Menuju hab halal menerusi konsep ‘Islamic friendly’

Posted: Mei 20, 2008 in think tank thought
Tags: , , , ,

Isu halal haram terutamanya dari segi permakanan merupakan suatu yang sangat ditekan dan dipandang berat olah masyarakat Islam negara ini. Perihal halal haram ini bukan sahaja merupakan isu sensitif, malah ia juga dilihat sebagai isu yang tidak boleh diperlekehkan terutama yang membabitkan babi. Namun begitu, isu halal haram ini tidak pernah selesai diperdebatkan oleh masyarakat negara ini dan dilihat tidak selari dengan hasrat kerajaan yang sedang berusaha menuju rancangannya untuk menjadi hab halal dunia.

Dalam Islam, perihal halal haram sangat dititikberatkan. Halal bagi Islam bukan sahaja merangkumi hal ehwal permakanan tetapi juga melibatkan keseluruhan aspek kehidupan. Firman Allah yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia! makanlah apa-apa yang di atas muka bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan merupakan musuh yang nyata bagimu,” (al-Baqarah:168).

Jika diperhatikan dari segi prospek ekonomi, dengan jumlah umat Islam dunia yang hampir mencecah dua bilion orang dan dengan nilai pasaran sebanyak AS$2.3 trilion, pasaran perkhidmatan dan barangan halal ini sudah tentu memberikan prospek perniagaan yang cerah kepada tidak hanya usahawan Islam sahaja tetapi usahawan seluruh dunia.

Tidak hairanlah, Malaysia yang memiliki 60 peratus penduduk beragama Islam turut mengintai peluang tersebut. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut berhasrat untuk menjadikan negara ini sebagai hab halal pada 2010 melihatkan potensi pasaran yang baik kini. Melihat kepada hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab halal dan potensinya, Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa insentif antaranya pengecualian cukai ke atas pendapatan berkanun jualan eksport, pengecualian duti import bahan mentah serta potongan berganda ke atas belanja yang ditanggung oleh syarikat bagi mendapatkan standard kualiti antarabangsa selain insentif untuk pusat industri halal dan pengusaha logistik.

Berdasarkan pencapaian penganjuran Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), pada tahun 2005 ia berjaya menarik 332 penyertaan dan meningkat kepada 392 pada tahun berikutnya. Impak positif daripada MIHAS ini telah menarik seramai 426 penyertaan pula pada 2007. Penglibatan negara yang menyertai MIHAS juga menunjukkan perkembangan yang positif. Bermula hanya 18 negara pada 2005 dan 17 negara pada 2006, ia meningkat kepada 26 negara pada 2007 dan terus meningkat pada tahun ini dengan penglibatan 622 gerai pameran dengan 494 penyertaan.

Melihatkan kepada pencapaian dan hasrat negara yang bersungguh-sungguh dengan inisiatif yang diambil ditambahkan pula dengan penganjuran pameran, seminar serta forum, tidak mustahil impian ini menjadi kenyataan. Tetapi apa yang menjadi persoalan, apabila sesekali timbul isu berkaitan halal haram di media membabitkan pengusaha dan pengguna negara ini, ditambah dengan kaedah penyelesaian yang hanya mewujudkan pertikaian dan tuduh-menuduh dan tidak diuruskan dengan betul, adakah negara benar-benar telah mampu menjadi hab halal dunia? Sedangkan hal domestik masih tidak dapat diurus dan diselaraskan dengan baik.

Piawaian halal Malaysia telah mendapat pengiktirafan menyeluruh di seluruh dunia dengan kawal selia secara seragam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Namun, hakikatnya logo halal yang dikeluarkan Jakim terus dipersendakan. Bukan itu sahaja, negara yang menerima agama Islam sebagai agama rasminya selain terdiri daripada berbilang kaum ini juga dikatakan tidak ‘Islamic friendly’ apabila secara tidak sedar, telah menindas penganut Islamnya sendiri.

Pelbagai kejadian dan peraturan yang dibuat terutama oleh pengusaha bukan beragama Islam yang secara terang-terangan seakan tidak peduli dan tidak menghormati peraturan yang telah ditetapkan dalam Islam. Isu makanan yang dicampurkan dengan bahan haram yang melibatkan babi misalnya sudah lali didengar dan dilaporkan.

