‘Sea King’ Mesti Bersara…

Posted: Julai 25, 2007 in think tank thought

31_sea_king_transfer_sept_1975.jpg

Korus

…Kita bergembira, kita berseronok,
kita ada Sea King di bawah matahari.
Tetapi enjin terbakar dan Sea King mesti bersara…

(Dipetik daripada lagu tema juruterbang Sea King Kanada untuk perkhidmatan mereka, dinyanyikan mengikut nada lagu pop ‘Seasons in the Sun’ yang popular pada tahun 1970-an.)

Lagu di atas semestinya berfungsi sebagai lagu pembakar semangat bagi pasukan tentera udara negara Kanada ketika berjuang. Seperti juga pasukan tentera di Malaysia yang mempunyai lagu pembakar semangatnya seperti lagu Semboyan Telah Berbunyi. Uniknya lagu di atas adalah dinyanyikan oleh juruterbang-juruterbang Sea King. Penulis tidak berhasrat unutuk menyentuh berkenaan dengan lagu pembakar semangat tetapi bait-baik liriknya; ‘Sea King mesti bersara…’ terlalu menarik untuk dikupas.

H-3 Sea King atau juga dikenali sebagai Sikorsky S-61 adalah helikopter yang direka oleh sebuah syarikat pembuat helikopter terkenal di Amerika yang diasaskan oleh seorang lelaki berbangsa Rusia yang bernama Igor Sikorsky.

H-3 Sea King yang pertama terbang pada tahun 1959 dengan perkhidmatan pertamanya bersama dengan US Navy pada Jun 1961. Ia direka untuk beroperasi di atas geladak kapal dan mempunyai ciri istimewa iaitu mampu mendarat di atas permukaan air. Memiliki lima bilah kipas yang boleh dilipat untuk mudah disimpan dan berkembar pelbagai guna, Sea King memegang peranan utama di dalam aktiviti peperangan anti-kapal selam.

Selain itu, pesawat yang mempunyai kelajuan 220 kilometer (km) ini juga digunakan sebagai pesawat udara anti-kapal, operasi cari dan menyelamat, komunikasi, pengangkutan eksklusif dan berperanan memberi amaran awal di udara. Dalam operasi cari dan menyelamat, kabin helikopter Sea King ini mampu memuatkan seramai 22 orang manakala dalam peranan pengangkut tentera, 28 orang tentera boleh dibawa.

Negara yang menggunakan helikopter Sea King ini termasuk Argentina, Australia, Belgium, Brazil, Kanada, Mesir, Jerman, India, Jepun, Norway, Pakistan, Qatar, Sepanyol, United Kingdom dan Malaysia.

Malaysia mula menggunakannya pada 1968, selepas membeli 40 pesawat yang dibekal oleh Sikorsky Aircraft Corporation di Amerika Syarikat, nama itu ditukar kepada Nuri. Pada awalnya helikopter seberat 3,652 kilogram ini digunakan untuk memberi bantuan logistik kepada Angkatan Tentera Darat sebelum diperluaskan untuk operasi mencari, menyelamat dan bantuan kemanusiaan.

Helikopter jenis ini sudah berada di persada antarabangsa sejak lebih 45 tahun lalu dan ketika Malaysia mula menggunakannya, Nuri adalah antara helikopter tercanggih dan paling selamat. Namun pada hari ini hanya tinggal 12 buah sahaja yang masih beroperasi dalam Tentera Udara Diraja malaysia (TUDM) sama ada musnah akibat kemalangan atau mengalami kerosakan sehingga ‘tidak selamat’ lagi digunakan.

Hampir 39 tahun Nuri berjasa kepada negara dan masyarakat. Ketika era konfrontasi, Nuri menjadi pengangkutan utama membawa anggota Tentera Darat membanteras kegiatan komunis di pedalaman Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak. Pesawat yang mempunyai kemampuan membawa 21 anak kapal itu turut memberi khidmat masyarakat melalui penerbangan ihsan terutama kepada mangsa yang ditimpa musibah seperti bencana alam dan kemalangan.

Namun, nahas yang mengorbankan enam pegawai TUDM baru-baru ini telah melenyapkan keperluannya sebagai sebahagian anggota keluarga TUDM. Kabinet telah bersetuju supaya kerajaan menamatkan perkhidmatan Nuri dalam jangka masa tiga tahun ini dengan menggantikannya dengan pesawat baru. Keputusan diputuskan dengan mengambil kira statistik nahas membabitkan Nuri, iaitu 101 kematian dengan 18 nahas atau pendaratan cemas.

