“Ahoy! Lanun!”

Posted: September 8, 2008 in think tank thought

DENGAN menggunakan senjata automatik canggih seperti mesingan dan roket pelancar grenad (RPG), kumpulan lanun di Somalia menyerang hendap kapal dagang yang melalui kawasan Teluk Aden, yang terletak antara Yemen dan Somalia, untuk dijadikan tebusan bagi mendapatkan wang.

Mangsa terbaru adalah sebuah kapal yang membawa krew serta sebuah kapal layar Perancis serta dua buah kapal Malaysia milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC Bhd), MT Bunga Melati Dua dan MT Bunga Melati Lima dengan anak kapal dirampas dilokasi yang sama, pada 19 dan 29 Ogos.

MT Bunga Melati Lima bersama 41 anak kapal, termasuk 36 rakyat Malaysia dan lima lagi Filipina ditawan lanun pada Jumaat lalu di luar pantai Yaman.

Sepuluh hari sebelum itu, MT Bunga Melati Dua yang membawa 39 anak kapal termasuk 29 rakyat Malaysia ditawan lanun di luar pantai Somalia.

MT Bunga Melati Dua kini berlabuh di bandar Garacad, Somalia, kira-kira 4.5 batu nautika dari pantai, manakala MT Bunga Melati Lima di bandar Eyl, Somalia, kira-kira enam batu nautika dari pantai.

Kedua-dua kapal berkenaan berada pada jarak 40 batu nautika antara satu sama lain.

Sebelum abad ke-17, perkataan “lanun” ada disebut dalam sumber-sumber Yunani dan Latin. Perkataan “lanun” telah digunakan buat pertama kalinya oleh ahli sejarah Rom, Polybius kira-kira 140 BC. Antara sumber bertulis yang terawal mengenainya boleh dijumpai di dalam hasil tulisan Homer, “Iliad” dan “The Odyssey”.

Bagaimanapun, takrifan yang lebih terperinci adalah menerusi hasil tulisan sejarahwan Yunani, Plutarch yang dijumpai kira-kira 100 AD. Plutarch menggambarkan lanun sebagai kumpulan manusia yang menyerang kapal-kapal laut dan bandar-bandar persisiran pantai tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Sepanjang Zaman Pertengahan iaitu dari abad ke-9 hingga ke-11, bangsa Scandinavia telah cuba mengembangkan empayar mereka bagi mencari tanah penempatan baru. Hasilnya, wujud golongan yang digelar “Norsemen” yang datang daripada Denmark, Sweden dan Norway. Walaupun ciri-ciri mereka sama seperti lanun, mereka lebih dikenali dengan panggilan “Vikings” atau turut dikenali sebagai ‘pencuri laut’.

Kapal-kapal Vikings buat pertama kalinya telah sampai di Selatan pantai England pada tahun 789 AD. Bagaimanapun, pencerobohan Vikings sebenar bermula pada tahun 793 AD, apabila Vikings merompak dan merosakkan sebuah gereja di pulau Lindisfarne, di luar pantai Timur Laut England.

Manakala pada tahun 795 AD, Vikings telah direkodkan menceroboh Dublin, manakala pada tahun 799 AD mereka dilaporkan menceroboh pantai Barat Selatan Perancis. Walaupun empayar Vikings berkembang dengan pesat selepas itu, namun, empayar tersebut tidak kekal lama dan berakhir pada 1050 AD.

Era kegemilangan lanun Eropah-Amerika pula bermula pada abad ke-15. Kuasa empayar pada waktu itu adalah berasaskan kawalan laluan di lautan berbanding kawalan di tanah besar. Kehebatan Sepanyol sebagai kuasa besar yang menguasai laluan lautan membolehkan mereka merampas hasil kekayaan terutamanya hasil daripada Orang Asli Amerika.

Namun penguasaan tersebut turut dibayangi oleh England dan Perancis yang sengaja menaja kumpulan lanun untuk merompak hasil rompakan Sepanyol itu. Akibatnya, Sepanyol terus lumpuh dan tidak lagi dilihat sebagai jaguh lautan.

