Ramuan membina bangsa yang bernilai

Posted: Februari 27, 2007 in think tank thought

herbs.jpg

“Hidup bersendikan adat, adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab.” Jika diamati dalam-dalam, bidalan Melayu ini menggambarkan betapa hidup seorang Melayu secara terang-terangan adalah bertunjangkan kepada adat istiadat dan budaya ketimuran yang tinggi yang sudah pasti berasaskan kalam Yang Maha Esa.

Bukti semangat ketuanan Melayu kepada adat istiadatnya juga turut digambarkan oleh satu pepatah Melayu – “Biar mati anak, jangan mati adat.” Jelaslah di sini bahawa Melayu tidak akan dapat lari daripada menjunjung adatnya yang turut-temurun itu sebagai antara salah satu cara hidup.

Namun, kebejatan yang melanda bangsa Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya seakan menjadi api dalam sekam di dalam pentadbiran dan kemakmuran masa depan negara yang berdaulat ini.

Saranan kerajaan yang diutarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan merupakan salah satu langkah kerajaan memantapkan lagi bangsa Malaysia dalam jangka masa panjang.

Langkah ini secara tidak langsung menggambarkan kebimbangan kerajaan bahawa seolah-olah kebejatan ini suatu hari nanti akan menggagalkan misi membina ketamadunan bangsa Malaysia kelak. Oleh itu, kempen ini dilihat sebagai usaha membentuk bangsa Malaysia yang mempunyai budi bahasa dan nilai-nilai murni yang tinggi.

Perdana Menteri turut meluahkan rasa kebimbangannya dengan merujuk kepada sejarah di mana banyak empayar dan negara-negara maju runtuh kerana generasi yang mewarisinya gagal menjaga ketamadunan yang dicapai kerana mereka mempunyai moral yang rendah. Menurut beliau, generasi yang mewarisi negara itu terdiri daripada mereka yang lupa daratan, berkelakuan tidak baik dan bersengketa antara satu sama lain serta melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

Ilmu pengetahuan merupakan pengurai kepada segala permasalahan sarwajagat. Namun, ilmu pengetahuan yang dibajai dengan unsur-unsur fahaman yang terpesong dan bertentangan dengan agama serta penafsiran yang salah merupakan kebimbangan yang lama-kelamaan akan membelenggu kebenaran yang hakiki.

Jika diteliti, kelayuan semangat ketuanan Melayu kepada adatnya serta ‘kepupusan’ nilai-nilai murni hasil daripada keterbukaan akibat agen globalisasi ini sememangnya wajar ditakuti. Sekali lagi, kewujudan golongan yang ‘berkiblatkan’ fahaman sekularisme serta ‘melodi’ lunak yang dialunkan pihak Barat merupakan faktor penyumbang kepada kelayuan ini.

Kelayuan nilai yang disebabkan oleh pendedahan kepada nilai-nilai ‘kelabu’ yang dihimpunkan oleh media berupaya menghakis nilai-nilai Islam dan nilai-nilai ketimuran. Nilai yang membentuk keperibadian yang beracuankan budaya ‘idolisme’ ataupun budaya pemujaan ‘selebriti’ adalah perkara lumrah kini. Sedangkan adalah lebih wajar sekiranya budaya ‘idolisme’ tersebut diambil alih oleh budaya ikutan terbaik dan sempurna; para nabi dan rasul dan mereka yang gemilang dalam sejarah.

Pengaruh kebendaan dan keseronokan yang dihidangkan menerusi budaya hiburan yang berleluasa memiliki ‘kuasa melalaikan’ yang mana ditakuti kesannya kelak akan memadam ilmu pengetahuan dan kuasa intelek yang dibekalkan. Akibatnya, masyarakat yang dikuasainya akan berada di dalam keadaan ‘pegun’ dan lemah dari segi mantiknya.

Goncangan daripada pengaruh politik yang bercabang dan mungkin melebihi kewajarannya adalah antara budaya yang perlu diambil perhatian dan ‘diubati’. Jika dilihat daripada sudut yang bijaksana dan matang, adalah lebih indah sekiranya konsep musyawarah disisipkan bersama sifat hormat-menghormati dan adab tertib terhadap perbezaan pendapat di antara kedua-dua pihak.

Adab tertib dalam bermusyawarah ini dilihat dari aspek keterbukaan sikap dan pemikiran dengan menolak sikap dan pemikiran yang berdasarkan kepada fanatisme puak, kumpulan atau mazhab yang menjadi penghalang besar untuk mencapai suatu suara kesepakatan. Oleh itu, keterbukaan diperlukan untuk mencari titik permulaan ke arah penyatuan.

Perbezaan in tidak seharusnya terjadi sekiranya objektif yang ingin dicapai adalah melahirkan masyarakat berbudi pekerti tinggi dengan nilai-nilai murni yang mantap dalam usaha membina ketamadunan unggul umat Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya berpaksikan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Kajian Professor Madya Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady mengenai hasil penulisan Ibn Khaldun mengenai proses membina ketamadunan menerusi garapan nilai-nilai murni dan adat menggambarkan suatu pandangan yang menyeluruh tentang kepentingan jalinan elemen nilai-nilai murni dan adat dengan ajaran agama Islam.

Menurut kajian beliau, pemerkasaan budaya ilmu, perkembangan pengetahuan, dan kemahiran hendaklah dijadikan bidang tumpuan dalam polisi kerajaan yang memerintah supaya dengan itu umat Islam akan menjadi umat yang mengutamakan ilmu pengetahuan dan berkemahiran dalam menjalani kehidupan disamping menyempurnakan tugasan dan pengabdian kepada-Nya. Polisi pendidikan yang ada dalam negara harus peka dalam mengimbangi fardhu ain dan kifayah tanpa melebih atau mengurangkan antara keduanya.

Ilmu pengetahuan yang diperoleh tanpa menggunakan pemikiran yang wajar menerusi budaya berfikir dengan baik dan matang merupakan instrumen penting. Kecekapan berfikir secara logikal yang terarah kepada kebaikan serta yang bersifat “purposive” dan teratur perlu disemarakkan dalam pendidikan formal dan tidak formal.

Kepentingan sejarah tidak dapat disangkal. Sejarah yang juga dikenali sebagai ‘ibu ilmu’ itu perlu dikaji dan diambil pengajaran daripadanya kerana manusia yang terbaik adalah manusia yang tidak membelakangi sejarah dengan mengulangi kesilapan moyangnya yang terdahulu. Seperti kata bijak pandai: “kita belajar melalui pengalaman dan kesilapan yang lalu.”

Jika kesemua elemen di atas dapat dihimpunkan, pasti ia menjadi ‘potion’ yang mujarab dalam misi menjadikan agama Islam sebagai agama utama dunia dan tamadun peradaban yang besar dan teguh diperkuatkan dengan anggota masyarakat yang mempunyai nilai dan adab murni yang tinggi dan terpuji.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s