Gelombang globalisasi antara dua sisi

Posted: September 28, 2007 in think tank thought

globalization.jpgGlobalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia di bawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet, media elektronik dan teknologi siber. Perkembangan ini memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat.

Globalisasi juga dilihat sebagai suatu himpunan proses pengaliran global berbagai-bagai jenis objek yang melibatkan pelbagai bidang aktiviti manusia. Objek yang diglobalisasikan boleh jadi fizikal atau bukan fizikal. Boleh jadi ia dalam bentuk maklumat, idea, nilai, institusi, atau sistem. Himpunan proses pengaliran global ini dan bidang aktiviti manusia yang terlibat kian kait mengait, saling bergantung dan kompleks sifatnya (Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar).

Secara harfiahnya, globalisasi bermaksud sejagat. Ini bermakna bahawa segala aspek kehidupan sama ada dari segi budaya, kesenian, ekonomi, sosial dan sebagainya kini tiada lagi batas sempadan antara satu bangsa, negara atau peradaban. Secara mudahnya, kini tiada lagi unsur pemisah yang ketara antara sesebuah kebudayaan, kesenian, strata sosial antara satu bangsa dengan satu bangsa atau satu negara dengan negara yang lain. Wujud pula satu kampung kesejagatan untuk seluruh dunia. Maka timbullah sikap saling mempengaruhi antara satu budaya dengan budaya yang lain. Pada era ini, penapisan menjadi sesuatu yang amat mustahil.

Menurut Kamus Dewan, globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manakala cendikiawan Barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan.

Alvin Toffler menerusi bukunya “Third Wave” pula mentafsirkan fenomena globalisasi sebagai suatu gelombang ketiga:

“…Kita sedang berada pada abad di mana berlaku gelombang ketiga. Fenomena paling menonjol yang tengah terjadi pada kurun waktu ini adalah terjadinya proses globalisasi. Perubahan yang demikian menyebabkan terjadinya pula pergeseran kekuasaan dari pusat kekuasaan yang bersumber pada tanah, kemudian kepada kapital atau modal, selanjutnya (dalam gelombang ketiga) kepada penguasaan terhadap informasi (ilmu pengetahuan dan teknologi)…”

Globalisasi pada John Naisbitt menerusi bukunya “Global Paradox” pula melihat kepada sisi yang lebih positif. Menurutnya, kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi telah membuatkan peranan kuasa dan ideologi mengalami fasa surut. Manakala menurutnya lagi, jika dilihat dari sudut ekonomi, semakin besar dan semakin terbuka ekonomi dunia, semakin perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana akan mendominasi pasaran dunia.

Matlamat globalisasi menurut Ahmad Faraj antara lain adalah untuk menjadikan semua aktiviti hidup setiap bangsa di dunia seperti ekonomi, industri, pemikiran, budaya, keilmuan, ciptaan dan penghasilan industri, hak kemanusiaan, alat perhubungan, teknologi maklumat dan sebagainya itu bersifat global dan tidak lagi menjadi ciri kepada mana-mana bangsa atau sejarah mereka, baik yang bersifat agama, keturunan atau budaya.

Dalam era globalisasi ini, dunia semakin dikecilkan ruangnya daripada yang asal. Jika dahulu dunia ini seluas saujana mata memandang dan dipagari dengan sempadan-sempadan namun kini ia tidak berlaku lagi. Ledakan teknologi maklumat yang pesat merupakan medium utama kepada agenda globalisasi ini.

Dunia bukan sahaja tidak bersempadan geografi tetapi pengaruh globalisasi menjangkau sempadan ekonomi, teknologi, bahasa, budaya, ideologi, politik dan dari segenap aspek kehidupan sesebuah masyarakat. Antaranya adalah wujudnya kesedaran mengenai kekangan hidup terutamanya selepas Perang Dunia Kedua yang membawa malapetaka kepada manusia. Penubuhan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) misalnya yang bertujuan memelihara kedaulatan dan membela nasib manusia terutama dalam pelbagai isu berkaitan dengan peperangan dan kedamaian, pembangunan dan kemunduran, demokrasi, hak asasi manusia, bencana alam dan sebagainya.

Globalisasi juga mencetus budaya sains dan teknologi maklumat dengan memperlihatkan perkembangan pesat media komunikasi yang menghapuskan jarak dan sempadan yang secara sedar atau tidak telah menularkan agenda pengecilan dunia yang berpunca daripada fenomena ‘world at your finger tip’ atau kesertamertaan media.

