RM15 ribu harga budi

Posted: April 23, 2007 in think tank thought

uglyduckling.jpg

Bunyi hon kereta yang agak kuat membuatkannya berpaling. Kelihatan seorang kanak-kanak cuba melintas jalan seorang diri berdekatan bangunan kompleks membeli-belah. Ketika itu kereta berkenaan sudah begitu hampir dengan kanak-kanak itu. Akibat bimbang dengan keselamatan kanak-kanak itu yang terdedah dengan bahaya dilanggar, dia pergi mendapatkannya. Dan setelah berjaya menyelamatkan anak kecil yang berusia lima tahun itu, dia menunggu selama kira-kira sejam berdekatan kompleks kalau-kalau keluarga anak itu datang menuntut anak mereka. Bagaimanapun, penantian itu sia-sia belaka. Dia kemudiannya membawa anak itu ke rumahnya di Sentul Pasar.

Sementara itu, Jam menunjukkan pukul 2 petang. Pasangan suami isteri dari Perak itu sedang leka membeli-belah. Si Ayah sedang mencuba pakaian di dalam bilik persalinan manakala Si Ibu sedang melayan kerenah anak keduanya yang berumur empat tahun itu.

Setibanya di rumah sewanya di Sentul Pasar itu, dia memperkenalkan anak kecil berusia lima tahun itu kepada kesemua ahli keluarganya. Kelima-lima anaknya sangat girang menyambut kedatangan ‘saudara baru’ mereka itu lalu diberikan nama Yusof. Si Ayah turut gembira menerima ‘anak baru’nya yang aktif dan cergas itu. Walaupun pendapatan sebagai penjual besi tidak seberapa ditambahkan pula dengan keadaan persekitaran rumah yang serba daif, Yusof tetap dilayan sama rata seperti juga anak-anak kandung mereka yang lain.

Keadaan pasangan dari Perak itu menjadi kelam-kabut. Dicarinya anak mereka yang lagi satu di setiap pelosok bangunan kompleks membeli-belah 11 tingkat itu namun pencarian mereka sia-sia belaka. Kelibat anak sulung mereka masih tidak kelihatan. Berita kehilangan Si Sulung menjadi berita hangat nasional. Misi mencari turut menjadi agenda nasional.

Pasangan dari Perak menderita dan hiba akibat kehilangan Si Sulung. Tetapi mereka tetap bersyukur kerana memiliki saudara senegara yang prihatin belaka. Banyak yang mahu menyumbangkan bantuan tidak kira orang perseorangan mahupun badan organisasi menghulurkan keringat mahupun wang ringgit. Hasil keprihatinan itu juga terkumpul RM15,000 sebagai ganjaran pada sesiapa yang berhasil menjumpai Si Sulung.

Kawasan kejiranan yang diduduki oleh sebahagian besarnya bekas pelarian Suruhanjaya Tinggi Mengenai Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) itu sedikitpun tidak menggugat kelincahan Yusof. Keluarga barunya yang berbangsa Myanmar itu juga melayannya dengan baik. Bangun pagi, Yusof akan meminta kepada ‘emak’nya roti canai sebelum menyambung tidurnya pada tengah hari. Petang pula, Yusof akan meminta ‘emak’nya menyediakan biskut. ‘Emak’ tidak keberatan memenuhi permintaan Yusof itu. Yusof tidak berasa bosan walaupun rumah ‘emak’ tidak memiliki peti televisyen kerana Yusof memiliki ‘adik-beradik’ dan kawan baru untuk diajak bermain. Mereka akan bermain dengan pasir di hadapan rumah ataupun besi-besi buruk yang dikumpul ‘ayah’. Setiap kali pulang dari sekolah, kawan baru Yusof yang bernama Rashidah Mohd. Rafiq itu juga selalu bermain ‘masak-masak’ dengan Yusof dan ‘adik-beradiknya’ dengan gembira.

Pasangan dari Perak semakin sedih dan pilu. Pelbagai acara digunakan untuk menemui Si Sulung. Poster-poster telah diedarkan, segenap ceruk dan pelusok Kuala Lumpur telah diredah. Khidmat sepasukan bomoh telah dipanggil. Waima pasukan Mat Rempit juga dikerah untuk membantu.

