Isu Makanan Pengubahsuaian Genetik (GM)

Posted: Mac 5, 2008 in Pencetus minda, think tank thought

Melawan lumrah alam, menukar kejadian alam dan pertikaian dakwaan isu hak milik produk merupakan isu hangat dalam bioteknologi. Di negara-negara Barat, isu makanan yang telah melalui pengubahsuaian genetik (GM) ini dibahaskan sehangat isu halal haram di negara-negara Islam. Perdebatan menyentuh berkenaan dengan isu keselamatan makanan, kemungkinan kesan buruknya terhadap alam sekitar, perubahan ekosistem dan isu etika.

Tidak dapat dinafikan, makanan GM ini telah mula ‘dihidangkan’ semenjak tahun 1996 lagi. Makanan GM pertama yang dikomersialkan adalah tanaman tomato yang dipanggil ‘FlavrSavr’ dihasilkan oleh Calgene (Brainyencyclopedia, 2004). Pada tahun 1992, Calgene telah menghantar tomato ini kepada U.S Food and Drug Administration (FDA) untuk dijalankan ujikaji.

Menerusi keputusan yang diperoleh daripada FDA, tomato ‘FlavrSavr’ didapati tidak mengandungi bahan yang membahayakan kesihatan sekaligus tidak memerlukan sebarang label pemberitahuan bahawa ia adalah makanan GM. Keputusan ini juga membolehkan tomato ini dipasarkan pada tahun 1994.

Makanan GM ini dicetuskan sebagai suatu langkah bagi memenuhi permintaan penduduk dunia yang semakin berkembang selain meningkatkan kualiti dan kuantiti makanan. Ia juga bagi tujuan bantuan makanan kepada kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan di dunia ketiga seperti Afrika. Dikatakan ketika ini lebih 842 juta orang atau dua per tiga penduduk dunia mengalami kebuluran dan kekurangan zat manakala 1.3 bilion orang dikategorikan dalam kategori daif dengan pendapatan per kapita kurang daripada USD$1 sehari (Ansel M. Sharp, 2005).

Kendatipun tujuan awalannya kelihatan tulus murni, makanan GM masih lagi berada di dalam kategori ‘kelabu’ atau samar-samar. Sehingga ke hari ini, tiada jaminan diberikan terhadapnya untuk pengambilan jangka panjang. Menerusi kajian para saintis, makanan GM ini masih terdapat kekurangan yang mampu membawa padah kepada manusia dan alam.

Edwin Chargoff, yang dirujuk sebagai Bapa Biologi Molekul, pernah menyatakan bahawa pengubahsuaian genetik di dalam makanan ibarat “Suatu eksperimen yang paling besar dan berbahaya di dalam sejarah manusia.” Beliau mengibaratkan pengubahsuaian ini sebagai ancaman yang paling besar berbanding teknologi nuklear.

Seperti juga dakwaan Bapa Biologi Molekul, Pertubuhan Perubatan Amerika juga telah mengeluarkan laporan yang sama terhadap kemungkinan proses GM ini berupaya mengakibatkan kemusnahan alam sekitar. Antara kegusaran yang dilaporkan adalah kemungkinan tanaman yang melalui proses GM dan (kejuruteraan genetik) GE bagi melindungi daripada virus akan mengakibatkan virus tersebut bermutasi kepada suatu bentuk baru lebih berbahaya dan berupaya menyerang spesis tumbuhan dan hidupan lain.

Selain daripada kesan terhadap alam, kaedah GM ini akan berupaya mengubah alam semulajadi dengan menukar lumrah alam apabila binatang ternakan ditukar daripada kelompok herbivor kepada karnivor (Persatuan Sumber Asli United Kingdom:2005).

Menurut laporan tersebut, kebiasaannya pada musim sejuk, rumput adalah tidak subur. Oleh sebab itu, pada masa tersebut, binatang ternakan akan diberi makan kacang soya sebagai makanan gantian. Bagaimanapun, terdapat juga penternak menggunakan bangkai binatang ternakan sebagai ganti bagi mengurangkan kos dan mengakibatkan penularan penyakit lembu gila berpunca daripada tindakan penternak-penternak tersebut.

