Ke Arah Penglobalisasian Ekonomi

Posted: Ogos 3, 2007 in think tank thought

ist2_413284_global_economy.jpgPembangunan ekonomi dan kemajuan umat boleh dikatakan sebagai saling berkaitan dalam konteks bahawa kedua-duanya berkait rapat dan bergantung pada faktor-faktor yang sama.

Hanya dalam pembangunan ekonomi, tumpuan lebih diberikan kepada aspek-aspek yang bersabit dengan muamalat, perancangan penggunaan sumber negara, keutamaan perbelanjaan mengikut kriteria yang dipersetujui, dasar-dasar kerajaan bersabit dengan aspek-aspek ini serta usaha berterusan untuk memastikan bahawa masyarakat tamadun itu menikmati satu tahap kehidupan yang menjamin kehormatan mereka sebagai manusia beradaban.

Apabila dikatakan bahawa pembangunan ekonomi ialah saluran pernafasan pada kemajuan tamadun dan pembangunan umat, ini tidak bermaksud bersikap taksub pada peri pentingnya kekuatan ekonomi sebagaimana yang ditekankan oleh ideologi kapitalisme. Namun, memang sukar untuk membayangkan betapa sesebuah negara boleh maju tanpa sumber-sumber yang mencukupi, rangkaian perdagangan yang terhad serta daya tarikan ekonomi yang lemah.

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah rancangan lima tahun merangkumi tempoh daripada 2006 hingga 2010. Ia mengandungi pelbagai program dan projek bertujuan untuk memacu pembangunan negara secara holistik ke arah Wawasan 2020. RMK-9 berlandaskan lima teras Misi Nasional, satu rangka dasar kerajaan bagi fasa pembangunan lima belas tahun 2006-2020.

Misi Nasional menumpukan kepada usaha mencapai Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Objektif utama Bajet 2007 ialah untuk mempastikan Misi Nasional diterjemahkan kepada program dan projek yang dapat dilaksanakan segera dan dengan lebih berkesan.

Misi Nasional telah dirangka berlandaskan kepada lima teras utama, seperti berikut:

Pertama: Meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi;
Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama’;
Ketiga: Menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif;
Keempat: Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup; dan
Kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.

Mendaki tangga ekonomi merupakan teras pertama Misi Nasional. Dengan meningkatkan daya saing, produktiviti dan inovasi, negara dilihat boleh meningkatkan nilai pengeluaran kesemua aktiviti ekonomi negara daripada pertanian kepada pembuatan. Dengan memanfaatkan pengetahuan serta teknologi, negara juga boleh mempelopori sumber-sumber pertumbuhan baru dalam sektor-sektor ekonomi baru seperti teknologi maklumat dan bioteknologi. Malaysia mampu menarik lebih ramai pelabur dengan memanfaatkan segala sumber yang terdapat dalam negara.

Sebagai langkah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan pasaran modal yang lebih efisien, berdaya tahan serta kompetitif, kerajaan telah pun mengumumkan sepuluh langkah baru untuk merangsang dan memantapkan lagi pasaran modal negara. Bagi memperkukuhkan lagi langkah-langkah ini serta menjamin asas ekonomi yang lebih teguh dalam tempoh sederhana dan jangka panjang, Kerajaan sekali lagi mengambil inisiatif segera untuk menggubal dasar dan langkah-langkah strategik ‘pro-growth’ di bawah Pakej Strategi Baru.

Pakej Strategi Baru ini menumpukan kepada empat strategi utama dan mengandungi 90 langkah, bertujuan menjana aktiviti ekonomi melalui penggemblengan sumber dalam negeri di samping mengurangkan pergantungan kepada sektor luar negara. Strategi-strateginya adalah seperti yang berikut:

Strategi I :
Menggalakkan Pelaburan Swasta.
Strategi II :
Memperkukuhkan Daya Saing Negara.
Strategi III:
Membangun Punca Pertumbuhan Baru.
Strategi IV:
Meningkatkan Keberkesanan Delivery System.

Selain itu, di bawah RMK-9 kerajaan turut merancang untuk membangunkan lima wilayah ekonomi supaya agihan kemajuan dan kemakmuran negara lebih seimbang antara negeri dan daerah. Pendekatan pembangunan untuk setiap wilayah itu juga berbeza berdasarkan kepada kelebihan dan keupayaan masing-masing.

