Pada Al-Quran Ada Segalanya…

Posted: Julai 29, 2011 in think tank thought

Kes 1

Lima belas ahli sebuah keluarga yang dilaporkan hilang dari rumah mereka di Petaling Jaya pada 8 Julai 2003 lalu ditemui selamat di sebuah hotel di Raub, Pahang. Dua lelaki yang didakwa memukau dan menipu mereka diberkas di situ oleh pasukan khas polis, menurut Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Noor Hamat. Polis mengesyaki keluarga itu mangsa penipuan seorang bomoh.

Berasarkan keterangan, salah seorang lelaki itu mendakwa kononnya mempunyai kuasa mengelakkan keluarga mereka terkena musibah atau penyakit.

Kes 2

Seorang bomoh ditahan selepas seorang wanita dirawatnya mengadu kepada polis mengenai kaedah rawatan pelik iaitu mengeluarkan barang yang disihir dengan cara menghisap kemaluan pesakit. Pengadu, seorang suri rumah yang identitinya dirahsiakan berusia 24 tahun berasal dari luar Kota Tinggi, dikatakan berjumpa bomoh itu kerana sering sakit dan pedih di bahagian dada. Difahamkan, ketika proses berubat, bomoh itu meminta mangsa menanggalkan pakaian dan disuruh berkemban menggunakan kain putih panjang yang disediakannya. Pesakit disuruh masuk ke bilik air untuk dimandikan dengan cara air dijirus oleh bomoh dan kemudian, lelaki terbabit menyuruh mangsa menanggalkan kain putih yang dipakai tanpa seurat benang supaya memudahkan air yang dijirus mengalir dan membasahi seluruh badan.

Selepas itu, mangsa diarah bersandar pada dinding dan mengangkat satu daripada kakinya serta meletakkannya di atas sebuah tong air. Bomoh itu membongkok dan menghisap kemaluan mangsa sambil tangannya meramas buah dada, kononnya untuk mengeluarkan barang yang menyebabkan mangsa terasa pedih pada bahagian dada.

Sihir bukan perkara baru. Berdasarkan rekod sejarah, amalan melakukan sesuatu menerusi bantuan makhluk halus menggunakan jin dan syaitan telah wujud sejak sekitar 5,000 tahun Sebelum Masihi. Di negara ini juga tidak terkecuali. Panggilan seperti santau, pukau, tuju-tuju, ubat guna-guna dan sebagainya sudah lali dan sebati dengan kehidupan kita sejak dahulu hingga kini. Kes-kes di atas juga berlaku setiap hari. Sengaja penulis letakkan situasi di atas supaya kita sama-sama dapat renungkan betapa luasnya penggunaan sihir dalam masyarakat kita. Mangsanya sudah ramai, tetapi malang, sehingga hari ini, tidak wujud sebarang undang-undang jenayah berkaitan sihir untuk menghukum si penyihir dan pelanggannya.

Suriza sering sakit kepala dan susah untuk tidur malam. Pada tanggapannya, ia adalah simptom biasa kerana kepenatan bekerja. Tetapi, lama-kelamaan sakit kepalanya makin menjadi-jadi.

“Seperti ada ‘benda’ menyucuk-nyucuk kepala saya,” ujarnya.

Setiap kali malam menjelma, rasa gelisah dan gundah akan mula menyerang sehingga mengganggu tidurnya. Saat matanya ingin dilelapkan, beliau akan berasa seperti dirinya digoncang. Keadaan itu berlarutan malahan semakin kritikal sehingga beliau pernah sesak nafas ketika hendak tidur. Oleh kerana  tidak sanggup menahan kesakitan, beliau telah berjumpa doktor bagi mengetahui punca kesakitan yang dialaminya. Namun, jawapan yang diberikan telah menghampakan dirinya. Doktor menyatakan dia hanya mengalami tekanan di tempat kerja dan dibekalkan ubat. Selepas beberapa minggu keadaannya tetap sama, kepalanya masih sakit dan kerap berulang.

Dari satu rawatan ke satu rawatan telah dicubanya, namun kesakitan yang dialami masih tidak sembuh. Kebanyakan pengamal perubatan yang beliau temui hanya membekalkan air penawar dan memberitahu ada ‘benda’ yang tertanam di badannya dan dimaklumkan telah disantau.

Meneliti kepada kisah-kisah di atas, timbul persoalan, apa yang membezakan perbuatan sihir ini dengan jenayah tipu, rogol atau perbuatan mendatangkan kecederaan yang sering terpampang di dalam media massa saban hari kerana sudah jelas bahawa sihir juga boleh menyebabkan berlakunya jenayah-jenayah di atas waima boleh mengakibatkan kematian!

Undang-undang

Baru-baru ini, seorang pensyarah universiti mengusulkan supaya kerajaan mewujudkan Akta Jenayah Sihir bagi mengekang amalan itu daripada terus berleluasa dan membawa penjenayah sihir ke muka pengadilan.