Perkembangan dalam bidang ekonomi juga memperlihatkan kepesatan yang mengujakan khususnya perkembangan Syarikat Multinasional Corporation (MNC) yang begitu ketara semenjak akhir 1970-an yang menyaksikan syarikat-syarikat kapitalis besar dunia yang diungguli Amerika Syarikat mengungguli pentas ekonomi dunia.

Dari pandangan politik, dimensi globalisasi telah mewujudkan keadaan penyah-wilayahan; suatu proses yang melintasi sempadan dunia yang dikenali menerusi perwatakannya yang membawa idea demokrasi dan hak asasi manusia yang dianggap sebagai prinsip sarwajagat yang diwajibkan kepada semua umat manusia menerima dan ‘menganutinya’.

Sementara itu dari segi budaya pula terdapat penyebaran budaya pengguna dari Amerika Syarikat ke seluruh dunia yang disebut sebagai ‘McDonaldisation’ atau budaya McDonald.

Fenomena globalisasi yang menyerap masuk telah menolak budaya asal dan mengembangluaskan budaya baru yang biasanya berasal dari budaya bawaan Barat. Perluasan pasaran ekonomi bebas turut sama memesatkan budaya konsumer seperti ini sehingga ia menjadi suatu keadaan normal yang diterima tanpa soal (Ab. Rahman Ismail, 2003).

Antara bentuk dan corak budaya ‘McDonaldisation’ (merujuk kepada golongan remaja khasnya) adalah seperti berikut (www.yadim.com.my):

a) Materialisme

Sikap dan sifat yang mementingkan kebendaan, cuba ditanam dalam diri terutamanya golongan remaja. Mereka cuba dimomokkan dengan cara berbelanja, corak kehidupan, memilih kerja dan membina impian mereka. Segala perjalanan hidup mereka penuhi dengan nilai kebendaan semata-mata. Hingga ia melahirkan falsafah, guna segala sumber alam yang ada dan jangan fikirkan apa yang perlu ditinggalakan kepada genarasi akan datang. Ini kerana segala apa yang kita miliki perlu kita habiskan hari ini juga. Ini juga menyebabkan lahirnya gaya hidup berbelanja segala pendapatan yang diperolehi, tanpa perlu memikirkan keadaan akan datang. Konsep berbelanja denga sederhana serta, menjadi pengguna yang bertanggungjawab tidak wujud di dalam nilai kehidupan materialisme.

b) Hedonistik

Budaya hedonistik merupakan budaya berhibur dan bergembira. Dan bersuka-suka serta menjalani kehidupan yang sebebasnya demi memenuhi nafsu manusia yang tiada batasnya. Ini terangkum dalam peribahasa Barat yang menyatakan “bergembiralah engkau pada hari ini, puaskanlah nafsumu hari ini, kerana esok engkau akan mati”. Budaya hedonistik di kalangan remaja kian mudah dilihat dewasa ini.

Contohnya, hiburan yang dipilih hari ini, sering melangkah batasan norma sosial masyarakat timur. Misalnya, lirik-lirik lagu yang sering didengar kini hanya berkisar kepada persoalan cinta, seks, dan kebebasan tanpa batasan. Secara langsung ia membina norma negatif kehidupan remaja seperti menidakkan batasan pergaulan antara lelaki dan wanita, berhibur hingga melanggar batasan budaya dan sebagainya.

c) Individualistik

Gaya hidup yang mementingkan diri mula menjalar di dalam perasaan, sanubari dan perlakuan remaja hari ini. Remaja hari ini dimomokkan dengan tema kehidupan menafikan keperluan untuk berkongsi kegembiraan, kehidupan, tenaga, ilmu dan kesihatan bersama orang lain. Mereka berpendapat mereka bebas untuk mencemarkan alam sekitar, kerana itu hak mereka. Mereka bebas untuk bersikap tidak sopan seperti pergaulan bebas kerana itu juga hak mereka. Dalam masa yang sama remaja kini tidak lagi mempunyai sikap untuk membantu orang yang lebih tua, membantu ayah ibu, menyelesaikan masalah sahabat dan semangat gotong-royong. Segala nilai murni dalam kehidupan remaja telah dipenuhi dengan gaya penting diri dalam kehidupan moden ini.

d) Westernisasi (pembaratan)

Arus westernisasi mula mengocak dan cuba meruntuhkan segala budaya murni yang dimiliki oleh masyarakat Timur. Arus ini cuba meruntuhkan keyakinan remaja terhadap budaya, bahasa, kepercayaan, gaya dan nilai hidup remaja. Ini jelas dapat dilihat daripada corak pemakaian remaja yang lebih selesa memakai tali leher, berbaju kemeja, berseluar jeans, berseluar pendek, berbaju ketat dan memakai anting-anting bagi lelaki. Mereka sudah tidak yakin untuk memakai baju kebangsaan milik mereka untuk majlis rasmi, malahan dalam kehidupan harian, mereka juga cuba mengelakkan pakaian yang melambangkan mereka.

