Ke Arah Ketamadunan Islam Yang Progresif

Posted: Ogos 20, 2007 in think tank thought

Islam menyatakan hakikat kejadian Allah iaitu manusia dicipta dalam pelbagai bangsa yang bertebaran di seluruh muka bumi serta menggalakkan interaksi dan komunikasi di antara masyarakat yang pelbagai bangsa dan kerakyatan bagi mengeratkan silaturrahim sesama mereka. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra di antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukannya yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amal kamu) (al-Hujurat: 13)”.

Nabi Muhammad s.a.w juga sering mengingatkan kepada umatnya peri penting ikatan silaturrahim dan interaksi yang baik sesama mereka. Baginda Rasullullah bersabda, “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.” Dalam membangunkan ikatan silaturrahim, manusia bukan sahaja dapat saling kenal-mengenali dan mempelajari budaya dan peradaban sesuatu masyarakat tetapi juga menerusinya manusia akan memperoleh kebaikan dan keberuntungan terutamanya dari segi perkembangan ekonomi, suasana perpaduan yang jitu, kesejahteraan dan keamanan selain pembangunan kendiri dan negara.

Manusia sebagai makhluk sosial sangat memerlukan hubungan interaktif dalam kehidupan sehariannya. Ikatan silaturrahim yang tercetus ini bukan sahaja akan mengeratkan ukhwah diantara sesama manusia malah ikatan ini juga mampu memberikan kekuatan kepada manusia dalam menghadapi permasalahan dan kebejatan umat. Hubungan ini tidak terbatas hanya di antara sesama muslim tetapi juga merangkumi keseluruhan umat manusia tanpa mengira agama dan keturunan kerana jalinan ukhwah ini berada di atas landasan yang luas dengan berpandukan etika dan moral kemanusiaan yang luhur serta hormat-menghormati.

Hubungan silaturrahim dengan jiran tetangga tidak kira dalam konteks kecil (masyarakat sekitar) ataupun besar (antarabangsa) adalah salah satu cara hidup yang digalakkan Islam. Dalam konteks kejiranan ini, kita berkewajipan menjalinkan hubungan yang baik dengan menerapkan semangat kerjasama yang jitu.

Kejiranan mempunyai ikatan dengan keimanan. Salah satu tanda orang yang beriman kepada Allah s.w.t. dan hari akhirat ialah dengan adanya di kalangan manusia yang memulia dan menjaga hak jiran tetangganya. Sesiapa yang mengabaikannya maka ia sebenarnya bukanlah dikalangan orang yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia menghormati (berbuat baik) kepada jiran tetangganya,” (Riwayat Al-Buhari dan Muslim )

Hubungan ukhwah atau silaturrahim berskala besar atau antarabangsa dilihat sebagai suatu kerangka hubungan antara sebuah negara atau suatu bangsa dengan sebuah negara atau bangsa lain. Sejarah peradaban zaman kegemilangan Islam di bawah naungan baginda Rasulullah s.a.w. bermula ketika Rasulullah dan sahabat berhijrah meninggalkan tanah Mekah ke Madinah. Pada masa itu, hubungan antarabangsa meliputi bukan sahaja dari aspek ekonomi malah juga aspek diplomatik yang menguntungkan. Kerajaan Islam yang berpusat di Timur Tengah misalannya mempunyai kedudukan geografi yang strategik telah menjadi laluan utama perdagangan.

Meneliti senario hubungan antarabangsa kini memperlihatkan jurang perbezaan yang begitu besar. Jika dahulu dunia Islam menjadi angkatan teragung dalam segenap hal, tetapi kini dunia Islam dilihat sentiasa mendambakan serta sering juga mencari-cari perlindungan dan bimbingan yang kadang-kadang nyata daripada musuhnya sendiri (Muhammad Afifi Abdul Razak dan Azman Md Zain, 2003). Menurut Fred Von Der Mehden (1980), kebanyakkan negara Islam masa kini adalah tergolong dalam kelompok negara-negara Dunia Ketiga, iaitu negara yang mempunyai taraf pembangunan ekonomi, sosial dan politik yang rendah dan kurang stabil.

