Inflasi Makanan: ‘Nargis’ yang Melanda Dunia!

Posted: Mei 9, 2008 in think tank thought

Berbakti kepada tanah dan pertanian satu perniagaan merupakan penyataan yang senonim kepada sektor petanian. Namun melihat kepada situasi genting yang melanda sarwajagat pada masa ini, penyataan-penyataan tersebut dilihat sebagai suatu langkah tepat bagi membendung krisis makanan yang sedang meruncing kini.

Krisis makanan ini memerlukan setiap rakyat melakukan ‘pengorbanan’ dengan mula menanam tanaman sekurang-kurangnya untuk keperluan sendiri bagi mengurangkan beban rakyat kepada kebergantungan barangan keperluan di pasaran, tanpa bergantung sepenuhnya kepada subsidi kerajaan.

Krisis makanan global yang melanda telah membawa pelbagai konflik dan bencana kepada dunia. Di Cameroon, 40 orang terbunuh akibat rusuhan yang dikaitkan dengan inflasi makanan selain negara-negara lain seperti Haiti, Mesir, , Filipina, Ivory Coast, Senegal, Bolivia, Ethiopia, Madagascar, Thailand dan Pakistan melakukan demonstrasi jalanan sehingga melibatkan campur tangan pihak tentera dan polis bagi mengawal keadaan.

Ramai pakar ekonomi dunia meramalkan bahawa krisis makanan ini tidak akan reda dalam jangka masa yang singkat. Punca terjadinya krisis ini dipercayai adalah disebabkan oleh beberapa keadaan iaitu antaranya adalah perkembangan pesat ekonomi negara China dan India yang juga merupakan antara negara pengeluar utama beras dan gandum dunia.

Dengan kadar pertumbuhan dalam negara kasar (GDP) sekitar lapan hingga 10 peratus, rakyat China dan India kini menjalani kehidupan yang mewah sekali gus meningkatkan permintaan beras dan gandum untuk kegunaan domestik. Pada tahun 1990, kelas menengah di India dan China masing-masing meningkat 9.7 peratus dan 8.6 peratus; sementara pada tahun 2008 kadar pertumbuhan masing-masing sudah mencapai hampir 30 peratus dan 70 peratus.

Akibatnya, negara-negara yang bergantung kepada import makanan terutamanya dari kedua-dua negara itu turut terkena tempias apabila terpaksa membayar harga bahan makanan yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.

Harga minyak juga merupakan punca utama berlakunya krisis makanan terutama kepada negara-negara membangun terutama apabila negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) membeli bekalan bijirin seperti gandum dan jagung untuk tujuan penyelidikan biofuel. Dianggarkan, kuantiti bijiran yang diperlukan untuk menghasilkan biofuel bagi mengisi penuh tangki sebuah kenderaan SUV mampu menampung keperluan makanan seorang bagi tempoh setahun.

Seorang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan amalan menukar tanaman sumber makanan menjadi sumber bahan bakar bio termasuk biofuel sebagai “satu jenayah terhadap kemanusiaan.” Amalan yang semakin popular itu kini telah mengakibatkan kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga yang melampau sehingga mengakibatkan berjuta penduduk miskin dunia menanggung akibatnya.

Selain daripada itu, suasana tegang di Asia Barat terutamanya di Iraq dan ancaman peperangan juga mempengaruhi harga minyak di pasaran dunia. Naik turun harga minyak di pasaran dan penjualannya dalam dolar juga mampu mengucar-kacirkan kestabilan dunia.

Isu pemanasan global juga berkaitan dengan kenaikan harga bahan makanan yang sekaligus menimbulkan krisis makanan global ini. Keadaan cuaca yang tidak menentu misalnya banjir besar yang berlaku di kalangan pengeluar beras dan gandum dunia iaitu di India, China dan Vietnam serta kemarau panjang di Australia, negara pengeluar gandum kedua terbesar dunia, menjejaskan keupayaan pengeluaran apabila hasil tuaian semakin menyusut sehingga tidak mampu memenuhi permintaan pasaran yang terus meningkat serta menjejaskan stok bekalan dunia.

Harga beras di pasaran antarabangsa misalnya, melonjak sehingga 20 peratus awal tahun ini. Penanam padi di Asia Timur menyumbang kira-kira 90 peratus daripada jumlah pengeluaran beras dunia atau sebanyak 645 juta tan metrik pada tahun 2007. China dan India adalah penyumbang terbesar, diikuti  Indonesia, Bangladesh, Vietnam, Thailand, Myanmar, Jepun, Filipina dan Brazil.

