Hari Tanpa Belanja vs Karnival Jualan Mega

Posted: Julai 16, 2008 in think tank thought
Tags: , , , , ,

Sebagai warganegara sebuah negara yang menganjurkan Karnival Jualan Mega setiap tahun, ditambah pula dengan ketibaan karnival tersebut yang bermula pada 5 Julai sehingga 1 September ini, hari ini (16 Julai 2008), setiap warganegara ‘digalakkan’ untuk menjayakan ‘Hari Tanpa Belanja.’

Kempen Hari Tanpa Belanja telah diperkenalkan pada tahun 1993 oleh Ted Dave, pengasas Adbuster, sebuah organisasi yang ditubuhkan bagi membendung komersialisasi dan bertujuan melawan budaya konsumerisme, selain memberi kesedaran kepada pengguna agar peka dalam berbelanja dan peka terhadap produk-produk yang dibeli oleh mereka. Pada hari tersebut, pengguna tidak akan melakukan transaksi jual-beli selama 24 jam. Hari Tanpa Belanja ini telah dirayakan secara antarabangsa di lebih dari 30 buah negara seluruh dunia.

Melihat kepada situasi ekonomi yang berlaku kini, kita perlu mengakui kuasa membeli bagi setiap warganegara agak terjejas. Namun, apa yang pasti, warganegara Malaysia masih lagi tidak kehilangan kuasa tersebut. Buktinya, trend berbelanja atau membeli-belah sudah mekar subur di dalam sanubari warganegara negara ini terutama mereka yang tinggal di bandar-bandar besar yang antara ciri utamanya ialah memiliki pusat-pusat membeli-belah yang bersaiz mega yang gemar pula mengadakan jualan mega!

Ditambahkan pula dengan faktor persekitaran dan media massa yang senantiasa menonjolkan fesyen dan gaya hidup mewah serta terkini dari kalangan para artis yang menjadi idola masyarakat terutama remaja. Kecenderungan ini akan membangkitkan keinginan untuk mengikut dan meniru artis-artis pujaan mereka terutama dari segi berfesyen. Media massa juga menjadi medan pilihan bagi pengusaha memasarkan barangan dan perkhidmatan mereka yang ‘mengecurkan’ lagi kehendak penguna sehingga menjebakkan mereka berbelanja tanpa melihat kepada keperluan. Mereka memegang pendapat bahawasanya untuk membentuk suatu pandangan moden dan bergaya kosmopolitan, budaya berbelanja diperlukan sebagai salah satu ciri pembentukan citra diri.

Sebagai contoh, masyarakat akan berebut-rebut untuk mengunjungi pusat-pusat membeli-belah pada setiap jualan murah yang dijalankan walaupun bukan pada waktu ‘poket penuh’ atau hari menerima gaji kerana hanya pada waktu tersebut, pusat-pusat membeli-belah berlumba-lumba menawarkan harga diskaun yang menarik. Dan pada waktu itu, masyarakat berpeluang menikmati dan memiliki barangan produk yang didambakan.

Kadang-kala, wang bukan menjadi masalah. Apa yang lebih penting adalah penampilan gaya dan nilai budayanya. Sudah pasti seorang individu akan berasa lebih gah ketika memakai pakaian berjenama kerana beranggapan jenama merupakan jaminan kepada kualiti dan bagi memperolehi kualiti, hanya jenama yang mahal sahaja memilikinya.

Pelbagai barangan dan perkhidmatan yang melimpah ruah ini pula disokong oleh kemudahan yang diberikan kepada pihak bank atau agensi kewangan dalam memudahkan proses jual-beli menerusi konsep berhutang dengan kad kredit selain pengunaan kad debit yang mampu menggalakkan nafsu berbelanja serta kemudahan yang disediakan menerusi jaringan internet seperti ‘e-pay’. Maka adalah suatu yang tidak mustahil jika di tengah krisis ekonomi ini, masyarakat kita masih tetap menjadi pembeli tegar terutama pada ‘hari-hari istimewa’ seperti karnival membeli-belah dan jualan mega.

Sebenarnya, jika diperhalusi, kempen Hari Tanpa Berbelanja ini sangat bertepatan dengan situasi yang melanda kini. Ditambahkan pula dengan saranan kerajaan yang menyeru rakyat supaya berjimat cermat dan menukar gaya hidup, kempen ini benar-benar kena pada masanya. Untuk menjadi pengguna yang bijak bukanlah suatu perkara yang rumit. Apa yang penting, persoalan-persoalan utama ini perlu diambil kira:

  1. Adakah saya benar-benar memerlukannya?
  2. Berapa banyak yang saya miliki?
  3. Berapa kerap saya menggunakannya?
  4. Berapa lama ia akan bertahan?
  5. Adakah lebih baik saya meminjamnya sahaja?
  6. Adakah saya boleh bertahan tanpanya?
  7. Adakah lebih baik saya melakukannya sendiri?
  8. Adakah ia masih lagi boleh diperbaiki?
  9. Adakah ia berkualiti?
  10. Bagaimanakah dengan harganya? Adakah berbaloi memilikinya?

Langkah ini bukan sahaja dapat meredakan desakan perbelanjaan harian, tetapi juga mampu melatih pengguna berjimat cermat. Hari Tanpa Belanja tidak akan dapat mengubah gaya hidup masyarakat dalam sehari. Tetapi ia merupakan suatu langkah permulaan dalam melakukan anjakan paradigma dan perubahan gaya hidup.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s