Melihat kepada kegemilangan dunia Islam dan peri pentingnya hubungan silaturrahim sesama negara Islam bagi mengembalikan kegemilangan terdahulu, negara-negara Islam kini sudah menyedari dan mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w itu. Peristiwa bersejarah tersebut diadaptasikan bukan sahaja suatu pengkisahan tentang pengembaraan Rasulullah dan sahabat-sahabatnya tetapi dilihat dalam konteks yang lebih meluas. Antaranya hijrah memberi teladan atau pengajaran kepada umat Islam dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup. Mengambil daripada peristiwa hijrah tersebut, pelbagai agenda telah diperhalusi dan dirangka antaranya wujudnya badan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Kumpulan Lapan Negara-negara Membangun (D8).

Ditubuhkan pada tahun 1969, Pertubuhan OIC adalah organisasi induk dengan objektif utamanya mengadakan kerjasama dalam pelbagai lapangan dengan komitmen utama pada masa ini ialah mengadakan kerjasama ekonomi di kalangan 57 negara anggotanya. Perkara II Piagam OIC menyatakan salah satu matlamat OIC ialah “mengadakan kerjasama di kalangan negara-negara ahli di bidang ekonomi, sosial, kebudayaan, saintifik dan kegiatan-kegiatan di bidang lain yang penting, dan mengadakan perbincangan di kalangan negara anggota dalam organisasi-organisasi antarabangsa yang lain.”

Di antara faktor-faktor yang menggalakkan pembentukan kerjasama adalah seperti berikut:

Islam

Tanpa diragui, Islam adalah asas kerjasama yang paling penting dalam membentuk kerjasama dan kekuatan di kalangan negara-negara anggota OIC. Malah, tema persidangan ini adalah dari salah satu surah dalam al-Quran yang menyeru umat Islam `berpegang teguh kepada agama Allah dan jangan berpecah belah’. Banyak lagi ayat yang membawa maksud yang sama, yang menyeru umat Islam supaya bekerjasama. Perlu diingatkan juga bahawa Piagam OIC menyebut “percaya bahawa akidah bersama (Islam) menjadi faktor yang kuat bagi kerjasama dan kesatuan di kalangan umat Islam.”

Hubungan Sejarah, Sosial, Budaya dan Bahasa

Islam merangkumi semua, dan meletakkan haluan dalam hubungan sosial dan budaya, ikatan sejarah yang disebabkan oleh penyebaran Islam ke serata bahagian di dunia ini. Ia juga disebabkan oleh kelaziman umat Islam menggunakan bahasa Arab, bahasa asal al-Quran ketika ia diwahyukan. Oleh itu, tidak ada umat Islam yang tidak mendapat tempat di negara Islam lain. Maka seseorang boleh mengatakan negara anggota OIC adalah komuniti sosial, yang menjadi asas kepada kerjasama ekonomi di kalangan mereka.

Hubungan Geografi

Ketika Islam tersebar dari Semenanjung Arab, ia mula memasuki negara-negara jiran dan kemudian lebih jauh lagi. Negara-negara anggota OIC adalah secara geografinya terikat, walaupun mereka merentang dari bahagian paling barat di Afrika ke bahagian paling timur di Asia. Memang benar bahawa kemajuan teknologi telah mengubah cara pengangkutan dan perhubungan, tetapi hubungan geografi di kalangan negara OIC juga menjadi faktor penyumbang ke arah pembentukan kerjasama ekonomi dan sosial di kalangan mereka.

