Rajuk Sang Rimba

Posted: Mei 28, 2007 in think tank thought

kayu.jpg

…“Hutan ni ada perasaan dia sendiri. Kalau kita rosakkan dia, sakitkan dia, dia akan merajuk. Bila merajuk, tu yang jadi macam-macam tu…tanah runtuh, banjir kilat; semuanya berpunca daripada kita sendiri…”

Mendengarkan cerita dan pandangan dari orang yang berpengalaman luas seperti Pakcik Benjy mengenai perihal hutan membuatkan penulis terfikir betapa luasnya jajahan manusia sebagai khalifah di bumi. Namun, persoalan besar yang bermain-main difikiran adalah, adakah benar Sang Rimba sedang memendam rasa terhadap khalifahnya?

Kesempatan menganggotai krew pengambaran dokumentari YADIM ke tanah bertuah Pahang Darul Makmur merupakan pengalaman yang tidak akan dapat penulis lupakan. Masakan tidak, pengambaran yang mengambil masa selama sepuluh hari itu benar-benar memerlukan setiap ahli krew berdampingan dengan hutan dan penghuninya. Tidak ketinggalan dapat berkenalan dengan orang yang berpengalaman luas seperti Pak Cik Benjamin atau lebih mesra dengan panggilan Benjy.

Bermula di Taman Negara, Jerantut sebagai lokasi pertama memerlukan kami, ahli krew merentasi hutan rimba dan sungai untuk sampai ke lokasi yang dituju; Bukit Terisik yang memerlukan kami berjalan sejauh 2.5 kilometer untuk sampai ke puncaknya.

Kepenatan mendaki tidak terasa apabila tiba dipuncak bukit. Mengingatkan penulis betapa beratnya tugas kita sebagai khalifah dibumi Allah s.w.t ini. Betapa kehijauan ini merupakan suatu amanah yang cukup berat untuk kita pertahankan melihatkan kini begitu banyak kebejatan yang dilakukan di atas muka bumi Allah tanpa memikirkan amanah yang dipikul. Persoalan rajuk Sang Rimba terngiang-ngiang dikotak minda.

Tidak dapat dinafikan, banyak kejadian yang menampakkan ketidakprihatinan manusia kepada hutan yang bisa mewujudkan rajuk kepadanya. Kemusnahan dan kebinasaan yang diundang seperti pencerobohan hutan dan pembalakan tanpa lesen bukan sahaja mencacatkan pemandangan malahan juga akan menyebabkan ekosistemnya terjejas.

Pembalakan di Hutan Ulu Muda misalnya yang meliputi 123,000 hektar kawasan Hutan Tadahan Air termasuk Ulu Muda, Chebar Besar, Padang Terap, Pedu Bukit Saiong dan Bukit Keramat telah menimbulkan kebimbangan besar bukan sahaja kepada berpuluh badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, kepenggunaan, hak asasi manusia dan sebagainya malahan masyarakat awam dari pelbagai latarbelakang. Tidak ketinggalan kes penggondolan di Bukit Cherakah, Shah Alam.

Ketidakprihatinan ini seakan mengiyakan kata-kata Pakcik Benjy sebelum ini; rajuk Sang Rimba akan mengundang padah kepada bumi. Telah termaktub di dalam al-Quranul Karim yang mana akan terjadi kemusnahan di muka bumi atas perbuatan tangan manusia sendiri. Nah, kemusnahan inilah yang dijanjikan sekiranya tangan yang kurang ajarannya tidak dibedung dan diajar dengan betul.

Banyak lagi kemusnahan dan kebejatan terhadap Sang Rimba yang telah dilakukan oleh manusia; khalifah alam jagat ini. Bahkan boleh dikatakan setiap hari ada sahaja berita memampangkan perihal kebejatan terhadap Sang Rimba ini seolah-olah ia tidak membawa sebarang erti kepada semua.

Adakah mereka sudah lupa atau pura-pura lupa akan ilmu alam yang mengajar bahawa udara yang disedut datang dari mana? Melihatkan kerakusan manusia ini membinasakan Sang Rimba, membuatkan penulis berandaian; mungkin mereka sudah menemui pengganti oksigen sekiranya ia habis kelak.

Rekod pihak berkenaan yang dipertanggungjawabkan untuk memantau dan mengawasi kebejatan terhadap Sang Rimba dan penghuninya tidak putus-putus dengan aduan yang memerlukan tindakan susulan. Namun, setiap kali juga seakan kebal pula manusia haloba dan berhati batu ini terhadap tindakan berupa amaran dan denda yang dikenakan terhadap mereka. Pasti diulang dan diulang kesilapan dan kehalobaan mereka meratahi Sang Rimba sehingga menjadi padang jarak, padang tekukur.

Sememangnya tidak dapat disangkal, hutan merupakan salah satu sumber pendapatan negara. Hal ini adalah kerana Malaysia memiliki sumber kayu keras yang bernilai tinggi seperti cengal, meranti, jati dan sebagainya. Pengeluaran balak di Semenanjung sahaja telah meningkat kepada 12.1 juta meter padu pada tahun 1989 berbanding 11.1 juta meter padu pada tahun sebelumnya.

Hasil-hasil sektor perhutanan ini akan dieksport terutamanya ke negara Jepun, Taiwan dan Korea Selatan yang mana hasil eksport telah mencatatkan sebanyak RM12 billion atau 40 peratus daripada jumlah pendapatan negara di antara bulan Januari hingga September 1990.

Hutan di dunia melingkungi hampir 40 peratus atau 4405 juta hektar daripada keluasan bumi dan 53.4 peratus terdiri daripada Hutan Hujan Tropika. Hutan Hujan Tropika di Semenanjung Malaysia terdiri daripada lebih 8,000 spesis tumbuhan berbunga di mana 2,650 adalah terdiri daripada spesis pokok. Bayangkan kehijauan sebesar ini pupus dan merajuk terhadap tindakan khalifah yang haloba.

“Pokok-pokok ni ada perasaan. Jika kita belai, kita berbual dengannya setiap hari, ia akan hidup segar subur. Dia faham cakap kita, Cuma kita sahaja yang tidak mendengar apa yang ia katakan kepada kita. Dia juga makhluk Allah seperti kita. Dia juga berhak hidup di atas muka bumi Allah ini. Kita sebagai khalifah yang harus mentadbir dengan baik.”

Kata-kata bekas komando ini benar-benar terkesan di dalam hati penulis. Memang benarlah setiap butir kata yang diucapkan beliau bahawa Sang Rimba sedang merajuk. Perasaan halusnya telah diguris oleh khalifahnya sendiri. Bukan niatnya untuk membunuh semasa kejadian tanah runtuh di Ulu Kelang tempoh hari. Bukan juga berniat untuk menyusahkan semasa banjir kilat di bandar Kuala Lumpur dan Shah Alam yang lalu. Niatnya hanyalah untuk memberi peringatan kepada khalifahnya tentang janji mereka kepada Allah s.w.t. Janji bahawa mereka sanggup memimpin sarwajagat dengan baik.

Adakah rajuk Sang Rimba akan dapat dipujuk?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s