RM15,000 menjadi rebutan. Ada yang mengugut agar diberikan kredit prabayar telefon bimbit bernilai RM100 sebagai cagaran dan ada juga yang memberitahu bahawa mereka menyaksikan Si Sulung berada di Tumpat sebagai persediaan untuk di bawa ke Myanmar, tidak kurang juga maklumat yang menyatakan bahawa Si Sulung berada di hospital dan Putrajaya.

Beratus panggilan dan khidmat pesanan ringkas (sms) diterima bukan sahaja mengandungi maklumat tidak tepat malahan juga tohmahan dan hinaan kepada Si Ibu kerana dikatakan tidak pandai menjaga anak. Pasangan dari Perak yang sememangnya sedang berdukacita itu bertambah duka dan hibanya. Hari meniti hari yang dilalui semenjak kehilangan Si Sulung merupakan dugaan yang maha besar daripada Ilahi. Tiada apa yang diidamkan di dunia ini melainkan kembalinya Si Sulung ke pangkuan.

Hari ini masuk hari yang ke-15 Yusof sebagai ahli keluarga Rasidah Nur Islam dan Abdul Rahman Doli Rahman. Tetapi hari ini juga Yusof terpaksa berpisah dengan keluarga barunya gara-gara sekeping poster yang diterima ‘emak’ berdekatan Jalan Masjid India pagi tadi yang kelihatan sama dengan rupa paras Yusof. Poster bertulis sesuatu, tetapi malangnya ‘emak’ mahupun ‘ayah’ tidak pandai membaca. Bagaimanapun, ‘emak’ yakin bahawa ia ada kaitan dengan Yusof dan keluarga kandungnya.

‘Emak’ menyuruh ‘ayah’ menelefon nombor yang tertera di atas poster itu. Kemudian ‘ayah’ menyuruh empunya nombor datang ke rumah mereka kerana ‘ayah’ tidak tahu ke mana mahu menghantar Yusof. Lelaki yang bernama Mohd. Baharuddin Hassan dari Setiawangsa itu kemudiannya datang lalu menjemput Yusof dan ‘ibu bapa barunya’.

“Yin telah ditemui semula!,” betapa gembiranya hati pasangan suami isteri Shamsul Ghazali Shamsuddin dan Nor Amizah Ahmad yang berasal dari Perak itu apabila penantian selama 14 hari berkesudahan dengan baik apabila dapat bertemu semula dengan anak sulungnya, Muhammad Nazrin atau Yin. Permintaan Shamsul kepada Yusof mendendangkan lagu ‘Twinkle Twinkle Little Star’, lagu kegemaran Yusof telah menguatkan lagi kenyataan bahawa Yusof adalah anak sulungnya Yin.

Hari ini merupakan hari yang sangat menggembirakan bagi Yin. Masakan tidak, pada hari ini, Yin dapat berjumpa semula dengan ibu bapa kandungnya semenjak ‘kehilangannya’ 15 hari yang lalu. Pada hari ini juga terlaksana satu misi nasional. Satu negara bersyukur dan gembira dengan pertemuan ini. Lebih menggembirakan, kini Yin memiliki dua ibu bapa dan adik-beradik berlainan bangsa yang menyayangi dan mengambil berat akan dirinya. Yin akan senantiasa pastikan, ikatan silatur rahim ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja.

Sehari selepas Yin meninggalkan keluarga Myanmar itu, ‘ibu bapanya yang berbangsa Myanmar’ itu terpaksa meringkuk di dalam lokap selama empat hari. Mahkamah di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah memerintahkan tahanan reman terhadap mereka bagi membantu siasatan kes penculikan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 342 kanun yang sama kerana mengurung secara salah.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 363, mereka boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda sementara Seksyen 342 memperuntukkan hukuman penjara selama setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Kesalahan menculik boleh membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, manakala bagi tuduhan mengurung, penjara setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner I Zulhasnan Najib Baharudin, berkata siasatan kes itu akan dibuat secara terperinci, termasuk kemungkinan mangsa diculik untuk tujuan mengemis.

