“Tanggalkan ‘Jaket Kepartian,’ Sarungkan ‘Jaket Ahlul Sunnah Wal Jamaah”

Posted: Julai 29, 2011 in think tank thought

Sejarah telah tercatat bahawa usaha menyatukan orang Melayu secara politik, selalu menemui jalan buntu lantaran di dalamnya ada kekuatan asing yang harus dihadapi. Perbincangan dan penemuan bagi merungkainya juga sering kali menghasilkan resolusi yang sukar diimplementasikan. Kesatuan dan perpaduan kaum Melayu kelihatan semakin hari semakin menjarak titik pertemuannya.

Khilaf (perbezaan) adalah perkara tabii bagi manusia. Orang Melayu boleh berbeza ideologi politik, ia bukan malapetaka. Hal ini kerana sesebuah parti politik hanya mewakili gaya pendekatan dan pemikiran. Apa yang cukup menarik, kepelbagaian idealisme politik ini jika dimainkan di atas landasan yang betul mampu mencipta peluang dan sumbangan yang bermanfaat sekaligus akan menggerakkan perpaduan yang lebih baik. Malang, kerana realitinya ia tidak berlaku. Apa yang berlaku sekarang ini hanyalah sebuah malapetaka yang menyaksikan perbalahan sesama Melayu.

Caci maki dan pelbagai gelaran dihamburkan tanpa segan silu secara terbuka. Tempias budaya pemikiran yang tumpul ini hanya menyebabkan berlakunya masalah politik yang berlandaskan perkauman yang mana kemudiannya dijadikan modal politik yang ampuh dan mudah menarik sokongan. Melayu berselisih tentang isu yang tidak sepatutnya kerana perkauman.

“Kita perlu berdamai dan saling rukun.” Peringatan ini ditekankan oleh Prof. Dr. H. Sudirman M. Johan, Guru Besar Hukum Islam, Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim Riau, Indonesia ketika membicarakan tentang penyatuan dan perpaduan orang Melayu di sini baru-baru ini.

Tegas beliau, sebarang persoalan siasah atau persoalan politik hanyalah bahagian kecil daripada perkembangan Islam itu sendiri. Justeru, unsur terpenting adalah kesedaran untuk tidak menjadikan persoalan politik sebagai unsur pemecah hubungan silaturrahim sesama umat Islam.

“Orang boleh berbeza pendapat tentang persoalan-persoalan politik tetapi silaturrahim sesama rumpun Melayu harus disatukan kerana kita memegang amanah generasi sekarang dan generasi akan datang,” ujarnya.

Hakikatnya, kesepakatan, seperti juga perbezaan adalah suatu kepelbagaian yang lazim dalam kehidupan sehari-hari manusia. Sedangkan kepelbagaian itu merupakan satu fitrah yang merupakan cabangan. Bak kata orang,” biar pun banyak persatuan, namun satu kesatuan”.

Melayu dan Islam

Sesungguhnya yang menjadi tali pengikat orang Melayu adalah agama Islam. Hakikatnya, Bangsa Melayu merupakan penganut Islam terbesar di dunia. Bagi orang Melayu, Islam adalah segalanya. Ternyata apabila Perlembagaan Malaysia mentakrifkan orang Melayu sebagai seseorang yang menganut agama Islam, lazim berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu; sebenarnya bukanlah pentakrifan yang dipaksa-paksa atau diada-adakan tanpa asas. Meskipun perlembagaan menyebut tiga ciri yang mendefinisikan keMelayuan, tetapi yang menjadi teras sebenarnya adalah agama Islam.

“Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah”. Agama anutan orang Melayu yang memberikan mereka cara hidup adalah din al-Islam, bahasa harian untuk berkomunikasi dan mengungkapkan pemikiran mereka adalah bahasa (Melayu) Islam, dan adat yang melingkari kehidupan mereka sehari-hari (hidup dikandung adat) adalah adat Islami – bersendi (hukum) syarak, berdasarkan kitabullah (al-Quran).

