Dia Yang Menggoncang Dunia…

Posted: Julai 29, 2011 in think tank thought

Wanita zaman sekarang, kemampuannya sama dan setaraf seperti lelaki. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Tidak ada pekerjaan yang kaum lelaki mampu laksanakan tidak mampu dibuat oleh wanita. Jika ramai lelaki yang berjaya dimuka bumi ini, nama wanita juga tersenarai. Pendek kata, wanita zaman sekarang bukan lagi seperti wanita dulu-dulu yang sinonim dengan dapur.

Keupayaan Mak cik Awiah Awi, 64 tahun, membuktikan segalanya. Tidak betah untuk bersenggang atau berehat, setiap waktu yang ada dipenuhi sebaik mungkin dengan tugasan yang boleh menambahkan pendapatan sekaligus meringankan beban di bahu sang suami.

Mengakui hakikat setakat mana sahaja gaji suami sebagai anggota tentera yang tidak seberapa itu dapat memenuhi keperluan mereka sekeluarga, Mak Cik Awiah diibaratkan oleh anak-anaknya seramai sembilan orang itu sebagai seorang ibu yang berurat dawai bertulangkan besi kerana betah sahaja melakukan kerja-kerja berat. Seawal dinihari, beliau sudah bekerja keras dari sekecil-kecil usaha sehinggakanlah sebesar-besar kerja seperti mengangkat hasil tanaman berguni-guni banyaknya.

Walaupun sibuk membantu menambah pendapatan keluarga, Mak Cik Awiah tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu dan isteri. Pendidikan anak-anak tidak pernah dipandang enteng walau diri hanya berpendidikan rendah sahaja. Kata-kata penguat semangat dan motivasi sentiasa diungkapkan kepada anak-anak agar kelak mereka berjaya sebagai manusia berguna. Baginya, hanya ilmu pengetahuan yang menjamin masa depan.

Kini, benarlah seperti yang disemat, anak-anak beliau yang kesemuanya lelaki itu telah berjaya menjadi manusia berguna. Tiga orang anaknya, Fauzi, Fadzil, Hisham telah berjaya memperolehi sarjana. Efendi pula sedang menyiapkan tesis sarjananya. Sauadi, Roslan, Fadli pemegang ijazah sarjana muda. Manakala Fattah, pemegang diploma dalam bidang psikiatri. Anak yang bongsu, Farid masih di belajar di peringkat sarjana muda. Mereka kini ada yang menjadi usahawan, jurutera kanan, pengurus, doktor perubatan yang mempunyai klinik sendiri dan pengetua bagi lima buah madrasah tahfiz.

Melihat kepada kejayaan Mak Cik Awiah mendidik anak-anaknya sehingga berjaya menunjukkan betapa kuatnya kuasa usaha dan tawakal kepada Allah dalam melakukan apa jua perkara. Allah s.w.t. telah berjanji dalam kalam-Nya yang bermaksud: “…Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluan) Nya, sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki) Nya, sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu” (Surah at-Thalaq: 2-3)

Manusia disuruh agar sentiasa berusaha dan bertawakal kepada Allah s.w.t. dalam segenap hal ehwal kehidupan seharian. Kita sebagai hamba-Nya wajib bertawakal kerana kita tidak akan dianugerahi walau apapun tanpa keizinan Allah s.w.t. Allah sangat mencintai hamba-Nya yang bertawakal. Hanya Dia sahaja yang akan memberikan jalan keluar serta akan memberikan rezeki yang datang tanpa disangka-sangka. Imam Tirmizi meriwayatkan sabda Rasulullah yang bermaksud, “Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal kamu akan dikurniakan rezeki sebagaimana burung-burung dikurniakan rezeki, berpagi-pagi ia keluar dengan perut kosong dan berpetang-petang ia kembali kekenyangan.”

Sejarah Perang Badar telah membuktikan ketika mana pejuang Muslim hanya berjumlah 313 orang sahaja berjaya menentang tentera Quraisy yang berjumlah seribu orang berbekalkan tawakal dan keimanan kepada Allah. Kisah ini menjadi bekalan dan rujukan kepada kita iaitu dengan tawakal, segala dugaan onak dan duri kehidupan tidak akan dapat melemahkan usaha kita.

Rasulullah s.a.w. juga telah mengajar umatnya sentiasa bersedia dan mengatur selengkapnya sasaran yang ingin dicapai dalam hidup. Apa yang penting, tawakal bukan hanya berserah diri, tetapi harus disertai dengan usaha. Tawakal juga bukan bermaksud berdiam diri dan hanya menadah tangan tanpa perjuangan dan mengharungi jerih payah.

Kejayaan mendidik anak-anak menjadi orang yang berguna adalah apa yang diperoleh Mak Cik Awiah serta suami hasil daripada pengajaran kisah Rasulullah yang membuktikan bahawasanya hasil daripada sikap tawakal dan usaha kepada Allah, ketahanan diri dalam menghadapi pancaroba dan kesulitan hidup akan meningkat.

Kerana itu, Mak Cik Awiah suami isteri sentiasa yakin, hanya usaha dan tawakal kepada Allah sahajalah yang akan memberikan kekuatan kepadanya untuk mengharungi kehidupan. Dan kerana keyakinan itu jugalah beliau telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ibu Mithali kali ke-10.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s