Kepada Siapa Tidak Patut dan Siapa Patut Anda Dengar

Posted: Ogos 28, 2007 in think tank thought

hear.jpg

Penulis pernah menulis mengenai peristiwa 13 Mei 1969 walaupun penulis lahir sepuluh tahun selepas peristiwa berdarah itu tercetus. Penulis memahami peristiwa itu hanya melalui penulisan dan penceritaan lisan daripada guru dan ibu bapa penulis. Mengetahui dan memahami sesuatu peristiwa tanpa mengalaminya sendiri pada hemat penulis tidaklah sama perasaannya berbanding pengalaman mengalaminya dengan mata kepala sendiri.

Ibu bapa penulis merupakan antara manusia yang mengalami dan menyaksikan peristiwa berdarah itu. Mereka menyatakan betapa haru-birunya keadaan negara pada ketika itu. Ditambahkan pula pada waktu itu, ibu penulis hanya menunggu masa untuk melahirkan anak sulung (kakak sulung lahir pada 19 Mei 1969). Kakak penulis lahir tanpa bapa disisi kerana bapa terpaksa menghantar ibu ke kampung halaman ibu di Arau Perlis bagi mengelak sebarang malapetaka berlaku. Bayangkan betapa hibanya perasaan ibu pada ketika itu; melahirkan anak sulungnya tanpa suami disisi. Bayangkan juga perasaan bapa pada ketika itu; mengenangkan isteri dan anak yang jauh dimata dengan keadaan dirinya sendiri yang terhimpit dengan situasi yang bergolak.

Mengenangkan kembali peristiwa berdarah itu, cukup membuatkan penulis bersyukur dengan keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi negara kini. Namun, hati penulis seakan tergugat ketenteramannya tatkala membaca ruangan komentar di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 24 Ogos 2007 yang bertajuk, “Rakyat matang tak boleh beremosi” tulisan Datuk Abdul Rahman Sulaiman (bekas Ketua Pengarang Bernama dan pernah menjadi Ahli Parlimen, juga Penasihat Direktorat Pelaksanaan Negara). Bait-bait kata diperenggan ke-11 ini sangat meresahkan penulis: “Sebagai seorang wartawan yang terbabit membuat liputan peristiwa berkenaan untuk RTM ketika itu, suasana masyarakat menjelang peristiwa hitam dalam sejarah negara masih segar dalam ingatan. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa perkembangan sekarang mempunyai banyak persamaan dengan suasana beberapa bulan menjelang peristiwa 1969 itu.”

Kebangkitan isu-isu sensitif seperti kedudukan agama Islam, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera, kedudukan Raja Melayu, hak kaum di Malaysia, serta kontrak sosial yang dibangkitkan secara meluas sangat menggusarkan beliau tatkala negara sedang menanti detik ulang tahun kemerdekaannya yang ke-50. Kegusaran beliau itu turut dikongsi oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan tokoh politik dan rakyat supaya mengelakkan diri daripada menimbulkan isu-isu ini sambil merujuk kepada kemerdekaan yang dicapai adalah hasil daripada ikatan perpaduan kaum di Malaysia.

Sultan Selangor dan Datuk Abdul Rahman Sulaiman telah melalui dan menyaksikan peristiwa pahit 13 Mei 1969 itu. Kita, generasi selepas itu seharusnya menghormati dan menerima peringatan dan pesanan tersebut dengan hati yang terbuka dan matang.

Itu hanya merujuk kepada peristiwa berdarah 13 Mei 1969, tidak lagi ditambah dengan jerih perit pejuang bangsa dalam mencari kemerdekaan dan mengembalikan maruah negara dan bangsa yang tergadai akibat dijajah selama lebih 400 tahun itu.

Bangsa dijajah sangat lama dengan menuntut pelbagai pengorbanan. Adakah kita mahu mensia-siakan pengorbanan tersebut? Adakah adil tindakan itu kepada generasi akan datang? Masyarakat Malaysia, menurut Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim adalah sebuah “masyarakat yang diberi rahmat.” Menurut beliau, walau bagaimanapun negara mengalami jatuh bangun, negara akan tetap berupaya menanganinya. Ditambah pula dengan kira-kira 60 kumpulan etnik, Malaysia dilihat sebagai contoh wadah penyatu kumpulan etnik yang sebenar di Asia. Namun, yang bermain difikiran penulis adalah adakah dengan timbulnya pertikaian isu-isu ini, negara akan sentiasa dirahmati?