Selain itu, kehadiran barang-barang berharga yang diangkut oleh kapal-kapal saudagar turut menyegarkan aktiviti lanun. Kumpulan lanun pada masa ini biasanya terdiri daripada golongan hamba, pemberontak dan pengembara yang tamak.

Kepulauan Caribbean dikenali sebagai pusat lanun sepanjang zaman ini memandangkan kedudukannya yang memiliki banyak tempat-tempat tersembunyi dan pulau-pulau yang tidak dicartakan. Lokasi-lokasi ini dijadikan tempat bersembunyi daripada armada tentera.

Kini, kumpulan lanun masih lagi bermaharajalela dengan struktur dan modus operandi yang lebih tersusun dan terancang. Kumpulan lanun di Teluk Aden misalnya, dikatakan mempunyai struktur organisasi dan modus operandi seperti tentera yang mempunyai beberapa kapal induk untuk mengesan kehadiran kapal dagang di perairan antarabangsa berdekatan Somalia sebelum memilih sasaran untuk ditawan.

Selepas kapal induk itu mengenal pasti sasaran beberapa bot laju akan dihantar untuk melancar serangan bertalu-talu terhadap kapal dagang berkenaan. Selepas kapal dagang itu tidak lagi berjaya menahan serangan mereka, kumpulan lanun akan mengambil alih operasi dan akan membawa kapal itu ke perairan Somalia.

Ancaman daripada kumpulan lanun sememangnya memberikan impak yang besar terhadap sesebuah negara. Biro Maritim Antarabangsa yang berpusat di Kuala Lumpur baru-baru ini mengeluarkan pengumuman bahawa dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sebanyak 205 kes serangan lanun berlaku di seluruh dunia. Angka ini menurun sebanyak 18 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu dengan perairan Indonesia direkodkan sebagai kawasan yang paling bahaya dan setakat ini sebanyak 61 kes serangan lanun telah berlaku dan menduduki hampir 1/3 daripada jumlah keseluruhannya.

Di kawasan Somalia sahaja, 24 kes serangan lanun dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan tumpuan serangan merangkumi perairan pantai timur Somalia dan Teluk Aden.

Di Selat Melaka pula, kes serangan lanun telah berkurangan kepada 10 kes dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 25 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. Usaha kerajaan Malaysia, Singapura dan Indonesia meningkatkan rondaan di kawasan perairan Selat Melaka menerusi program Eye in the Sky (EiS) memberikan manfaat bersama bagi ketiga-tiga negara.

Program EiS telah dilancarkan pada 13 September 2005 bagi menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa mengenai kesungguhan negara pesisir pantai di Selat Melaka untuk mengendali dan menjaga keselamatan perairan tersebut.

Berdasarkan konsep EiS, setiap negara akan membuat dua penerbangan seminggu di laluan yang telah ditetapkan dengan wakil dari ketiga-tiga negara ditugaskan dalam setiap pesawat.

Isu utama dalam perbincangan mengenai tahap keselamatan di perairan semakin galak terutama selepas kejadian rampasan dan serangan kapal Malaysia di Teluk Aden. Kebimbangan terhadap keganasan maritim ini bukan sahaja berlegar di Malaysia sahaja tetapi juga turut dirasai oleh negara-negara lain terutama yang pernah mengalaminya.

Kebimbangan ini berasas melihatkan kepada kepentingan perdagangan maritim kepada dunia. Selat Melaka misalnya, hampir satu perlima perdagangan dunia dengan kira-kira 50,000 kapal kargo dan kapal minyak perlu melaluinya setiap tahun.

Justeru, langkah membenteras berdasarkan konsep EiS dilihat boleh dicontohi dan diketengahkan oleh pihak berwajib. Konvensyen baru yang lebih bersifat membenteras secara menyeluruh sangat-sangat diperlukan kerana konvensyen undang-undang laut yang sedia ada terbukti masih lagi terdapat kelompongan dan kepincangannya terutama di perairan Somalia yang tidak mempunyai undang-undang yang seragam untuk memerangi kegiatan pelanunan yang berleluasa di perairannya.



Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s