Peristiwa Semasa Sidang Media Bersama Mak Cik Eshah

Posted: November 23, 2007 in think tank thought

esah_sulaimanpsd.jpg

WARTAWAN: Mak cik, apa perasaan mak cik selepas dinobatkan sebagai Tokoh Ibu Mithali kesembilan ini?

HAJAH ESHAH DIN: Tak sangka. Semua kuasa Allah. Rezeki anak-anak. Mak cik seronok dan bangga.

WARTAWAN: Semua anak-anak mak cik hadir?

HAJAH ESHAH DIN: Lima keluarga (anak) sahaja yang tidak hadir. Yang lain semua ada. Satu bas yang datang.

WARTAWAN: Mak cik, boleh cerita sedikit bagaimana mak cik membesarkan kesemua 17 orang anak mak cik?

HAJAH ESHAH DIN: Membesarkan anak yang ramai memang susah, tapi mak cik dan suami lebih rela tidak makan asalkan perut anak terisi. Walaupun makanan yang ada sedikit, ia akan dibahagikan sama rata. Sikit sama sikit, banyak sama banyak. Kadang-kadang anak yang datang dahulu siap ukur kuih tengok jika ada yang dipotong besar sedikit (disambut dengan derai ketawa para wartawan).

Sudah namanya kanak-kanak, tentu mereka pun bergaduh juga sebab suka berebut, waktu itu pak cik menggunakan ketegasannya seperti merotan supaya mereka belajar bertolak ansur.

“Dulu anak-anak mak cik masa kecil, semua makan pisang lecek (lenyek) dan minum susu cap junjung. Zaman dulu mana ada ‘Nestum’ macam zaman sekarang. Cuma anak mak cik yang bongsu, Norhana, yang sekarang di Mesir itu saja yang merasa makan ‘Nestum’.

Mak cik dan pak cik kerja menoreh di estet. Menoreh pada masa itu dapat RM2.80 sehari. Mana cukup. Kadang-kadang bila tolak itu dan ini tinggallah 20 sen dalam tangan.

Sebab itulah mak cik perlu cari pendapatan lain, dengan kemahiran yang ada, mak cik buat jamu dan menjualnya kepada penduduk kampung. Mak cik memang tidak boleh duduk diam. Mak cik akan buat sesuatu untuk dapatkan wang. Kadang-kadang lepas pantang saja terus mak cik panjat bukit menoreh semula di estet. Sambil-sambil itu mak cik juga jual kuih, nasi lemak dan bihun. Mak cik juga akan ambil upah menyulam…mak cik buat kerja sampai anak terjaga daripada tidur.

WARTAWAN: Mak cik, mak cik tak bersekolah. Difahamkan mak cik dan pak cik dua-dua buta huruf. Jadi macam mana mak cik mengajar anak-anak sehinggakan 13 daripada mereka berkelulusan universiti?

HAJAH ESHAH DIN: Mak cik tak sekolah. Macam mana nak ajar…Mak cik mengaji kampung sahaja. Makcik memperingatkan mereka sahaja. Tapi kalau pada buku sekolah anak-anak ada tanda merah, mak cik tahu, itu tandanya salah. Pak cik pula bila tengok tanda merah, itu tandanya anak buat salah. Dia memang marah dan akan rotan dan ‘tibai’ mereka. Memang kasihan tengok bekas rotan pada badan anak tapi mak cik tahu, itu untuk kebaikan.

Mak cik sentiasa menyuruh anak-anak membaca buku setiap kali mereka balik dari sekolah. Jika mereka nak bermain boleh, tetapi selepas baca buku. Pada sebelah malam, Lepas mengaji al-Quran di rumah Tok, mereka mesti ada di rumah. Mak cik tak benarkan mereka tidur di rumah saudara-mara. Kalau susah, biar kita di rumah sendiri.

WARTAWAN: Mak cik, boleh mak cik beritahu prinsip yang mak cik pegang dalam mendidik anak-anak?

HAJAH ESHAH DIN: Apa prinsip-prinsip. Mak cik tak ada prinsip-prinsip dalam mengajar anak-anak. Tapi masa anak-anak kena ‘tibai’, mak jangan masuk campur. Mak cik tak pernah rotan, tapi pak cik ‘tibai’ cukup-cukup…

KELUAR dari bilik persidangan media, penulis faham kini mengapa beliau memang layak menerima anugerah Tokoh Ibu Mithali tersebut. Pengorbanannya cukup menyentuh perasaan sehinggakan ada satu masa beliau suami isteri sanggup bergolok bergadai tanah dan barang kemas yang ada semata-mata demi melihat anak-anak berjaya.

