90 Hari Langkah Pertama Lahirkan Modal Insan Berkualiti

Posted: Mac 24, 2008 in think tank thought

baby.jpg

Siapa yang berani menidakkan kenyataan bahawasanya ibu dan anak memiliki jalinan pertalian yang sangat unik yang tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata. Sifat penyayang seorang ibu, dapat merasakan kesakitan dan kesusahan yang menimpa si anak walaupun jarak membezakan mereka beribu-ribu batu jauhnya.

Itulah antara rahsia pertalian antara si ibu dan anaknya yang sukar dihuraikan. Hadis Rasulullah s.a.w ada menyebut: “Doa ibu itu lebih cepat makbul.” Orang bertanya: “Kenapa ya Rasulullah ?” Jawab baginda: “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa daripada orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”

Kajian yang pernah dijalankan mendapati pertalian emosi antara ibu dan anak tidak wujud selepas kelahiran tetapi pertalian tersebut sudah terhubung semenjak alam kandungan lagi. Semasa di alam kandungan, bayi dapat mendengar dan memberi respon terhadap pergerakan dan percakapan ibunya dan akan bergerak mengikut nada suara ibu (Condon & Sander, 1974).

Hari ini, kehidupan seorang ibu berubah mengikut peralihan zaman yang melihat kepada peranan seorang ibu bukan sahaja berlegar di dalam ruang lingkup pengurusan rumah tangga dan penjagaan anak-anak sahaja. Peranan golongan ibu kini tidak kurang pentingnya seperti golongan bapa yang bertanggungjawab mencari sumber pendapatan bagi keluarganya.

Namun, golongan ibu juga tidak terlepas dengan naluri keibuannya untuk bersama-sama anak-anak dan melihat anak-anak membesar. Menurut kajian Walter dan McKenry (1985), golongan ibu yang bekerja cenderung merasa bahagia mereka dapat menghubung atau ‘menyatupadukan’ kehidupan keluarga dan kehidupan kerja secara harmoni dan seimbang.

Namun, apabila terdapat konflik peranan yang dialami oleh ibu bekerja, maka situasi ini akan memberi kesan terhadap tahap kepuasan dalam hidupnya. Perasaan bersalah (meninggalkan peranannya sementara waktu sebagai suri rumah dan ibu) yang tersimpan, membuatkan si ibu tersebut tidak dapat menikmati peranannya dalam dunia kerja.

Justeru, apabila keadaan ini berlaku, golongan ibu yang bekerja cenderung mengambil keputusan berhenti kerja atau meletakkan jawatan walaupun akibatnya si ibu tersebut terpaksa meninggalkan jawatan yang disandang. Hal ini diperakui menerusi hasil kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang mendapati hampir separuh wanita mengambil keputusan untuk berhenti kerja dengan alasan mahu menjaga anak.

Akibat daripada trend ini juga memperlihatkan jumlah kaum wanita dalam industri buruh negara berada di dalam peratusan yang kurang menggalakkan iaitu 46.7 peratus sahaja berbanding negara lain seperti Jepun yang mencapai peratusan yang memberangsangkan iaitu lebih 60 peratus.

Melihat kepada potensi dan kepentingan kaum wanita kepada pembangunan dan kemajuan negara, kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif bagi membendung trend ini antaranya adalah memberi cuti bersalin selama 60 hari dan melanjutkan cuti bersalin tanpa gaji selama lima tahun kepada kakitangan awam yang ingin menjaga anaknya dalam jangka masa tersebut.

Jika diteliti, Persidangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah menetapkan bahawa:

o Dalam artikel (3) Peruntukan Perlindungan Kesihatan Pekerja Wanita memperuntukkan bahawa mana-mana pekerja wanita terutama yang hamil dan menyusui bayi berhak mendapat perlindungan kesihatan semasa bekerja.

o Pekerja wanita diberi hak mendapat cuti bersalin selama 14 minggu dengan bergaji sebanyak dua pertiga, berbanding 12 minggu sebelumnya. Ini termasuklah jaminan waktu rehat untuk ibu menyusui bayi mereka.

o Dalam Artikel 10 ketetapan dibuat terhadap kepentingan penyusuan ibu. Ia demi memastikan kesihatan ibu dan anak. Justeru, pekerja wanita diharapkan dapat diberi satu atau lebih cuti rehat atau diberi sekali atau lebih pemotongan masa untuk menyusui bayinya. Majikan boleh membenarkan (memberikan pelepasan) pekerja wanita untuk menyusui bayi mereka sama ada pada waktu rehat atau sebelum pulang ke rumah selama setengah jam.

o Dalam Artikel 5, ketetapan dibuat meluluskan cuti sakit kepada pekerja wanita sekiranya kesihatan mereka tidak mengizinkan atau terdapatnya sebarang komplikasi semasa mengandung atau selepas cuti bersalin.