Pensyarah Undang-Undang Kolej Antarabangsa Institut Kemajuan Iktisas Pahang (IKIP), Dr. Mahyuddin Ismail menggambarkan jenayah sihir adalah sesuatu yang bersifat realistik dan bukan retorik.

Daripada hasil kajian yang telah dilakukannya, jelas menunjukkan bahawa pengamal sihir boleh dikenakan tindakan undang-undang dan lebih penting lagi mangsa jenayah sihir boleh menuntut keadilan. Hasil kajian beliau juga lengkap dengan cara-cara pembuktian dan cadangan-cadangan bernas yang boleh diangkat dan diaplikasikan badan pengamal undang-undang.

Berminat untuk mengetahui pandangan pengamal perubatan alternatif berkaitan amalan sihir dan cadangan untuk mewujudkan akta jenayah sihir, penulis telah mengadakan satu pertemuan selain berkesempatan melihat sendiri kaedah perubatan oleh Dato’ Dr (Ust) Basharuddin Tok Guru Panjang Ahmad, pengasas Pusat Perubatan Islam Seiring Syariat. Ketika diajukan tentang pandangannya terhadap cadangan tersebut, bekas pegawai kerajaan ini jelas menunjukkan sokongannya.

“Saya amat setuju dan mengalu-alukan cadangan untuk digubal undang-undang jenayah sihir. Ini sebagai pengajaran dan hukuman kepada pengamal sihir yang jelas mementingkan kemewahan dunia menerusi amalan terkutuk ini.

“Hukum hudud atau pancung harus dikenakan kepada mereka,” tegasnya.

Pengamal sihir yang biasa dipanggil bomoh ini menurut beliau menggunakan sihir hanya untuk meraih kemewahan dan bermegah-megah dengan ‘kehebatan’ mereka. Mereka yang beliau gelar sebagai ‘pengkhianat akidah’ ini menggunakan bantuan syaitan, jin, iblis, khadam Islam atau jin Islam bagi mencapai maksud tersebut.

“Amalan sihir dan seumpamanya ini walaupun digunakan atas dasar apa sekalipun tetap berfungsi sebagai mengenepikan kekuasaan Allah SWT. Saya cukup hairan dengan golongan ini yang mengambil kesempatan kepada pesakit yang menderita dengan mengenakan bayaran sehingga RM2,000 untuk mengubati santau. Kerana itu saya bersetuju dengan tindakan beberapa negara yang telah menggubal hukuman bunuh kepada pengamal sihir ini.

“Kehebatan ayat-ayat al-Quran sangat luas. Al-Quran perlulah dibaca, difahami, dihayati, diamalkan dan diagih-agihkan. Dalam sebuah rumah perlu ada al-Quran; malah setiap orang Islam perlu memiliki satu al-Quran,” ujarnya.

Melihat kepada kaedah perubatan beliau yang dipanggil sebagai perubatan berilmiah melalui pembacaan al-Quran dan tazkirah ini juga cukup menarik.  Proses perubatan dimulai dengan sesi tazkirah. Selesai sesi tazkirah, beliau akan memulakan sesi pembacaan ayat-ayat suci al-Quran, sedekah kepada kanak-kanak yang hadir, sedekah makan minum dan sebagainya yang sememangnya lain daripada yang lain.

Beliau juga, tidak kedekut memberikan petua supaya diamalkan ayat-ayat al-Quran untuk tujuan-tujuan tertentu. Sebagai contoh, bagi mengelak daripada perkara buruk berlaku, amalkan ayat 137 dari surah al-Baqarah, doa mati kuman – ayat 172 surah al-Araf, surah Yusuf ayat 4, 23 dan 32 untuk pengikat kasih sayang di antara suami isteri dan surah Yunus ayat 57 untuk penyakit yang berpunca daripada hati.

Tidakkah ini jelas memperlihatkan bahawa memang benarlah seperti firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 82 yang bermaksud: Dan Kami turunkan dari al-Quran sesuatu yang menjadi penyembuh dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Subhanallah, segala puji bagi Allah yang telah menurunkan al-Quran kepada kita.

Kesempatan menemui Dato’ Dr (Ust) Basharuddin ini cukup membuatkan penulis berfikir panjang. Jika al-Quran ataupun mengangkat slogan yang dinukilkan oleh beliau – “satu orang, satu al-Quran” diamalkan dan diangkat, maka tidak akan lagi wujud pengamal sihir, dan jika tiada pengamal sihir dan jenayah berkaitannya, maka ringkasnya, tidak perlulah kepada undang-undang jenayah sihir! Alangkah bagusnya jika ini boleh menjadi kenyataan. Ini hanya pendapat peribadi penulis sahaja.

Apapun, al-Quran  telah terbukti penuh dengan penawar dan rahmat!

Justeru, ingin penulis berpesan kepada diri dan kepada semua Muslimin agar kembali kepada al-Quran, kita tingkatkan bacaaan al-Quran kita, kita tingkatkan hafalan, kita tingkatkan pemahaman kita tentang isi dan kandungan yang terdapat dalam al-Quran yang ternyata; subhanallah luar biasa hebatnya. Wallahua’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s