Bahaya Islam Liberal

Posted: Julai 29, 2011 in think tank thought

Masyarakat Islam ialah masyarakat yang menterjemahkan tuntutan kalimah tauhid secara menyeluruh dalam kehidupan mereka. Setiap cabang dan bidang kehidupan masyarakat Islam dikuasai dan diawasi sepenuhnya oleh asas tauhid yang kukuh. Setiap permasalahan hidupnya di bina di atas perhambaan atau pengabdian kepada Allah s.w.t semata-mata.

Apabila manusia membebaskan hatinya daripada beriman kepada yang lain kecuali kepada Allah Yang Maha Esa serta berpegang teguh dengannya, manusia akan bebas daripada sebarang kongkongan ideologi lain. Pemikirannya hanya tertumpu kepada Allah s.w.t. Lenyaplah sebarang kekeliruan dan kekacauan yang menyesatkan manusia. Dia bebas daripada sebarang bentuk kemungkaran. Dia juga bebas daripada takut kepada kuasa-kuasa di dunia yang cuba menghalangnya untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t semata-mata.

Namun, praktik hidup umat Islam kini sedang menolak keterangan al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah. Pelbagai hujahan menyesatkan dan mengelirukan dikeluarkan. Mereka menolak kekuasaan, kedaulatan dan janji-janji Allah s.w.t., menolak cara hidup yang diredai Allah s.w.t. untuk difahami, disedari, diyakini dan dilaksanakan.

Islam sebagai cara hidup turut diperdagangkan di dalam hati orang-orang yang mengaku beriman. Rasa cinta kepada Islam sebagai cara hidup yang Allah redai sudah tiada. Rasa keperluan kepada pembentukan masyarakat Islam juga tiada. Yang wujud ialah realiti mempertikaikan kehendak-kehendak Allah s.w.t. Ini bererti mempertikaikan ketaatan yang Islam kehendaki, mempertikaikan nilai-nilai syarak, mempertikaikan akhlak dan mempertikaikan keperibadian Islam.

 

Islam Liberal

Berbagai-bagai penyakit menyerang jiwa, fikiran dan tingkah laku umat seolah Islam suatu barang dagangan. Fahaman bebas (liberal) misalnya mendakwa al-Quran itu adalah hasil daripada budaya dan sejarah dan tidak boleh diangkat sebagai panduan hidup sepanjang zaman. Senario ini jelas Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (ISTAC), Dr. Muhammad Uthman El Muhammady, adalah suatu andaian yang sangat berbahaya sehinggakan ada cubaan menyingkirkan ibadah solat sebagai suatu kewajipan umat beragama. Berleluasanya fahaman ini akuinya berpunca daripada kerangka fikiran Ahlul Sunnah yang tidak mempengaruhi kalbu dan akal secara mendalam sehingga mengeluarkan anggapan bahawa Rasulullah s.a.w adalah manusia biasa.

Namun bagi beliau, hujahnya sudah cukup jelas, masakan Baginda seorang manusia biasa kerana manusia biasa tidak memiliki mukjizat dan tidak melalui pengalaman Israk Mikraj sepertimana yang dialami Baginda s.a.w. Mukjizat jelas Dr Muhammad Uthman adalah peristiwa luarbiasa yang Allah s.w.t izinkan berlaku kepada Rasul-rasul pilihan-Nya untuk menunjukkan bukti kerasulan tanda sebarang bantahan. Pengalaman ini jelasnya tidak mungkin dapat dialami manusia biasa, walaupun diungkapkan dengan kata-kata yang diulang beribu kali. Ini jelas menunjukkan betapa Islam adalah nizam (sistem hidup) yang kamil (lengkap) dan syamil (menyeluruh) dan terbina di atas asas yang kukuh.

Golongan Islam Liberal juga menurut beliau akan terus berusaha mencapai matlamatnya menjadikan umat manusia supaya tidak lagi berpegang kepada hukum Tuhan. Charles Kurzman, di dalam bukunya Liberal Islam, A Sourcebook, menyebut enam gagasan yang dipakai sebagai kayu pengukur pemikiran Islam Liberal iaitu: (1). melawan teokrasi, iaitu idea-idea yang hendak mendirikan negara Islam; (2). mendukung gagasan demokrasi; (3). membela hak-hak perempuan; (4) membela hak-hak non-Muslim; (5) membela kebebasan berfikir; dan (6) membela gagasan kemajuan. Siapa sahaja, menurut Kurzman, yang membela salah satu dari enam gagasan di atas, adalah seorang Islam Liberal.