Kronologi membabitkan nahas dan pendaratan cemas Nuri sejak 1969:

1. 25 April 1969 – Nahas pertama Nuri menyebabkan empat anggota TUDM terbunuh selepas pesawat itu terhempas di Kuching, Sarawak.

2. 11 Mac 1972 – Empat anggota terbunuh apabila helikopter Nuri terhempas di Gambang, Pahang.

3. 26 April 1976 – Sebelas krew dan penumpang terbunuh selepas helikopter Nuri ditembak komunis sebelum terhempas dalam hutan di Gubir, Kedah.

4. 19 Julai 1980 – Sebuah helikopter Nuri terhempas di kawasan hutan dekat Ipoh, Perak tapi semua 18 penumpangnya terselamat.

5. 25 April 1981 – Dua anggota TUDM terbunuh dan 13 cedera dalam nahas helikopter Nuri ketika ribut di 30 batu nautika dari Lapangan Terbang Kuching, Sarawak.

6. 11 Julai 1981 – Sebuah helikopter Nuri terhempas di Batu Melintang, Perak, tapi semua 11 penumpang dan krew terselamat.

7. 9 Nov 1989 – Nahas terbesar membabitkan Nuri, apabila 21 orang termasuk 15 anggota Pasukan Polis Hutan terbunuh selepas helikopter Nuri terhempas antara Gunung Gerah dan Gunung Bilah di sempadan Kelantan-Perak.

8. 18 Dis 1989 – Helikopter Nuri terhempas berhampiran Sungai Lundu, Sarawak, mengorbankan 16 anggota Tentera Darat dan TUDM, termasuk Pegawai Pemerintah Markas Divisyen Kedua, Mej Jen Datuk Mustaffa Awang dan Pemerintah Briged Ketiga Infantri, Brig Jen Datuk Hasbullah Yussoff.

9. 28 Ogos 1990 – Helikopter Nuri yang membawa sembilan orang dalam latihan pertunjukan udara sempena perayaan Hari Merdeka membuat pendaratan cemas di padang sekolah berhampiran Rawang, Selangor.

10. 16 Januari 1991 – Helikopter Nuri dalam perjalanan dari Stesen TUDM Sungai Besi ke Kluang, Johor, terhempas ketika pendaratan kecemasan di sebuah estet di Kampung Parit Zin, dekat Muar, Johor. Semua 12 anggota terselamat.

11. 10 Jun 1991 – Enam anggota tentera terbunuh apabila helikopter Nuri terhempas dan meletup di kawasan operasi tentera di Banding, Perak kira-kira jam 5.20 petang.

12. 11 Julai 1991 – Tujuh maut apabila helikopter Nuri terhempas ketika cuba mendarat di Banding, Perak.

13. 16 Oktober 1996 – Dua terbunuh, tiga hilang, manakala dua lagi selamat selepas helikopter Nuri terhempas di perairan Muka Head, Pulau Pinang.

14. 19 Mac 1997 – Seramai 11 anggota TUDM terbunuh apabila dua helikopter Nuri jenis Sikorsky S-61 terhempas berhampiran Gunung Lumaku, Sipitang, Sabah.

15. 5 Mac 2004 – Dua anggota TUDM maut selepas helikopter Nuri terhempas di Taman Udara, Butterworth.

16. 30 Mac 2004 – Tiga termasuk juruterbang terselamat apabila helikopter Nuri mendarat cemas di Bukit Kalam, kira-kira tujuh kilometer dari pusat bandar Labuan di Sabah, selepas mengalami masalah teknikal pada enjin sebaik berlepas dari Pangkalan TUDM Labuan.

17. 15 Ogos 2004 – Sebuah helikopter Nuri dipercayai membawa 10 penumpang termasuk juruterbang dilaporkan hilang di kawasan Long Seridan tidak jauh dari Marudi, ketika dalam perjalanan dari Miri ke Ba`Kelalan, Sarawak.

18. 13 Julai 2007 – Enam anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut apabila helikopter Nuri Sikorsky S-61 terjunam di hutan Gunung Bunga Buah tidak jauh dari terowong Genting Sempah.

Pada pendapat penulis, sepanjang 45 tahun perkhidmatannya di persada dunia dengan hampir 39 tahun di Malaysia memperlihatkan kewajaran mengapa Nuri harus ‘bersara’. Walaupun tidak dinafikan Nuri mempunyai nilai sentimental bagi sesetengah anggota tentera sezaman Perang Vietnam, jumlah 101 gugurnya pahlawan negara tidak sepatutnya dipandang enteng.

Nuri…jasamu tetap dikenang!

Komen-komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s