Setakat ini Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) telah pun dilaksanakan dan ia kini disusuli dengan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.
Jika matlamat WPI ialah untuk membangunkan sebuah kota metropolitan seperti Shenzen di China dan sebagai pelengkap kepada Singapura, Koridor Utara pula lebih kepada usaha mengurangkan jurang pendapatan dan mengagihkan kekayaan sama rata. WPI dibangunkan di atas kawasan yang kosong dengan segala kemudahan baru akan dibina membabitkan pelaburan berbilion ringgit terutama oleh pelabur dari luar dan hanya membabitkan sebuah negeri.

Koridor Utara membabitkan empat negeri dengan 21 daerah dan kira-kira 4.6 juta penduduk sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ia tidak membabitkan kepada pembinaan infrastruktur baru kerana kemudahan yang sedia ada akan diguna pakai melalui beberapa penambahbaikan sesuai dengan keperluan masa depan.

Pelan pembangunan di Koridor Utara melalui rangka tindakan sosioekonominya juga tidak akan mengubah apa-apa yang sedia terdapat di wilayah itu. Inisiatif Koridor Utara adalah untuk mengukuhkan sektor yang sedia ada seperti pertanian. Hanya penambahbaikan yang akan dilakukan supaya petani yang hari ini berada di bawah paras kemiskinan mampu meraih pendapatan yang lumayan pada masa hadapan.

Selain daripada itu, antara usaha eksplisit dalam membangunkan ekonomi negara dengan komprehensif menurut kaca mata Islam Hadhari ialah satu peruntukan tentang usaha untuk mempergiatkan Kewangan Islam. Malaysia telah berjaya mencapai perkembangan pesat dalam perkhidmatan kewangan Islam, terutamanya dalam meningkatkan saiz pelaburan, kecekapan perkhidmatan, kepelbagaian produk, pemantapan infrastruktur dan juga peningkatan bilangan institusi. Negara juga merupakan negara pertama di mana institusi supranasional telah menerbitkan bon Islam dalam Ringgit Malaysia. Insititusi yang berkenaan adalah International Finance Corporation dengan terbitan 500 juta ringgit dan Bank Dunia, dua bilion ringgit.

Kini, Malaysia adalah penerbit bon Islam terbesar di pasaran modal global, bernilai 30 bilion dolar Amerika; merupakan lebih 70 peratus daripada terbitan global bernilai 41 bilion dolar Amerika.

Malaysia sebagai sebuah negara pengasas Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) sentiasa mengambil tindakan untuk memperkukuhkan perpaduan ummah dalam aspek kualiti, agama, ekonomi, pertahanan, pendidikan dan selainnya. Ke arah ini, negara telah meluluskan Deklarasi Putrajaya pada sidang kemuncak OIC Ke-10 yang berlangsung pada 16 hingga 18 Oktober 2003 dan garis panduan untuk mencapai tujuan tersebut yang meliputi usaha meningkatkan kerjasama dalam bidang pembangunan, sains dan teknologi, teknologi dan maklumat serta ekonomi dan perdagangan di antara negara-negara OIC.

Dalam bidang ekonomi, Malaysia telah mencadangkan program bagi meningkatkan keupayaan negara-negara OIC khususnya negara-negara kurang maju bagi membolehkan usaha pembangunan ekonomi dilaksanakan dengan berkesan bagi membasmi kemiskinan. Ini adalah usaha yang dipelopori oleh Malaysia dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara-negara tersebut.

Usaha ini diharap akan dilaksanakan oleh semua negara OIC miskin yang lain dan kejayaan program ini secara langsung akan menyumbang kepada pengurangan jurang perbezaan ekonomi dan memberikan pendekatan yang boleh membawa perpaduan ummah. Selain daripada itu pada 27 hingga 29 Januari 2005, Malaysia telah mengadakan suatu persidangan tokoh-tokoh kenamaan Pertubuhan Persidangan Islam ataupun The Commission of Immanent Person yang bertujuan untuk menyediakan pelan tindakan bagi membolehkan umat Islam menghadapi cabaran abad ke-21.

Bagi menyelaras dan meningkatkan usaha menyatukan pendirian dan mencapai keputusan yang konkrit dalam pelbagai bidang kerjasama, politik, ekonomi, kebudayaan, sosial, kerohanian dan sains di kalangan anggotanya, Sidang Kemuncak OIC dan mesyuarat peringkat menteri juga telah menubuhkan beberapa jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Al-Quds; Jawatankuasa Bertindak Mengenai Hal Ehwal Penerangan dan Kebudayaan (COMIAC); Jawatankuasa Bertindak Mengenai Ekonomi dan Kerjasama Perdagangan (COMCEC); Jawatankuasa Bertindak Mengenai Sains dan Kerjasama Teknikal (COMSTECH) dan Suruhanjaya Islam Mengenai Ekonomi, Kebudayaan dan Hal Ehwal Sosial).