“Kita juga akan soal siasat pasangan itu mengenai motif mereka membotakkan kepala Yin dan mengapa menyimpannya terlalu lama,” katanya sambil memberitahu polis turut menyiasat latar belakang pasangan terbabit, sama ada mereka terbabit dalam sindiket mengeksploitasikan kanak-kanak sebagai pengemis.

Yin tidak faham mengapa semua ini terjadi. Tidak. Mereka tidak mengemis. ‘Emak’ keluar mencari rezeki dengan menjual pelekat ayat-ayat suci al-Quran dan buku-buku agama, bukan mengemis. Memang Yin tidak faham kerana masakan anak seusianya dapat memahami pekerjaan dan tindakan orang-orang yang lebih dewasa. Namun, tidakkah mereka mengerti dengan penyataan ‘ibu bapa berbangsa Myanmarnya’ itu sebelum ini bahawa dia dijaga seperti ‘adik-beradiknya’ yang lain dan dijaga dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Bahkan, mereka juga tidak tahu-menahu tentang wang ganjaran sebanyak RM15,000 itu. Yin risau dengan nasib ‘adik-beradik’ lima bersaudaranya itu. Bagaimanakah nasib mereka yang kini berada di bawah jagaan Asrama Sentosa kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu?

Empat hari berlalu sebagai tahanan cukup memeritkan. Jiwa dan raga terseksa mengenangkan lima anak yang tidak tahu untung nasibnya. Macam-macam dugaan yang menerjah sehinggakan status kelima-lima anaknya menjadi persoalan sama ada dari darah dagingnya atau tidak. Dimanakah sifat perasaan belas kasihan manusia seperti rasa kasih belasnya terhadap Yin 15 hari lalu?

Walaupun sudah 23 tahun mereka bermastautin di Malaysia iaitu semenjak umur ‘emak’ empat tahun manakala ‘ayah’ 14 tahun, hari ini ‘emak’ dengan nada kesal menyatakan bahawa selepas ini tidak sama sekali beliau akan menolong orang lain jika begini balasan pertolongannya kelak.

Komen-komen
  1. nurkaseh berkata:

    hmm..sy memang follow cite yin ni hari2 dekat paper..rasenye cam ayah betul yin tu pun bukan nk dakwa apa2..cuma bila pihak polis yg buat tindakan, kita tak boleh nk halang..cuma nya kalau sy jadi pasangan myanmar tu pun, sure saya terkilan abis..tp wallahualam..harapnya warga myanmar tu takkan terkena apa2 tindakan, insyaAllah..

  2. psittacula berkata:

    buat baik berpada-pada…buat jahat jangan sekali-kali…..zaman sekarang ni nak buat baik pun kena fikir. tapi keihlasan dalam melakukan sesuatu pasti ada ganjaran. kalaupun bukan daripada manusia, Allah s.w.t pasti akan memberi ganjaran yang seterusnya menambahkan ‘markah’ kita untuk melangkah ke Syurga. Aminnnn..

  3. syukrans berkata:

    Mari kita renung sejenak,ketidakadilnya polis di Malaysia.
    Kejadian yg menimpa warga myanmar ini adalah satu yang tragis.
    Isu2 yang remeh2 begini,polis sibuk nak cari kesalahan.
    Sedang kesalahan pemimpin2 negara,rasuah,samseng,gangsterisme,dan macam2 lagi yang dah terterang tang tang ,polis buat tutup mata sahaja.
    Apa nilainya keadilan di Malaysia sekarang?Adakah mereka polis menjaga keamanan?atau Polis menjaga periuk makan sendiri?

    Ya ALLAH,berikanlah kami kekuatan untuk meneruskan perjuangan.Kukuhlah hati kmk dalam perjuangan AgamaMU.
    AMin

  4. Think tank berkata:

    mengambil konsep buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali dilihat lebih sesuai dengan keadaan dunia yang rencam kini. Allah s.w.t menilai hamba-Nya bukan dari rupa paras dan asal keturunan tetapi amalannya…semoga Allah s.w.t memberikan kemenangan kepada hamb-Nya yang berniat hanya untuk-Nya.amin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s