Kuasa ‘Tangan Sakti’

Posted: Februari 14, 2007 in Artikel

Manusia acapkali menilai sesuatu perkara berasaskan pendirian yang didasari dengan emosi dan perasaan. Manusia juga gemar menggunakan maklumat yang mereka peroleh menerusi sumber yang terhad dan kemudiannya membuat andaian dan kesimpulan berdasarkan keterbatasan maklumat tersebut.

“Those who controls the media, controls the world”. Ungkapan ini memperlihatkan betapa media massa berupaya menguasai sekecil-kecil unit manusia sehinggalah sebesar-besar kelompok umat manusia menerusi keupayaannya memainkan sentimen emosi dan perasaan kumpulan sasarannya.

Media massa yang juga disebut sebagai agensi ketiga memainkan peranan sebagai wakil perantara diantara pemerintah dan masyarakat jelata dalam usaha menyampaikan segala maklumat dan penerangan dasar yang dibawa oleh pemerintah. Selain daripada menjadi perantara dan agen pengubah, media massa juga berperanan sebagai ‘watch dog’ kepada pemerintah.

Kebolehan media massa dalam jalinan komunikasi ini sering kali dilihat sebagai ‘ tangan sakti’ yang berkebolehan dalam mengubah hala tuju masyarakat taklukannya. Pemerintah misalnya acapkali menggunakan kekuasaan ini dalam usaha menyampaikan ‘pesanannya’ kepada masyarakat dalam usaha menarik masyarakat menerima dasar-dasar yang digubal.

Media massa dengan fungsinya sebagai agen memberi informasi, menghibur, membujuk dan mendidik ini secara langsung menjadikannya sebagai perantara yang berjaya dengan tugasnya mencanangkan kempen-kempen ajuran pemerintah. ‘Kempen Keluarga Bahagia’, ‘Tak Nak’ dan ‘Cintai Barangan Buatan Malaysia’ misalnya merupakan antara contoh ideologi yang diketengahkan pemerintah kepada khalayak jelata menerusi perantara ini.

Ketidakterbatasan media massa ini juga dilihat sebagai suatu ‘hidayah’ kepada institusi dakwah di Malaysia khasnya dan di dunia amnya.Terbaru, konsep Islam Hadhari yang telah dikemukakan oleh pemerintah dilihat sebagai suatu pendekatan dakwah dengan menjadikan media massa sebagai agen penyebarnya.

Walau sebagus mana pun sesuatu metode atau alat itu, tidak dinafikan pasti terdapat keburukannya. Media massa juga tidak terlepas daripada tersenarai sebagai suatu agen yang sangat berpengaruh tidak kira berpengaruh dalam menyebarkan suatu kebaikan mahupun kebejatan.

Charles U. Larson dalam bukunya Persuation: Perception And Responsibility menegaskan bahawa media massa menerusi kuasa bujukan yang dimilikinya tidak ubah seperti konsep ‘resolusi akhir’ atau ‘final resolusion’ ciptaan Adolf Hitler yang tercatat di dalam sejarah telah meragut jutaan nyawa manusia bangsa Yahudi.

Media massa juga dilihat sebagai agen penyebar propaganda yang paling berkesan sepertimana yang tertulis di dalam lipatan sejarah peperangan dunia. Perkataan propaganda berasal daripada perkataan Latin ‘propagare’ yang bermaksud menyebar atau menanam. Pada dasarnya propaganda digunakan untuk menyebar fahaman Kristian diseluruh dunia.

Tambahan dengan kepesatan teknologi media massa kini seperti jaringan internet dan sebagainya seakan memberi kelebihan bagi pihak-pihak yang berkepentingan dalam menyebarkan agenda propagandanya.

Seorang pengkaji propaganda bangsa British, J.A.C.Brown melihat propaganda sebagai suatu usaha dalam mempromosi suatu doktrin atau tatacara dalam erti kata berupaya mengubah tingkah laku yang dikawal oleh emosi kumpulan sasarannya. Jelas di sini, agenda propaganda lebih tertumpu kepada elemen emosi dan perasaan kumpulan sasarannya sebagai ‘senjata’ mereka.

Perang di antara Iraq dan tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat misalnya secara terang-terangan menggunakan media massa sebagai medan menunjukkan ‘kekuasaan’ dan ‘kebenaran’ bagi kedua-dua belah pihak. Media massa Barat menunjukkan ‘kebenaran’ dipihak mereka manakala media massa Asia (Asia Barat khasnya Al-Jazeera) menunjukkan ‘kekejaman’ dan ‘kepalsuan’ dari kaca mata mereka (mangsa) pula.

Berita-berita yang ditulis dan disebarkan juga amat berbeza sekali sudut dan fokus jalan ceritanya. Seperti biasa, cuba memenangkan tingkah laku dan tindakan pihak masing-masing. Gambar-gambar yang disiarkan juga memainkan peranannya yang tersendiri bagi mengukuhkan lagi mesej propaganda yang cuba diketengahkan itu.

Sebagai contoh, media massa Barat menonjolkan gambar-gambar kejayaan tentera-tentera mereka dalam menumpaskan kumpulan penentang di tanah bergolak tersebut sambil memaparkan gambar rakyat yang sedang memegang senjata. Manakala media massa Arab pula memaparkan gambar-gambar mangsa-mangsa yang tidak berdosa yang terbunuh sambil memaparkan gambar tentera bersekutu mengacukan senjata kepada rakyat yang tidak berdosa.

Sekali lagi, seperti hasil kajian J.A.C.Brown, media massa dijadikan medan propaganda sebagai suatu usaha dalam mempromosi suatu doktrin atau tatacara untuk mengubah tingkah laku yang dikawal oleh emosi dan perasaan kumpulan sasarannya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s