Dalam soalan pemakanan mereka lebih bangga memakan makanan barat seperti KFC, McDonald´s, Pizza Hut sebagai makanan yang melambangkan status mereka. Jika kita menoleh persoalan bahasa pula, remaja hari ini lebih selesa berbual dengan bahasa Inggeris berbanding dengan bahasa kebangsaan. Sewajarnya remaja harus menyedari segala proses westernisasi ini merupakan proses yang dirangka oleh barat, demi untuk menjajah setiap ruang kehidupan remaja dewasa ini.

e) Nasionalisme Sempit

Kita saban hari telah diracun oleh semangat perkauman dan cinta kepada bangsa dan negara yang terlalu sempit. Semangat ini disuntik dan ditanam semenjak kita kecil lagi untuk taksub kepada bangsa sendiri dan negara sendiri. Ini menyebabkan kita melebih-kelebihkan bangsa sendiri dan dalam masa yang sama menafikan yang setiap manusia yang diciptakan Allah sama tanpa ada bezanya. Yang membezakan kedudukan sesama manusia hanya iman dan takwa. Kita diberi kefahaman salah iaitu segala yang dilakukan sewajarnya diniatkan untuk bangsa ataupun negara semata-mata. Perkara ini menyebabkan kita tidak mengambil peduli segala kemiskinan, penindasan, penjajahan, ketidak adilan, pengeksploitasian, dan pembunuhan manusia sama ada di peringkat serantau atau antarabangsa. Ini kerana segala kecintaan kita dicurahkan kepada batasan bangsa dan sempadan negara sehingga menafikan perasaan perikemanusian, keadilan dan keamanan yang melangkaui batasan bangsa dan sempada negara.

Chandra Muzaffar, aktivis hak asasi manusia dan Presiden International Movement for a Just World (JUST) telah menyenaraikan lapan kebaikan globalisasi. Lapan aspek positif itu adalah:

1. Peranan pelaburan asing (FDI) dalam mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan di sebilangan negara;
2. Peningkatan mobiliti sosial dan pengukuhan kelas menengah;
3. Peluang yang lebih luas untuk mendapatkan maklumat dan menyebarkan ilmu pengetahuan berkat teknologi baru komunikasi dan maklumat;
4. Komunikasi yang lebuh mudah dan juga murah;
5. Peluang yang lebih luas untuk manusia dari berbagai-bagai kumpulan etnik, budaya dan agama berinteraksi,;
6. Peluang lebih luas untuk menzahirkan simpati dan rasa keperimanusiaan mereka terhadap mangsa-mangsa pelbagai jenis bencana alam dan tragedi buatan manusia di seluruh dunia;
7. Penonjolan idea-idea dan amalan pemerintahan yang baik seperti pertanggungjawaban awam, peraturan undang-undang dan hak-hak asasi manusia;
8. Penonjolan hak-hak asasi kaum wanita.

Walaubagaimanapun, beliau telah mengenalpasti 13 keburukan fenomena globalisasi ini kepada manusia jagat iaitu:

1. Kualiti alam sekitar yang semakin merosot sebagai akibat terlalu mementingkan faktor keuntungan;
2. Pembangunan yang tidak seimbang dan jurang perbezaan ekonomi yang semakin melebar antara kawasan-kawasan di sesebuah negara dan antara sektor-sektor ekonomi;
3. Pengabaian keperluan asas hidup di kalangan rakyat termiskin di banyak negara terutamanya di negara-negara Selatan;
4. Modal jangka pendek yang keluar masuk pasaran seperti kilat sebagai akibat amalan baru yang menjadikan wang sendiri sebagai komoditi keuntungan;
5. Pengangguran yang semakin memburuk dan jurang perbezaan pendapatann yang semakin melebar di negara-negara Utara sendiri;
6. Penyebaran budaya pengguna yang bertentangan dengan tuntutan nilai-nilai kerohanian dan moral yang murni dan yang merendahkan martabat keinsanan manusia;
7. Kecenderungan ke arah pembentukan suatu budaya global yang homogen menerusi peranan yang dimainkan oleh perbadanan transnasional dan media komunikasi global;
8. Penyebaran budaya pop Amerika yang “menyegarkan pancaindera dan mematikan roh”.
9. Kecenderungan pusat-pusat pengajian tinggi untuk memberi keutamaan kepada kursus-kursus ilmu pengurusan dan teknik dengan mengabaikan kursus-kursus ilmu kemanusiaan dan kemasyarakat;
10. Pembanjiran maklumat yang tidak berguna;
11. Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah memanipulasikan isu-isu demokrasi dan hak-hak asasi manusia untuk mendominasi politik dunia;
12. Pengantarabangsaan jenayah yang menyukarkan jenayah dibendung;
13. Pengantarabangsaan penyakit.