Saiz Pasaran

Sejumlah 20 negara anggota OIC berada dalam kategori Negara-Negara Paling Mundur menurut pengkelasan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kenyataan ini jelas menunjukkan kebanyakan negara anggota OIC terlalu kecil untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan secara bersendirian. Peruntukan modal dan tenaga buruh yang besar diperlukan untuk program penyelidikan dan pembangunan sesuatu industri. Kebanyakan negara anggota OIC terpaksa bekerjasama di kalangan mereka, dengan saiz pasaran dan ekonomi yang kecil, untuk mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan pembangunan.

Anugerah Sumber Alam

Jika dilihat secara individu, saiz ekonomi kebanyakan negara anggota adalah tidak mencukupi untuk ia membangun sendiri, tetapi keadaannya berbeza apabila sumber-sumber kekayaan mereka dilihat secara kolektif. Dari segi sumber-sumber ekonomi, OIC merangkumi negara-negara pengeksport minyak, beberapa negara yang maju di bidang teknologi dengan tenaga mahir, beberapa negara yang mempunyai tenaga kerja terlatih dan murah, dan banyak negara yang mempunyai sumber pertanian, perikanan, dan galian yang belum lagi diusahakan.

Apa yang perlu ditekankan di sini ialah, sumber-number alam yang mereka miliki adalah pelengkap di antara satu sama lain dan setiap negara mempunyai sumbernya sendiri untuk disumbangkan. Dengan menggabungkan sumber- sumber alam ini, ia sepatutnya memberikan keuntungan. Ini sepatutnya menjadi insentif yang kuat ke arah pembentukan kerjasama ekonomi dan pasaran bersama di kalangan negara anggota OIC.

Pengajaran daripada krisis ekonomi 80-an

Banyak negara anggota OIC mengalami kesan yang teruk akibat krisis ekonomi pada awal tahun 80-an. Krisis ekonomi itu menjejaskan kadar pertumbuhan ekonomi, imbangan bayaran balik, dan meningkatkan hutang luar.

Masalah-masalah Kerjasama Utara-Selatan

Usaha sejak tahun 60-an untuk meningkatkan kerjasama ekonomi Utara- Selatan, dengan mewujudkan Orde Baru Ekonomi Dunia, yang bertujuan membantu ekonomi negara-negara Selatan, telah mengalami banyak masalah. Aliran-aliran semasa menunjukkan pemulihan hubungan Timur-Barat memungkinkan pemindahan pelaburan dan bantuan ekonomi dari negara-negara Selatan ke blok Timur.

Keperluan Kepada Model Alternatif Dalam Kerjasama Ekonomi

Ketegangan sosial, ekonomi dan politik yang disebabkan oleh pemakaian sistem ekonomi kapitalis di kalangan negara-negara Selatan, termasuk negara-negara anggota OIC, semakin meningkat. Perkembangan ini seharusnya menggalakkan negara-negara anggota OIC menghasilkan model ekonomi alternatif yang berasaskan prinsip-prinsip Islam. Ia hanya dapat dilaksanakan secara kolektif.

Rangka Kerja Kerjasama Ekonomi di Kalangan Negara-Negara Anggota OIC

Sidang Kemuncak Negara-Negara Islam pertama di Rabat, Morocco pada September 1969 yang membawa kepada penubuhan OIC, telah meletakkan asas institusi bagi mencapai kerjasama ekonomi. Sejak itu, OIC telah membentuk beberapa jawatankuasa dan institusi khusus yang diberi tanggungjawab melaksanakan komitmen OIC untuk membentuk kerjasama di bidang ekonomi di kalangan negara-negara anggota. Beberapa institusi swasta yang aktif di bidang ini telah wujud. Di antaranya ialah:

I. Jawatankuasa-jawatankuasa Khusus:

• Jawatankuasa Tetap Mengenai Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan (COMCEC) yang dipengerusikan oleh Presiden Turki.
• Jawatankuasa Tetap Mengenai Kerjasama Sains dan Teknologi (COMSTECH) yang dipengerusikan oleh Presiden Pakistan.
• Jawatankuasa Tetap Mengenai Hal Ehwal Kebudayaan dan Maklumat yang dipengerusikan oleh Presiden Senegal.

