Kemahiran Teras Kecemerlangan

Posted: Februari 14, 2007 in akhbar

Aset amat berharga bagi sesebuah negara adalah golongan belia yang menjadi pewaris tampuk pemerintahan negara. Oleh hal yang demikian, golongan ini wajar melengkapkan diri dengan memiliki kemahiran yang tinggi, berketrampilan, di samping bersahsiah terpuji demi meneruskan kecemerlangan dan kegemilangan bangsa, juga negara. Keutuhan sesebuah negara dilihat daripada kekuatan golongan pelapis yang bakal menjadi penentu di dalam memastikan kelangsungan sesebuah negara untuk terus maju dan membangun.

Justeru, bagi memastikan masa depan negara sentiasa dinamik dan proaktif, pendedahan terhadap keperluan menguasai ilmu dan kemahiran kepada golongan belia ini sudah tentu dapat melahirkan belia pewaris negara yang mampu untuk memimpin, bukan sahaja diri, sendiri, bahkan negara tercinta.

Berpadanan dengan saranan kerajaan, golongan ini wajar memperkasakan diri dengan pelbagai kemahiran yang dapat menjana kecemerlangan dan merealisasikan impian untuk menjadi negara yang ´cemerlang, gemilang, dan terbilang´.

Jika diteliti, teras pembangunan belia di dalam Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8) adalah untuk melengkapkan belia dengan sikap pengetahuan dan kemahiran yang perlu bagi membolehkan mereka menghadapi halangan dan menyesuaikan diri dengan pembangunan ekonomi yang pesat selari dengan era globalisasi.

Salah satu strategi utama bagi memastikan negara berkemampuan menghadapi cabaran globalisasi dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi adalah dengan mewujudkan asas sumber manusia dinamik yang dapat menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

Oleh hal yang demikian, keutamaan di sini adalah bagi menyediakan lebih ramai tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan, kepakaran,dan kemahiran yang tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menyebut bahawa golongan belia perlu memperkasakan diri serta tenaga muda mereka bersandarkan tiga paksi utama iaitu kepimpinan, kemahiran, dan keusahawanan (3K) bagi membangunkan negara. Usaha itu perlu dilakukan dengan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.

Saranan beliau ini memperlihatkan bahawa golongan belia yang merupakan bakal pemimpin akan datang perlu memiliki ciri-ciri pemimpin dengan kemampuan menganalisis peluang-peluang, selain berwibawa mengaplikasikannya, yang akhirnya dapat membawa kejayaan kepada bangsa dan negara tercinta.

Bagi menerapkan nilai-nilai kepimpinan kepada golongan belia, sahsiah yang berkaitan dengan keikhlasan dan semangat tidak mudah putus asa di dalam menjalankan sesuatu pekerjaan amat wajar disemai. Keghairahan atau ´passion´ di dalam menjalankan apa jua pekerjaan dapat melahirkan seorang yang komited terhadap perkara yang dikerjakannya.

Bertitik tolak daripada komitmen ini, akan wujud rasa tanggungjawab yang mendalam, lantas menghasilkan seorang pemimpin yang bukan sahaja komited terhadap pekerjaan malah bertanggungjawab terhadap segala liabiliti yang dipikulnya.

Proses pengumpulan kemahiran juga harus bergerak secara seiring dengan pembentukan dan pengumpukkan nilai-nilai kepimpinan. Setiap belia haruslah sentiasa peka dan bijak mengambil peluang yang ada disekelilling mereka.

´Learning through experience´ ataupun belajar melalui pengalaman dan ‘learning through observation’ atau belajar melalui pemerhatian merupakan suatu kaedah yang mampu mencanai minda dan peribadi seseorang belia di dalam usahanya untuk mencapai hasrat perdana menteri bagi menghasilkan individu yang memiliki sifat kepimpinan, kemahiran, dan keusahawanan (3K), lantas mewujudkan tenaga muda yang berkualiti dan berpotensi tinggi.

