Pola Cuaca Aneh

Posted: Februari 21, 2008 in think tank thought

345-21686family-ties-posters.jpg

Rekod bumi kini mencatatkan perkembangan pelik. Ketika penduduk Afrika Selatan memakai baju sejuk dengan anak kecilnya riang bermain salji, warga Amerika dan Eropah lebih selesa berpakaian tipis dan merendamkan kaki di air pancut akibat cuaca panas melampau.

Tidak ketinggalan beberapa siri taufan yang semakin kerap dan ganas, termasuk berstatus taufan raksasa menggegarkan China ketika banjir terus menelan korbannya dari Pakistan, Habsyah, Korea sehinggalah ke India.

Ternyata, pola cuaca yang aneh telah memporak-perandakan kitaran normal sarwajagat. Ramai kalangan saintis mengaitkan keadaan pelik itu sebagai kesan pemanasan global iaitu satu keadaan yang dijangka berlarutan akibat pencemaran gas rumah hijau hasil pembakaran bahan fosil yang terperangkap dalam atmosfera.

Laporan Penilaian Ke-4 (Perubahan Iklim 2007) Panel Antara Kerajaan Perubahan Iklim (IPCC) mendedahkan bahawa di peringkat global, suhu bumi telah meningkat sebanyak kira-kira dua darjah dan kenaikan ini berbeza dari satu rantau ke satu rantau yang lain. Kawasan Artik umpamanya semakin menjadi panas pada kadar yang lebih pantas berbanding bahagian lain dunia.

“Apabila suhu meningkat, bumi akan bertindak kepada peningkatan suhu yang akan membawa kepada perubahan iklim,” tegas Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, ketua Jabatan Geografi, Universiti Malaya.

Jelasnya, kitaran bumi untuk perbezaan iklim yang paling pendek ialah 10,000 tahun tetapi sekarang yang dibincangkan ialah kira-kira 100 tahun, jarak hanya dua generasi sahaja.

“Jika kita terus-menerus dengan cara hidup kita sekarang, kita mungkin berhadapan dengan 700 ppm menjelang tahun 2099. Tahun yang mana para saintis meramalkan keseluruhan ais di Artik akan mencair dan membanjiri dunia,” tambah Prof Datuk Dr Azizan.

Sejak era industri pada abad ke-18 manusia telah mencatatkan perihal berkenaan perubahan iklim ini. Sembilan puluh lapan peratus pemanasan global yang dialami dunia kini adalah berpunca daripada pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil. Kepekatan karbon dioksida di atmosfera juga telah meningkat daripada kira-kira 280 bahagian sejuta (ppm) dicatat di kurun ke-18 (sebelum era revolusi perindustrian) kepada 379 ppm pada tahun 2005.

Semenjak itu, iklim dunia seakan sukar diramal lagi. Malaysia tidak terkecuali. Banjir mengejut menyebabkan beberapa bandar di Johor lumpuh, manakala musim tengkujuh di Pantai Timur juga semakin tidak menentu. Di benua lain termasuk Asia, pola cuaca aneh menyaksikan terdapat negara mengalami musim kemarau lebih panjang daripada biasa, ribut dan taufan lebih mengganas selain kejadian gempa bumi yang semakin menggerunkan yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.

“Disebabkan pelbagai bencana alam tidak diduga sejak lima tahun terakhir ini, lebih AS$6 bilion (RM21 bilion) dibelanjakan setiap tahun bagi membantu mangsa kejadian. Terburuk setakat ini ialah kejadian ombak besar tsunami, yang bukan saja memusnahkan bandar Acheh dan kepulauan sekitarnya, bahkan turut mengorbankan ribuan nyawa lain di Malaysia, Thailand, Sri Lanka dan selatan India,” kata Marcel Alers, pegawai yang memantau pembangunan dan pengurusan perubahan cuaca bagi Kemudahan Alam Sekitar Global (GEF) yang berada di bawah Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” (Surah Ar-Ruum-41).

