Warna Kad Pilihan

Posted: Julai 13, 2007 in think tank thought

blank-colors-pvc-cards.gifKad berwarna biru bagi pekerja yang mendapat markah 90 ke atas diikuti hijau, kuning dan merah bagi markah yang paling rendah. Manakala pegawai yang tidak mencapai tingkat piawaian kerja yang ditetapkan akan diarah bekerja di pejabat kerajaan negeri dan dipantau prestasinya dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

Kaedah yang dilancarkan oleh kerajaan Selangor yang dipanggil Sistem Kad Prestasi (SKP) ini akan digunapakai bagi memantau dan menilai keupayaan sebenar kakitangan awamnya setiap masa berbanding dengan kaedah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang hanya diketahui setiap hujung tahun.

SKP dinilai melalui beberapa petunjuk penting iaitu sistem perkhidmatan yang selaras dengan kehendak pelanggan, kejayaan dalam program pemutihan bagi kilang haram dan gerai tanpa izin, kutipan hasil semasa dan tunggakan, program penanaman pokok bagi PBT dan penyelesaian urusan tanah.

Sistem ini dilihat sebagai suatu langkah proaktif kerajaan negeri bagi melahirkan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang terbaik dengan harapan agar dapat memenuhi aspirasi kerajaan negeri menjadikan negeri Selangor sebagai negeri maju.

Sebagai permulaan, SKP akan dilaksanakan di sembilan pejabat tanah dan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan akan digunapakai di semua jabatan dan agensi lain termasuk badan berkanun dan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya menjelang awal tahun depan.

Sistem yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo ini adalah sebagai tindak balas dari komen beliau yang menyatakan bahawa pemberian anugerah khidmat cemerlang yang dilakukan setiap tahun sebagai suatu ‘pembohongan terancang’ manakala penganugerahan diberikan secara giliran tanpa penilaian terhadap prestasi kerja.

Persoalan yang ditimbulkan adalah bagaimana 30 orang pegawai dan kakitangan boleh menerima anugerah cemerlang saban tahun sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempersoalkan mutu perkhidmatan awam yang masiha lagi tidak mencapai tanda aras cemerlang?

Persoalan yang menjadi pertikaian pula selepas itu tidak akan dapat dirungkai sekiranya pihak yang menilai sendiri tidak mengadaptasi dan menunjukkan contoh teladan sebagai pekerja cemerlang kepada pegawai dan kakitangan bawahannya. Pihak yang menilai wajib memberikan pemahaman ini kepada kakitangan bawahannya.

Tidak dapat dinafikan, persoalan siapa yang berhak dan bagaimana pemilihan dibuat dalam soal anugerah kecemerlangan tersebut sememangnya mempunyai banyak pertikaian seperti mana yang didedahkan Dr Mohamad Khir.

Kebanyakan reaksi yang diterima menunjukkan sistem penganugerahan khidmat cemerlang yang digunapakai kini memang banyak kelemahannya kerana ketua jabatan menggunakan sistem mereka untuk memilih calon. Selain aduan ketua pilih kasih ketika mencalonkan seseorang, ada juga ketua secara terbuka memberitahu kakitangan mereka pemilihan calon akan dibuat mengikut senioriti, iaitu yang lebih tua dan bertugas lama akan diberi keutamaan tidak kira sama ada kerja dilakukannya layak untuk dipertimbangkan untuk anugerah.

Ada juga yang menetapkan sistem kuota mengikut unit iaitu semua unit di bawahnya akan ada wakil untuk memenangi anugerah. Dalam pada itu, ada juga ketua memilih calon sama hampir setiap tahun untuk dipertimbangkan sama ada kerana rapat dengannya, terhutang budi atau pilih kasih atau ada juga yang sememangnya cemerlang (M Thillinadan, Berita Harian, 11 Julai 2007).

Jika diperhalusi tujuan anugerah kecemerlangan ini adalah sebagai suatu intensif bagi mengiktiraf kakitangan yang telah memperlihatkan perkhidmatan yang terbaik, terpuji, cekap dan bertanggungjawab selain prestasi kerja yang lebih dengan mencapai suatu tahap yang lebih baik daripada yang biasa dilakukan orang lain disamping memiliki sikap kerja yang betul dan mampu menyesuaikan diri dalam segala bentuk persekitaran.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi daripada Aisyah, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:

“Bahawa sesungguhnya Allah s.w.t menggemari mereka yang membuat sesuatu pekerjaannya dilakukannya dengan cermat”.

Kecemerlangan yang ditunjukkan pula akan dikekalkan dan seterusnya menjadi pemangkin kepada seluruh rakan sekerja meningkatkan prestasi dan motivasi diri masing-masing. Kakitangan yang benar-benar bermotivasi akan menggunakan sebahagian besar ‘potential capacity’ nya untuk menjalankan sesuatu kerja. Ianya dapat dilakukan dengan menjadikan kerja seharian sebagai satu pengalaman yang menarik dan sebagai suatu sumber kepuasan diri.

Perkara pokok dalam penentuan kecemerlangan tersebut adalah kakitangan yang cemerlang atau kelas pertama ini. Pembentangan Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK9) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di antaranya telah mensasarkan pembangunan modal insan sebagai teras utama pembangunan negara dalam mencapai wawasan 2020. Tiga strategi utama telah digariskan dalam usaha melahirkan modal insan kelas pertama iaitu peningkatan keupayaan dan penguasaan ilmu, mengukuhkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi serta memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral.

Kakitangan awam dan swasta juga digesa agar melakukan penghijrahan minda bagi mencapai matlamat RMK9 tersebut melalui ketangkasan kerja, ketetapan dan keberhasilan dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan. Kecemerlangan perlu dilihat sebagai satu elemen yang penting kerana perkhidmatan awam merupakan tenaga penggerak kepada proses pembangunan negara yang mana kunci utama kejayaan tersebut adalah kakitangan atau modal insan yang berkualiti dan berdaya maju.

Kualiti berkait rapat dengan cemerlang. Justeru kakitangan atau dalam istilah ekonomi disebut modal insan yang berkualiti, memanifestasikan insan yang cemerlang dan gemilang. Kualiti bagi modal insan yang cemerlang dapat diterjemahkan menerusi akhlak dan etika yang terpuji. Modal insan yang berkualiti adalah yang seimbang dan sepadu dari segi sistem nilai, cara hidup, cara bekerja, sikap dan tanggapan yang betul terhadap tugasan dan aktiviti yang dilaksanakan.
Penghasilan kerja yang berkualiti bukan sahaja menjadi tuntutan agama malah juga menjadi tuntutan bangsa dan negara.

Kesungguhan dalam mencapai matlamat bagi memajukan diri perlu diterapkan bersama nilai-nilai murni seperti jujur, bersih dan amanah, tidak mementingkan diri sendiri, bersedia mempertingkatkan kemahiran, sanggup bekerja sebagai satu pasukan, tolong-menolong dan mengekalkan perpaduan berteraskan ajaran agama, peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad memetik kata-kata Anas bin Malik, yang bermaksud:
“Rasulullah tidak memberi syarahan kepada kami melainkan baginda berkata, “Tiada iman bagi orang yang tiada amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak menepati janji”.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s