Adik besar nak jadi apa?

Posted: Mac 1, 2007 in think tank thought

cute-baby.JPG

Kehidupan sebagai seorang penuntut atau pelajar merupakan saat paling indah bagi setiap manusia yang berkesempatan mengikutinya. Masakan tidak, kehidupan seorang pelajar tidak memerlukannya memikirkan masalah besar, yang perlu diberikan perhatian hanyalah membereskan kerja rumah yang diberikan oleh guru atau pensyarah. Itu sahaja.

Melangkah sahaja kaki keluar dari rumah, apa yang ada di dalam kepala ialah ‘plan’ yang boleh dilakukan bersama rakan-rakan sedarjah. Sampai di muka pintu pagar sekolah atau universiti, perkara pertama yang terbit di dalam benak ialah menuju ke ‘port melepak’ bersama-sama kawan-kawan seperjuangan. Itu adalah satu kelaziman.

Melepak dengan kawan-kawan adalah antara agenda utama; sama ada ketika menunggu kelas pertama mahupun waktu rehat. Topik utama perbincangan biasanya ialah berkenaan dengan topik yang diajar guru atau aktiviti-aktiviti kokurikulum hinggakan kepada topik berkenaan perempuan (jika lelaki) ataupun lelaki (jika perempuan).

Balik dari sekolah, perkara pertama yang berlegar dikepala ialah mengisi tembolok yang kosong dan kemudian tidur petang! Malam pula adalah waktu untuk membuat kerja sekolah yang diberikan oleh guru dan kemudian menonton televisyen. Selesai menonton, biasanya mata akan berasa berat untuk dibuka dan sudah pasti kepala terbayang-bayang akan bantal dan katil yang empuk.

Begitulah rutin seharian seorang manusia yang bergelar pelajar. Sedikitpun tidak menghiraukan masalah-masalah besar ataupun ‘masalah-masalah dunia’ yang berlaku di luar sana. Apa yang penting tanggungjawab sebagai seorang pelajar sudahpun dipenuhi.

Namun, dalam pada masa itu, sudahkah pelajar-pelajar ini bersedia menghadapi dunia luar sesudah tamat pengajian kelak? Sudahkah mereka menentukan hala tuju mereka dan mempersiapkan diri mereka dari segi mental dan fizikal?

Masalah penggangguran yang berlaku di kalangan siswazah pada masa ini adalah akibat daripada ketidaksediaan mereka dari segi mental dan fizikal dalam menentukan hala tuju mereka sesudah tamat pengajian kelak.

Mengikut laporan Penyiasatan Tenaga Buruh yang dijalankan oleh Jabatan Statistik Malaysia, seramai 234,684 orang belia telah dikenal pasti menganggur di seluruh negara. Jumlah itu termasuk para lepasan sekolah sama ada rendah dan menengah dan para siswazah lepasan institusi pengajian tinggi awam dan juga swasta.

Di masa yang sama, sekurang-kurangnya 50,000 orang siswazah masih lagi mencari-cari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan pendidikan dan fizikal yang ada. Jumlah itu pasti akan bertambah dari tahun kesetahun. Namun, apa yang menyedihkan ialah sebahagian besar daripada jumlah tersebut adalah terdiri daripada siswazah berketurunan Melayu.

Walaupun ada faktor penyebab lain seperti ketidaksesuaian kursus yang diikuti dengan skop pekerjaan yang diminta, tiada kemahiran berbahasa Inggeris dan sebagainya, perkara pokok permasalahan tersebut adalah mereka tidak menentukan hala tuju mereka seawal permulaan persekolahan lagi.

Rata-rata jika ditanya kepada pelajar sekolah mahupun mahasiswa institusi pengajian tinggi mengenai hala tuju selepas menamatkan pengajian, jawapan yang diberikan adalah tidak tahu ataupun tidak pasti atau yang lebih parah tidak pernah memikirkannya. Seolah mereka langsung tidak menghiraukan peredaran masa yang sentiasa berputar dengan lagak seperti berada di dalam dunia Neverland kediaman Peter Pan yang mana istilah dewasa tidak wujud sama sekali.

Penyelesaian kepada masalah ini sepatutnya adalah memimpin para pelajar seawal persekolahannya memilih hala tuju yang ingin diambil sesudah menamatkan persekolahan atau pengajian kelak. Selain daripada itu, guru juga perlu memberi penerangan tentang skop pekerjaan yang boleh diikuti mengikut bidang pilihan para pelajar tersebut dan kesannya serta bidang pekerjaan yang berkeperluan mengikut pasaran.

Sebagai contoh, jika pelajar memilih untuk mengikuti sukatan sains tulen, skop pekerjaan yang boleh diceburi mereka ialah pekerjaan yang melibatkan cabang sains seperti doktor, jurutera, saintis dan sebagainya dan begitu juga dengan sukatan-sukatan pelajaran yang lain seperti sastera, kejuruteraan, ekonomi dan sebagainya.

Jika dari awal diberikan pendedahan dan penerangan mengenai hala tuju mereka, rasanya tidak akan wujud persoalan pengangguran yang disebabkan oleh kursus yang diikuti tidak menawarkan pekerjaan yang banyak dan sebagainya. Walaupun adalah mustahil untuk mencapai ‘pengangguran sifar’, sekurang-kurangnya masing-masing tidaklah menuding jari menyalahkan satu sama lain mengenai masalah pengangguran ini.

Komen-komen
  1. psittacula berkata:

    – masa darjah enam i nak jadi pramugari sbb leh naik kapal terbang…cikgu kata jangan, tak berapa elok keje tu..
    – masa tingkatan 3 isi buku latarbelakang pelajar, ruangan cita-cita buh jadi cikgu, polis n penyanyi (sbb selalu tgk movie kat tv…terpengaruh), cikgu suruh potong item ‘penyanyi’ tu…
    – masa kat u lak cita-cita nak jadi pensyarah…
    sekarang…msih tak tercapai apa yang diingini sbb pegang konsep ‘kalau ada rezeki keje apa pun boleh laa’

    kesimpulannya, keje yang kita buat , lakukan sebaiknya. walaupun cita-cita tak kesampaian sangat… (jadi pensyarah buat anak-anak – pakar membebel)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s