Dalam konteks ini, krisis makanan yang berlaku bukan sahaja disebabkan oleh faktor keadaan global semata-mata tetapi juga faktor domestik terutamanya yang dicetuskan oleh para pembekal dan pemborong yang dengan sengaja mengambil kesempatan menyorokkan barangan makanan. Keadaan ini menyebabkan barangan keperluan ini berkurangan di pasaran sekaligus meningkatkan permintaan dan seterusnya memberi peluang kepada peniaga menaikkan harga barangan tersebut sesuka hati.

Ini benar-benar menyulitkan bagi negara yang mengimport kira-kira 700,000 tan beras setahun dari Thailand dan Vietnam untuk menampung keperluan 26 juta rakyatnya. Walaupun negara juga ada mengeluarkan berasnya sendiri, namun, jumlahnya hanyalah 1.535 juta tan metrik dengan keluasan kawasan seluas 670,524 hektar atau 3.56 peratus sahaja bagi setiap tan metrik sehektar.

Kesannya, saban hari di dada-dada akhbar memaparkan perihal kenaikan harga barangan keperluan secara mendadak antaranya beras yang mengalami kenaikan harga antara 10 hingga 20 peratus di seluruh negara terutama di kawasan bandar baru-baru ini. PBB melaporkan, harga kebanyakan bahan makanan dunia meningkat sehingga 40 peratus semenjak pertengahan tahun lalu.

Keadaan ini mampu mengakibatkan inflasi sekaligus melemahkan lagi ekonomi negara-negara membangun terutamanya negara-negara yang bergantung sepenuhnya kepada bahan makanan import sepertimana yang berlaku di Haiti, Maghribi dan Zimbabwe yang mana kadar inflasi mencecah sehingga 100,000 peratus.

Inflasi makanan yang berlaku ini sangat berpotensi mencetuskan kesan domino atau reaksi berantai. Kerana kelaparan, manusia berupaya melakukan apa sahaja. Krisis ini sangat mudah menerbitkan rasa amarah sehingga mampu menggugat keselamatan, kesejahteraan dan kestabilan politik sesebuah negara.

Seperti apa yang berlaku di Filipina misalnya, Presiden Gloria Macapagal Arroyo di desak rakyatnya yang berpiket supaya meletakkan jawatannya. Walaupun umum mengetahui negara itu adalah antara negara pengeluar beras terbesar dunia.

Begitu juga dengan nasib Perdana Menteri Haiti, Jacques Edouard Alexis dibuang oleh parlimennya sendiri selepas gagal meningkatkan pengeluaran makanan kepada rakyatnya sehingga mengakibatkan rakyatnya berbunuhan dan merusuh.

Terbukti, apabila keselamatan, kesejahteraan dan kestabilan politik sesebuah negara tergugat, ekonomi akan terbantut dan seterusnya mengakibatkan rakyat tidak lagi berkemampuan membeli walau sekeping roti. PBB melalui Program Makanan Dunia (WFP) sendiri mengakui bilangan negara yang rakyatnya mengalami kelaparan dan ketiadaan makanan dijangka bertambah.

Paling terbaru di Indonesia, kematian yang berpunca daripada kelaparan semakin kedengaran. Terdapat mereka yang sanggup membunuh diri kerana tidak lagi tahan dengan apa yang berlaku selain ada juga keluarga yang mati kelaparan kerana ketiadaan wang. Berdasarkan fakta PBB, peningkatan harga makanan yang berlaku di peringkat sejagat kini memperlihatkan semakin ramai yang tidak mampu membeli makanan.

Apa yang ditakuti, jika krisis ini dibiarkan berlarutan, kelak penduduk dunia langsung tidak berupaya dan berkemampuan lagi untuk menikmati waima sejemput nasi atau sekeping roti yang lazimnya menjadi makanan rutin harian. Sepertimana tidak berupayanya keadaan mangsa-mangsa Taufan Nargis di Myanmar!

Komen-komen
  1. chocolate berkata:

    we should think more positive on this krisis..
    we should support the way of gov taking care this issue..
    God bless us..

  2. meyzu berkata:

    hmmmm.be a good farmer.haha.prevent this crisis rom happen.=)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s