II. Badan-badan Subsidiari:

• Yayasan Islam Untuk Sains, Teknologi dan Pembangunan (IFSTAD) di Jeddah, Arab Saudi.
• Pusat Latihan dan Penyelidikan Sosial, Ekonomi dan Statistik untuk Negara-Negara Islam (SESRTCIC) di Ankara, Turki.
• Pusat Latihan Vokasional dan Teknikal Islam (ICTVTR) di Dhaka,Bangladesh.
• Pusat Pembangunan Perdagangan (ICDT) di Casablanca, Morocco.

III. Institusi-institusi Gabungan:

• Bank Pembangunan Islam (IDB) di Jeddah, Arab Saudi.
• Dewan Perniagaan, Industri dan Pertukaran Komoditi Islam (ICCICE) di Karachi, Pakistan.

IV. Institusi-institusi Kewangan Swasta dan Awam:

• Kumpulan Penyelaras.
• Persatuan Institusi-institusi Kewangan Pembangunan Negara (ADFIMI).
• Bank-bank Islam.
• Rangka Kerja Politik.

Salah satu langkah penting ke arah kerjasama ekonomi di kalangan negara-negara anggota OIC ialah hasil Sidang Kemuncak Negara-Negara Islam ketiga di Makkah pada Januari 1981. Sidang itu meluluskan Deklarasi Makkah dan Rancangan Bertindak untuk Mengukuhkan Kerjasama Ekonomi di Kalangan Negara- Negara Anggota OIC.

Deklarasi itu mengenal pasti sepuluh perkara untuk kerjasama ekonomi. Berikutan itu, dalam sidang keempat OIC di Casablanca, Morocco pada Januari 1984, enam daripada perkara yang disepakati dalam sidang kemuncak sebelumnya ditetapkan sebagai keutamaan. Perkara-perkara itu adalah:

1. Makanan dan pertanian
2. Perdagangan
3. Industri
4. Pengangkutan, komunikasi pelancongan
5. Tenaga
6. Sains dan teknologi.

Persidangan Menteri-Menteri Luar OIC yang diadakan di Kuala Lumpur pada 27 Jun 2000 telah mengukuhkan lagi kesinambungan kerjasama antara negara-negara OIC. Dari segi ekonomi, terdapat gesaan agar negara-negara Islam memulakan usaha membentuk kesatuan ekonomi bagi OIC bagi membolehkan barangan, modal dan modal insan bergerak secara bebas dirantau ini. Ini berdasarkan bahawa 87 peratus eksport dan import dunia pada masa kini berkisar sekitar tiga blok ekonomi yang membabitkan 33 negara iaitu Kawasan Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA), Kesatuan Eropah (EU) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Kumpulan Lapan Negara-negara Membangun (D8) pula secara umumnya adalah projek kerjasama di antara lapan negara membangun yang terdiri daripada Turki, Iran, Pakistan, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Nigeria dan Malaysia. D8 ditubuhkan antara lain adalah untuk menggemblengkan tenaga negara-negara Islam dan mengambil daya usaha dari negara-negara D8 ini untuk menumpukan program-program pembangunan yang tepat dengan strategi-strategi yang teratur. Kerjasama di antara negara anggota D8 adalah secara umumnya adalah di antara kerajaan dan pihak swasta negara-negara anggota.

