Enau Dalam Belukar Melepaskan Pucuknya

Posted: Julai 29, 2011 in think tank thought

Apa tindakan anda sekiranya seseorang melakukan kemungkaran atau menunjukkan perlakuan kejam di depan mata anda? Sila nyatakan tindakan anda kepada situasi-situasi di bawah:

Situasi 1: Sedang anda menjamu selera di sebuah kedai mamak, kelihatan sepasang remaja berpakaian seragam sekolah berjalan berpegangan tangan dengan si genit melentok manja ke bahu si teruna.

Situasi 2: Anda sedang memerhatikan anak anda yang leka bermain buaian di sebuah taman permainan berdekatan rumah. Sedang anda asyik melihat telatah si manja, tiba-tiba kedengaran rintihan hiba anak kecil merayu-rayu agar tubuhnya tidak disakiti. “Ayah jangan pukul adik, adik sakit…”, “Ayah adik sakit…” berulang kali.

Apakah tindakan anda untuk kedua-dua situasi di atas? A – Menegur perlakuan tersebut tanpa berfikir panjang atau B – Buat tidak endah kerana tiada kaitan dengan hidup anda.

Amat jarang antara kita memilih ‘A’ sebagai jawapan memandangkan kita kenal benar dengan perangai masyarakat kini yang sukar menerima teguran – silap tegur, keselamatan kita pula terancam! Jawapan ‘B’ selalu menjadi pilihan kadang-kadang bukan kerana tidak endah tetapi lebih kepada memikirkan implikasi yang bakal diterima daripada teguran tersebut. Tidak mahu menjaga tepi kain orang lain sering dijadikan alasan.

Persoalannya adakah tindakan tidak mahu menjaga tepi kain orang lain itu suatu tindakan yang tepat jika melibatkan maruah dan nyawa seseorang?

Tidak dapat dinafikan, mengharungi kehidupan zaman serba moden ini sedikit demi sedikit telah menyebabkan struktur hidup bermasyarakat semakin dikesampingkan. Jiran tidak mengenali jiran bersebelahannya itu perkara biasa. Selisih bahu di pasaraya pun tidak kenal, inikan pula mahu bertegur sapa. Kehidupan masyarakat kini terutamanya di bandar-bandar besar semakin menjadi terlalu individualistik dan hanya mengambil tahu mengenai perkara seputar diri mereka sahaja. Jadi tidak hairanlah jika kemungkaran atau kebejatan yang berlaku secara terbuka di depan mata, ramai mengambil sikap tidak endah kerana ia tidak membabitkan diri atau keluarga sendiri.

Respon – Jaga Tepi Kain Orang Perlu!

Pelbagai respon yang diterima apabila penulis mengutarakan persoalan keperluan menjaga tepi kain orang ini di laman sosial Facebook. Rata-ratanya mengakui kepentingan menjaga tepi kain orang lain tetapi dengan syarat mengambil kira keadaan dan dengan cara berhemah.

Jika melihat maksiat atau kejahatan di depan mata, andai boleh ditegur, tegurlah dengan cara yang berhemah. Tetapi jangan sampai memalukan pihak tersebut. Suhaili Mohamed Tauhid melihat teguran yang diberi bukan bermaksud mahu menjaga tepi kain orang, tetapi atas rasa tanggungjawab sebagai umat Islam yang menganjurkan sikap saling nasihat-menasihati untuk kebaikan bersama.

Ini diakui Siti Suhafzan Sh Ibrahim yang berpendapat sikap ambil tahu perlu tetapi jangan sampai tahap menyibuk. Ini kerana menurutnya, masyarakat sekarang tidak suka kepada orang yang ‘busy body’ dan gemar mengambil tahu perihal orang lain.

“Ambil tahu dan cuba nasihat kalau berani. (Jika melihat kemungkaran), cegah dengan tangan, kalau tak mampu, cegah dengan mulut (kata-kata), kalau tak mampu juga, cegahlah dengan hati,” ujar beliau.

Kamaruddin Ahmad turut menyokong pandangan ini namun, mengakui hakikat bahawa masyarakat sekarang gemar memilih untuk tidak mengendahkan kemungkaran atau kekejaman yang berlaku kononnya tidak mahu menjaga tepi kain orang.

Menurut Putra Iskandar pula, menjaga tepi kain orang lain penting untuk menjaga kemaslahatan masyarakat setempat selain sebagai langkah awal mengelak gelaja tidak sihat menular di kalangan masyarakat.

Jelas Shamsuddin Moner dalam responnya, Islam menegah kita daripada menyiasat-nyiasat dan mengintip-ngintip akan hal keaiban orang. Islam juga mencegah kita daripada menghebahkan keaiban orang lain kepada umum. Menurut beliau, pepatah Melayu ini ada baiknya bertujuan mengharmonikan hidup berjiran.

“Kalau tak betul dengan apa yang dilakukan oleh orang lain maka kita boleh tegur terus kepada orang itu sebab agama itu adalah nasihat ( Addinul nasihah). Yang tak boleh ialah kita menghebahkan keaiban itu kepada orang lain yang tidak berkenaan dengan tujuan untuk memalukannya. Inilah timbulnya pepatah “jangan jaga tepi kain orang”. Tujuannya adalah baik,” jelas beliau.

Ini turut diperakui Professor Madya Dr. Fauzi Deraman, Pensyarah di Jabatan Al-Quran dan Hadis Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya bahawa keperluan menjaga tepi kain orang lain sebagai gambaran struktur hidup bermasyarakat dalam Islam. Beliau menyifatkan masyarakat Islam sejati adalah sentiasa menegur dan memperbetulkan kemungkaran yang dilihatnya.

“Hadis telah menyebut: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Kehidupan ini menurut beliau dapat diumpamakan sebagai sebuah bahtera. Keselamatan bahtera itu sangat tergantung dari tindak-tanduk para penumpang diatasnya.

“Rasulullah s.a.w memberikan gambaran bagaimana seharusnya hidup bersama dalam masyarakat. Rasulullah s.a.w bersabda : “Perumpamaan orang-orang yang menjaga batas-batas Allah s.w.t dengan mereka yang melanggarnya, bagaikan satu kaum yang menaiki sebuah bahtera. Sebahagian mendapat tempat di atas dan sebahagian lagi di bawah. Mereka yang di bawah jika ingin air (terpaksa) melewati orang-orang yang di atas, lalu berkata, “Seandainya kita melubangkan (bahtera ini) untuk mendapatkan air, tentu kita tidak lagi mengganggu orang-orang yang di atas.” Jika orang yang di atas membiarkan keinginan mereka yang di bawah, tentu semua akan binasa. Jika mereka menghalangnya, mereka akan selamat dan selamatlah semuanya.” (Bukhari dan Tarmidzi)”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s