Pertaruh Nyawa di Hujung Roda

Posted: Januari 22, 2008 in think tank thought

Mat rempit mengangkut pengundi? Seakan janggal dan mengerikan tetapi itulah cadangan ‘serampang dua mata’ yang diutarakan oleh Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai usahanya ‘memartabatkan’ golongan mat rempit ataupun sebagai sahutan bagi cabaran Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri Umno, Bibi Sharliza Mohd Khalid agar kaum lelaki dalam Umno memainkan peranan sebagai perayu undi pada pilihan raya ke-12 nanti.

Hujahnya, penggunaan motosikal dilihat sebagai suatu kaedah penyelesaian yang baik dan sesuai terutama bagi pengundi warga emas yang tinggal di kawasan-kawasan pedalaman yang sukar dimasuki kenderaaan lain seperti kereta selain dapat membantu Wanita dan Puteri Umno meraih undi.

Cadangan beliau ini disambut positif oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Tajol Rosli Ghazali yang melihat idea ini sebagai bersesuaian bukan sahaja dikawasan-kawasan pendalaman tetapi juga kawasan-kawasan bandar terutamanya bagi pusat pembuangan undi yang tidak dapat dimasuki oleh kereta di mana mat-mat rempit akan menunggu ditempat letak kereta.

Idea bagi ‘memartabatkan’ mat-mat rempit oleh gerakan Pemuda Umno ini dilihat sebagai usaha yang ‘berjaya’ mengundang pelbagai reaksi. Bermula dengan usaha Terjun Kutub Utara sehinggakan gotong-royong di masjid, menunjukkan seolah-olah Pemuda Umno menjerat diri mereka sendiri.

Mat-mat rempit yang cuba dibersihkan masih lagi tidak menunjukkan ‘tahap kebersihan yang diingini’. Perkara ini seakan misi mustahil. Bahkan, barisan jentera Pemuda sendiri secara tidak sedar telah menunjukkan rasa kurang yakin mereka terhadap mat-mat rempit ini dengan memohon bantuan anggota polis bagi mengawal sebarang tindakan luar kawalan yang mungkin berlaku apabila Karnival Putera Motor, iaitu program jelajah negara ke Bukit Jalil bersama 10,000 mat rempit yang sudah jelas mendapat reaksi negatif pihak polis diadakan kelak.

Idea penganjuran adalah bagi menarik minat mat-mat rempit ini menjadi ahli Putera Umno selain menjadikan mereka Rakan Cop yang bertindak sebagai mata dan telingga kerajaan.

Reaksi yang ditunjukkan pihak berkuasa polis sememangnya wajar memandangkan pengalaman mereka terhadap Ekspedisi Merdeka Putera Bermotor anjuran Pemuda yang membabitkan 8,000 mat rempit sebelum ini menimbulkan masalah kepada mereka. Daripada pengajaran ini dapat dinilai bahawa aktiviti-aktiviti berbentuk eskpedisi jelajah ini terbukti bukanlah suatu pendekatan yang bijak dalam usaha memartabatkan mat-mat rempit menjadi mat cemerlang seperti apa yang mereka inginkan itu.

Mat rempit telah diperakui ‘handal’ bukan sahaja dengan aksi-aksi bahaya menunggang motosikal, bahkan mereka juga cukup handal dalam hal-hal kebejatan lain terutamanya seks bebas, arak, dadah, gaduh dan ragut. Difahamkan apabila mereka ingin berlumba, ada sebahagiannya akan mengambil dadah terlebih dahulu sebagai tujuan ‘memberikan keberanian dan kekuatan’ untuk berlumba.

Bayangkan sekiranya mat-mat rempit ini diberikan tugas mengangkut pengundi nanti. Cabaran dari Puteri Umno ini, benar-benar disambut Pemudanya dengan cara yang agak ‘mengusarkan dan mengerikan’ rakyat yang pada masa ini masih lagi fobia dan tidak dapat menerima perilaku mat-mat rempit ini.

Sepatutnya apa yang perlu ditekankan adalah pemantapan akidah, jati diri dan pegangan agama mat-mat rempit ini yang jelas sangat cetek dan kabur. Apa yang diperlukan mereka adalah pendekatan kasih sayang dengan proses penerapan ilmu pengetahuan menerusi pelbagai aktiviti yang bercorak pembangunan remaja. Allah s.w.t telah menurunkan al-Quran sebagai panduan dan Rasulullah s.a.w. juga telah mewasiatkan sunahnya, berpegang kepada kedua-duanya, nescaya kehidupan manusia tidak akan hilang arah. Setiap persoalan dan penyelesaian terkandung di dalamnya bukannya sama-sama berekspedisi dan berkonvoi seakan memberikan pengiktirafan kepada perilaku mereka pula.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”. ( Al Baqarah: 195 )

Bagi usaha menjadikan mat-mat rempit ini sebagai perayu undi, diharap perkara ini diperhalusi dengan melihat kepada realiti bahawasanya mat-mat rempit ini senonim dengan tindakan luar kawalan yang mana ditakuti menodai usaha Pemuda sendiri.

Jika direalisasikan hasrat ini, kita saksikan siapa yang betul-betul berani mempertaruhkan nyawanya ditangan mat-mat rempit ini menjelang pilihan raya ke-12 nanti!


Komen-komen
  1. NikShikin berkata:

    Kembali kepada Allah adalah satu-satunya cara.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s