Antara projek yang sedang diusahakan adalah usaha memulih dan memantapkan sistem ekonomi Islam. Di dalam perlaksanaan kerjasama ini, Turki misalnya ditumpukan untuk pembangunan industri pertanian dan industri mekanisme pertanian. Iran pula ditumpukan kepada bidang teknologi manakala Malaysia ditumpukan kepada memberikan teknologi dari segi kewangan, perbankan dan penswastaan. Indonesia ditumpukan kepada hal ehwal pembangunan sumber manusia. Bangladesh pula diberikan penumpuan untuk pembangunan luar bandar. Mesir ditumpukan kepada aspek perdagangan dengan mengadakan program seperti ‘trade fair’ dan sebagainya, eksposisi untuk negara D8 dan untuk ekonomi Islam. Manakala negara Nigeria membangunkan bidang tenaga.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) membongkar kenyataan bahawa kira-kira 50 peratus penduduk negara-negara Islam hidup dengan pendapatan sebanyak tidak sampai AS$2 sehari, satu jumlah yang jelas tidak mencukupi untuk menyara hidup. Pendapatan per kapita purata mereka yang tinggal di negara-negara Islam sekarang hanyalah AS$1,100, berbanding negara-negara lain yang purata pendapatan per kapitanya sebanyak AS$5,133.

Justeru beliau melihat Forum Ekonomi Islam Sedunia menerusi yayasannya (Yayasan WIEF) berpotensi untuk menjadi platform bagi interaksi antara pemimpin-pemimpin kerajaan, masyarakat awam dan peserta-peserta perniagaan Islam selain meneroka dan mengenal pasti cara-cara baru dan inovatif untuk memperkukuhkan kerjasama antara negara-negara Islam. Bukan sahaja menjadi medan bagi mengenal pasti serta menggalakkan peluang perniagaan dan pelaburan, ia juga harus mengambil peranan peneraju untuk mengubah diri dalam persekitaran globalisasi yang semakin sengit persaingannya ini.

Sebagai usaha menjamin keadilan sosial di antara ummat yang terdiri daripada berbagai golongan dan dengan jurang pendapatan yang berbeza, amalan berzakat diwajib oleh Allah s.w.t sebagai suatu mekanisma pengagihan kekayaan. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Ambillah (sebahagian) dari sebahagian harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Dan firman Allah dalam surah AI-Ma’arij ayat 24 dan 25; “…..dan mereka ( yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum, Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri ( daripada meminta),” (al-Taubah: 103).

Di Malaysia, urusan zakat telah diuruskan secara profesional. Langkah mengkorporatkan urusan pungutan zakat dengan pembentukan syarikat-syarikat mengurus zakat di beberapa negeri telah meningkatkan prestasi pungutan zakat. Sebagai contoh, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan telah berjaya mengutip zakat berjumlah RM 127 juta bagi tahun 2005. Begitu juga dengan Lembaga Zakat Selangor dengan kutipan hampir mencecah RM 130 juta bagi tahun 2005. Peningkatan pungutan zakat bagi seluruh negara juga meningkat dari setahun ke setahun. Sebagai contoh, tahun 2001 sebanyak RM 320.3 juta, tahun 2002 RM 373.9, tahun 2003 RM408.4, tahun 2004 sebanyak RM 473.6 dan tahun 2005 sebanyak RM 573 juta.

Justeru, melihat kepada kejayaan ini, Malaysia telah mengambil inisiatif menganjurkan Persidangan Zakat Antarabangsa dengan harapan agar melalui persidangan tersebut, dapat mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim dan kerjasama antara negara-negara Islam dalam membangunkan ekonomi ummah melalui kekuatan ekonomi umat di dunia.

Suatu inisiatif kerjasama di kalangan negara-negara OIC, bagi mewujudkan satu mekanisma zakat di kalangan negara-negara anggota dengan satu niat untuk bertolong-tolongan di antara negara-negara anggota selaras dengan semangat persaudaraan Islam turut diperkenalkan dengan harapan agar kerjasama ini akan membolehkan penyaluran bantuan daripada negara OIC yang maju kepada negara anggota yang memerlukan bantuan yang akhirnya dapat membantu ummat Islam sejagat keluar daripada belenggu kemiskinan dan kejahilan. Dana zakat ini juga diharap akan dapat membantu ummat Islam dan umumnya negara-negara Islam yang kurang. maju, untuk membangunkan sosio ekonomi mereka.