Menyedari kesilapan sendiri, terdapat negara-negara mula berusaha mengubah situasi ini. Kerjasama rapat di kalangan negara Kesatuan Eropah (EU) sejak akhir awal l 970-an, antaranya, berjaya membantu memulihkan alam sekitar di kebanyakan negara-negara kesatuan itu.

Contohnya, beberapa sungai di Jerman yang sebelum ini teruk tercemar berjaya dipulihkan sehingga ikan mula kembali ke dalam sungai berkenaan. Tidak hairanlah, Jerman antara negara paling proaktif dalam mengatasi masalah pencemaran. Malah, sejak keruntuhan Tembok Berlin lebih 10 tahun dan penyatuan Jerman Barat dan Timur, negara itu menutup kilang pencemar utama terutama dari blok komunis.

Selain itu, Jerman dan kebanyakan negara EU juga telah melaksanakan pelbagai program termasuk meningkatkan penggunaan teknologi lebih mesra alam dalam industri, mewajibkan penggunaan penukar analitik dalam kenderaan dan melaksanakan program alam sekitar lengkap.

Ketika ini 141 negara yang mewakili 55 peratus pengeluaran karbon dunia juga sudah menandatangani protokol Kyoto dan masing-masing berikrar untuk mengurangkan gas beracun itu sebanyak 5.2 peratus menjelang 2012.

Tidak cukup dengan itu, pelbagai langkah pembaikpulihan telah diambil antaranya dengan memperkenalkan program kitar semula, mengambil langkah memerangi penebangan hutan secara tidak terkawal dan yang paling penting langkah mencari sumber tenaga baru bagi menggantikan sumber yang ada yang dilihat sebagai penyumbang utama berlakunya pengeluaran gas karbon dioksida.

Kesemua langkah-langkah yang diambil tersebut adalah bagi mencapai matlamat utama protokol iaitu untuk menstabilkan pengumpulan gas karbon di atmosfera di peringkat yang boleh mengelak ia memberi kesan kepada sistem iklim dunia.

Perubahan iklim yang berlaku walaupun telah diperakui berpunca daripada aktiviti manusia, tidak akan dapat dikembalikan keadaannya seperti dahulu. Langkah-langkah yang diambil ini hanya mampu melambatkan proses ‘kemusnahannya’ sahaja.

“Kita hanya akan mewariskan dunia yang amat panas kepada anak, cucu dan cicit kita,” tegas Prof Datuk Dr Azizan.

Namun, kendatipun begitu kesudahannya, jangan kita berhenti berharap dan berusaha. Apa yang perlu dilakukan adalah masing-masing tidak berhenti daripada memainkan peranan yang dibawa. Kita hanya perlu membayangkan alam ini sebagai sebuah rumah bagi keluarga yang besar. Setiap daripada kita adalah ahli keluarga rumah tersebut dan apa sahaja tindakan yang dilakukan oleh ahli keluarga pasti mempengaruhi ahli keluarga yang lain.

Komen-komen
  1. kamilsifu berkata:

    Salam..
    Setuju bahawa pola cuaca sekarang semakin pelik..Di Rusia,masa aku tahun pertama(2005),suhu jatuh sehingga -40 pada musim sejuk…semua kelas dan kuliah dibatalkan serta merta..difahamkan itu adalah musim sejuk terburuk dalam sejarah Rusia sejak berdekad lamanya…pada tahun yang sama juga,musim panas mencecah suhu 40 darjah,lebih panas dari Malaysia..bermakna dalam tempoh setahun,julat suhu di Rusia adalah sehingga 80 darjah..aku juga risau mendengar berita mengenai banjir yang pernah berlaku berhampiran kampungku di Batu Pahat,Johor (pelik Johor tidak dilanda banjir besar sebelum ini)…sememangnya semua ini adalah petanda dari Yang Maha Esa atas kerja-kerja manusia sendiri..sama2lah berusaha ke arah kebaikan untuk menjaga bumi yang dihuni ini..=]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s