Oleokimia Sawit: ‘Emas Hitam’ Kebanggaan Negara

Posted: Disember 27, 2007 in think tank thought

Kepesatan industri minyak kelapa sawit negara boleh dikatakan sebagai suatu fenomena yang memberi manfaat kepada ekonomi negara. Minyak sawit telah diperakui satu-satunya minyak makan yang kerap dan amat mendalam diselidiki oleh ahli saintis dan para pakar makanan yang terkemuka di dalam dan luar negeri dan diterima ramai kerana sifat-sifatnya dalam membantu pencegahan penyakit jantung, tidak mengandungi kolesterol serta kaya dengan vitamin E dan beta karotin yang mana menjadi agen anti-penyakit barah.

Semenjak 40 tahun, industri minyak kelapa sawit telah menjadi industri terpenting negara hingga telah mengangkat nama negara sebagai pengeluar dan pengeksport minyak kelapa sawit terbesar dunia. Selaras dengan perkembangan ini, perladangannya juga turut diperluaskan daripada 55,000 hektar pada tahun 1960 kepada lebih 3.31 juta hektar pada tahun 1999.

Pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) negara turut meningkat daripada 92,000 ton pada tahun 1960 meningkat sejuta ton pada tahun 1974 dan terus meningkat kepada 15.9 juta ton dalam tahun 2006 berbanding dengan 15 juta ton dalam 2005 (Lembaga Minyak Sawit Malaysia, (MPOB), statistik 2006).

Seperti yang diketahui, aktiviti ekonomi negara ini sejak dulu lagi berlandaskan kepada pertanian. Oleh itu fokus R&D juga menitikberatkan kepada pengeluaran bahan-bahan pertanian dan produktiviti pertanian.

Sebagai langkah pertama, negara telah memberikan tumpuannya ke arah aspek-aspek lain yang berkaitan dengan pembangunan dan pengeluaran barangan hiliran yang dapat dihasilkan daripada bahan mentah pertanian. Negara telah merancang strategi ini dengan memulakan sektor perladangan yang dapat membekalkan sumber minyak dan lemak daripada sektor perladangan kelapa dan kelapa sawit. Justeru, bertitik-tolak daripada fenomena kepesatan industri minyak kelapa sawit ini, industri oleokimia negara turut berkembang bermula pada tahun 1980.

Langkah Universiti Kebangsaan Malaysia dengan menubuhkan Program Oleokimia pada tahun 1998, sebagai salah satu bidang sains yang dapat membantu negara untuk terus menerajui industri oleokimia dunia turut membantu perkembangan pesat industri ini.

Dengan hanya sebuah kilang pada 1982, bilangannya meningkat kepada 13 buah kilang yang beroperasi pada 1997 dengan jumlah kapasiti yang dibenarkan sebanyak 823, 562 ton setahun. Kemampanan bekalan minyak kernel (isirung) sawit dan minyak kelapa sawit telah menyumbang kepada pertumbuhan industri oleokimia di Malaysia.

Industri yang bermula pada 1979 ini telah menjadi di antara yang terbesar di dunia, dengan kapasiti pembuatan 20 peratus daripada jumlah penghasilan produk asas olekimia dunia. Pada tahun 2003, sebanyak 17 syarikat beroperasi di Malaysia dengan kapasiti penghasilan kira-kira 1.9 juta ton. Kebanyakan produk olekimia yang dieksport adalah asid lemak (45 peratus), asid ester dan alkohol (18.2 peratus) dan gliserin (11 peratus).

Sebatian oleokimia adalah bahan-bahan kimia yang boleh dihasilkan daripada bahan asas minyak dan lemak daripada tumbuhan, haiwan dan petroleum. Bahan-bahan oleokimia digunakan sebagai bahan asas dalam industri sama ada dalam industri makanan dan juga bukan makanan setelah melakukan penambahan dan pengubahsuaian tertentu untuk menukarkannya kepada pelbagai sebatian oleokimia lain untuk pelbagai guna.

Potensi pembangunan industri oleokimia sawit adalah tinggi dengan skop pengeluaran barangan yang amat luas. Ia telah dikenalpasti sebagai sumber alternatif yang mesra alam dan terjana secara semula jadi bagi menggantikan bahan asas petroleum yang semakin terancam dan meruncing disebabkan masalah pencemaran alam dan simpanan bahan asas petroleum yang semakin berkurangan dan sukar diganti dalam masa terdekat.

Dengan harga minyak di dalam pasaran dunia kini senantiasa berada dalam paras tertinggi dan membebankan secara tidak langsung meningkatkan kos penghasilan bahan berkaitan petroleum yang lain. Oleh yang demikian itu, industri oleokimia dijangka mengalami peningkatan memandangkan barangan yang dihasilkan menerusinya memiliki lebih banyak kelebihan berbanding bahan daripada petrokimia (berasaskan petroleum) antaranya faktor kos yang lebih menjimatkan dan faktor mesra alam.

Pelbagai jenis barangan siap dapat dihasilkan daripada oleokimia seperti bahan pencuci, kosmetik, pelincir, aditif, plastik, bahan bakar, farmaseutikal, bahan kimia untuk industri dan pertanian. Produk-produk lain termasuk makanan haiwan, cat polimer, bahan campuran makanan, alat pemangkin pemprosesan dan sebagainya.

Kejayaan penghasilan biofuel atau biodiesel, gris, minyak pelincir, dan sebagainya menerusi R&D yang dijalankan daripada minyak sawit, misalnya, untuk digunakan dalam semua jenis kenderaan darat dan laut, memungkinkan Malaysia akan terus muncul sebagai negara yang berdaya saing dipentas dunia.

Komen-komen
  1. masitah berkata:

    menarik..mohon copy ye..tq

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s