Penantian suatu penyiksaan!

Posted: Oktober 26, 2007 in think tank thought

Bayangkan ‘sebahagian daripada anda’ menjadi sebahagian daripada yang lain. Bolehkah anda bayangkan hati atau jantung atau mata anda ‘digunapakai semula’ atau diberikan kepada orang lain apabila anda meninggal kelak?

Tidak sanggup? Tidak dapat membayangkannya?

Namun adakah anda sedar bahawa sebahagian daripada anda itu boleh mengubah hidup dan memberi manfaat kepada individu lain?

Mengikut statistik Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN), 6,548 pesakit kritikal di seluruh negara sehingga kini masih menunggu dan mengharapkan simpati orang ramai untuk menderma organ.

Menurut Kementerian Kesihatan, sebanyak 1,200 buah pinggang, 700 kornea, 450 jantung dan 200 hati diperlukan setiap tahun oleh pesakit untuk meneruskan kehidupan.

Statistik pendermaan organ pula sehingga 31 Julai lepas, hanya 180 kes sahaja dapat disempurnakan walaupun seramai 108,000 rakyat telah berikrar dan mendaftar sebagai penderma (merujuk statistik sehingga Jun 2007).

Bayangkan berapa banyak nyawa yang anda boleh selamatkan dengan mendermakan sebahagian daripada diri anda itu.

Anda bersedia untuk menderma?

Syabas! Anda telah mencapai suatu kesedaran sivik yang paling tinggi. Satu masalah telah selesai. Namun ada satu lagi masalah yang paling besar. Bukan dari anda kerana kesedaran dan pengorbanan anda itu sangat besar pahalanya untuk dihitung.

Kerana adakah anda tahu bahawa agama Islam sendiri memandang pengorbanan anda untuk menderma organ sebagai suatu keharusan yang dituntut. Fatwa juga telah dikeluarkan lebih 30 tahun lamanya (sejak Oktober 1970) berkenaan pendermaan organ ini.

Majlis Fatwa Kebangsaan memfatwakan bahawasanya adalah harus bagi seorang Muslim mendermakan organ mereka dengan syarat, manfaatnya adalah lebih berbanding mudarat dan mendapat keizinan si mati sebelum kematiannya.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah menetapkan garis panduan yang mengharuskan pendermaan organ dilakukan dengan mengambil kira empat pertimbangan berikut:

* Dalam keadaan mendesak bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya difikirkan berjaya;

* Dalam keadaan pemindahan jantung, penderma telah disahkan meninggal dunia;

* Tidak ada unsur perdagangan atau jual beli bagi organ itu;

* Kebenaran diperoleh daripada penderma sebelum pemindahan sebarang organ dalam kematian biasa, atau daripada anggota keluarga, jika kematian secara mendadak seperti kemalangan.

Agama telah membenarkan, si penderma juga telah memberikan kesanggupan untuk menderma. Namun, budaya, amalan dan kepercayaan kolot kaum keluarga dan sanak saudara pula menjadi masalah. Ramai yang memegang kepercayaan bahawasanya mayat tidak boleh disakiti dan mayat harus disempurnakan dengan organ dan fizikalnya yang lengkap. Justeru, pemindahan akan hanya menyakitkan dan mencacatkan mayat.

Kesanggupan dan pengorbanan yang sedia diikrarkan oleh penderma tadi hanya menjadi mimpi indah bagi bukan sahaja si penderma tetapi juga si penerima yang mengharapkan belas kasihan seperti menunggu buah yang tidak gugur.

Menurut Kementerian Kesihatan, walaupun seramai 108,000 rakyat telah berikrar untuk mendermakan organ mereka, hanya 25 orang sahaja yang berbuat demikian tahun lepas hanya kerana kaum keluarga tidak membenarkan mayat saudaranya ‘disakiti dan dicacatkan’.

Perlu diketahui bahawa proses pendermaan organ tidak berlaku dengan mudah. Ia dilakukan mengikut prosedur yang sudah ditetapkan. Pengambilan organ hanya dibuat selepas segala usaha dilakukan untuk menyelamatkan nyawa pesakit tidak berjaya dan pesakit disahkan mati otak.

Seseorang yang mati otak pula perlu menggunakan mesin pernafasan dan sokongan ubatan bagi melengahkan pemberhentian denyutan jantung buat seketika. Apabila seseorang itu disahkan kematian otak, bermakna dia sudah meninggal dunia.

Pengesahan mati otak perlu dibuat oleh dua doktor pakar bertauliah dan tidak mempunyai kaitan dengan pendermaan organ bagi mengelak sebarang bentuk kepentingan. Selepas keluarga pesakit bersetuju untuk mendermakan organ barulah proses pendermaan organ dilakukan.

Adalah suatu yang amat merugikan jika mentaliti ini masih lagi dipegang teguh. Agama telah membenarkan, si penderma juga sudah berikrar untuk menderma tetapi malangnya pengorbanan itu masih lagi tidak dapat ditunaikan. Sebanyak 6,000 yang mengalami mati otak akibat kemalangan setiap tahun (Menteri Kesihatan, Dr Chua Soi Lek, Utusan Malaysia, 4 Oktober 2007) dan organ-organ mereka boleh didermakan, hanya terkubur begitu sahaja.

Angka 1,000 hingga 1,500 sebulan yang berikrar untuk mendermakan organ mereka itu akan hanya menjadi sia-sia belaka.

Yang menanggung malang adalah 6,548 pesakit yang menanti…

Komen-komen
  1. shahrulnizam berkata:

    Moga lebih ramai akan menderma!

  2. Think tank berkata:

    menderma dan merelakan…

  3. KNizam berkata:

    jom register. hehehehhehe🙂

  4. Think tank berkata:

    ajak semua saudara dan taulan sekali…

  5. ernazanera berkata:

    derma biar ikhlas untuk mendapat keredahan yang maha esa

  6. gonggok_xrempit berkata:

    jom ajak mat rempit derma sekali….baguih ni

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s