Dewasa ini, persoalan tentang globalisasi semakin menarik. Globalisasi yang semakin melebarkan ufuk jajahannya ke merata dunia sebenarnya telah lama wujud.

Menurut Riggs (1999), proses globalisasi telah wujud sejak 500 tahun yang lalu, namun ia hanya dikenal pasti dengan jelas selepas kejatuhan Soviet Union pada tahun 1991. Kenyataan ini menunjukkan proses globalisasi yang melanda dunia sekarang bukanlah satu proses yang baru berlaku. Lima ratus tahun dahulu globalisasi lebih dikenali sebagai kolonialisasi Barat ke atas negara mundur (membangun) akibat cetusan Revolusi Industri.

“…Apabila pihak Eropah membandingkan peradaban mereka sebagai satu peradaban yang sedang naik dan peradaban diluar Eropah pula dalam keadaan menurun, terjelma pada pihak Eropah wujudnya jurang diantara kedua-dua peradaban ini. Pihak Eropah yang berasaskan semangat progresivisme-ala-Judeo-Kristian berasa bertanggungjawab dan mengambil inisiatif untuk merapatkan jurang tersebut melalui salvatin (God, Goldy and Glory) atau dikenali sebagai imperialisme dan kolonialisme. Usaha ini kemudiannya dikonsepsikan sebagai modeniti…”

Globalisasi dalam era Islam tertonjol dalam empat bidang, iaitu bidang ilmu, bidang ekonomi khususnya perdagangan, bidang agama dan bidang sains dan teknologi.

Ilmu adalah salah satu penggerak utama peradaban Islam. Sikap positif Islam terhadap semua jenis ilmu pengetahuan telah memungkinkan tercetusnya gelombang pertama globalisasi ilmu yang pernah disaksikan oleh dunia. Dalam zaman kemegahannya, institusi ilmu seperti universiti betul-betul telah berperanan sebagai agen globalisasi ilmu dalam pengertian yang difahami hari ini. Pelajar-pelajar bukan Islam dari Cina di sebelah Timur dan dari England sebelah Barat seperti Roger Bacon dari Oxford telah menuntut di pusat-pusat ilmu dunia Islam untuk menimba ilmu pengetahuan (Bakar: ibid).

Islam mempunyai semangat globalisme dan sangat berminat untuk melihat segala persoalan kemanusiaan dari perspektif global. Salah satu sumbangan besar Islam terhadap peradaban dunia ialah semangat globalisme dan kesejagatan yang telah dipupuknya dan ditiupnya ke segenap penjuru dunia. Semangat inilah yang telah memungkinkan Islam menjadi pengasas penulisan sejarah dunia, ilmu perbandingan agama, sosiologi, tradisi sains sejagat, institusi saintifik bertaraf “antarabangsa” dan penggembaraan dunia. Tanpa terasas semua amalan yang berdimensi global ini, sudah pasti kemajuan dunia dan proses globalisasi di zaman-zaman berikutnya lebih perlahan (ibid).

Selama empat kurun, iaitu dari kurun kesepuluh hingga ke kurun ke empat belas Masehi, pelayar-pelayar Islam menjadi ‘raja laut’ yang tidak ada tandingan. Kemajuan dalam bidang pelayaran berkait rapat dengan kemajuan komunikasi dan globalisasi perdagangan. Maka bukanlah secara kebetulan sahaja Islam mendominasi perdagangan dan ekonomi dunia. Globalisasi agama turut berlaku dalam globalisasi perdagangan tersebut.

