Alahai anak daro omak!

Posted: Mac 8, 2007 in think tank thought

sakura-movie.jpg

Sememangnya kelakuan sosial remaja kini sudah berada dalam keadaan meruncing. Tanpa melihat kepada hasil dapatan mana-mana kajian, mata kepala sendiri juga boleh mengiyakan kebejatannya. Remaja yang berzina dan bersekedudukan sudah berlambakan dimana-mana. Kajian oleh Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Khaidzir Ismail melalui “Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi” terhadap remaja perempuan bermasalah ini hanya menunjukkan realiti yang ‘segan’ diperakui pelbagai pihak.

Hasil kajian selama tiga bulan yang dilakukan berdasarkan inisiatif sebuah kerajaan negeri itu mendapati 886 daripada 887 pelajar perempuan yang dikategorikan sebagai “berisiko tinggi” yang menuntut di sekolah menengah di sebuah negeri mengaku pernah melakukan hubungan seks. Bayangkan hanya seorang sahaja yang tidak pernah melakukan seks!

Dapatan kajian juga mendapati 98 peratus daripada mereka mengaku mengambil dadah, terlibat dalam kongsi gelap (98 peratus), bahan lucah (97.3 peratus), berjudi (96.8 peratus), vandalisme (85.4 peratus) dan ponteng sekolah (77.2 peratus).

Kajian dilakukan terhadap 20 orang pelajar perempuan berisiko tinggi daripada setiap sekolah di negeri itu juga mendapati mereka yang berisiko tinggi itu terdiri daripada kalangan pelajar yang mempunyai masalah disiplin seperti kerap ponteng sekolah, melawan cakap guru dan sering melakukan salah laku lain serta datang daripada keluarga yang bermasalah seperti ibu bapa yang mempunyai masalah psikologi, bercerai, mengalami masalah kewangan dan tidak ketinggalan kebanyakannya tinggal di rumah kos rendah.

Selain daripada mengamalkan seks bebas, kajian juga mendapati pelajar perempuan yang berada dalam dalam lingkungan 15 dan 16 tahun merupakan permulaan umur bagi mereka untuk menjerumuskan diri dalam pelbagai kebejatan sosial ini. Menurut Ketua Polis Negara, kes jenayah membabitkan remaja dan pelajar di seluruh negara meningkat sebanyak 295 kes tahun lalu iaitu sebanyak 6,838 kes termasuk jenayah kekerasan, harta benda terutama kes mencuri berbanding 5,543 kes pada tahun sebelumnya. Tahun lalu juga, seramai 8,113 remaja berusia antara 16 dan 18 tahun ditahan dan daripada jumlah itu 3,545 adalah pelajar.

Sesungguhnya tidak dapat dibayang dengan akal fikiran bagaimanakah agaknya dengan masa depan negara sekiranya dilihat kepada hakikat ini. Remaja yang dilihat sebagai pewaris negara ini jika tidak dipimpin dan dibentuk dengan dibiarkan rosak sebegini ibarat membawa tanah air tercinta ini ke lembah kebinasaan. Malang lagi menyedihkan kerana terdapat segolongan ‘manusia dewasa’ ini secara keras-kerasan pula menutup mata mereka kepada kebejatan ini menerusi penafian terang-terangan antaranya mempersoalkan kembali mengapa kajian hanya menyatakan keruntuhan nilai moral pelajar perempuan sahaja selain dikatakan ‘berat sebelah’ dan fokus yang sempit.

Mentaliti ini dilihat hanya memburukkan lagi keadaan kerana golongan manusia dewasa ini sewajibnya memandangnya sebagai kebejatan yang membarah yang sewajibnya diubati bukannya mempertikaikan atau tersinggung dengan hasil dapatan tersebut dengan penafian fokus gender tersebut. Pada hemah penulis, sekiranya mereka berasa beratnya tanggungjawab sebagai pemimpin generasi pelapis, wajib sekiranya mereka memikirkan masa depan negara dengan kadar segera menerusi pendekatan ilmiah atau apa cara sekalipun bagi mengubati dan membanteras kebejatan generasi pelapis ini dari dibiarkan melarat. Tidak seharusnya dipandang kepada bilangan tetapi risikonya kepada negara kelak.

