Jarak orang kaya dengan syurga

Posted: Mac 5, 2007 in think tank thought

trumpgates.jpg“Jika kamu menolong ayah melakukan ini, ayah akan memberikan kamu RM…” Jika kamu mendapat tempat pertama dalam pelajaran, ibu dan ayah akan memberikan kamu RM…” “Jika kamu ingin RM…kamu perlu membuat semua perkara yang saya suruh.” “Jika anda mahu saya melaksanakan kerja anda, bagi saya dahulu sejumlah RM…”

Semuanya berkenaan dengan duit; seolah-olah apa sahaja pekerjaan atau suruhan yang dilakukan, perlu dinyatakan jumlah sogokan terlebih dahulu sebelum kerja atau suruhan tersebut dilaksanakan.

Wang ringgit mampu membeli apa sahaja di dunia ini. Ia merupakan antara ‘ciptaan ajaib’ rekaan manusia yang mampu memperhambakan penciptanya sendiri. Siapa yang memilikinya pasti mempunyai pengikut yang setia (kaki kipas yang senantiasa dahagakan duit saku!)

Tidak keterlaluan jika dinyatakan bahawasanya duit adalah alat yang berkuasa dimuka bumi ini. Kekuasaannya mampu memberikan suatu kebaikan kepada manusia raya; juga mampu membinasakannya. Suatu ikatan mampu dibina daripadanya, ikatan itu juga bisa dileraikan oleh ‘kekuasaannya’. Mahu tidak mahu hidup ini sangat-sangat bergantung kepadanya bagi melangsungkan kehidupan seharian.

Memang benar dan semua orang tahu, harta dunia (wang ringgit dan kuasa) telah banyak membinasakan orang zaman dahulu dan juga generasi masa kini kerana apabila harta dan kuasa melimpah ruah, mereka menjadi tamak.

Dalam surah al-Alaq ayat enam dan tujuh, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Ingatlah, sesungguhnya manusia itu melampaui batas jika dia melihat dirinya telah mencukupi (kaya).”

Islam menggalakkan umatnya mencari harta sebanyak harta Qarun, yang melimpah ruah. Hadis riwayat Saad bin Abi Waqqas: “Sesungguhnya Allah menyukai hamba-Nya yang bertaqwa dan yang kaya.” (Hadis riwayat Muslim dan Ibn Hibban).

Namun, tidak pula disuruh menjadi seperti Qarun yang mana akhirnya tenggelam bersama-sama hartanya itu. Pengajaran daripada kisah Qarun itu seharusnya diambil sebagai ikhtibar tentang betapa indahnya Islam itu.

Islam tidak pernah melarang umatnya daripada mencari harta dunia mahupun kuasa tetapi apa yang menjadi larangannya adalah harta dan kuasa yang disalahgunakan sehinggakan maksud sebenarnya menyimpang jauh daripada maksud sebenar. Persoalan penting yang perlu dititik-beratkan adalah bagaimana cara kita mencarinya dan dijalan mana kita membelanjakan dan mengarahkannya.

Menurut hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w telah mengingatkan para sahabat dan juga kaum muslimin bahawa antara empat soalan yang akan ditanyakan di Padang Mahsyar ialah perihal harta; dari sumber mana ia diperoleh dan ke jalan mana ia dibelanjakan.

Islam itu indah. Indahnya Islam tidak pernah mengenepikan walau seorangpun umatnya daripada merasai kemewahan yang ada di muka bumi ini. Kekayaan dan kemewahan yang dimiliki oleh orang kaya, akan juga dapat dirasai oleh orang fakir miskin menerusi zakat si kaya.

Namun, sikap tidak pernah puas yang sememangnya ada di dalam setiap diri hamba-Nya akan menidakkan hak tersebut. Bagi mereka, usaha yang mereka kerjakan adalah milik hakiki mereka sahaja. Mereka menentang keras golongan fakir miskin yang dikatakan tidak mahu berusaha. Golongan ini seakan menidakkan hukum yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t dalam soal pengagihan harta ini.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yag dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah Saba’: 39)

Hamba yang soleh senantiasa mencari keredaan-Nya. Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi Islam dan keredaan daripada Tuhan Yang Maha Agung. Infaq (mengorbankan harta) merupakan antara amalan yang sangat disukai oleh Allah s.w.t. Ia memberi peluang kepada si kaya ini membelanjakan hartanya ke jalan yang diredai-Nya seperti bagi membiayai aktiviti-aktiviti dakwah dan berjihad.

Allah s.w.t memuji mereka yang melakukan infaq seperti firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yag beriman, hendakkah kamu Aku tunjukkan perniagaan yang akan menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itu lebih baik jika kamu mengetahuinya.” (Surah al-Saff: 10)

Kesimpulannya, dalam konteks pencarian harta kekayaan da keredaan Allah s.w.t, molek kiranya hadis Rasulullah s.a.w yang popular ini dijadikan pegangan: “Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi dan beribadatlah kamu seolah-olah esok kamu akan mati.” Kelak kehidupan di dunia diredai. Kehidupan di akhirat dinikmati.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s