Niat Jihad yang Jahat

Posted: Februari 14, 2007 in think tank thought

Kelihatan seorang wanita dalam lingkungan umur awal 30-an sedang berjalan. Langkahnya teratur; membayangkan bahawa dia kenal benar dengan destinasi yang ingin ditujuinya. Langkahnya diteruskan dan berhenti disuatu segerombolan manusia yang ramai. Wanita tersebut tujuannya bukannya seperti yang lain. Tiada siapa yang tahu atau dapat menduga, bahkan tiada siapa yang ambil peduli.

Seperti sengaja meletakkan dirinya terhimpit dan tersepit di tengah-tengah kawanan manusia tadi, wanita itu berhenti sambil matanya memerhatikan keadaan sekeliling. Lagaknya seakan berpuas hati lantas tangan memegang sesuatu. Tiba-tiba…BOMMM…

Keadaan sekeliling yang tadinya dipenuhi dengan manusia yang berduyun menjadi hinggar-bingar. Kedengaran di kiri suara-suara yang menjerit dan di kanan pula suara mengerang kesakitan. Tiada lagi kelihatan segerombolan manusia yang berdiri seperti tadi. Manusia yang berdiri tidak lagi berdiri kerana kebanyakannya sudah tiada lagi kaki untuk berdiri. Malah, ada yang hancur berkecai.

Di mana wanita tadi? Dia yang pada mulanya tidak diketahui tujuannya sudahpun diketahui kini. Wanita yang tadinya tidak dipedulikan ‘berjaya’ membuatkan seantero dunia memberikan perhatian. Kerana apa? Kerana beliau telah mengorbankan dirinya menjadi ‘bom bergerak’ atas dasar jihad.

Namun, adakah jihad dan syahid wanita itu dengan dirinya diletakkan sebagai ‘bom bergerak’? Adakah matinya nanti dijanjikan syurga seperti mana para syuhada’ pada zaman Rasulullah s.a.w? (Wallahu a’lam).

Pertama-tamanya, marilah kita fahami peraturan asas sesebuah peperangan di dalam Islam.

1. Haruslah kuat supaya akan timbul perasaan takut di dalam hati musuhnya dan seterusnya mengambil langkah tidak menyerang.
2. Jangan memulakan permusuhan. Kekalkan keadaaan aman seboleh mungkin.
3. Perangi hanya pihak yang menyerang, tidak seharusnya masyarakat awam dihukum atau diperangi. Senjata pemusnah besar-besaran adalah dilarang sama sekali.
4. Hentikan permusuhan serta-merta sekiranya pihak yang satu lagi menghulurkan tangan pendamaian.
5. Patuh kepada perjanjian damai yang dicapai selagi pihak yang satu lagi tidak melanggarnya.

Jika diteliti, peraturan peperangan menurut perspektif Islam yang disenaraikan tidak langsung mendokong ‘jihad’ ‘si bom bergerak’ tadi yang mana secara logiknya ‘jihad’ tersebut pasti akan mendatangkan kemusnahan besar-besaran dan menyebabkan kematian masyarakat awam yang ramai.

Firman Allah s.w.t: “Perangilah olehmu pada jalan Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tiada mengasihi orang-orang yang melampaui batas” (al-Baqarah: 190).

Menurut al-Quran, perbuatan membunuh seseorang individu yang tidak bersalah adalah satu dosa yang besar yang mana dosanya sama seperti membunuh seluruh manusia di dunia ini. Bahkan, Islam melihat perbuatan menyelamatkan satu nyawa adalah satu perbuatan terpuji yang dijanjikan ganjaran pahala yang jumlahnya adalah bersamaan dengan pahala menyelamatkan nyawa sekalian manusia.

Jelas, di dalam Islam jihad tidak pernah disebut sebagai alat untuk untuk memerangi masyarakat awam yang tidak bersalah. Jihad di dalam konteks definisinya yang sebenar adalah mempertahankan kedaulatan seruan agama Islam sendiri daripada dimusnahkan atau diperlekehkan oleh pihak musuh.

Permasalahan pokok yang mengikat semangat jihad itu sendiri adalah ceternya pemahaman atau tidak langsung memahami istilah jihad yang sebenar. Jihad yang sebenar dalam Islam tidak bermaksud ‘perang suci’. Ia bermaksud perjuangan atau berjuang ke jalan Allah s.w.t tanpa melakukan kemusnahan di atas bumi mahupun pertumpahan darah masyarakat yang tidak berdosa.

Allah s.w.tberfirman yang bermaksud: “Apabila dikatakan kepada mereka janganlah kamu berbuat bencana di muka bumi, maka jawab mereka: hanya kami berbuat kebaikan. Ingatlah sesungguhnya mereka itu berbuat bencana tetapi mereka tidak sedar” (al-Baqarah: 11-12).

Jihad juga bermaksud fokus dan jujur dalam perjuangan melaksanakan kebaikan serta usaha menghapuskan ketidakadilan, penindasan dan kebejatan di dalam masyarakat. Perjuangan ini seharusnya disulami dengan semangat spiritual yang jitu merangkumi aspek sosial, ekonomi dan politik.

Jihad adalah usaha murni dalam mencapai kebaikan dalam segenap hal. Ia juga adalah langkah dalam melindungi takdir dan hak kemanusiaan bukannya melanggar takdir dan menidakkan hak seseorang. Islam sendiri tidak pernah menghalalkan keganasan kerana Islam lebih menitik beratkan soal perbincangan atau muzakarah.

Firman Allah yang bermaksud: “Berjuanglah kamu pada (agama) Allah dengan sebenar-benar perjuangan. Dia telah memilih kamu dan tiada mengadakan kesempitan bagimu dalam agama, seperti agama bapamu Ibrahim. Dia (Allah) menamakan kamu orang Islam dari dahulu dan dalam ini (Quran) supaya Rasul menjadi saksi terhadap kamu dan kamu menjadi saksi pula terhadap manusia. Maka dirikanlah sembahyang dan bayarkanlah zakat dan berpegang teguhlah kepada Allah. Dia wali kamu; maka Dia sebaik-baik wali dan sebaik-baik penolong” (al-Hajj: 78).

Oleh itu, berjihadlah atas dasar jihad fi sabilillah bukannya jihad yang bertunjangkan nafsu amarah yang ternyata tidak membawa secebispun kebaikan bahkan membawa kemusnahan dan kesengsaraan kepada kedua-dua belah pihak.

Komen-komen
  1. bani berkata:

    sepakaaaaaaaaaaat.. Allahu akbar

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s