Ketidakpastian terhadap status makanan GM ini juga telah mengubah tujuan asalnya sebelum ini dengan tindakan sesetengah negara Afrika seperti Sudan dan Angola menolak bantuan makanan yang datang daripada Bantuan Makanan Amerika Syarikat (US Food Aid). Kerajaan Sudan misalnya pada tahun 2003, telah mengeluarkan memorandum berhubung bantuan makanan ini agar menjamin bantuan makanan yang dihulurkan kepada mereka adalah bebas daripada sebarang bentuk unsur GM.

Perkara apakah lagi yang tidak menakutkan selain mengetahui makanan yang kita ambil jika tidak semua, sedikit adalah terdiri daripada gen manusia seperti yang dilakukan oleh para saintis Jepun yang telah menghasilkan sejenis padi yang tahan dengan bahan kimia dengan menggunakan gen yang diambil daripada hati manusia dan tomato yang diubahsuai dengan gen ikan? Adakah tindakan yang diambil kerajaan Sudan ini ibarat tidak sedar dek untung?

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud, “ Dan makanlah makanan yang halal lagi baik daripada apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya,” (Al-Maidah: 88). Daripada ayat ini, Allah s.w.t menyuruh kepada hamba-hamba-Nya memakan makanan yang halal dan baik serta meninggalkan yang haram dan yang tidak baik.

Islam mengajar penganutnya berbuat baik kepada alam dan senantiasa bertanggungjawab menjaga alam ini bertepatan dengan peranannya sebagai khalifah di bumi. Islam tidak pernah menyulitkan. Malahan, Islam menganjurkan proses GM ini bagi mencapai kemaslahatan sejagat. Di dalam hadis, Rasullullah s.a.w pernah menegah orang Arab yang sedang mengkacukkan pohon kurma dengan menyuruh mereka membiarkan pohon itu berbuah secara semulajadi. Walaubagaimanapun, pohon yang dibiarkan berbuah secara semulajadi itu tidak berhasil. Seraya itu, Rasullullah s.a.w berkata, “Kamu lebih mengetahui tentang urusan kamu.”

Syariah Islam tidak meletakkan batasan yang terlalu tegas di dalam hal ehwal duniawi yang terbukti bermanfaat kepada manusia jagat dan begitu juga sebaliknya. Merujuk kepada hadis tadi, Rasulullah s.a.w lebih menerima keadaan alam secara lumrahnya tanpa campurtangan manusia. Walaubagaimanapun, jika diperlukan sebarang perubahan dan campurtangan demi kemaslahatan manusia, baginda Rasulullah s.a.w memperkenankan tindakan tersebut.

Islam melihat segala tindak tanduk dan perilaku penganutnya adalah berdasarkan ketentuan yang telah ditetapkan Allah s.w.t. seperti yang dicatatkan di dalam al-Quran dan sunah. Semua Muslim adalah bersaudara dan segala apa yang terdapat di atas bumi dan alam ini adalah milik abadi-Nya.

Muhammad Uthman El-Muhammady menerusi tulisannya bertajuk “Perspektif Islam Terhadap Sempadan Bioteknologi” telah menggariskan beberapa yang mana antara perkara yang turut ditekankan ialah keperluan kepada pengguna bioteknologi secara bertanggungjawab sesuai dengan peranan manusia sebagai khalifah di muka bumi (laman sesawang rasmi JAIS).

Isu berkenaan makanan dan proses GM ini masih lagi baru dalam negara ini. Seperti juga negara-negara yang awal mengenalinya, Malaysia tidak terkecuali dalam membahaskannya dari pelbagai sudut. Sebagai sebuah negara yang majoritinya beragama Islam, dan sebagai negara yang memandang tinggi potensi makanan ‘halalan toyibah’, kerajaan perlu menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) intensif daripada pelbagai sudut tanpa mengenepikan sumber syariah Islam itu sendiri iaitu al-Quran, sunah, ijmak dan qias.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s