Selain itu, Dr Muhammad Uthman turut menyenaraikan perkara yang menjadi pendirian aliran ini iaitu antaranya mempercayai bahawa hukum Islam adalah hasil fikiran manusia biasa yang dipengaruhi adat dan tamadun Kristian serta Yahudi. Mereka juga menekankan bahawa penafsiran al-Quran perlu menggunakan cara baru yang moden dan tidak mengikut metodologi yang ada. Mereka (golongan Islam Liberal) mengandaikan bahawa itulah sikap yang matang dalam beragama dan orang yang tidak berfikir seperti itu dianggap tidak matang. Ini bercanggah dengan akidah Ahlul-Sunnah yang mengajarkan bahawa terdapat ajaran yang mutlak dan tidak berubah-ubah seperti tauhid, wahyu, kenabian, dan akhirat, ada bentuk-bentuk ibadat yang tetap dan pasti, ada yang baik dan buruk yang tetap dan tentu. Pendirian ini juga berlawanan dengan sebagaimana tuduhan orientalis sebelum ini iaitu semasa pasca-modenisme yang mengajarkan semuanya tidak tetap, mutlak dan menentu, nilai-nilai baik dan buruk tidak boleh dipakai atau dipanggil sebagai penolakan wacana pemikiran agung.

Sesungguhnya, kesesatan nyata yang ditunjukkan ini tegas beliau, direka hanya untuk menyesuaikan agama dengan kehidupan Barat semata iaitu menuju demokrasi yang diadaptasikan dengan fahaman mereka. Yang mana matlamat akhirnya adalah menjadikan manusia jagat tidak lagi berpegang kepada hukum Tuhan – yang ada hanyalah tafsiran akal manusia.

 

Kesan Buruk Islam Liberal

Mereka yang mendukung fahaman Islam Liberal ini juga cuba memaparkan fahaman mereka untuk diserap kepada masyarakat lain. Ini menurut Dr Muhammad Uthman akan membawa implikasi yang buruk bukan sahaja kepada agama tetapi juga kepada umat masyarakat kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. Sedangkan kita sedia maklum bahawa bila datangnya Islam disisi Allah, maka sistem kepercayaan yang lain walaupun yang berasal pada mulanya dari agama langit  menjadi terbatal.

Kesannya akan wujud kacau-bilau dari segi akhlak kerana sifat baik dan buruk yang diajar dalam al-Quran dan Sunnah menjadi teralih dan berubah dengan digantikan dengan cara berfikir – boleh jadi yang baik kepada seseorang, tidak baik kepada lain. Sedangkan Islam mengajar manusia beramal dengan sifat-sifat mulia yang berbentuk sarwajagat.

Selain daripada kekacauan akhlak, jati diri dan identiti Islam turut akan terhapus. Kerana jika semua agama dikatakan benar, keyakinan manusia terhadap kebenaran tiada sebarang erti lagi. Satu lagi bahaya daripada Islam Liberal ini menurut beliau adalah keruntuhan perpaduan dan persaudaraan Islam. Islam Liberal jika dibiarkan, tegas beliau akan menimbulkan pergeseran pendapat dan kesan daripada itu akan timbul pergeseran di antara ulul amri dan masyarakat sehingga akhirnya melemahkan kekuatan agama, negara dan masyarakat itu sendiri. Walhal dalam Islam, ulul amri dan masyarakat harus bekerjasama dalam kebaikan dan wajib ditaati. Dan jika ada perkara-perkara yang perlu diperbetulkan, jelasnya perlulah menggunakan kaedah ‘addin an nasihah’ iaitu pendapat itu disalurkan pada saluran yang betul dan beradab bukan dengan cara berpiket di tepi jalan atau ‘anti-establishment’ iaitu budaya menentang autoriti (pemimpin). Dalam Islam ini adalah haram. Autoriti hanya boleh ditentang jika benar-benar kafir secara zahir.

Budaya ini yang beliau gelar sebagai budaya kebiadaban intelektual dan rohani adalah perbuatan melanggar kaedah ajaran intelektual Islam arus perdana dan juga melanggar kewajipan rohani dalam agama. Tegasnya, masyarakat kini terpengaruh dengan ajaran liberal dari luar yang kemudiannya cuba menyebut ayat-ayat al-Quran dan Hadis seolah-olah ayat-ayat tersebut sesuai dengan aliran liberal dari luar itu. Jelas bahawa ini adalah salah. Sepatutnya jelas beliau, kita perlu melihat al-Quran dan Hadis itu dalam konteks seluruh huraian ilmu Islam itu dengan betul. Tidak boleh ‘cabut-cabut’ keluar ayat al-Quran dan Hadis itu daripada rangka keseluruhan ilmu Islam dan kemudian menggunakannya untuk menyatakan fikiran dari luar itu betul. Kecuali fikiran dari luar itu benar-benar diakui kebenarannya.

Ini kerana sesuai dengan tujuannya, Islam Liberal mahu melihat umat Islam tiada keistimewaan dan sama dengan umat agama lain. Dalam bahasa mudah bermaksud tiada khairu ummatan. Sedangkan Allah telah menyatakan bahawa umat Islam adalah umat terbaik di antara umat-umat lain di dunia. Jika ada kelemahanpun hanya kelemahan peribadi sahaja bukannya kelemahan Islam. Hukum Allah tidak berubah sampai bila-bila. Misalnya hukum zina yang diputuskan haram akan kekal dengan huhkum haram sampai bila-bila. Malangnya sikap meremeh-remehkan hukum Allah telah ditunjukkan dengan isu-isu sosial seperti pembuangan bayi yang berleluasa kini.