Isu ini turut menjadi isu hangat yang sering dimainkan di dalam e-mail yang kadang-kala menimbulkan dilema kepada masyarakat Islam di negara ini kerana digambarkan seolah-olah hampir kesemua barangan harian yang berada dipasaran mengandungi bahan terlarang dan tidak halal dimakan.

Isu ini, menurut Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad, seolah-olah mencabar kedudukan Islam dan tidak menghormati kedudukan agama Islam di negara ini.

“Agama Islam adalah asas kepada negara ini kerana Islam adalah agama rasmi negara. Apa yang dilakukan mereka ini adalah tidak adil kepada penganut Islam,” katanya ketika mengetuai 30 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam semasa sesi dialog bersama Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) baru-baru ini.

Beliau turut mendedahkan senario sesetengah hotel di negara ini yang bukan sahaja tidak ‘Islamic friendly,’ tetapi juga menindas pekerja-pekerjanya yang beragama Islam menjalani ibadah seperti solat Jumaat dan bertudung selain ‘kemudahan-kemudahan’ yang disediakan tidak sesuai dengan keadaan masyarakat Islam terutama berkenaan dengan keadaan dan lokasi surau yang disediakan.

“Kalau tiba bulan Ramadan, pengunjung akan berasak-asak bagi mengerjakan solat, keadaan ini akan menimbulkan situasi tidak selesa kepada pengunjung.

“Selain itu terdapat juga isu dimana hotel menggunakan nama makanan haram kepada makanan halal sebagai contoh penggunaan nama ‘beef bacon’ kepada makanan halal. Hal ini hanya akan menimbulkan kekeliruan kepada pengunjung,” katanya.

Umum memandang status Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mana seharusnya secara langsung memandang berat tentang isu halal haram. Apabila nama negara disebut pelancong luar, maka makanan halal adalah antara tarikannya khususnya bagi pelancong beragama Islam.

Namun, apa yang ‘disembunyikan’ adalah walaupun halal merupakan cara hidup masyarakat Islam di negara ini, industri halal yang dibangga-banggakan ini adalah milik orang-orang bukan Islam yang secara logiknya tidak memahami peri penting hukum halal haram ini! Mereka juga sudah pasti tidak arif tentang konsep halal yang sebenar, ciri-cirinya, keperluan pensijilan selain daripada hanya menitikberatkan kepada kaedah penyembelihan sahaja.

Masalah halal haram tidak wujud hanya kepada pengusaha hotel yang tidak ‘Islamic friendly,’ tetapi konsep ‘Islamic friendly’ ini harus juga diterapkan kepada seluruh industri barangan dan perkhidmatan di negara ini jika benar-benar ingin menuju impian menjadi hab halal dunia.

Sewajarnya, masyarakat Islam di negara ini mengadaptasi aspirasi kerajaan dan mengambil peluang yang ada kerana hanya orang Islam yang memahami kepentingan halal ini. Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud, “Sembilan persepuluh sumber rezeki (boleh diperoleh) melalui perniagaan,” (hadis riwayat Tirmizi). Justeru, konsep halal seharusnya menjadi kekuatan ekonomi masyarakat Islam. Tetapi, malangnya masyarakat Islam lebih selesa menjadi pengguna daripada menjadi pengeluar.

Masyarakat harus menyedari dan mengambil ikhtibar bahawasanya berdasarkan sejarah, salah satu strategi Rasulullah s.a.w. untuk memecah monopoli Yahudi dalam ekonomi dan perniagaan di Madinah ialah dengan membuka sebuah pasar bagi saudagar-saudagar Muslim. Sifat berdisiplin dan jujur yang ditunjukkan oleh para peniaga Muslim di pasar Madinah akhirnya berjaya melemahkan monopoli ekonomi peniaga Yahudi di pasar Qaynuqa’ yang penuh dengan riba dan penipuan. Malah sifat jujur dan amanah para saudagar Islam merupakan antara faktor utama tersebarnya Islam ke seluruh pelosok dunia.

Komen-komen
  1. khairulnizambakeri berkata:

  2. khairulnizambakeri berkata:

    Komen yang sebelum ini silap. Harap delete. Hehe.

    KNB berpindah ke http://nizambakeri.blogspot.com
    Pautan blog anda sudah tersenarai di blog tersebut.
    Harap maklum.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s