Badan-badan dan institusi sokongan juga diwujudkan bergerak ke arah pencapaian objektif OIC meliputi kebudayaan, sains, ekonomi, perundangan, kewangan, sukan, teknologi, media, vokasional, bidang-bidang sosial dan kemanusiaan.

Sebagai sebuah negara Islam contoh di mata dunia, Malaysia juga dilihat berpotensi menerajui industri halal di peringkat global. Untuk memajukan lagi inisiatif mempertingkatkan kegiatan industri halal, Perbadanan Kemajuan Industri Halal akan ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan geran pelancaran 25 juta ringgit. Perbadanan ini akan menyelaras dan mempastikan segala usaha memajukan industri halal dilaksanakan secara bersepadu, komprehensif, tuntas lagi menyeluruh.

Perbadanan ini akan menyelaras usaha-usaha mengemaskini piawaian halal, membangunkan industri halal tempatan, mempromosi produk dan perkhidmatan halal Malaysia di pasaran dunia serta menyokong pelaburan di dalam sektor halal Malaysia. Malaysian International Halal Showcase (MIHAS) yang diterajui oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta World Halal Forum 2006 yang telah mendapat sambutan memberangsangkan akan diteruskan sebagai acara tahunan.

Selain itu, Malaysia juga telah memperuntukkan 50 juta ringgit untuk menyediakan tapak Taman Halal (Halal Park) di Pasir Mas, Kelantan; Gambang, Pahang; Cendering, Terengganu dan Padang Besar, Perlis. SME Bank diperuntukkan 20 juta ringgit untuk memberi pinjaman kepada usahawan yang membangunkan produk halal. Usaha Malaysia dalam mempergiatkan industri halal bukan sahaja akan menarik perhatian negara-negara Islam sahaja bahkan keseluruhan negara di seantero dunia kerana ciri utama industri halal adalah senantiasa menitikberatkan kesucian dan kemurnian yang secara fitrahnya bertepatan dengan kehendak dan keperluan masyarakat dunia sekaligus meningkatkan ekonomi negara di peringkat global dan menjadi teraju dan role model bagi negara-negara Islam keseluruhannya.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Bahawi juga melihat wujud pasaran selesa khusus bagi produk dan perkhidmatan halal dalam bidang pelaburan dan perdagangan dan negara-negara Islam disarankan mengambil daya utama untuk mendapatkannya. Berdasarkan pengiraan mudah dan dengan melihat kepada perbelanjaan per kapita bagi makanan di kalangan penduduk Islam di seluruh dunia, dianggarkan pasaran makanan halal bernilai sekurang-kurangnya AS$580 bilion setahun. Jumlah ini tidak termasuk perkara-perkara seperti logistik dan aspek industri bukan makanan yang, jika dicampurkan, akan memberikan angka yang lebih besar iaitu sebanyak kira-kira AS$2 trilion.

Penyertaan negara-negara luar sangat menggalakkan dengan peningkatan pada setiap tahun. Terbaru, MIHAS 2007 telah berjaya menarik penyertaan 26 negara luar termasuk Iran, Indonesia, Afrika Selatan, China, Australia, India, Bangladesh, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Kuwait, Filipina, Brunei, Maghribi, Sudan, Singapura, Bosnia & Herzegovina, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Croatia, Kazakhstan, Kanada, dan Argentina.

Data yang disediakan oleh LocoMonitor, sebuah entiti yang melakukan usaha penjejakan pelaburan asing di seluruh dunia, meletakkan UAE sebagai sebuah negara yang paling banyak terlibat dalam pelaburan asing di kalangan negara OIC (dengan sejumlah 175 projek, antara tahun 2002 – 2007) manakala Malaysia adalah negara kedua (dengan 33 projek). Penemuan ini membuktikan bahawasanya negara tidak sahaja bercakap tentang pemerkasaan perdagangan antara negara Islam, tetapi serius dalam melaksanakannya.

Masih wujud banyak ruang untuk memastikan pemerkasaan ekonomi intra negara Islam dapat dijayakan dengan bersungguh. Hakikatnya, Negara sudah punya kepakaran dalam banyak perkara – yang perlu hanyalah usaha untuk menghalakan segala kepakaran ke tempat dan rantau yang tepat (Reezal Merican Naina Merican).

Komen-komen
  1. sara berkata:

    penerangn yg bagus..membuka minda..
    hurm macam mana pula kaitan RMK-9 dgn teknologi dan “knowledge worker”?
    ape kaitannya?

  2. Hello, I enjoy reading all of your article post.

    I wanted to write a little comment to support you.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s