Islam Liberal di dunia Melayu jelas Dr Muhammad Uthman telah melanggar sistem ilmu yang juga jalan orang Mukmin. Jika aliran ini berkembang, sistem ilmu Ahlul Sunnah akan terancam. Jika keadaan ini terjadi, urusan-urusan pentadbiran berkaitan agama seperti nikah kahwin dan pembahagian harta pusaka akan menjadi kacau-bilau. Bila ini berlaku, tegasnya akan mengakibatkan kekacauan dalam sistem tadbir dan perpaduan masyarakat.

Kita beriman dengan Allah dengan hati. Tidak wujud sebarang istilah dalam diri manusia yang digelar titik Tuhan. Oleh itu, beliau menyarankan agar umat Islam kembali kepada istilah kita tanpa perlu meminjam dari Barat. Kerana jelas beliau kitasedia maklum bahawa tamadun Barat tiada kebenaran dalam erti yang sebenar kecuali sains dan teknologi. Tiada kebenaran dalam erti rohani, dalam erti kata lain, pengertian akal yang sejahtera iaitu akal yang mampu beroperasi dengan baik tanpa diganggu oleh nafsu dan tiada sifat-sifat yang tidak elok yang menguasainya.

Tegasnya, umat Islam perlu berpegang dengan al-Quran, Sunnah Rasulullah dan ijmak ulamak. Untuk ini, beliau mengangkat pesanan Imam Ghazali mengenai psikologi rohani dalam salah satu kitabnya yang menyebut: “Apabila sesuatu berlaku ke atas diri kamu, dalam batin kamu, hendaklah kamu guna tiga neraca. Yang pertama, hendaklah kamu rujuk kepada syariat – pertanyaan sama ada betul atau tidak – jika tidak betul, berpindahlah kepada neraca kedua iaitu menerusi kehidupan orang-orang soleh. Dan neraca seterusnya adalah nafsu. Allah menyebut dalam al-Quran bahawa nafsu menyuruh manusia untuk melakukan perkara yang mungkar kecuali mereka yang diberikan rahmat oleh Allah s.w.t.”

Oleh itu, terbuktilah bahawa sistem Islam sudah cukup untuk memandu kehidupan manusia. Perkara yang bersangkut dengan kehidupan batin, tambahnya perlu merujuk kepada sistem Ahlul Sunnah. Begitu juga dengan kepentingan musyawarah. Ini kerana agama Islam itu sendiri adalah nasihat ini termasuklah bagi menjaga hubungan antara masyarakat dan pemimpin.

Menjawab penemuan ilmuan Barat mengenai teori mengosongkan fikiran dan minda untuk mencapai kebenaran hakiki, beliau dengan tegas menegah penemuan itu yang disifatkannya hanya mengundang unsur syaitan. Jelas beliau, Islam tidak pernah menggalakkan umatnya mengosongkan fikiran kerana umat Islam telah diajar supaya selalu mengingati Allah dalam semua keadaan kerana jika minda dan fikiran dikosongkan, akan menyebabkan unsur syaitan akan masuk. Kita juga digalakkan sentiasa membasahkan lidah dengan zikir. Amalan mengosongkan minda mungkin perlu ditukarkan dengan amalan zikrullah.

Menyentuh tentang isu sifat-sifat Tuhan, beliau menegaskan bahawa sesungguhnya sifat-sifat Tuhan tidak ada pada diri kita melainkan sifat-sifat itu diambil sebagai pengajaran dan panduan. Beliau juga memberi contoh, jika Allah itu penyayang, kita juga harus penyayang. Begitu juga jika Allah adil, kita perlu juga adil. Namun beliau menegaskan bahawa hal ini tidak bermakna sifat-sifat Allah ada pada kita. Ini kerana sifat Allah ada pada Allah, sifat kita ada pada kita. Tetapi pengajaran daripada makna atau erti-erti nama itu yang perlu kita ambil sebagai panduan hidup. Jika Allah Maha Halus Budi Bahasa-Nya, kita juga perlu halus budi bahasa kita. Tidak mungkin sifat Allah ada pada kita kerana sifat kita hanya sebagai hamba-Nya.

 

kesimpulan

Islam merupakan satu landasan hidup. Beramal dengan Islam bererti melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam, melahirkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup (manhaj) yang dibawakan oleh Islam, menegakkan sebuah daulah atau pemerintahan yang melaksanakan Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.

Komen-komen
  1. I hardly leave responses, however i did a few searching and wound up here Bahaya Islam Liberal | Think Tank.

    And I actually do have a few questions for you if it’s allright. Could it be simply me or does it appear like a few of the comments come across like they are written by brain dead folks?😛 And, if you are posting on additional online sites, I’d like to keep
    up with anything fresh you have to post. Could you make a list of every one of
    all your communal pages like your linkedin profile, Facebook page or twitter feed?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s