“Melihat bagaimana Islam menyatu dengan budaya Melayu maka jadilah interaksi nilai-nilai Islam dirumpun Melayu ini mempunyai karektor tersendiri iaitu menyintai kedamaian, menghindari konflik dan tentangan. Ini Islam di nusantara. Kesedaran ini tidak bisa tumbuh tanpa ada pencerahan-pencerahan sesama kita – perlu ada pemahaman yang baik tentang Islam,” jelas Prof. Dr. H. Sudirman.

Mereka yang bernama Melayu perlu sedar bahawa segala gerak geri dan pekerjaan yang dilakukan seharusnya dipusatkan hanya untuk mencari keredaan Allah SWT, bukannya untuk kepentingan peribadi mahupun puak. Bagi mereka yang lahir dengan karektor mencintai kedamaian dan sering menghindari konflik dan tentangan ini seharusnya mencari jalan ke arah penyatuan dengan membuka luas pintu perbincangan. Perbincangan masalah umat Melayu Islam di negara ini tidak boleh dikhususkan hanya kepada isu politik sahaja. Sebaliknya perlu diperluaskan kepada semua bidang seperti agama, pendidikan, ekonomi, perundangan, moral dan lain-lain lagi.

Dalam usaha mencari titik kesatuan umat Melayu, beliau berpendapat apa yang diperlukan adalah kesedaran untuk berdamai selain keperluan kepada pencerdasan rasional tentang ajaran-ajaran Islam dan kecerdasan spiritual keagamaan dengan mengenal erti Islam yang sebenar.

Jelas beliau, kita harus bersyukur kerana para umarak dan ulama Melayu terdahulu telah mencerahkan bagaimana Melayu adalah merupakan penganut Islam – Islam adalah agama bagi umat Melayu.

“Ini perlu dipertahankan dan perlu dipupuk terus sehingga subur dalam kehidupan masyarakat Melayu. Jangan pisahkan antara budaya dengan Islam, jangan dipisahkan Islam dengan nilai-nilai norma Melayu yang hidup kerana ia sudah
menyatu.

“Oleh sebab itu, hendaknya para ulama dan para pemimpin bersatu melihatnya – melihat Islam dalam perspektif Melayu – melihat Melayu dalam perspektif Islam. Ada timbal baliknya seperti itu. Kalau ini bisa diangkat, ertinya kita bisa menyatukan bangsa kita – bangsa Melayu sebagai penganut utama Islam di nusantara,” jelasnya lagi.

Syarat Yang Perlu Dipenuhi

Syarat utama perpaduan adalah semua pihak harus ikhlas. Keikhlasan kerana Allah SWT; keikhlasan yang berpaksikan iman kepada Allah Yang Esa. Amat buruk dan keji jika seruan perpaduan disulami dengan niat meretakkan.
Sudah tiba masanya kita melihat dengan mata helang dan melatih minda untuk berfikir di luar kotak. Kita perlu menanamkan azam untuk melihat orang Melayu bersatu dan memikirkan cara bagaimana memperkukuhkan kekuatan dari pelbagai aspek.

Apa yang paling utama adalah wujudnya suasana harmoni dan saling hormat menghormati peranan masing-masing sama ada sebagai parti pemerintah, parti pembangkang atau badan bukan kerajaan (NGO).

Mengulas lanjut mengenai perbezaan pandangan dan pendapat, Prof. Dr. H. Sudirman bersetuju bahawa dalam membangun masyarakat Islam, dengan rencam kehidupan realiti sekarang perlu disedari bahawa apabila terjadi perbezaan antara satu pihak dengan pihak lain, apa yang perlu dilakukan adalah kembali kepada Allah; kembali kepada al-Quran dan Sunnah.

Oleh sebab itu tegasnya, pihak manapun dalam masyarakat nusantara ini, tidak kira apa juga fahamannya sama ada yang berfahaman kepartian ataupun radikal misalnya, perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah.

