Cepat, Mudah Dan Murah Yang Membawa Padah!

Posted: Julai 29, 2011 in Pencetus minda

Dunia sekarang serba-serbi inginkan sesuatu yang instant dan mudah. Tidak kurang juga cenderung dengan pelbagai benda yang palsu. Cinta palsu, cantik palsu, duit palsu dan kini heboh satu negara tentang jurunikah palsu. Berita dalam media telah melaporkan kejayaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mematahkan kegiatan satu sindiket nikah palsu apabila menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kawasan setinggan di ibu kota. Ketika serbuan dibuat, sepasang kekasih sedang dinikahkan oleh seorang jurunikah palsu. Semuanya gara-gara nikah sindiket.

Dengan kebiasaan dunia kini yang bersifat cepat dan mudah, tidak hairanlah sekiranya modus operandi nikah sindiket yang terkenal dengan amalan cepat, mudah dan murah menjadi tarikan utama ramai pasangan yang terdesak, mengambil pendekatan ‘nikah segera’ dan ‘nikah sempadan’ di dalam mahupun di negara jiran terutamanya Thailand.

Proses penikahan cukup ringkas. Tidak sampai setengah jam, pendekatan ‘nikah segera’ dan ‘nikah sempadan’ ini menjadi jalan mudah bagi lelaki yang ingin berpoligami tetapi tidak mendapat keizinan sang isteri, pasangan yang dalam dilema dengan hubungan cinta terlarang dan tidak mendapat keizinan wali atau restu keluarga sehingga lebih parah lagi telah mengandung sebelum ikatan disahkan.

Bila nafsu menguasai akal, peraturan yang ada dikatakan birokrasi dan menyusahkan. Justeru, akibat terdesak, orang yang mempunyai latarbelakang pendidikan tinggi juga terjebak dalam nikah sindiket ini tanpa memikirkan kesannya dari aspek moral, perundangan dan sosial selain sanggup membelakangkan keluarga, memberi aib kepada ibu bapa dan merosakkan nama baik keluarga.

Hal inilah yang telah menarik menarik minat sekumpulan pensyarah daripada Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk mencari dan mengenalpasti faktor penyebab kepada wujudnya nikah sindiket ini dan seterusnya mencari kaedah terbaik untuk mengurangkan operasi nikah sindiket ini.

Hakikatnya, ikatan perkahwinan dalam pandangan Islam adalah cantuman dua hati yang suci bagi meraikan fitrah kejadian manusia bagi mereka yang berkemampuan dan cukup syarat-syarat yang ditetapkan. Selepas akad, barulah hak dan tanggungjawab kedua-dua pasangan dapat ditunaikan. Hak isteri adalah tanggungjawab suami untuk tunaikan dan hak suami menjadi tanggungjawab isteri untuk dilunaskan. Hak anak yang lahir selepas ikatan itu pula menjadi tanggungjawab ayah dan ibu.

Memanglah pada zaman Rasulullah s.a.w perkahwinan itu begitu mudah, tiada pendaftaran, sijil nikah dan sebagainya. Namun, menerusi penemuan yang dikumpul mendapati pasangan-pasang yang terdesak ini melihat peraturan pendaftaran pernikahan, sijil dan sebagainya itu sebagai menyusahkan tanpa mengambil kira tujuannya  yang tidak lain hanyalah untuk menjaga kesyumulan agama dan keturunan.

Maka tidak hairanlah, tindakan tanpa berfikir ini akhirnya akan hanya mendatangkan masalah yang bertimpa apabila ikatan pernikahan yang dimeterai tidak dapat didaftarkan kerana surat perakuan nikah diragui kesahihannya. Bertitik tolak daripada itu, siasatan terperinci terpaksa dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan kepastian sama ada perkahwinan tersebut sah atau tidak. Jika didapati perkahwinan itu sah, maka pendaftaran akan dijalankan dan denda akan dikenakan kepada pasangan terlibat. Jika sebaliknya, perintah ‘farak’ iaitu pengasingan antara suami isteri terlibat akan dikeluarkan. Pasangan ini akan hanya disatukan semula melalui akad nikah baru.

