Kembali Kepada Wahyu

Posted: Julai 29, 2011 in think tank thought

“Macam mana baby boleh ada dalam perut ibu?,” anak saudara saya yang baru berusia tiga tahun bertanya. Saya tergamam.

“Baby kena duduk dalam perut ibu. Nanti bila perut ibu dah tak muat lagi,  baby keluar la,”  kata saya cuba memberikan penerangan kepadanya dan mujur pertanyaan beliau hanya setakat itu sahaja.

Siapa yang boleh menjangka soalan itu akan ditanya oleh anak sekecilnya. Walau tidak pula saya cuba menidakkan lumrah bahawa seiring dengan peningkatan usia, anak-anak akan mula memerhati, menyedari dan kemudian mempersoalkan persamaan dan perbezaan antara adik-beradik berlainan jantina. Menerusi pendedahan media massa terutama televisyen dan internet, tidak mustahil soalan-soalan yang lebih ‘mencabar minda’ akan mula ditanya.

Atas kesedaran ini, ibu bapa dan guru harus memainkan peranan yang besar bagi mencari pendekatan yang cukup berhemah dan bestari dalam memberikan pengetahuan asas tentang seks kepada anak-anak. Tambahan pula dengan cabaran yang semakin rencam terutama menerusi media baru tanpa sempadan dengan meningkatnya kes-kes berkaitan seksualiti seperti zina yang membawa kepada pembuangan bayi, rogol dan sebagainya inilah maka desakan kepada pelan tindakan dan mekanisma bestari yang berkesan kalaupun tidak berupaya menangani sepenuhnya, dapat mengurangi permasalahan ini.

Saranan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah telah diumumkan akan diperkenalkan mulai tahun 2006 lagi. Kenyataan ini dibuat pada Disember 2005 (New Straits Times, 21 Disember 2005). Namun, sehingga kini, cadangan ini masih kabur. Tidak kurang juga dengan pelbagai reaksi diperlihatkan oleh masyarakat yang mengundang seribu satu persoalan – Adakah sememangnya pendidikan seks ini perlu diajar? Jika perlu, apakah asas sistem nilai yang melandasi kurikulumnya? Apa yang hendak diajarkan? Bagaimana ia hendak disampaikan? Siapa yang hendak menyampaikan? Apa objektif pengajarannya? Apakah aras yang hendak capai dalam pengajarannya?

Menurut Professor Madya Dr. Fauzi Deraman, Pensyarah di Jabatan Al-Quran dan Hadis Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, tanpa mengira isu nama yang sesuai kepada pendidikan ini, perkara pokok yang perlu diberi perhatian adalah pengisian kepada pendidikan tersebut.

Mendedahkan perkara-perkara yang berkaitan seks ini, tambah beliau perlu dilihat kesesuaiannya dengan usia anak-anak. Pendedahan ini perlu mengambil kira tahap keupayaan memahami dan keperluan anak-anak. Diperingkat awal usia, pendedahan awal seperti memperkenalkan organ seks, fungsi dan kesan ke atas diri, keluarga dan masyarakat sekiranya disalahertikan mungkin boleh diusahakan.

Beliau juga melihat pendekatan yang ada sekarang sudah terlalu lewat untuk membendung masalah sosial yang melibatkan seksualiti. Ini menurutnya adalah kerana tiada siapa yang dapat memastikan usia akil baligh seseorang.

“Mungkin di waktu sekolah rendah lagi, mungkin sewaktu darjah lima, mungkin juga sewaktu darjah enam,” tambah beliau.

Pengisian kepada pendidikan seks juga pada pandangan beliau perlu diselaraskan secara bersepadu. Ujarnya, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranan. Hal ini kerana anak-anak lebih dekat dengan ibu bapa, justeru ibu bapa harus bestari dalam memberikan pendekatan dan pendedahan seks kepada anak-anak. Selain itu, tambah beliau di peringkat sekolah pula, pendidikan seks boleh diselitkan di dalam mana-mana mata pelajaran mengikut kesesuaian seperti sains dan pendidikan jasmani mengikut kesesuaian umur.