Di samping mempunyai semangat globalisme, Islam juga mempunyai institusi yang berperanan besar dalam meniupkan roh globalisasi di sepanjang zaman. Institusi haji merupakan agen terpenting globalisasi dalam peradaban Islam. Peranan institusi ini memang unik. Ia mencetuskan dan menggerakkan globalisasi dalam berbagai-bagai bidang termasuklah globalisasi maklumat dan ilmu dan globalisasi politik. Oleh kerana institusi ini bersifat kekal, maka peranannya sebagai agen terpenting globalisasi dalam Islam juga berkekalan (ibid).

Di Malaysia, gelombang globalisasi agak ketara kedengaran semenjak tahun 1990-an. Dari konteks wacana popular, konsep ini digunakan secara meluas oleh ahli-ahli politik, perniagaan, peneraju industri teknologi maklumat, pusat-pusat pemikir dan media massa. Menerusinya, globalisasi difahami sebagai dunia tanpa sempadan atau ‘global village’.

Negara dalam usaha agar tidak ketinggalan dalam fenomena globalisasi ini, telah mengadaptasikannya bagi tujuan pembangunan terutama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Berkeluasan 15 kilometer x 50 kilometer, merangkumi Putrajaya, Cyberjaya, Taman Teknologi dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Koridor Raya Multimedia (MSC) yang ditubuhkan pada tahun 1996 dilihat berjaya menjadi pemangkin pertumbuhan industri ICT negara. Pada masa ini MSC menjadi hos kepada 48 syarikat operasi perkongsian perkhidmatan dan penyumberan luar (SSO) berkelas dunia, yang mewujudkan kira-kira 11, 200 peluang pekerjaan.

Sebagai suatu usaha mempersiapkan diri menempuh fenomena dunia tanpa sempadan ini, menerusi Pelan Jalur Lebar Kebangsaan (NBP), negara telah mensasarkan kadar celik jalur lebar sebanyak 10 peratus menjelang tahun 2008. Pelan tersebut turut mempertingkatkan usaha memperluaskan kemudahan jalur lebar di kawasan bandar-bandar kecil dan daerah perkampungan menjelang tahun 2010.

Selain daripada itu, kemudahan yang dibawa oleh ICT juga memberikan satu kelebihan dari segi penyediaan asas yang kukuh bagi aplikasi teknologi dalam sektor awam mahupun swasta. Kebolehan ICT menukar cara bekerja dan mereka semula proses kerja yang diamalkan bukan sahaja dapat mengurangkan karenah birokrasi malah boleh memantapkan keutuhan pengurusan sesuatu organisasi. Dalam era globalisasi ini, ICT boleh membantu perlaksanaan sesuatu urusan dengan mudah, cepat, efisien, berkualiti dan produktif.

E-perolehan sebagai contoh adalah merupakan projek Kementerian Kewangan, iaitu satu daripada aplikasi utama kerajaan elektronik negara yang diperkenalkan menerusi inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC). Melalui ePerolehan, pembekal-pembekal dan pusat tanggungjawab (PTJ) kerajaan boleh melakukan urusniaga perolehan secara elektronik dari mula hingga akhir proses transaksi dalam persekitaran siber yang selamat, cepat, mudah dan terjamin tanpa melalui kerenah birokrasi yang rumit dan kalut.

Dalam usaha memperhebatkan lagi promosi MSC Malaysia di persada antarabangsa, negara telah merancang menganjurkan Minggu ICT Dunia di Kuala Lumpur pada Mei 2008. Pelbagai persidangan dan ekspo ICT bertaraf antarabangsa akan berlangsung, termasuk persidangan World Congress on IT 2008, persidangan United Nations Global Alliance on ICT for Development dan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa MSC.

Institusi ekonomi yang didasarkan kepada kewangan dan prinsip zakat adalah antara contoh penting pembangunan ekonomi yang sedang diusahakan negara. Negara melihat bahawa idea pembangunan ekonomi yang berteraskan ajaran-ajaran Islam juga boleh diglobalisasikan.

Antara usaha eksplisit dalam membangunkan ekonomi negara dengan komprehensif menurut kaca mata Islam Hadhari dalam era globalisasi ini ialah satu peruntukan tentang usaha untuk mempergiatkan Kewangan Islam. Malaysia telah berjaya mencapai perkembangan pesat dalam perkhidmatan kewangan Islam, terutamanya dalam meningkatkan saiz pelaburan, kecekapan perkhidmatan, kepelbagaian produk, pemantapan infrastruktur dan juga peningkatan bilangan institusi.