Kejayaan dasar Pandang Ke Timur yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad dengan mengambil contoh kejayaan negara-negara jiran yang maju seperti Jepun dan Korea merupakan satu contoh teladan terbaik yang patut diadaptasikan oleh golongan belia dalam usaha menambahkan kemahiran yang ada.

Modus operandi yang digunakan oleh negara-negara jiran ini adalah dengan mempelajari ilmu, teknologi dan kemahiran negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jerman yang sememangnya terkenal dengan kemahiran dan teknologi tinggi.

Ilmu, teknologi, dan kemahiran yang diperoleh ini bukan sahaja digunapakai, malahan juga digabungkan dengan idea kreatif dan inovatif mereka menjadikan apa yang telah diperoleh daripada pembelajaran dan pemerhatian mereka itu mampu menghasilkan sesuatu produk dengan hasil kerja yang lebih baik dan berdaya saing.

Adalah menjadi harapan negara agar golongan belianya dapat mempelajari sesuatu daripada kejayaan menerusi hasil pembelajaran dan pemerhatian dasar Pandang Ke Timur ini sekali gus menjadikannya sebagai model pembentukan kecemerlangan diri demi pembangunan diri, keluarga, agama, dan negara tercinta.

Golongan belia juga disarankan untuk memiliki daya pemerhatian tinggi disamping memupuk minat mereka terhadap sebarang pekerjaan yang dilakukan. Melalui sifat ini setiap belia akan melihat setiap pekerjaan yang dilaksanakan dengan lebih kritis tanpa rasa prejudis terhadap ´status´ atau ´kelas´ sesuatu pekerjaan, malah sentiasa bersedia untuk melihat dan menimbang segala ilmu, kemahiran, dan juga nilai-nilai positif yang dapat dipelajari dan dimanfaatkan melalui sebarang pekerjaan yang dilaksanakannya.

Pulangan dari segi material akan ´dibayangi´ dengan nilai dan harga pengalaman yang lebih mahal sekali gus berupaya mengikis sikap memilih kerja secara tidak langsung meluaskan pemahaman golongan ini terhadap aspek pekerjaan tanpa mengabaikan nilai-nilai murni. Justeru, jika sikap ini mampu diterapkan dan dijadikan amalan para belia kini, nescaya negara mampu menghasilkan bukan sahaja tenaga kerja yang berkualiti tinggi malah mempunyai sensitiviti dan nilai-nilai moral yang luhur bertepatan dengan konsep Islam Hadhari yang dibawa oleh kerajaan.

Belia juga digalakkan agar tidak hanya mencurahkan tenaga dan idea yang dimiliki kepada hanya satu pekerjaan sahaja.Tenaga muda yang dimiliki tidak seharusnya dibazirkan dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah tetapi haruslah diisi dengan perkara-perkara yang dapat memberikan manfaat dan mendatangkan pulangan yang berharga baik dari segi material mahupun ilmu pengetahuan. Oleh hal ang demikian, belia perlu mengambil peluang yang ada dengan mempelbagaikan kemahiran yang dapat diperoleh menerusi kerja-kerja sampingan.

Mempelbagaikan pekerjaan merupakan suatu kaedah efektif yang dilihat dapat menambahkan kemahiran kepada para belia. Belia yang mampu menjalankan setiap pekerjaan dengan efisien dan bersesuaian dengan keupayaannya, bukan sahaja dapat meningkatkan daya kemahiran, malah ia juga dapat mendidik belia menjadi individu yang mempunyai disiplin tinggi di dalam membahagi dan menepati masa serta mempunyai akauntabiliti di dalam memenuhi segala kehendak dan keperluan pekerjaan yang dipertanggungjawabkan.

Langkah bijak ini bukan sahaja dapat menjadikan golongan belia di negara ini kelompok yang ´versatile´ di dalam menghadapi persaingan pasaran kerja, malahan juga dapat menambah dan meningkatkan pendapatan diri, keluarga, juga negara.