“Al-Quran dan Sunnah mengajar kita agar bersatu. Perbezaan itu jangan dilanjutkan, kembali kepada sumber ajaran Islam. Tidak ada suatu yang cacat dan aib jika kembali kepada al-Quran dan Sunnah dan jangan sekali-kali mencari alternatif lain.”

Tegas beliau, sebagai orang Melayu, kita jelas mempunyai dasar yang kuat iaitu al-Quran dan Sunnah.

Bukankah ini yang diperingatkan-Nya dalam Surah an-Nisa ayat 59 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “uli’l Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (al-Quran dan sunnah ) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih bagi kamu, dan lebih elok pula kesudahannya.”

“Rukun iman kita jelas, sumber ajaran kita juga jelas iaitu al-Quran dan Sunnah. Kembali kepada Islam kerana saya yakin dan percaya, konflik-konflik yang ada bisa lebur dan bisa bersatu kembali,” tambahnya lagi.

Saranan Mencapai Penyatuan

Sebelum menikmati era ketamadunannya yang unggul, Islam telah mengalami zaman kemajuan dan kemunduran. Kemajuan yang dicapai dengan perkembangan Islam itu sendiri menyaksikan pelbagai tentangan tanpa mengira tentangan daripada pihak luar mahupun dalam. Tentangan yang dihadapi tidak terhitung banyaknya.

Namun, kewujudan bahaya tentangan dari pihak dalaman inilah yang perlu ditakuti. Ibarat gunting dalam lipatan, tentangan itu adalah bibit-bibit konflik yang harus dihindari.

“Perbezaan fahaman masalah khilafiyah adalah dibolehkan dengan syarat tidak lari daripada prinsip dan dasar kita sebagai Islam; Muslim sunni. Kita biasa menerima tentangan – dari zaman Rasulullah SAW lagi – dalam era globalisasi banyak tentangan dari pelbagai sudut; tetapi disinilah kebijaksanaan pemimpin umat dan para ulama,” jelas beliau.

Apa yang penting jelasnya lagi adalah para pemimpin dan ulama perlu berganding bahu dan bersatu atas nama Islam sehingga menjadi tauladan kepada masyarakat. Mereka juga dianjurkan supaya menyampaikan sebarang perbezaan fahaman dan prinsip secara hikmah dan beradab. Selain itu, persoalan akidah tidak seharusnya dicampur adukkan.

“Persoalan asas Islam jangan diusik. Pinggirkan persoalan yang kecil (furu’) dan tanamkan sesama umat tidak boleh putus silaturrahim, walau ada perbezaan pendapat, harus kembali kepada silaturrahim,” ujarnya lagi.

Prof. Dr. H. Sudirman turut menyarankan agar diadakan sesi dialog, istikosah dan islah secara nasional tanpa mengira fahaman politik dengan fokus kembali menyedari diri tentang ajaran Islam yang mana secara tidak langsung dapat menguatkan ikatan silaturrahim sesama umat Melayu.

“Melalui majlis dialog dan istikosah ini, apa yang diharapkan adalah agar perbincangan dapat dilakukan supaya diakhirnya nanti kita dapat kembali menyatakan bahawa kita sebagai orang Muslim dan Melayu yang ingin maju ke hadapan. Kita mahu menyingkirkan semua persoalan kecil dan mahu memperkuatkan ikatan silaturrahim selain menyatakan penolakan total kepada sebarang konflik pertentangan.

“Semua ini disaksikan oleh Allah. Justeru, andai ada yang menghalang niat baik ini, hendaklah kita mendekati dan memberikan penerangan tanpa jemu. Jangan kita memberi gelaran yag buruk kepada mereka, gunakan pendekatan ahlul sunnah wal jamaah. Jangan berputus asa mendatangi mereka.”

Namun, apa yang lebih penting, pesan beliau:

Tanggalkan ‘jaket kepartian’ dan sarungkan ‘jaket ahlul sunnah wal jamaah.”

Wallahua’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s