Kejadian isi daging manusia kini

Posted: Februari 27, 2007 in think tank thought

vegetariansticker.gifPerihal rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang sangat dibenci oleh Perdana Menteri seakan api dalam sekam disepanjang perjalanan pentadbiran berlangsung. Walau cuba dibenteras, rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini persis karat yang sebati dengan besi; sukar dinyahkan.

Rasuah adalah sangat dibenci dan dikeji oleh agama. Malahan, Allah s.w.t membenci perbuatan rasuah itu sama ada memberi atau menerima walau dalam apa bentuk sekali pun seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu makan harta benda di antara kamu dengan cara yang batal (salah) dan kamu ajukan perkara itu kepada penguasa (pemerintah) dengan maksud supaya kamu makan sebahagian daripada harta orang-orang lain dengan dosa, padahal kamu mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 188).

Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Pemberi dan penerima rasuah itu (tempat yang sebaik-baiknya bagi mereka ialah) dalam neraka.” Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan at-Tirmizi bermaksud, “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka nerakalah tempat yang layak baginya.”

Memerangi rasuah dan membanteras penyelewengan kuasa adalah antara agenda utama kerajaan kini. Malahan, kerajaan turut mendasarkan Pelan Integriti Nasional yang mensasarkan lima perkara dalam tempoh perlaksanaan bermula tahun 2004 hingga tahun 2008. Sasaran yang dikenali Tekad 2008 itu antara lain adalah bagi mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan.

Malangnya, kebejatan moral ini sangat terkesan terhadap pentadbiran terutama pentadbiran awan yang rata-rata berhubung terus kepada masyarakat. Apa yang ingin ditonjolkan di sini adalah ‘perkara biasa’ yang berlaku di dalam perjalanan tugas seorang pekerja yang diberikan peranan yang berpengaruh dalam menentukan nasib seseorang.

Tanggungjawab yang diberikan kepadanya dianggap sebagai suatu keistimewaan dan kelebihan dipihak ‘pemangsa yang bertuah’ ini kerana habuan yakni mangsa tatkala tertekan, secara psikologi pasti akan menyerahkan diri untuk dijadikan ratahan haloba si pemangsa akibat terhimpit dan terdesak. Apa yang perlu dilakukan hanyalah memberikan sedikit tekanan kepada si mangsa.

Penjawat awam merupakan medium penghubung di antara kerajaan dan rakyat, dan mereka membawa imej dan kredibiliti kerajaan. Mereka juga menjadi tulang belakang kerajaan membangunkan negara. Keterlibatan mereka dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini sudah pasti menjejaskan imej kerajaan malah akan menimbulkan ketidakyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan itu sendiri. Ia juga boleh membantutkan usaha membangunkan rakyat dan negara.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) ada menyimpulkan sikap para pegawai dan kakitangan agensi awan tertentu yang suka melengah-lengahkan urusan permohonan orang awam sebagai salah satu punca berlakunya rasuah. Ini adalah kerana faktor sistem dan prosedur operasi tersedia seakan membuka ruang untuk berlakunya kebejatan tersebut.

Begitulah keadaannya apabila rasuah sudah menjadi budaya kerja dalam sesebuah organisasi dimana tiada apa yang berlaku tanpa `suapan’ ini. Dalam ertikata yang lebih mudah, kerja tidak akan disudahkan jika rasuah tidak diberi.

Tempias rasuah ini berlaku di mana sahaja. Kuasa yang dipegang penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam menentukan nasib calon-calon ujian sebelum layak membawa kenderaan di jalan raya, misalnya turut dibayangi kebejatan moral ini. Calon yang menduduki ujian seolah ‘ratahan’ bagi santapan mereka yang tidak berupaya menghayati tanggungjawab yang dipikul ini.

Calon-calon ini akan digagalkan dengan alasan tidak mengikuti perkara-perkara yang melayakkan mereka memiliki lesen. Malah, sebelum ujian dilakukan, perang psikologi telah dimainkan oleh penguatkuasa korup ini dengan menakut-nakutkan calon menerusi lagaknya yang tidak mesra dan bengis. Bayangkan perasaan calon yang sememangnya sedia gementar dan gemuruh itu, dengan sikap yang ditunjukkan penguatkuasa tersebut.