Selain daripada kerjasama dalam bidang ekonomi, negara-negara Islam juga menjalankan kerjasama dari segi teknikal termasuk perpindahan, bantuan dan pertukaran kepakaran dikalangan negara Islam terutama dari segi penyelidikan, termasuklah bidang teknologi, telekomunikasi, pembangunan, ketenteraan dan persenjataan serta kesihatan. Inisiatif pembiayaan bagi meningkatkan kualiti kesihatan negara-negara Islam yang dibiayai Bank Pembangunan Islam (IDB) misalannya telah mendapat perhatian Malaysia dengan mencadangkan agar ditingkatkan lagi kerjasama dalam penghasilan dan pengeluaran vaksin. Sejajar dengan usaha ini, Malaysia telah menubuhkan Institut Kebangsaan Produk Asli, Vaksin dan Biologikal (9BIO) sebagai agensi yang menggalakkan kemampuan diri dalam pengeluaran vaksin halal.

Kerjasama berbentuk rohaniah termasuk penyebaran dan penyaluran dakwah Islamiah secara berkesan di negara Islam melalui pendekatan baru turut diperhebatkan. Ini pandang secara bersungguh-sungguh kerana kesedaran kerohanian dan memupuk kekuatan kerohanian merupakan senjata ampuh untuk menghadapi cabaran dunia kebendaan sebagai contoh, penganjuran Multaqa Ulama Sedunia yang dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada tahun 2003 dilihat sebagai suatu platform yang berkesan dalam dalam menangani permasalahan umat Islam seantero dunia. Perhimpunan 85 ulama dan cendikiawan Islam dunia itu antara lain membincangkan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan umat Islam sedunia dengan tujuan meletakkan ulama dan cendikiawan Islam ditempatnya yang sebenar seperti zaman keagungan Islam terdahulu dalam hal-hal pembangunan umat berlandaskan ajaran Islam itu sendiri.

Sebagai sebuah badan dakwah bukan kerajaan (NGO) yang senantiasa mendokong hasrat kerajaan, YADIM juga telah mengadakan kerjasama yang erat di antara negara-negara jiran antaranya Indonesia, Rusia, Australia dan Brunei dalam pelbagai bidang ekonomi dan pendidikan. Antara kerjasama yang diadakan adalah penganjuran bersama Tajdid Pemikiran Islam dengan negara Indonesia dengan hasrat mendirikan sebuah sekolah agama antarabangsa dengan menggunakan silibus yang dipersetujui bersama selain kerajasama-kerjasama seminar dan perbincangan lain yang bertujuan membincangkan kebaikan kerjasama dua hala selain mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu dan permasalahan yang membelenggu dunia, khasnya dunia Islam.

Selain daripada itu, kerjasama kerohanian yang terbesar iaitu rukun Islam kelima – ibadah haji juga dilihat sebagai suatu jalinan kerjasama yang paling lama terjalin dan sangat besar pengaruhnya dalam hubungan kerjasama di antara negara Islam. Saban tahun, negara Malaysia senantiasa memastikan perjalanan proses haji dan kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan Arab Saudi senantiasa berada di dalam situasi hormat-menghormati dan bertoleransi kerana Malaysia melihat ibadah tersebut sebagai salah satu bidang yang boleh dikongsi secara bersama kerana ia melibatkan setiap umat Islam dari seluruh dunia dengan meletakkan Mekah Al-Mukarramah sebagai model dan simbol kesatuan ummah. Inilah di antara rahsia yang tersirat di sebalik kefarduan ibadat haji. Islam mahukan supaya umatnya berinteraksi dan berkomunikasi dengan semua tanpa mengira bangsa, budaya atau warna kulit. Ibadat ini membuka peluang kepada umat Islam untuk berbuat demikian secara langsung.

