Mengenal Epilepsi

Posted: Jun 27, 2008 in think tank thought
Tags: , , , , ,
Pada masa dahulu, penyakit ini pernah disamakan dengan kesan ilmu sihir. Malah penyakit ini juga disamakan dengan rasukan syaitan atau hantu jika seseorang diserang dengan penyakit ini. Manakala orang Yunani pula percaya seseorang yang diserang oleh penyakit ini, melakukan kesilapan kepada dewanya.

Sehingga kini, persepsi terhadap penyakit ini masih lagi tidak berubah. John Hughling Jackson, seorang doktor berbangsa Inggeris menggelarkan penyakit ini sebagai “muntahan berwarna kelabu yang berlaku sekali sekala, secara tiba-tiba, cepat dan keluar dengan banyak” ini kerana setiap kali serangan, pesakit akan kekejangan dan mengeluarkan muntahan berwarna kelabu.

Penyakit yang dikenali sebagai epilepsi ini berasal dari bahasa Greek iaitu ‘epilambanien’ yang bermaksud serangan. Ilmu perubatan moden hari ini mengistilahkannya sebagai suatu keadaan di mana aliran isyarat elektrik di dalam otak mengalami kecelaruan apabila sekumpulan sel-sel saraf otak menyahcas atau mengeluarkan impuls elektrik secara seiringan.

Ia kadangkalanya diumpamakan seperti berlaku ribut elektrik di dalam otak serta pelepasan elektrik dari otak yang berlebihan.

Epilepsi boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira had umur, jantina, bangsa atau status sosial. Kira-kira 0.8 peratus kanak-kanak dalam lingkungan umur satu tahun dan 0.4 peratus orang dewasa dalam lingkungan usia sehingga melebihi 65 tahun memiliki potensi besar menghidapinya.

Punca utama epilepsi adalah berpunca daripada jangkitan pada otak, serangan angin ahmar, ketumbuhan pada otak trauma kelahiran, kecederaan teruk pada kepala, terdedah kepada bahan toksik, penyalahgunaan dadah dan faktor genetik, tekanan psikologi, tindak balas luar biasa terhadap ubat-ubatan, penyalahgunaan alkohol, dan penyakit kemerosotan otak yang lazimnya berlaku kepada warga tua.

Pada sesetengah wanita, epilepsi mungkin dicetuskan oleh perubahan hormon. Ia biasanya berlaku pada minggu sebelum datangnya haid.

Epilepsi yang berlaku kepada kanak-kanak pula kebiasaannya disebabkan oleh beberapa faktor antaranya demam yang kuat, menerima suntikan vaksin, sawan aruhan televisyen iaitu sawan berlaku apabila terdedah terlalu lama kepada sinaran televisyen, kecacatan sewaktu kelahiran, kerosakan otak, keracunan, kecederaan di kepala, dan ubat-ubatan.

Epilepsi yang juga dikenali sebagai sawan babi ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu sawan menyeluruh dan sawan separa. Sawan menyeluruh boleh dibahagikan kepada empat kategori yang lazim berlaku iaitu tonik-klonik, mioklonik, atonik dan absens.

SAWAN MENYELURUH

Apabila seluruh otak terganggu, hasilnya ialah sawan menyeluruh. Sawan menyeluruh tonik-klonik akan menyebabkan individu tidak sedarkan diri, mengalami sentakan kaki dan tangan. Air liur pesakit akan berbuih dan meleleh keluar serta terdapat darah pada mulut sekiranya lidah atau bibir tergigit selain menyebabkan pernafasan pesakit menjadi kuat atau kemungkinan terhenti sementara.

Sawan ini juga berpotensi membuatkan pesakit kehilangan kawalan pada pundi kencing.
Ia akan berlarutan selama tiga minit yang mana kemudiannya akan menyebabkan pesakit berasa letih lalu tertidur selama setengah jam atau lebih.

Jika tidak dirawat, serangan epilepsi ini boleh menjejaskan aktiviti harian dan jatuh ketika sawan juga boleh mengakibatkan kecederaan pada kepala.
Sawan mioklonik pula menyebabkan berlaku sentakan ringkas pada bahagian tangan, kaki atau bahagian atas badan.