Malaysia juga telah mengambil inisiatif menganjurkan Persidangan Zakat Antarabangsa dengan harapan agar melalui persidangan tersebut, dapat mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim dan kerjasama antara negara-negara Islam dalam membangunkan ekonomi ummah melalui kekuatan ekonomi umat di dunia.

Ia dilihat sebagai suatu inisiatif kerjasama di kalangan negara-negara OIC, bagi mewujudkan satu mekanisma zakat di kalangan negara-negara anggota dengan satu niat untuk bertolong-tolongan di antara negara-negara anggota selaras dengan semangat persaudaraan Islam turut diperkenalkan dengan harapan agar kerjasama ini akan membolehkan penyaluran bantuan daripada negara OIC yang maju kepada negara anggota yang memerlukan bantuan yang akhirnya dapat membantu ummat Islam sejagat keluar daripada belenggu kemiskinan dan kejahilan.

Kesimpulannya, gelombang globalisasi kontemporari adalah yang terbesar dan terkuat pernah melanda dunia. Pengaruhnya sungguh besar dan luas sehingga ia meliputi semua bidang peradaban manusia. Demi menjamin proses pembinaan peradaban di negara ini di atas landasan kerohanian dan moral yang dituntut oleh Islam dan agama-agama lain berterusan tanpa banyak terjejas, kita dipanggil untuk menilai buruk baik fenomena globalisasi ini dengan lebih teliti lagi. Kebaikannya perlu dimakmurkan dan dimanfaatkan oleh rakyat negara ini. Keburukannya perlu dihindari dan diatasi sebaik mungkin.

Komen-komen
  1. Crown Princess Anouhea Audiya berkata:

    Di mana ouls dapat ni?

    Mak plagiat noks! hiks… jangan risau… nama nuls ader dalam reference nanti kalau artikel yang sama keluar!

    tandang juger ke blog mak ya noks!

  2. Think tank berkata:

    wat research kecil-kecilan je…:) dipersilakan la ambik…memang dibuat untuk rujukan adik-adik student ku semua…

  3. yumimi berkata:

    tengkiu….
    ia membantu dalam penghasilan assignment saya >_<

  4. dian berkata:

    thankz..nsib baik da kisah nie..klu x,xtau la nk cri maklumat untuk asmnt cm ner lg..

  5. gonggok_global berkata:

    fuh…nasib jumpa…..sempat lage ambil data ni…tq bro…..selamat esok….leh anto assignment……

  6. Think tank berkata:

    😉 selamat la ye…

  7. bie berkata:

    kesan aplikasi globalisasi dalam sesebuah organisasi

  8. bie berkata:

    kesan aplikasi globalisai dalam organisasi

  9. mei fung berkata:

    hahahha…nasib ada nie maklumat oo…hahah..lau x ada…abis dimarahi oleh ckgu ,sbb x bt keja umah yg di beri…

  10. Think tank berkata:

    mmmm nasib…

  11. oi wei berkata:

    amat sedih, masalah yang ditimbul oleh fenomena globisasi sukar dibendung,kerana negara-negara kaya seperti G8 enggan memberi kerjasama dan inisiatif, semua pun tamak dan pentingkan diri sendiri!

  12. asera berkata:

    thank’ a lot 4 this note..
    now, i have the ideas to do my assignment (“,)

  13. Clementine berkata:

    TQ, amat membantu dalam menyiapkan assignment saya!

  14. xtau berkata:

    erm…thanks…sbb dapat tlg ak wat assignment…

  15. deela berkata:

    fuh..menanges!! tbaek r tlg aku dlm penghasilan asgment heheheh

  16. wawa berkata:

    konfem TITAS dpt A…. iera,muna,dot,dLa…..group aku tu weyh hehehe

  17. fafa berkata:

    tq atas maklumat ni.cuba lihat nasionalisme dalam konteks globalisasi.banyak membantu untuk saya merangka tugasan.tq ye think tank.teruskan usaha.

  18. hana berkata:

    thanks…..sumber ini amat bermakna untuk kertas kerja saya…….boleh amik eh wat rujukan….

  19. Khairatun hisan berkata:

    Numpang copy yee cuman buat nambah bahan tugas…..
    Thanks

  20. nurell berkata:

    thanx, nice information for my group assignment…

  21. adah berkata:

    pinjam ek… nak buat esimen.. mekasih….

  22. Tunggu jawapan berkata:

    hai….nk tanya pa…. kesan globalisasi terhadap pasaran dunia..???

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s