Justeru bertitik-tolak daripada itu, sikap terlalu memilih pekerjaan adalah sangat tidak praktikal pada masa negara sangat memerlukan tenaga belianya bagi menjana kelangsungan pembangunan negara menempuh cabaran globalisasi.
Membuang sikap negatif ini dengan mengadaptasikan sikap keterbukaan, sudah pasti membuahkan pengalaman yang berguna. Menerusi pengalaman yang ditimba itu, belia dapat bergerak maju ke hadapan dengan jayanya.

Kerajaan menerusi langkah penswastaan yang dipraktikkan secara tidak langsung merupakan salah satu peluang keemasan bagi golongan belia di mana langkah ini turut dilihat mampu menyediakan peluang pekerjaan yang sebahagian besar memerlukan serta menawarkan kemahiran baru kepada golongan belia di samping penggunaan teknologi yang lebih canggih.

Badan-badan yang diswastakan juga diharapkan turut serta bekerjasama di samping kerajaan dalam melaksanakan program-program yang bertujuan melatih semula pekerja bagi menambahkan kemahiran yang sedia ada disamping meningkatkan keupayaan dan daya saing mereka.

Jika dilihat dari segi kemahiran, terbukti ia akan lebih membuka ruang kepada belia mempelajari pelbagai kemahiran yang mana tidak terhad kepada ruang lingkup yang sempit sahaja. Kemahiran di sini ialah kemampuan menguasai dan mempraktikkan ilmu dan teknologi yang dipelajari secara berkesan dan profesional dalam suasana pekerjaan sebenar sama ada dalam keadaan santai mahupun dalam keadaan tekanan yang tinggi.

Selain memiliki ilmu dan kemahiran, belia juga haruslah mempunyai semangat keusahawanan. Semangat keusahawanan yang dimaksudkan ialah dimana belia bukan sahaja mampu memberikan pekerjaan kepada dirinya sendiri malahan secara tidak langsung turut berupaya mewujudkan peluang pekerjaan.

Kerajaan telah membuka pelbagai peluang kepada belia bagi menambahkan ilmu dan kemahiran mereka dalam bidang keusahawanan antaranya dengan program latihan keusahawanan termasuk program pembangunan vendor dan francais. Institut Keusahawanan Negara (IKN) turut diwujudkan sebagai pusat untuk menjalankan perancangan strategik mengenai keusahawanan, risikan pasaran, Research and Development (R&D), pembangunan kurikulum, rangkaian perniagaan, dan kaunseling.

Kewujudan Institut Kemahiran Mara (IKM) juga antara lain berperanan memberikan kemahiran kepada golongan belia, khususnya belia luar bandar menerusi latihan-latihan dalam bidang yang dilihat berpotensi dibangunkan antaranya kemahiran membuat perabot, tekstil, hiasan dalaman, lanskap, dan sebagainya.

Penumpuan terhadap bidang-bidang tersebut dilihat mampu diketengahkan ke peringkat antarabangsa serta memberikan pulangan yang memberangsangkan dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan kualiti belia. Jika dilihat kesan jangka panjang, latihan yang diberikan ini juga mampu menaiktaraf ekonomi penduduk luar bandar khasnya, lantas memberikan impak yang maksima terhadap pembangunan ekonomi menerusi peluang usahasama yang wujud diantara Malaysia dan negara luar.

Tabung Amanah Ekonomi Belia menerusi usahasama dengan Bank Simpanan Nasional ditubuhkan oleh kerajaan menerusi peranannya menyediakan sumber kewangan bagi membuka peluang yang lebih luas kepada golongan belia ini sebagai momentum untuk memulakan langkah mereka sebagai seorang usahawan.