Membesarkan anak-anak yang ramai dengan pelbagai karenah bukannya mudah. Ditambah pula dengan taraf hidup yang serba kekurangan, Mak Cik Eshah dan suami, Pak Cik Sulaiman tidak pernah meminta-minta akan bantuan daripada sesiapa waima pada kerajaan sekalipun.

Katanya, “Mak cik tak pernah dapat bantuan daripada sesiapa. Kalau diberi sekalipun mak cik tidak mahu. Jangan diberikan bantuan. Di kampung mak cik banyak yang hidup malas tidak mahu bekerja kerana mengharapkan bantuan sahaja. Macam itu tidak baik. Mak cik tak setuju cara sebegitu.”

Beliau suami isteri sememangnya memegang pada prinsip “Sedikit sama sedikit, banyak sama banyak.” Buktinya, beliau sanggup bersusah-payah daripada menoreh getah hinggalah membuat kuih-muih, nasi lemak dan bihun goreng, menyulam dan membuat jamu. Tidak pernah sama sekali meminta-minta belas ihsan.

“Walau berada dalam keadaan serba kekurangan, mak tak pernah merungut tentang kesusahan membesarkan kami adik-beradik. Mak tidak pernah jemu menolong bapa menoreh di Ladang Malakof dekat Tawar walaupun jauhnya lima kilometer dari rumah (Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil, Kedah).

‘‘Mak sanggup mendaki bukit untuk menoreh getah ketika mengandung sembilan bulan dan segala kepayahan ditanggungnya sendiri,’’ kata anak perempuan sulung Mak Cik Eshah, Rosilah, seorang guru, sambil menitiskan air mata.

Kisah perjalanan hidup Makcik Eshah sangat terkesan di hati penulis. Semangat dan kegigihannya wajar dijadikan contoh teladan bagi seluruh kaum ibu khasnya dan wanita keseluruhan amnya di Malaysia. Melalui kegigihan dan semangat wajarnya telah membuktikan betapa benar, tanggan yang menghayun buaian, bisa menggoncangkan dunia!

…Duhai apakah gerangan budi balasan
Bagi insan melahirkan, membesarkan
Bercucuran airmata bila mengenangkan
Betapakah besar budi ibunda berikan
Siang malam menderita
Hingga entah bila
Sungguh besar pengorbanan
Ibunda berikan…

(sebahagian lirik lagu “Syurga di Telapak Kaki Ibu” – nyanyian asal, Eddy Silitonga)

Komen-komen
  1. kipp berkata:

    Seronok dapat baca kisah makcik ni….

  2. Think tank berkata:

    jika saudara berada semasa sidang media tersebut lagi terasa kehangatannya. gamat satu dewan dibuatnya! ;0

  3. shahrulnizam berkata:

    ibu dan pengorbanan-ibarat kembar siam!

  4. Think tank berkata:

    Setuju…setiap ibu pasti mengharungi pengorbanan dalam membesarkan anak-anak dan memelihara keluarga tercinta.

  5. melin berkata:

    pengorbanan seorang ibu memang tiada tolok bandingnya..hanya seorang ibu yang tahu keperitan melahirkan dan kepayahan menjaga seorang anak..

  6. melin berkata:

    namun,,semua itulah yang menjadi kebahagiaan bagi mereka..hargailah mereka..=’c

  7. ame_lynn berkata:

    zaman sekarang ni susah nak cari anak yang tahu mengenang pengorbanan seorang ibu..apa-apa kem yang dibuat kat sekolah yang bagi kesedaran kat anak-anak pun tak memberi apa-apa kesan..kalau berkesan pun,,masa tu je..sampai kat rumah,,sekelip mata boleh berubah..buat perangai tak senonoh lagi.._luahan hati anak-anak yang menyesali_

  8. ame_lynn berkata:

    seorang ibu boleh menjaga seramai mana pun anak,,tetapi seorang anak belum tentu boleh menjaga seorang anak..!!

  9. ame_lynn berkata:

    pembetulan:seorang ibu boleh menjaga seramai mana pun anak,,tetapi seorang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu..!!

  10. fendy_dey berkata:

    sedeh biler baca kisah pngorbanan…

  11. tranz berkata:

    …..

  12. Jamiah berkata:

    Salam,

    Terima kasih. Saya muatkan dalam laman blog Pembangunan Keluarga. Semoga tidak menjadi kesalahan.

  13. winas berkata:

    salam…..
    sukanya baca artikel sal ibu mithali niey…
    rasa cam nak tngk sndr dugaan dorang …
    barulah ada kick….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s