Kontrak sosial yang dicapai tidak seharusnya dipersoal dan dipertikai. Ketika zaman sebelum kemerdekaan, terlalu sedikit faktor untuk mengikat rakyat supaya bersatu. Dengan latarbelakang sejarah yang tidak sama dan tidak berkongsi visi untuk sebuah masa depan yang sama, rakyat pada ketika itu menjalani kehidupan yang berasingan, kaum bumiputera di perkampungan tradisional, kaum Cina di bandar-bandar dan di lombong bijih dan kaum India di ladang-ladang getah, ditambah pula dengan perbezaan ekonomi yang menekankan mengenai jurang budaya dan etnik. Namun, demi mencapai kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan negara, rakyat dapat bersatu dan bersama-sama pejuang negara berjuang serta berkorban bermati-matian.

Itu keadaan sebelum negara menggapai kemerdekaan. Kini, dengan kebangkitan isu-isu sensitif ini seakan timbul suatu ‘gerakan’ mahu memperlekehkan dan tidak mensyukuri keamanan dan pengorbanan pejuang dahulu oleh golongan muda mudi kini. Golongan muda mudi kini, seperti menurut Prof. DiRaja Ungku Aziz, lebih cenderung kepada angan-angan. Mereka harus betah membezakan antara realiti dan fantasi. Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim pula menyatakan bahawa mereka terlalu mementingkan diri sendiri dan mementingkan ganjaran serta hanya taksub mengejar kebendaan sehingga melupakan nilai murni kehidupan.

Sekali lagi penulis teringat dengan kegusaran Datuk Abdul Rahman Sulaiman. Teman-temannya ‘yang lebih muda’ (makluman, Datuk Abdul Rahman berusia 62 tahun) yang mana beliau lihat sebagai wakil kepada generasi muda itu menyatakan pandangan bahawa masyarakat Malaysia kini sudah matang, berfikiran terbuka, lebih berpelajaran dan bertolak ansur berbanding masyarakat pra-1969. Adakah pengakuan ini benar?

Penulis tidak mempunyai jawapannya.

Namun penulis tertarik dengan kata-kata Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim ini: “Anda tidak sepatutnya mendengar daripada orang yang banyak mengadu, anda patut dengar daripada mereka yang bersusah payah untuk mengenali negara.”

Komen-komen
  1. Bayan berkata:

    berkaitan dengan pertelagahan hak istimewa dan isu-isu yang berbaur perkauman, adalah diharapkan semua orang berhenti seketika, renung sejarah bangsa dan negara malaysia serta meninjau keadaan di negara-negara lain yang amat tinggi nilai racist nya. bersyukurlah kita aman di sini.

  2. Think tank berkata:

    setuju. bukan mudah perjuang bangsa memperjuangkan kemerdekaan sehingga menggapai keamanan yang ada sekarang. bersyukurlah…

  3. Pembebel berkata:

    Nampaknya mereka nak ulang balik semua ni. Depa lupa kot depa pun ada anak bini. Bayangkan anak bini kena bunuh? Hm, fikir dulu sebelum buang! Wakaka..

  4. Think tank berkata:

    tu la tu…semua perkara perlu difikirkan setiap kesan dan akibat sesuatu keputusan yang diambil…sekali dah terlajak kata, tak boleh ditarik balik dah.

  5. Bayan berkata:

    BOBEX…jangan lupa jawab tag…sesekali kena lari dari kelaziman. Teringin tengok catatan jiwa-rasa bobex.

  6. bylilac berkata:

    susah untuk dptkn kemerdekaan
    byl dgr cite 13mei dr nenek byl + cite mase jepun dtg. tau betapa ssh mereka.
    syukur kita da merdeka n aman damai

  7. Think tank berkata:

    setuju…macam-macam penderitaan dan pengorbanan dilalui…kita sebagai generasi pelapis perlu menghargai dan sentiasa memelihara kemerdekaan yang dinikmati…400 tahun lebih dijajah, adakah kita mahu memanjangkan lagi episod itu?

  8. zinnirah berkata:

    kita perlu sedar..tiada kuasa sebesar allah s.w t, dalam satu hadist di katakan tiada iman seseorang itu jika tidak menyayangi saudaranya sendiri…kita mampu untuk tidak menjadikan pisang berbuah 2 kali.. fikirkanlah…

  9. Norsham Khair berkata:

    aku risau dengan keadaan anak-anak muda sekarang yang aku nampak tersangat kurang semangat cintakan bumi Malaysia ini.Dorang terlalu cenderung mengikut cara orang yang kononnya moden. Aku takut bila bayangkan apa akan jadi pada cucu cicit aku nanti. hukum hakam dah tak jadi soal. kehendak dan nafsu yang mereka kejar. budi bahasa usah ditanya. aku takut…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s