Memupuk Konsep Ketelusan Dalam Pendidikan Anak-anak

Posted: Februari 14, 2007 in Artikel, think tank thought

_4043206.jpg

AL KISAH…

Ada seorang budak kecik, Boboi namanya umur dalam empat tahun. Dia ni memang gemar kencing.

Mungkin pundi kencing dia longgar agaknya. Kadang-kadang tu pergi fun-fair ke, supermarket ke, mana-manalah tempat yang ramai orang, kalau dia nak kencing aje…sesuka hati dia jerit kat mak dia…

“Mak..Boboi nak kencing!!!”.

Maka mak dia pun mencari jalan penyelesaian untuk Boboi sebab maknya malu dengan perangai Boboi ni menjerit kat tempat yang ramai orang. Maka maknya pun kata kat Boboi:

“Boboi..lain kali kalau Boboi nak kencing, Boboi cakap nak nyanyi, ok?”. Boboi pun mengangguk tanda faham.

Nak dijadikan cerita, satu hari mak Boboi ada kerja luar, jadi Boboi di hantar bermalam dengan neneknya. Masa tu dah agak malam, nenek pun dah terbaring penat setelah seharian melayan kerenah Boboi. Budak Boboi ni bukan tau orang tua tu penat ke tidak. Dia pun menjerit kat neneknya…

“Nenek…Boboi nak nyanyi!!”.

Neneknya membalas “Dah malam nih,esok lah nyanyi, nanti orang rumah sebelah marah pulak Boboi bising!”, terang nenek. Si Boboi terus mendesak juga. Akhirnya neneknya pasrah…

“Um..yelah..Boboi.Boboi nyanyi perlahan-lahan kat telinga nenek ye…..”

Kisah Boboi dengan neneknya ini merupakan kisah yang biasa didengar seperti juga kisah-kisah seram dan pantang larang yang dimomokkan ibu bapa kepada anak-anak bagi melarang anak-anak dari melakukan sesuatu yang akan memberikan kesulitan kepada mereka kelak.

Sedar atau tidak, budaya ‘momokan’ ini sudah sebati di dalam kehidupan sehingga menjadikannya satu budaya yang diwarisi turun temurun. ‘Budaya berkata tidak benar’ ini dijadikan seakan jalan penyelesaian kepada ibu bapa yang ‘agak malas’ untuk bersusah payah mengajar anak-anak ‘konsep mana boleh mana tidak’ ini tanpa disedari, menanam sikap tidak telus kepada anak-anak. Lebih malang, secara tidak sedar, akan lahir sikap tidak menghormati orang tua seperti kes adik Boboi!.

Penanaman sikap telus menerusi ‘konsep boleh dan tidak’ ini merupakan langkah pertama kepada kelahiran sikap-sikap positif yang lain. Konsep ketelusan menurut Islam adalah asas kepada pembinaan pekerti atau peribadi yang baik. Di sini, akan wujud kesedaran bahawa Allah s.w.t mengetahui apa yang kita lakukan dan malaikat mencatatkan apa yang kita buat; dengan ini akan terbit kesedaran bahawa apa saja yang dilakukan dalam hidup ini, adalah dalam lingkungan pemerhatian Allah s.w.t.

Justeru, budaya berkata tidak benar atau berbohong ini seharusnya dijauhi sama sekali kerana kelak akan melahirkan generasi yang tidak telus sekaligus memiliki sifat-sifat negatif seperti hipokrit, suka berbohong, tidak pandai menjaga amanah yang diberi serta berkecenderungan dalam menyalahgunakan amanah dan tanggungjawab.

Konsep telus sangat bermakna sekiranya ia dipandang tinggi oleh ibu bapa yang bertanggungjawab mendidik anak-anak diperingkat asas kehidupan. Ketelusan yang dijadikan sebagai suatu kemestian dalam pendidikan anak-anak, akan turut melahirkan generasi yang bersifat ikhlas dan jujur.

Anak-anak ini kelak akan memiliki keperibadian tinggi yang menjadi aset bagi negara. Generasi ini juga memiliki ciri-ciri tidak suka berpura-pura atau berselindung terhadap sesuatu perbuatan yang salah dan bersedia mengakui yang baik itu baik dan yang tidak baik itu tidak baik.

Malangnya, kebejatan seperti pecah amanah, rasuah dan sebagainya merupakan suatu ‘hidangan’ yang acapkali diutarakan oleh media massa dan kerajaan. Pelbagai langkah pencegahan telah diperkenalkan, namun, kebejatan ini seakan tidak pernah berkurangan.

Ketidakberhasilan ini jika diperhalusi adalah berpunca daripada kepincangan institusi kekeluargaan dan ‘kekurangan’ dari segi didikan asas yang bermula dari rumah. Profesor Dr. Sidek Baba menyatakan bahawa sifat telus ini penting bagi generasi pelapis kerana di peringkat ini, proses pembentukan diri dan watak sedang berlaku dan proses pembinaan identiti diri berjalan.

Menurut beliau, jika remaja itu adalah seorang pelajar, sifat telus boleh membantu remaja menerima ilmu yang baik dan menggunakannya untuk kebaikan. Sekiranya remaja mengakui bahawa ilmu yang diajar adalah sesuatu yang baik, kemudian kebaikan itu tidak dijadikan amalan, remaja sudah menjadi tidak telus pada ilmu.

Apabila remaja tersebut dewasa nanti, amalan ini akan kekal menjadi sebahagian daripada cara hidup. Sebagai pekerja kelak, amalan tidak telus ini akan dibawa di tempat kerja. Sebagai ayah atau ibu, kelak sifat tidak telus ini akan mencemari imej keibuan atau kebapaan.

Proses pendidikan anak-anak menerapkan konsep ‘kepimpinan melalui tauladan’. Apabila ibu bapa mendidik anak-anak, anak-anak akan memerhati gelagat dan tingkah laku ibu bapanya. Jika ketidaktelusan ini diamalkan, kelak anak-anak akan turut mengadaptasi dan mewarisinya.

Bayangkan sekiranya ketidaktelusan ini menjadi amalan, setiap sikap negatif diadaptasi; suka mencari dalih, suka pura-pura dan menunjuk-nunjuk, suka bercakap bohong untuk menutup kelemahan diri, sanggup menipu kerana sifat ego yang tinggi, di manakah harapan dalam hidup ini untuk kita bertemu orang ikhlas, orang yang jujur dan orang yang peribadinya dapat dihormati, cakapnya boleh dipercaya dan perbuatannya boleh dicontohi.

Sebab itu perlunya sikap telus dan tulus sejak dari kecil lagi hingga ke peringkat remaja, dewasa malah sehingga tua. Sekiranya sifat ini menjadi amalan manusia, amalan jujur, amanah, profesional akan sentiasa menjadi tunggak kehidupan kita.

Komen-komen
  1. Hasan Manurung berkata:

    Ketauladanan akan memikat semua jenis manusia dan semua golongan manusia, besi yang keras akan menjadi luluh oleh semua mata yang garang akan tertunduk layu

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s