Bukti nilai moral masyarakat sedang ‘membusuk’ dapat dilihat di mana-mana bukan sahaja menerusi dapatan kajian ini sahaja. Penulis mengambil contoh pendedahan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini yang mendedahkan bahawa kaum Melayu mencatat bilangan tertinggi penghidap HIV/Aids di negeri ini dari tahun 2000 hingga tahun lepas. Mengikut statistik Jabatan Kesihatan Kelantan untuk tempoh berkenaan, seramai 4,979 pengidap HIV/AIDS dicatat di kalangan kaum Melayu, Cina (152), India (32), kaum-kaum lain (95) dan bukan warganegara (39). Walaupun statistik tidak menunjukkan tahap umur penghidap, tetapi realitinya sangat menakutkan. Ini hanya merujuk kepada satu negeri sahaja di Malaysia. Bagaimanakah agaknya dengan 13 negerinya yang lain?

Perdana Menteri pernah meluahkan rasa kebimbangannya dengan merujuk kepada sejarah di mana banyak empayar dan negara-negara maju runtuh kerana generasi yang mewarisinya gagal menjaga ketamadunan yang dicapai kerana mereka mempunyai moral yang rendah. Menurut beliau, generasi yang mewarisi negara itu terdiri daripada mereka yang lupa daratan, berkelakuan tidak baik dan bersengketa antara satu sama lain serta melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Dengan penafian-penafian tadi, adakah ini ciri-ciri generasi pelapis yang mahu kita garap?

Hari ini (8 Mac 2007) terpampang di media massa seorang pelajar tingkatan empat (wajib berumur 16 tahun) di sebuah negeri (bukan di negeri kajian dijalankan) telah melahirkan seorang bayi di bilik rawatan sekolahnya. Gurunya seorang pun tidak menyedari akan perkara itu kerana ketika menghantarnya ke hospital, bayinya yang telah mati, disorok di dalam beg sekolahnya.

Masih ada pihak yang mahu menyangkal?

Komen-komen
  1. psittacula berkata:

    takut mengenangkan masa depan nak-anak nanti. Doakan yang terbaik buat anak-anak kita dan anak-anak dara malaysia yang lain. aminnn..

    anyway, theme ni very striking..but good for my eyes yang dah nak rabun ni…congrat!

  2. psittacula berkata:

    cari le….jangan sampai delay artikel dah laaa…dan jangan sampai pening dah laa…anyway, kesungguhan memberi paparan yang terbaik untuk para pembaca amat dihargai..

  3. soffian berkata:

    memang anak melayu dah teruk!!!
    tak percaya? lepak kat shah alam yang bandar melayu ni pun dah nampak terang lagi jelas..dalam kereta berkhalwat,bercumbu tepi tasik dan banyak lagi..
    yang perlu disalahkan ialah mak bapak..memang tak reti jaga anak..Agama diabaikan..sembahyang macam orang kafir seminggu sekali..itu pun kalau yang tu tak ditinggalkan..mak bapak kene pantau mana anak pergi,kalau malam-malam tu jangan la bagi keluar..ni tidak buat relax je..dah mengandung baru lah start nak maki hamun..kerajaan pun satu,kalau kelab malam tu haramkan aje melayu masuk..hidup perlu hiburan tapi tak perlulah sehebat itu..neraka je jawabnya..
    bukan nak menunding jari tapi kalau batupun dititis dengan air lembut gak akhirnya ini tidak..biarkan aje perangai buruk anak-anak memanglah dilaknat jawabnya..
    ini lah penangan Islam hadhari..jangan sampai satu hari nanti bile imam mahadi dan nabi isa turun tak ada sorang dari kita pun akan jadi pengikutnya..semua dah termakan fitnah dajall…

  4. ieza berkata:

    sebenarnya jangan salahkan parents…diorang dah wat yang yerbaik untuk anak-anak..kalau anak-anak pandai memilih kawan tentu seme masalah ni tak akan timbul…ada anak-anak yang tak jujur dengan parents..kat depan parents ok je tapi belakang…..ape-ape pun tak boleh salahkan sebelah pihak je….

  5. Think tank berkata:

    ibu bapa perlu tegas mengatakan mana boleh dan tidak boleh dan penerangan kenapa tidak boleh dan boleh kepada anak-anak dari kecil mengikut landasan agama dan undang-undang…kelak anak-anak akan tahu mengapa sedari awal ibu bapa berbuat demikian…dengan itu perkara sebegini pasti tidak akan berlaku…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s