di negara-negara Timur Tengah.

“Sememangnya fenomena Arab Spring ini telah memberikan kesan besar kepada masyarakat Timur Tengah. Mereka kini sudah dapat merasakan harga diri mereka dikembalikan,’’ katanya.

Selain itu, katanya, rakyat di negara berkenaan juga merasakan kini mereka boleh menentukan hala tuju negara masing-masing. Sebagai contoh, hubungan dengan Barat dan Israel. Jika sebelum ini, rakyat Mesir tidak mempunyai kuasa mendesak kerajaan supaya menyatakan pendirian tidak menyokong Israel , kini mereka mempunyai keupayaan itu. Namun, pada pendapatnya, hubungan dengan Barat tidak akan terjejas dengan peristiwa berkenaan. Ini kerana negara itu masih lagi bergantung kepada Barat.

“Ini bukan berpunca daripada penolakan hubungan dengan Barat tetapi rakyat cuma tidak mahu dominasi Barat terhadap negara mereka,’’ katanya.

Dari satu segi, beliau berkata, pergolakan yang berlaku di negara-negara Timur Tengah ini sebenarnya mendedahkan kelemahan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab. Katanya, kedua-dua pertubuhan itu amat lemah sehingga mereka tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membantu ke arah kestabilan negara-negara di rantau berkenaan. Jelasnya, itu adalah contoh bagaimana lemahnya umat Islam sekarang dan wajar difikir-fikirkan oleh umat Islam seluruh dunia.