Jangan tidak toleh belakang!

Posted: Mac 1, 2007 in think tank thought

sunclock.jpgJika berbicara mengenai sejarah, perkara pertama yang terlintas di dalam benak ialah sesuatu peristiwa yang telah berlalu. Kadangkala sejarah juga ditakrifkan secara negatif oleh golongan tertentu sehingga dianggap seolah-olah mempelajari sejarah adalah sebagai mempelajari ilmu yang membuang masa dan membosankan.

Sedar atau tidak, tamadun yang terbina pada masa kini adalah hasil pembelajaran dan pemerhatian daripada sejarah ketamadunan lampau. Evolusi ilmu yang dikaji dan diteliti oleh para sarjana dan cendikiawan harus melalui proses masa tertentu. Dalam erti kata lain, sesiapa yang mengkaji proses ini dalam sebarang bidang ilmu, sebenarnya adalah mengkaji sejarah.

Setiap urusan yang ingin dilaksanakan perlulah melalui satu proses perancangan. Antara unit dalam perancangan tersebut adalah berpandukan kepada kes-kes, peristiwa atau kejadian dan tahap pencapaian yang lalu. Tujuan utama sesuatu perancangan adalah antara lain untuk mensasarkan prestasi atau keputusan yang memberangsangkan.

Jika diteliti sejenak, jelaslah bahawa mentauladani sesuatu peristiwa sejarah merupakan satu titik tolak dalam memantapkan lagi prestasi atau keputusan yang akan dibuat. Sejarah juga bolehlah dianggap sebagai gedung ilmu atau ibu ilmu kerana melalui sejarah, manusia akan lebih berhati-hati untuk bangun semula memperbaiki kesilapan dan kemudian mengubah dan membina semula perkara yang baru.

“Sejarah adalah umpama bilik kuliah yang besar dan sesiapa yang tidak belajar daripada sejarah akan didera dengan mengulangi kesalahan yang serupa.”

Kata-kata hikmah di atas merupakan kata-kata bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kata-kata tersebut menggambarkan betapa besar ertinya melihat dan mempelajari sejarah lalu kerana pemahaman terhadap sesuatu masyarakat dan perkara hanya dapat diketahui melalui sejarah.

Menurut Ibn Khaldun dalam bukunya “Muqaddimah” menyebut: “Dengan mempelajari sejarah, kita boleh mengetahui apakah peraturan kehidupan yang telah tetapkan oleh Allah s.w.t kepada manusia, dan akibat jika manusia melanggarinya.”

Melihat kepada konteks kehidupan masyarakat sekarang, usaha menjadikan sejarah sebagai sesuatu bahan rujukan yang menarik dan bererti agak sukar untuk digarapkan jika usaha memberi pemahaman terhadap sejarah sendiri tidak dimulakan dari awal.

Teks-teks sejarah lampau seperti “Sejarah Melayu”, “Hikayat Hang Tuah”, “Hikayat Merong Mahawangsa” dan lain-lain sekadar menekankan unsur-unsur mitos, lagenda dan dongeng (Abdul Ghani Abu: artikel internet).

Generasi muda pada masa kini pula seakan tidak menunjukkan minat di dalam mengasah pemahaman mereka terhadap sejarah terdahulu yang secara tidak sedar mempunyai perkaitan yang amat rapat dengan kehidupan mereka.

Lantaran itu, wujud permasalahan dalam usaha meletakkan kepentingan dan kefahaman sejarah dalam pemikiran generasi muda pada hari ini.

Kebimbangan pucuk pimpinan terhadap permasalahan ini nampaknya berasas. Lihat sahaja corak pemikiran dan kehidupan sosial generasi muda kini yang agak keterlaluan bagi masyarakat yang dahulunya mendokong dan menjulang budaya Timur. Pemikiran mereka dibayangi pemikiran yang diterap daripada ‘budaya moden’ pembawaan Barat.

Alasan yang diberikan agak ekstrem dan bias terhadap budaya Timur sendiri. Alasan bahawa “kita harus sentiasa pandang dan bergerak ke hadapan dan jangan pandang ke belakang” merupakan kata-kata yang menjadi pegangan mereka.

Sejarah tidak harus dipandang releven hanya kepada bidang kemanusiaan atau kemasyarakatan sahaja kerana dalam era dunia tanpa sempadan ini, sejarah harus difokuskan sebagai aspek utama pembinaan jati diri masyarakat (Abdul Ghani Abu: artikel internet).

Sejarah memberi manfaat sebagai catatan bukti tentang kejayaan mahupun kegagalan yang diraih untuk dijadikan contoh dan teladan bagi generasi seterusnya.

Jelaslah di sini bahawa kekuatan sejarah itu terletak pada hakikatnya iaitu untuk menunjukkan kebenaran dan memberikan pengajaran. Berdasarkan kepada kenyataan tersebut jugalah menjadikan ia sebagai perkara penting dalam kehidupan manusia.

Ilmu sejarah dapat berfungsi bukan sahaja untuk memberi ikhtibar, pengajaran, semangat dan motivasi, bahkan kekuatan seseorang, masyarakat, etnik dan bangsa untuk membangun semula memperbaiki kesilapan lalu dan kemudian mengubah dan membina semula.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s