Serangan sawan atonik menyebabkan otot tiba-tiba menjadi lemah, mengakibatkan seseorang itu tiba-tiba rebah atau terjatuh.

Serangan sawan absens kebiasaannya berlaku pada kanak-kanak pada usia persekolahan dan biasanya berlaku sekejap sahaja (dalam beberapa saat). Tanda-tanda biasanya ialah kelihatan bingung, pergerakan yang tidak ketara seperti mata terkelip-kelip.

SAWAN SEPARA

Sawan separa berlaku apabila gangguan elektrik terjadi di sebahagian otak sahaja. Serangan separa terbahagi kepada serangan ringkas dan serangan kompleks. Sewaktu berlakunya serangan sawan separa, seseorang itu tidak pengsan. Pesakit mungkin mengalami sensasi atau emosi yang ganjil, misalnya secara tiba-tiba dilanda perasaan suka atau marah, atau berlaku perubahan pada bau, rasa, bunyi atau bentuk sesuatu benda.

Sewaktu berlakunya serangan sawan separa kompleks, seseorang itu mungkin tidak mengecam keadaan persekitarannya, mungkin kelihatan seperti bingung atau seperti berada dalam mimpi. Perlakuan pesakit selalu disalah anggap sebagai masalah emosi atau mental. Pesakit mungkin akan berlari dalam satu bulatan, terasa pening dan keliru, kelihatan seperti berkhayal atau tidak bertindak balas dengan orang lain.

Sesetengahnya berasa sangat pelik atau ganjil. Keadaan ini mungkin berlarutan untuk beberapa saat hingga beberapa minit. Kebanyakan sawan separa berlaku tanpa disedari individu itu sendiri. Antara tandanya ialah termenung, tidak banyak bercakap, anak mata memandang ke atas beberapa ketika dan kadangkala pesakit tidak sedarkan diri dalam tempoh sesingkat 30 saat.

Ubat-ubatan tidak dapat menyembuhkan epilepsi tetapi ia dapat membantu menghilangkan sawan atau mengurangkan kekerapannya. Walaubagaimanapun, rawatan yang paling berkesan adalah bermula dengan diagnosis yang betul berhubung dengan jenis serangan sawan yang dialami pesakit itu sendiri kerana setiap jenis serangan memerlukan rawatan khusus.

Sebahagian besar pesakit epilepsi boleh bebas dari serangan sawan untuk tempoh yang lama dengan menjalani rawatan yang betul beserta dengan pengambilan ubat yang berterusan.

Walaupun mereka terpaksa bergantung pada ubat-ubatan sepanjang hayat, penyakit epilepsi bukannya penamat bagi pesakit daripada menikmati kebahagiaan hidup. Pesakit masih mempunyai peluang dan kesempatan untuk menjalani kehidupan seperti juga orang lain yang sihat.

Tidak dapat dinafikan, sebahagian besar salah faham dalam masyarakat ialah epilepsi berpunca daripada gangguan kuasa ghaib. Sesetengah anggota masyarakat masih mempercayai bahawa badan seseorang yang mengidap epilepsi telah ´dikuasai atau dirasuk oleh makhluk halus´. Malah, ada yang melihat pesakit epilepsi ini sebagai seorang ‘gila’ atau terencat akal.

Persepsi sebegini tidak seharusnya dengan mudah dilontarkan hanya kerana keadaan ketika serangan seolah-olah mempamerkan pesakit seperti orang yang hilang akal. Tidak ada seorangpun di dunia ini yang mahu dijangkiti penyakit.
Apa yang boleh dilakukan oleh masyarakat dan juga pesakit adalah pemahaman yang menyeluruh mengenai penyakit epilepsi selain mengetahui kaedah-kaedah yang dapat digunakan ketika serangan berlaku.

Komen-komen
  1. manusia berkata:

    Saya merupakan salah seorang penhidap epilepsi.. saya sakit smnjk 12 thun lg sekarang umur sy sudah 19 thn. Alhamdulillah penyakit saya dapat saya kawal. tetapi saya kadang2 hilang semangat untuk hidup kerana merasakan diri ini rendah. saya malu bila terkena serangan di hadapan khalayak.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s