Dia yang Bergelar Wanita

Posted: September 8, 2008 in think tank thought
Tags: , , , ,

DIA tidak pernah lupa asal-usul. Katanya, sebagai wanita atau orang yang dilahirkan di luar Amerika, anda harus menjadi lebih pintar daripada orang lain.

“Anda harus bekerja keras untuk berjaya di negara ini. Jika anda mahu mencapai tahap tertinggi dalam sesebuah syarikat, ia hanya boleh menjadi kenyataan di Amerika,” katanya.

Wanita yang senantiasa memakai sari sewaktu menghadiri majlis syarikatnya itu senantiasa teguh dengan prinsip ‘jadilah diri sendiri’.


Dia yang lahir di Chennai, India ini telah menghabiskan tempoh 23 tahun usianya di tanah tumpah darahnya itu. kendatipun begitu, dia berbangga kerana dengan tempoh tersebut nilai murni yang dipupuk banyak mencaturkan kejayaannya.


Kejayaannya bukan kecil kerana dia, yang bernama Indra K. Nooyi, adalah Ketua Pegawai Eksekutif PepsiCo semenjak 1 Oktober 2006.


……………………………….

Dia memegang gelaran antara orang terkaya China. Dengan jumlah kekayaan US$3.4 billion, saudagar kertas ini mengalahkan nama-nama wanita ulung dunia lain seperti Oprah Winfrey (US$1.4 billion) dan J.K.Rowling (US$1 billion).


Dia yang bernama Zhang Yin ini merupakan pemilik Nine Dragons Industries Co. Ltd, syarikat kertas utama China.


……………………………….

Dia adalah wanita berketurunan Afrika Amerika yang sangat berpengaruh di dunia. Bekas profesor sains politik di Universiti Stanford ini merupakan pelopor transformasi diplomasi negara-negara Timur Tengah.


Memegang jawatan penting sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat, dia, anak tunggal seorang paderi yang bernama Condoleezza Rice ini, senantiasa diiktiraf sebagai wanita paling berkuasa dunia.


……………………………….

Dia merupakan anak kepada tokoh ulung negara. Dia juga dilihat sebagai antara individu yang berpengaruh di Malaysia. Kebolehannya dalam dunia kewangan dan ekonomi telah mengangkatnya sebagai wanita pertama menjawat jawatan Gabenor Bank Negara.


Gabenor Bank Negara Malaysia yang ketujuh ini adalah Y.M. Tan Sri Dato´ Ungku Dr. Zeti Akhtar binti Ungku Abdul Aziz.


……………………………….

Tokoh-tokoh di atas merupakan antara sekelumit contoh kegigihan dan kejayaan wanita di dalam pelbagai lapangan kerjaya. Kejayaan dan keupayaan wanita-wanita unggul ini sememangnya tidak dapat disangkal dengan kecemerlangan mereka yang menyerlah dalam pembangunan negara.


Penglibatan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara adalah merupakan aset penting bagi negara. Mengiktiraf peranan dan penglibatan kaum wanita dilihat sebagai suatu usaha positif dalam meletakkan kedudukan wanita setanding dengan kaum lelaki.

Islam melihat peranan wanita setanding dengan kaum lelaki. Islam juga tidak pernah menghalang wanita untuk berbakti dan mencurahkan kebolehan sekiranya ia dapat memberikan kesejahteraan dan kemaslahatan keluarga, masyarakat dan negara.

Malahan Islam menganggap pekerjaan yang dilakukan oleh wanita atau lelaki merupakan suatu ibadah selagi dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tidak terkeluar dari landasan dan peraturan Islam.


Sirah Islam telah melahirkan ratusan tokoh wanita Islam unggul yang tidak kurang peranan dan kecemerlangannya di dalam mencorak peradaban tamadun Islam.

Kehebatan wanita telah diperakui dan dicatat bersama tokoh-tokoh Islam lain dalam lipatan sejarah. Nama mereka disebut dengan rasa bangga kerana pencapaian serta sumbangan yang sangat bererti dan bermakna bagi setiap Muslim.


Seperti mana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia; mereka itu ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah s.a.w. dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda” (Riwayat Bukhari).

Sejarah menggambarkan Asiah sebagai suatu simbol keimanan yang jitu kepada Allah yang menyelusuri bahtera kehidupan bersama-sama suaminya, Firaun yang memusuhi Allah.

Maryam digambarkan sebagai simbol wanita yang tinggi darjat ketakwaannya kepada Allah serta mampu memelihara kesucian dan kehormatan diri walau dihujani dengan fitnah yang maha hebat.


Khadijah pula adalah simbol kesetiaan kepada suami tercinta dalam menegakkan kebenaran agama. Sanggup berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah.


Manakala Fatimah digambarkan sebagai simbol wanita solehah yang lengkap iaitu anak yang soleh dan taat kepada ayahandanya; Rasulullah s.a.w., isteri yang setia dan taat kepada suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan anak-anaknya.

Jelas sekali, masa dan waktu telah membuktikan segalanya mengenai kehebatan dan kecemerlangan wanita sejak zaman berzaman. Segala yang dikecapi bukanlah suatu yang mustahil kerana sejarah telah membuktikannya.


Mungkin ada benar pepatah Melayu mengatakan ‘Tangan yang menghayun buaian juga mampu menggoncangkan dunia’. Itulah senario sebenar wanita-wanita pada hari ini.

Kini wanita bukan lagi dianggap sebagai ‘penghuni tetap’ ceruk dapur semata-mata tetapi telah menjadi salah satu entiti penting dalam pembangunan ummah.


Kredibiliti mereka tidak lagi dipandang enteng kerana keupayaan wanita mampu membuatkan mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki yang lain.


Justeru, melihat kepada penglibatan dan peranan yang dimainkannya, bersempena sambutan Hari Wanita yang disambut negara pada setiap 25 Ogos, mereka wajar menerima ucapan pujian daripada anda!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s