Mari pelajari adab berbicara

Posted: Mac 5, 2007 in think tank thought

censored2.gifOrang dahulu ketika berbicara, penuh dengan hemat dan sopan. Waima ketika dalam keadaan marah, kata-kata yang diucapkan lebih mirip kepada sindiran daripada kutukan atau kecaman. Sindiran-sindiran ini pula dihamburkan melalui pantun, syair atau gurindam, juga melalui peribahasa dan simpulan bahasa. Orang Melayu dahulu kala amat perihatin agar tidak menyakiti hati atau bercelupar ketika berbicara. Tetapi itu zaman dahulu kala. Zaman di mana televisyen pun berwarna hitam putih gambarnya.

Zaman kini, zaman serba canggih dan berteknologi tinggi segalanya bersifat individualistik. Berbicara juga hilang kebolehan bergurindam berpuisi dalam penggunaan kehidupan hariannya. Zaman kini adalah suatu yang mustahil berkebajikan kepada orang lain sekiranya kebajikan diri sendiri tidak dipenuhi terlebih dahulu. Zaman kini hal sendiri menjadi keutamaan daripada hal orang lain. Apatah lagi hal orang-orang yang telah pergi menghadap Ilahi. Orang dulu suka menjaga tepi kain orang. Katanya, “Kubur lain-lain. Kau peduli apa?.” Bahasa menggambarkan bangsa justeru terbuktilah bangsa dan bahasa itu kini seakan sedang menghadapi zaman malapnya.

Kata orang tua-tua, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” “ Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana.” Yang menanggung pedasnya cili dek kerana peribahasa ini tentulah artis veteren Rosnah Mat Aris yang terus-menerus dikritik pelbagai pihak bahana keterlajakan katanya. Tidak ketinggalan beberapa menteri kabinet negara yang turut berperang dengan kata-kata yang agak kurang adabnya itu.

Akibat daripada ‘telajaknya bahasa’ tersebut ada juga pihak yang mengambil inisiatif cuba memperbetulkan dan seterusnya mengingatkan kembali betapa adab berbahasa dan kesantunan dalam berbicara adalah suatu kepupusan yang sebenarnya dituntut bukan sahaja oleh agama malahan juga oleh adat resam bangsa.

Seminar Mulut misalnya berlangsung pada 1 Mac lalu antara lain bertujuan menyedarkan masyarakat peri pentingnya berbicara secara berhemah ini yang merupakan kayu pengukur sama ada ke neraka atau syurga kelak. Seminar yang disasarkan kepada rakyat terutama daripada kalangan pemimpin masyarakat dan ketua keluarga supaya amalan itu menjadi ikutan anak buah mereka. Seminar tidak berhenti setakat itu sahaja kerana pada setiap hari Jumaat, rakyat juga digalakkan bercakap baik (berbicara dengan penuh berhemah).

Allah s.w.t berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya telah berjaya orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya dan orang yang menjauhkan diri daripada perbicaraan yang tidak berguna”(Surah al-Mukminun : 1-3).

Keupayaan berbicara merupakan nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia. Manusia perlu menggunakan lidahnya untuk membicara perkara-perkara yang berfaedah. Pesanan Rasulullah s.a.w. agar menyampaikan mesej Baginda walaupun satu ayat merupakan penegasan tentang betapa pentingnya kita perlu berbicara. Namun, tidak tahu di mana silapnya, adab berbicara dipandang sepi dan kelihatannya perkara yang ketinggalan pula oleh masyarakat kini sehinggakan perlu pula diberikan kelas pengajian kepada mereka mempelajarinya semula!

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku nanti di hari Kiamat ialah orang yang banyak omong dan berlagak dalam berbicara. Maka dikatakan: Wahai rasulullah kami telah mengetahui arti ats-tsartsarun dan mutasyaddiqun, lalu apa makna al-mutafayhiqun? Maka jawab nabi s.a.w: “Orang-orang yang sombong” (Hadis riwayat Tirmidzi).