Selain itu jelas beliau pendekatan berterus-terang itu adalah suatu yang baik. Kadang-kadang anak-anak akan memerhati dan bertanya dari mana asalnya mereka? Bagaimana ibu bapa memberikan penerangan kepada anak-anak perlu sesuai dengan keadaan dan usia anak-anak pada masa itu supaya mereka mudah memahaminya.

“Kaitkan juga dengan elemen akidah. Ini kerana, jika tidak dikaitkan dengan isu halal-haram, boleh dan tidak boleh sesuatu perbuatan, segala usaha tidak akan ke mana. Masalahnya kita lebih mengajar dari mengasuh sedangkan mengasuh itu lebih penting dari mengajar. Kita juga lebih menyampaikan informasi. Faham atau tidak, tidak tentu lagi.

“Aspek keimanan juga perlu ditekankan kerana jika jiwa kosong tanpa iman dan tanpa dimasukkan pendekatan akidah ia tidak akan membawa kita ke mana-mana. Justeru, tidak hairanlah sekiranya remaja berusia seawal tujuh tahun sudah mula melakukan pra zina,” tegas beliau.

Bagi melaksanakan pendekatan ini, elemen-elemen salah faham juga perlu dihindarkan. Menurut Dr. Fauzi, masyarakat yang ortodoks sering melihat pendidikan seks sebagai suatu yang ‘taboo’ dan memalukan. Tetapi adalah lebih memalukan sekiranya keterlanjuran itu berlaku.  Oleh hal yang demikian itu, pandangan ini perlu dikikis.

Asas pendidikan seks ini juga perlu dilihat dan seharusnya berlandaskan objektif mencapai kesejahteraan ummah. Ini juga tegas beliau bertepatan dengan matlamat syariah iaitu untuk menjaga agama, maruah dan keluarga. Inilah perkara penting yang perlu diaplikasikan.

“Isu berbangkit terutama membabitkan keruntuhan akhlak remaja adalah respon kepada isu tersebut. Jadi, jika kita tidak melihat kepada akarnya, isu ini tidak akan ke mana-mana. Justeru, masing-masing ada dan perlu memainkan peranan tersendiri dengan serius.”

Islam telah mengajar segalanya termasuk pendidikan seks. Misalnya, mengajar agar diasingkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan yang mencapai usia sepuluh tahun. Malangnya, tegas beliau apa yang berlaku kini adalah keruntuhan sistem nilai akibat kecuaian ibu bapa memainkan peranan mereka secara berkesan. Ibu bapa tidak mendedahkan anak-anak dengan sumber agama.

“Jika kajian Durex 2005 yang mengatakan aktiviti seks kerap berlaku di dalam bilik tidur utama atau bilik tidur ibu bapa, ini membuktikan bahawa ibu bapa cuai dalam menjalankan tanggungjawabnya,” jelas beliau.

Oleh hal yang demikian, beliau menegaskan pemantapan elemen nilai merupakan perkara penting dalam pendidikan seks ini. Beliau turut mencadangkan kefahaman tentang pendidikan ini diberikan kepada ibu bapa supaya mereka dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam mendidik anak-anak berkenaan pendidikan seks ini.

“Di sini peranan media massa penting. Media massa merangkumi media cetak dan elektronik berperanan ‘mengiklankan’ ilmu pengetahuan kepada ibu bapa.

“Peranan keluarga terutama ibu bapa cukup besar. Kelonggaran sistem kekeluargaan memberikan implikasi yang cukup besar kepada masyarakat. Pendekatan agama dan kesedaran untuk kembali kepada elemen nilai mengikut tradisi Melayu Islam dan Timur berpaksikan agama adalah jawapan bagi menangani pelbagai permasalahan,” ujar beliau.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s