Maka bermulalah rentetan masalah demi masalah yang akan dihadapi pasangan yang terburu-buru ini dek kerana tidak dapat mengawal nafsu dan berfikir secara matang. Jelas kumpulan penyelidik yang terdiri daripada empat orang pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang iaitu Intan Nadia Ghulam Khan, Nabilah Yusof, Haliza A. Shukor dan Hasnizam Hashim ini, bermula dengan kegagalan mendaftarkan perkahwinan, pasangan akan berdepan dengan kesulitan yang boleh mendatangkan implikasi yang lebih buruk pada masa hadapan. Bayangkan sekiranya pasangan mengambil langkah tidak mendaftarkan perkahwinan dan perkahwinan itu tidak sah. Ia akan menghancurkan institusi kekeluargaan dan mengkucar-kacirkan nasab keturunan.

Bukan itu sahaja, tambah mereka lagi, pasangan juga akan berdepan dengan kesulitan untuk mendaftarkan kelahiran dan pendaftaran persekolahan anak-anak memandangkan sijil nikah adalah surat wajib yang diperlukan untuk pendaftaran sekolah. Lebih parah lagi, perkahwinan yang tidak didaftarkan secara sah juga akan menghalang sang isteri menuntut sebarang hak daripada suaminya kerana tiada rekod pendaftaran perkahwinan antara mereka jika berlaku penceraian. Situasi ini dikhuatiri akan hanya meningkatkan kadar penceraian dan melahirkan kaum lelaki yang tidak bertanggungjawab.

“Semuanya berpunca daripada salah faham masyarakat terhadap peruntukan undang-undang sedia ada yang terpakai di Malaysia. Pada mereka, (bagi kes poligami) klausa yang menyebut ‘perlu mendapat keizinan daripada isteri pertama terlebih dahulu’ itu adalah penamat bagi impian mereka untuk berpoligami.

“Tetapi mereka silap bahawa apa yang penting adalah kehadiran isteri pertama di mahkamah bukannya keizinan daripada mereka. Ini kerana yang mengizinkan atau tidak adalah tertakluk kepada keputusan dan budi bicara pihak mahkamah bukannya pihak isteri pertama,” jelas mereka.

Begitu juga dengan kes-kes nikah sindiket yang lain. Data yang dikumpul juga mendapati salah faham masyarakat terhadap peruntukan undang-undang sedia ada menjadi antara faktor penyumbang walau tidak dinafikan peruntukan sedia yang tidak seragam, kekurangan pegawai di jabatan tertentu dan kerenah birokrasi juga menjadi antara penyumbang. Faktor media massa sebagai contoh iklan nikah sindiket yang tumbuh bak cendawan selepas hujan di dalam laman sesawang juga adalah antara punca wujudnya sindiket ini. Faktor lain termasuklah perkahwinan antara warga asing.

Di sinilah perlunya kerjasama erat semua pihak daripada masyarakat marhean sehinggalah pihak berwajib terutamanya badan-badan agama yang terlibat duduk sama-sama mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan ini.

Antara yang boleh diketengahkan adalah memperketatkan peraturan dan penguatkuasaan, serta mewujudkan jaringan bank data di antara badan-badan agama dan pihak berkuasa berkaitan dalam dan di luar negara terutama negara-negara jiran yang menjadi tumpuan nikah sindiket. Jaringan bank data ini berfungsi menyimpan segala data dan maklumat pasangan yang berkahwin di dalam mahupun luar negara dan boleh diakses oleh badan-badan terlibat sekiranya terdapat sebarang keraguan dalam rekod perkahwinan satu-satu pasangan. Masyarakat juga perlu lebih ‘menjaga tepi kain orang’ dengan melaporkan atau memanjangkan nikah sindiket yang berlaku kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Apa yang penting, jelas mereka, penyelidikan yang dijangka siap pada Januari ini dapat dijadikan panduan bagi membendung nikah sindiket ini daripada terus mempermain-mainkan kesyumulan agama dan ikatan suci dua hati demi mengaut keuntungan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s