o Dalam Artikel 8 ialah mengenai perlindungan pekerja dan tidak ada sebarang diskriminasi oleh majikan terhadap mana-mana pekerja wanita denga pekerja lelaki yang lain. Artikel ini juga banyak menyentuh mengenai perlindungan semasa mengandung, masa cuti bersalin dan cuti yang berkaitan dengan komplikasi semasa dan selepas kelahiran.

o Majikan perlu memastikan bahawa pembuangan pekerja wanita itu tiada kaitan langsung dengan kehamilan atau cuti bersalin pekerja berkenaan. Sekiranya tiada sebab yang munasabah pekerja wanita itu boleh mempertikaikan semula dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan.

Sebanyak 119 negara di dunia kini menetapkan cuti bersalin untuk wanita tidak kurang daripada 12 minggu iaitu tiga bulan atau lebih. Namun, sebanyak 16 buah negara pula memberi cuti bersalin sehingga 14 minggu atau tiga bulan setengah yang bersamaan 105 hari, iaitu tempoh maksimum yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Melihat kepada ketetapan ILO yang menetapkan cuti bersalin selama 105 hari cuti, pelbagai pihak telah mengeluarkan gesaan agar pihak kerajaan dapat memberikan cuti bersalin sekurang-kurangnya selama 90 hari, tempoh minimum yang ditetapkan ILO.

Sememangnya tidak dapat disangkal, tempoh mengandung dan bersalin adalah pengorbanan terbesar seorang wanita dalam membantu membangunkan keluarga dan negara. Jika dahulu kerajaan hanya menekankan kepada kemantapan kurikulum sekolah rendah dan menengah, selepas itu pendidikan prasekolah dan kini telah sampai masa tumpuan itu menjurus ke arah yang lebih halus, iaitu asuhan semasa bayi lagi.

Justeru, bagi mencapai hasrat kerajaan yang mementingkan modal insan cemerlang bagi kemajuan negara, dilihat keperluan pemanjangan tempoh cuti rehat bersalin selama 90 hari ini amat bertepatan bagi membentuk modal insan yang baik kualitinya.

Perkaitan antara cuti bersalin dan pembentukan modal insan berkualiti ini dapat ditunjukkan oleh satu kajian yang mendapati ibu yang menjaga sendiri bayinya lebih sensitif, lebih menerima dan menunjukkan respon yang lebih terhadap tangisan dan keperluan bayinya berbanding ibu yang tidak menjaga bayinya sendiri. Begitu juga bapa yang menjaga bayinya sendiri lebih bersikap menerima dan berfikiran terbuka serta mempunyai sebuah ikatan perkahwinan yang bahagia berbanding bapa yang tidak mengambil peduli penjagaan anaknya (Isabella, 1990).

Begitu juga bayi yang dijaga dengan baik kebiasaannya memiliki respon yang baik, patuh dan bekerjasama dan mudah memahami sesuatu dan kurang menangis. Bayi ini juga akan membesar sebagai seorang individu yang memiliki kehidupan sosial yang baik, berminat kepada alam semulajadi dan peka terhadap keadaan sekeliling berbanding bayi yang tidak mendapat penjagaan dan perhatian yang baik (Masters, 1981).

Kajian juga mendapati ibu bapa akan lebih berjaya sekiranya mereka memiliki sifat sayang-menyayangi, memberi galakan dan menyediakan persekitaran yang sentiasa hangat dengan kasih sayang (Maccoby & Martin, 1983).

Kajian jangka panjang yang melihat kepada perkembangan individu bermula dari umur lima hingga 41 tahun mendapati kanak-kanak yang memiliki ibu bapa yang memiliki sifat kasih sayang ini lebih berjaya di dalam kehidupan mereka yang mana pada umur 41, mereka memiliki kesihatan baik, matang di dalam pekerjaan dan perhubungan serta mewarisi sifat-sifat baik ibu bapanya (Franz, 1991).

Oleh demikian itu, cuti bersalin pekerja wanita negara ini tidak harus dipandang sekadar hanya isu mereka perlu rehat panjang kerana bersalin tetapi harus dipandang sebagai suatu langkah pertama melahirkan modal insan cemerlang, gemilang dan terbilang bagi kemajuan negara untuk jangka panjang.

Komen-komen
  1. devi berkata:

    bagus banget,,sama seperti yg aku alami,,,

  2. acreageocala.com berkata:

    You really make it appear really easy with your presentation but I to find this matter to be
    actually something which I think I’d never understand. It kind of feels too complicated and extremely large for me. I’m taking a look forward to your next put up, I’ll try to get the grasp of it!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s