Ibadah haji juga memainkan peranan sebagai agen terpenting hubungan kerjasama pengglobalisasian peradaban Islam. Gelombang globalisasi dicetus dan digerakkan dalam pelbagai bidang termasuklah globalisasi maklumat dan ilmu serta globalisasi politik. Hari ini, ketika dunia Islam menyaksikan ketidakmayaannya menghadapi cabaran globalisasi kontemporari, institusi hajilah satu-satunya institusi yang dapat menjamin semangat globalisme terus dihayati oleh dunia Islam.

Sebagai sebuah negara yang melihat ilmu sebagai suatu keperluan, Malaysia memegang matlamat untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan diperingkat antarabangsa. Bagi mencapai matlamat ini, Malaysia telah meningkatkan usaha dan memperuntukkan sejumlah besar modal bagi meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia. Pendidikan di Malaysia juga lebih terbuka kepada dunia luar sama ada unutk belajar mahupun menubuhkan cawangan universiti mereka di sini selaras dengan keinginan negara menjadi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Dunia.

Gelombang globalisasi yang sedang melanda sememangnya tidak dapat dielakkan. Gelombang ini mewujudkan suatu keadaan di mana segala sempadan dihapuskan sama sekali dalam usaha mewujudkan suatu identiti sekata kepada dunia. Dunia Islam yang sememangnya tidak dapat menerima usaha pihak Barat ini seringkali dihentam oleh Barat. Rasa tidak senang bertapak sejak sekian lama di kalangan masyarakat Barat khasnya terhadap Islam dengan mengatakan bahawa Islam adalah agama yang menindas kaum wanita, agama mundur dan sebagainya. Semenjak azali lagi, umat Islam terus dihujani dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan yang mencemar agama Islam dan ajarannya, serta pelbagai rencam propaganda yang melampaui batasan keamanan oleh Barat khususnya melalui penguasaan media mereka.Tanggal 11 September 2001 dilihat sebagai suatu keadaan yang menambahkan pandangan serong masyarakat bukan Islam kepada Islam dengan tuduhan demi tuduhan tanpa bukti kukuh berterusan dilemparkan kepada umat Islam yang dikatakan menjadi dalangnya.

Terrorism merupakan satu istilah yang agak asing dalam adat dan budaya masyarakat Islam sebagaimana asingnya tamaduan dan budaya masyarakat yang melahirkan perkataan ini kepada masyarakat Islam. Bagaimanapun ia mempunyai implikasi yang amat besar dalam kehidupan seseorang individu dan kesinambungan sesebuah negara. Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka memberi makna ia sebagai satu perbuatan berbentuk keganasan. Pada dasarnya Barat melihat perbuatan keganasan ini sebagai satu tindakan pelampau yang dilakukan secara sengaja dan biasanya bermotif politik dan melibatkan kemusnahan kepada kemanusiaan dan harta benda. Terrorism mula menjadi perhatian seluruh dunia selepas peristiwa serangan dahsyat ke atas Amerika Syarikat, iaitu di Washington dan New York pada tanggal 11 September 2001 itu.

Pelbagai serangan dilakukan media Barat secara berleluasa dan membabi tuli. Serangan musuh Islam ke atas mereka bukan sahaja dengan menuduh mereka sebagai umat yang melatih pangganas, tetapi juga terhadap ajaran Islam. Menurut mereka, jihad dalam Islam adalah satu bentuk latihan dan persiapan ketenteraan yang dilakukan untuk melatih pengganas dan pengebom berani mati. Mereka tidak memahami secara jelas konsep jihad dalam Islam sebenarnya. Jihad dalam Islam bukannya mencari kematian semata-mata dan Islam juga tidak menganggap umatnya yang membunuh diri sehingga mengorbankan nyawa manusia, wanita, kanak-kanak dan orang tua yang tidak berdosa sebagai mati dalam perjungan jihad yang suci. Begitu juga, cara berpakaian dalam Islam turut menjadi bahan serangan dan propaganda musuh Islam. Mereka menganggap bahawa ciri-ciri pakaian dalam Islam akan menjejaskan integrasi kaum yang lantaran itu menjadi punca berlakunya perpecahan dan perpaduan kaum.