Belia bukan sahaja perlu mahir dalam penguasaan kemahiran asas, malahan kemahiran sampingan berbentuk ´soft skills´ juga adalah sangat diperlukan dalam mengharungi pasaran pekerjaan yang senantiasa berkembang. Kemahiran pengurusan, kemahiran berkomunikasi dan hubungan perseorangan, ketrampilan diri, kemahiran menyelesaikan masalah dan konflik, kemahiran berhadapan dengan masalah dan sebagainya adalah antara ´soft skills´ yang bersifat ´value added´ kepada golongan belia.

Nilai-nilai semangat kenegaraan juga harus ditekankan terhadap golongan belia supaya kemajuan dan kemahiran di dalam bidang yang diceburi tidak terlepas ke negara luar. Semangat patriotisme ini akan menyuburkan perasaan cintakan tanah air langsung mewujudkan kesanggupan untuk berkorban jiwa dan raga, hingga meletakkan soal ganjaran dilihat sebagai perkara kedua.

Semangat cintakan tanah air ini juga akan dapat memupuk rasa penghargaan dan bangga menggunakan dan membeli apa sahaja produk tempatan yang dihasilkan. Kejayaan ini bukan sahaja akan memberi respon positif terhadap segala kempen Belilah Barangan Buatan Tempatan yang dikelola kerajaan, malah kejayaan ini juga dilihat berupaya menjana pasaran produk tempatan bagi kegunaan masyarakat.

Kajian rambang menunjukkan hanya 2.8 juta belia yang giat berpersatuan, manakala 70 peratus lagi tidak menganggotai mana-mana persatuan. Apa yang ingin ditonjolkan di sini adalah menerusi pembabitan dalam persatuan belia, golongan ini secara tidak langsung berpeluang mempelajari selok-belok ilmu pengurusan organisasi, pengurusan kewangan, komunikasi, hubungan perseorangan, pengurusan konflik dan sebagainya.

Belia yang cemerlang, gemilang dan terbilang bukan sekadar dilihat berdasarkan kemampuan mereka untuk membentuk atau menjadi pemimpin dalam sesebuah organisasi tapi ianya lebih kepada golongan belia yang mempunyai ciri-ciri pemimpin yang jelas terpancar melalui akhlak yang tinggi, keperibadian, keilmuan, kemahiran yang pelbagai serta kematangannya yang mampu menangani isu-isu masyarakat.

Justeru, pembabitan belia dalam berpersatuan ini akan membuka dimensi pemikiran mereka dengan lebih luas lagi menerusi pertukaran idea antara mereka. Semangat berpasukan atau ´team work´ juga dapat dipupuk yang mana akhirnya golongan belia ini bukan sahaja dapat menambahkan keyakinan terhadap kemampuannya sendiri malahan juga dapat menerima pandangan dan buah fikiran belia lain sekaligus percambahan idea ini dapat menghasilkan sesuatu yang lebih kreatif dan inovatif.

Masalah pengangguran di kalangan graduan yang terjadi kini dilihat antara lain adalah disebabkan oleh kurangnya penguasaan dalam bahasa Inggeris. Kurangnya kemahiran berkomunikasi dalam bahasa ini merupakan sesuatu yang menyedihkan bagi golongan belia tambahan pula pada masa kini kepentingan penguasaan dalam bahasa Inggeris yang dilihat sebagai bahasa ilmu adalah sangat dititikberatkan.

Selain daripada penguasaan dalam bahasa Inggeris, kemahiran dalam menguasai pelbagai bahasa merupakan suatu kelebihan bagi golongan belia dalam mempersiapkan diri mereka menghadapi cabaran globalisasi yang melenyapkan segala sempadan yang wujud di antara dua hemisfera dunia.

Dari sudut akademik, kebolehan ini dilihat sebagai suatu nilai tambah dimana segala ilmu dan kepakaran daripada luar dapat dipindah dan dipraktikkan dengan lebih berkesan menerusi penterjemahan bahan ilmiah serta usaha sama antara universiti di dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (Research and Development).

