Pesan Tok…

Posted: Februari 27, 2007 in think tank thought

Sambil bersimpuh, dengan rokok daun terselit di bibir, Tok bercerita…

“Jika dilihat pada usianya, negara Malaysia adalah seperti seorang manusia yang memiliki kematangan pemikiran serta perwatakannya Tetapi jika dilihat daripada realiti perkembangan lahiriahnya, Malaysia persis seorang kanak-kanak yang baru mengenal dunia. Tanggal 31 Ogos ini genaplah 50 tahun usia kemerdekaan negara ini. Merdeka dan bebas daripada sebarang bentuk penjajahan sama ada fizikal mahupun spiritual.

Sambil menyedut rokoknya dalam-dalam, Tok menambah…

Kebebasan adalah anugerah Allah kepada makhluk-Nya. Khalifah Umar bin Al-Khattab pernah berkata: “Bilakah kamu menganggapkan manusia ini hamba kamu, padahal mereka telah dilahirkan oleh ibu mereka sebagai makhluk yang merdeka?”

Jadi, tidak ada sesiapa pun boleh mendakwa dialah yang memberikan kebebasan kepada manusia sepertimana tidak ada seorang pun daripada kalangan manusia yang berhak untuk merampas sebarang bentuk kebebasan yang dimiliki oleh manusia yang lain.

Justeru, sebagai manusia yang telah bebas merdeka, kita seharusnya senantiasa bersyukur ke hadirat Ilahi kerana telah dikurniakan dengan anugerah-Nya yang sangat besar nilainya iaitu kemerdekaan dan kebebasaan. Bersyukur kerana dikurniakan nenek moyang yang bijak dan berpandangan jauh dalam membebaskan tanah air yang tercinta ini daripada gengaman dunia Barat lebih 400 tahun lamanya. Sepanjang tempoh itu jugalah pelbagai pahit jerih terpaksa mereka hadapi sebagai bangsa yang dijajah.

Segala hak kita sebagai pribumi tercinta ditidak dan dinafikan oleh si penjajah. Segala hasil bumi tanah tumpah darah habis ditarah demi kepentingan haloba mereka semata. Menerusi konsep pemerintahan ‘pecah dan perintah’, rakyat dipecah-pecahkan mengikut kaum mereka. Secara berdikit-dikit, ditanamnya sikap sayangkan kaum sendiri di dalam hati kaum-kaum di negara ini. Kaum yang dirasakan boleh mendatangkan kepentingan kepada mereka diberikan kedudukan dan keselesaan dari segi ekonomi dan dijadikan rakan kongsi, manakala kaum yang dianggap boleh mengancam kekuasaan mereka dibiarkan nun diceruk kampung-kampung yang terpinggir.

Lalu, demi bumi yang tercinta, para pejuang dan pahlawan jati pada ketika itu bertungkus-lumus mahu mengembalikan kemerdekaan dan kebebasan yang dahulunya pernah dikecapi. Berjahad atas dasar menegakkan hak dan kebebasan mutlak bumi yang bertuah ini.

Sememangnya berjihad untuk mempertahankan kebebasan negara yang tercinta merupakan sifat yang mulia dan disanjung tinggi di sisi Allah. Kebenaran al-Quran menerusi Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah sama (keadaan) orang yang duduk (tidak berperang) dari kalangan orang yang beriman dengan orang yang berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwa mereka. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk dengan satu darjat (kelebihan),” (An-Nisa’: 95) – senantiasa disematkan di dalam hati sanubari setiap pahlawan-pahlawan ini.

Mata Tok berkaca-kaca sedang dia cuba mengingatkan kembali kata-kata guru agamanya…

Ajaran tuk guru agama tidak pernah dilupakan. Bahkan setiap butir katanya senantiasa terngiang-ngiang di telinga. “Mempertahankan kedaulatan agama dan negara amat besar ganjarannya di sisi Allah. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang bermaksud, daripada Mu’az r.a., Nabi Muhammad s.a.w., baginda bersabda, “Sesiapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar masa orang memerah susu unta, maka wajib baginya syurga. Dan sesiapa yang bermohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad kemudian dia mati atau dibunuh, maka sesungguhnya baginya balasan syahid.”

“Berpeganglah kepada sunnah ini wahai pejuang bangsa; Dan sesiapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan, maka dia datang pada Hari Kiamat sederas darah yang mengalir ketika luka, warnanya seperti za’faran dan baunya bagaikan wangi kasturi.” (Riwayat Imam Abu Daud dan Tirmizi).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga itu ada seratus darjah yang disediakan Allah bagi orang yang berjihad pada jalan Allah. Di antara satu darjah dengan darjah yang lain seperti langit dan bumi.” (Riwayat Imam Bukhari).

Kata disemat, ajaran diikut. Berlandaskan kesucian dan kebenaran agama yang tercinta, perjuangan menegakkan kebebasan diteruskan. Maruah bangsa wajib dibela dan kesejahteraan negara perlu dipertahankan. Bagi mereka yang mempunyai semangat kepahlawanan tidak sanggup membiarkan negara terjajah kerana ia akan menjatuhkan maruah agama, bangsa dan negara yang tercinta. Semangat jihad dan kepahlawanan perlu ditanam di dalam setiap jiwa dan sanubari umat agar perasaan sayangkan negara dan tanah air sentiasa membara.

Pesan Tok…

Teori dalam mempertahankan negara ialah tidak lain, mestilah mempunyai kekuatan mental dan fizikal. Selain daripada memiliki kelengkapan pertahanan, kerohanian yang mantap berteraskan sifat mahmudah dan keimanan kepada Allah, umpamanya melaksanakan segala perintah Allah, meninggalkan segala larangan-Nya, berdisiplin, amanah, jujur ikhlas dan sebagainya perlu ada. Atas dasar inilah kedaulatan dapat dikekalkan dan akidah umat Islam terpelihara dan sentiasa berada dalam pemeliharaan Allah. Tampak mudah tetapi memerlukan jati diri yang kuat untuk mempraktikkannya.

Oleh hal yang demikian itu, sebagai warga yang inginkan agama dan negara terpelihara maka kita perlu berganding bahu bersatu padu, bekerjasama dan membina ciri-ciri kepahlawanan dalam setiap diri. Umat Islam perlu mempunyai semangat dan ketahanan untuk mempertahankan negara. Negara tidak akan maju dan selamat sekiranya golongan muda dan tua berada dalam keadaan lemah. Generasi muda masa kini perlu dibina supaya mempunyai sifat-sifat kepahlawanan yang berkualiti.

Pesan Tok benar-benar membuatkanku berfikir panjang!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s