Islam agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. menganjurkan nilai-nilai murni dan luhur. Ia digambarkan melalui keperibadian Rasulullah yang memiliki akhlak yang mulia, bersifat sederhana dan suka melakukan kebaikan sesama makhluk. Ciri-ciri yang dimiliki oleh Rasulullah ini telah menyumbangkan keamanan dan memberi rahmat kepada alam sejagat seperti yang digambarkan dalam firman Allah S.W.T.yang bermaksud: Tidaklah Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam. (al-Anbia’ : 107)

Bagi memastikan Islam tetap unggul dan dipandang mulia keseluruhan manusia, Malaysia telah memperkenalkan suatu pendekatan yang dipanggil pendekatan Islam Hadhari sebagai suatu untuk menyerlahkan keindahan dan kesempurnaan agama Islam dengan mengembalikan kegemilangan tamadun Islam. Menurut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, masyarakat Islam keseluruhan bertanggungjawab memastikan agar budaya ekstremisme dan tindakan ganas menggunakan nama dan lambang Islam sama sekali tidak berlaku di negara ini khasnya dan dunia amnya.

Pendekatan Islam Hadhari, memerlukan perlaksanaan jangka panjang kerajaan, untuk memastikan masyarakat Islam kembali mengamalkan Islam secara syumul, dalam konteks lebih luas dan pelbagai, meliputi segenap aspek kehidupan. Islam Hadhari diperkenalkan, agar umat Islam di Malaysia bangun, menjadi pelopor tamadun baru yang dapat memimpin masyarakat dan membawa perubahan progresif lagi menyeluruh. Penerangan tentang Islam Hadhari turut dilakukan di peringkat antarabangsa. Ia telah mendapat perhatian utama dalam lawatan-lawatan rasmi Perdana Menteri ke India, ke Pakistan, ke New Zealand, ke Australia dan ke Jerman. Malah hujah berhubung Islam Hadhari telah diterima baik.

Islam Hadhari memberi penekanan kepada pembangunan – pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan (Kehidupan Berkualiti). Mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal. Mempertingkatkan mutu kehidupan dengan mengamalkan sistem ekonomi, sistem perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik (islamhadhari.net). Sepuluh Prinsip Utama Islam Hadhari :

1. Keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi.

2. Kerajaan adil dan beramanah.

3. Rakyat berjiwa merdeka.

4. Penguasaan ilmu pengetahuan.

5. Pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif.

6. Kehidupan berkualiti.

7. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita.

8. Keutuhan budaya dan moral.

9. Pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.

10. Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan.

Pendekatan Islam Hadhari merupakan suatu pendekatan jangka panjang yang juga memerlukan masa yang panjang untuk mencapai matlamatnya iaitu untuk memastikan masyarakat Islam kembali mengamalkan Islam secara syumul, dalam konteks lebih luas dan pelbagai, meliputi segenap aspek kehidupan.

Islam Hadhari diperkenalkan bertunjangkan matlamat agar umat Islam di Malaysia khasnya dan dunia amnya sama-sama bangun membawa perubahan progresif lagi menyeluruh dalam usaha mengembalikan tamadun Islam yang agung. Dengan usaha ini, umat Islam akan lebih perkasa untuk mempertingkatkan daya usaha, mengukir kejayaan lebih besar mencipta kecemerlangan lebih agung, komited kepada usaha melahirkan umat terbilang. Umat Islam tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada dunia Barat dalam segenap segi. Dengan kelebihan sumber semulajadi dan bentuk geografi yang dimiliki, umat Islam memiliki kelebihan. Memetik kata-kata Perdana Menteri pada majlis pelancaran rasmi Yayasan WIEF:

“Lingkaran ganas ini perlu dipecahkan. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain mengambil daya utama. Adalah menjadi tugas negara-negara Islam membantu satu sama lain, supaya mereka dapat berkongsi kemakmuran, bukan kemiskinan.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s