Malang kerana terbukti masalah masyarakat kini adalah mereka suka bercakap kosong dengan melepak ditepi-tepi jalan dan pusat membeli-belah selain terdapat juga golongan di kalangan masyarakat yang taksub dalam berbicara sehingga tidak sedar bahawasanya mereka telah berlebih-lebihan dalam berbicara bertujuan agar orang lain menyanjunginya.

Penyakit ini kelihatannya sudah sinonim dengan masyarakat sehinggakan mereka seakan lali dengannya dan beranggapan bahawa situasi ini sealiran dengan zaman serba kecanggihan ini. Itu tidak kira lagi kerenah mereka yang suka membodek bagi tujuan mencapai kepentingan peribadi. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Ada seorang yang memuji orang lain di depan orang tersebut, maka kata nabi s.a.w: “Celaka kamu, kamu telah mencelakakan saudaramu! Kamu telah mencelakakan saudaramu!” (dua kali), lalu kata rasulullah s.a.w: “Jika ada seseorang ingin memuji orang lain di depannya maka katakanlah: Cukuplah si fulan, semoga Allah mencukupkannya, kami tidak mensucikan seorangpun disisi Allah, lalu barulah katakan sesuai kenyataannya.”

Dan dari Mujahid dari Abu Ma’mar berkata: Berdiri seseorang memuji seorang sahabat di depan Miqdad bin Aswad secara berlebih-lebihan, maka Miqdad mengambil pasir dan menaburkannya di wajah orang itu, lalu berkata: Nabi s.a.w memerintahkan kami untuk menaburkan pasir di wajah orang yang gemar memuji (Hadis Riwayat Muslim).

Renungkan sekiranya perlakuan memuji juga tidak disenangi Rasulullah, inikan pula berbicara sesuatu yang tidak berfaedah dan keji seperti mengumpat dan mengutuk.

Abdullah ibnu Abbas r.a. mengatakan: ‘Ada lima perkara yang lebih baik bagi mereka daripada kuda liar yang dibiarkan diam.

Pertama: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu yang tidak mengenai dirimu kerana hal itu merupakan perbicaraan yang tidak perlu dan aku tidak menjamin engkau akan selamat daripada dosa.

Kedua: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu sebelum engkau mengetahui saatnya yang tepat sebab mungkin orang berbicara tentang sesuatu yang penting baginya tetapi kerana dilakukan tidak tepat pada waktunya boleh menimbulkan hal-hal yang memalukan.

Ketiga: Janganlah engkau berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana dan juga dengan orang yang berperangai buruk sebab orang yang sabar tidak akan menghiraukan dirimu manakala orang yang berperangai buruk akan menyakiti hatimu.

Keempat: Ceritakanlah kepada saudaramu yang tidak hadir tentang apa yang engkau sendiri ingin dia ceritakan kepadamu dan maafkanlah dia seperti engkau sendiri ingin dimaafkan olehnya.

Kelima: Buatlah seperti orang yang benar-benar sedar bahawa perbuatan itu akan mendatangkan kebajikan dan tidak akan mendatangkan dosa atau kesalahan. (Ibnu Abi Dunya).

Tidak salah kita beringat-ingat sebelum mengeluarkan kata-kata. Apatah lagi kata-kata yang keluar daripada mulut lebih tajam dari keris dan lembing. Kedudukan sosio-ekonomi dan berpakaian segak bukanlah kayu pengukur kesantunan seseorang itu, tetapi daripada tutur bahasanya.

Berdiam diri adalah lebih baik daripada berbicara perkara yang kita sendiri tidak pasti atau tahu. Dengan cari ini, bukan sahaja terlepas daripada dosa menipu, malah kita juga dapat menghindarkan diri daripada takbur dan omongan kosong selain tidak menyakiti orang lain.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s