Tidak kurang juga sikap birokrasi turut dimainkan mereka dengan calon yang mempunyai ‘kedudukan dan kepentingan’ diberikan ujian ala kadar sahaja dan sudah pasti menjanjikan kelulusan.
Mudah sahaja untuk memiliki kelulusan sebenarnya jika kocek anda penuh dan berisi! Anda tidak perlu menunggu satu hari suntuk bagi menjalani ujian dan walaupun gagal, anda masih boleh menukar status gagal tersebut menerusi isi kocek anda. Isu ini telah lama berlangsung, tetapi ditakuti akan langsung menjadi suatu budaya kerja yang hakiki kelak.

Rasuah dan penyalahgunaan kuasa juga turut mengegarkan arena bolasepak negara satu ketika dahulu apabila keputusan perlawanan ditentukan lebih awal oleh bookie dengan merasuah pemain. Tidak kurang juga dengan kes Perwaja yang masih lagi berada dalam siasatan dan isu penyeludupan beras dengan kapal yang pernah heboh suatu ketika dahulu.

Apabila akhbar mendedahkannya, pelbagai alasan diberikan oleh pihak yang terlibat. Malangnya, pendedahan tersebut terhenti setakat itu sahaja tanpa sebarang tindakan susulan.

Alasan yang diberikan ialah kerana mereka yang mendapat kontrak berkenaan dari kerajaan menjualkannya kepada pihak lain, daripada satu tangan ke satu tangan, sehingga pihak yang membinanya sudah tidak boleh mendapat untung lagi. Adakah gejala rasuah di Malaysia sudah menjadi budaya hidup?

Transparency International, sebuah agensi pemerhati rasuah antarabangsa, menarafkan Malaysia pada skor 5.0 dan sebagai negara yang ke 39 dalam laporan Corruption Perceptions Index (CPI) tahun 2004. Menunjukkan betapa amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini semakin sukar dibendung berbanding negara jiran, Singapura yang berada pada kedudukan kelima negara paling bersih dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini iaitu pada skor 9.3. Skor 10.0 menunjukkan paling bersih manakala 0.0 paling korupsi dan rasuah.

Rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku di negara ini merupakan suatu kebimbangan yang menekan. Sememangnya adalah suatu kewajaran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memandang serius kebejatan ini. Sejarah turut membuktikan bahawa betapa banyaknya ‘tangan-tangan’ yang berkuasa ini berupaya mengkucar-kacirkan pentadbiran negara akibat daripada perlakuan haloba mereka ini.

Di Amerika Latin suatu ketika dahulu ribuan rakyat memberontak terhadap presiden Collor Brazil yang dikatakan mengamalkan rasuah. Begitu juga di Filipina, berlaku penentangan secara besar-besaran terhadap presiden Marcos yang dikatakan terbabit dengan rasuah.

Bekas menteri kabinet Zambia, Dr.Rodger Chongwe yang meletakkan jawatan kerana penentangannya terhadap amalan rasuah mengatakan: “Corruption is corruption, whether it manifests itself in England or in Zambia. It is a drain on the resources of a country.”

Gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini bukanlah baru, malah ia adalah amalan masyarakat dunia. Zaman Kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke 15 sudah disogokkan dengan cerita rasuah daripada kalangan pembesar negeri. Salah satu punca kejatuhan Melaka ditangan Portugis ada kaitannya dengan rasuah.

Ditakuti, jika beginilah sikap pekerja yang ada di dalam organisasi awam, sudah pasti apa yang dilaung-laungkan oleh kerajaan menerusi kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni akan hanya menjadi laungan kosong sahaja. Logiknya, dengan kesantunan budi bahasa yang tandus, mana mungkin wujud nilai-nilai murni daripada penjawat yang korup dan menyeleweng ini.

Justeru, adalah mustahil Islam Hadhari yang bertujuan melahirkan insan yang berhemah tinggi, berjaya, maju dan terbilang sehingga dikagumi di seluruh dunia ini dapat dicapai. Mustahil juga menggapai impian Perdana Menteri kita yang mahu membina masyarakat, Melayu khasnya, yang memiliki kemasyhuran memuncak tinggi persis sepasang menara berkembar menerusi pendekatan Islam Hadhari.

Harapan beliau yang mahu setiap orang Melayu menjadi dan meramaikan ‘towering personality’ iaitu menerusi personaliti yang tinggi hemahnya, tinggi budinya, tinggi pengajiannya, tinggi kejayaannya dalam apa juga bidang yang diceburi, dan menjadi seorang yang gemilang pasti akan hanya tinggal harapan.

Komen-komen
  1. zal berkata:

    notify me

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s