Ini secara tidak langsung mampu menjadikan sektor pendidikan negara tidak hanya menghasilkan graduan-graduan yang berupaya bersaing di dalam pasaran kerja dengan standard antarabangsa malah melahirkan penyelidik-penyelidik inovatif dan kreatif yang mampu menghasilkan penyelidikan yang bersifat komersial untuk dipasarkan kepada industri-industri pembuatan mahupun perubatan.

Dari sudut ekonomi pula, kesan daripada fenomena globalisasi yang melupuskan segala sempadan memperlihatkan kedudukan ekonomi dunia akan lebih terbuka justeru memberi peluang dan memudahkan syarikat-syarikat konglomerat asing melabur serta memiliki kepentingan di negara ini.

Secara tidak langsung, situasi ini berupaya mewujudkan peluang pekerjaan yang menuntut tenaga kerja yang berkemahiran di dalam menguasai pelbagai bahasa. Belia yang memiliki kelebihan ini mempunyai ´nilai tinggi´ di dalam pasaran kerja hasil daripada permintaan syarikat-syarikat konglomerat asing yang memerlukan bekalan tenaga manusia yang memiliki kemahiran tersebut bagi memudahkan urusan dagangan yang mencakupi skop global.

Kos dari segi tenaga kerja juga dapat dikurangkan kerana tenaga kerja berkemahiran yang diperolehi ialah anak tempatan sendiri. Fenomena ini akan mewujudkan kesan yang positif terhadap ekonomi negara di mana Malaysia akan dilihat sebagai negara yang berdaya maju di dalam menyediakan tenaga mahir dengan kadar upah yang kompetitif lantas menarik lebih banyak pelaburan luar ke negara ini sekaligus meningkatkan pendapatan negara.

Di Malaysia sahaja, 11 juta orang yang berumur antara 15 hingga 40 tahun yang dikategorikan sebagai golongan belia ini jika dijana dengan berkesan dengan ilmu dan kemahiran yang dilihat dapat memenuhi sektor kritikal, tuntutan tenaga buruh yang diperlukan negara dapat dipenuhi lantas mengurangkan kadar kebergantungan negara terhadap buruh asing.

Kekurangan tenaga buruh sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) telah menyebabkan ekonomi mengalami pasaran tenaga buruh yang ketat dan tekanan ke atas upah. Walaupun tidak dapat dinafikan penggunaan teknologi baru telah meningkatkan produktiviti dengan penggunaan tenaga manusia yang minimum, secara langsung mengurangkan kos buruh seunit dan meningkatkan tahap daya saing negara, tetapi negara masih memerlukan tenaga buruh asing bagi memenuhi keperluan terutamanya di dalam sektor-sektor yang kritikal seperti pembinaan, pembuatan dan pertanian.

Adalah lebih baik sekiranya 11 juta orang belia yang ada ini mempersiapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang seimbang bagi memenuhi tuntutan tersebut sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga buruh luar dan seterusnya dapat mengurangkan tekanan ke atas upah.

Sistem pendidikan dan latihan yang ada merupakan modul yang berkesan bagi memastikan graduan yang terdiri daripada belia pelapis negara ini dapat memenuhi keperluan pengetahuan dan teknologi baru bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing.

Menerusi sistem pendidikan inilah usaha memupuk daya cipta dan kemahiran kognitif untuk melahirkan tenaga manusia yang tinggi pengetahuan, mempunyai pelbagai kemahiran dan serba boleh di samping sanggup belajar secara berterusan serta mempunyai kecekapan di dalam bidang keusahawanan dan teknologi tinggi terkini terutama sekali yang berkaitan dengan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Justeru, dengan mengadaptasikan saranan tersebut, skop kemahiran bukan lagi terhad kepada bidang teknikal dan vokasional sahaja tetapi mencakupi kemahiran menguasai ilmu pengurusan organisasi, keluarga, diri sendiri dan pengetahuan teknologi maklumat. Segala kemahiran ini akan memberi tambahan nilai kepada individu terutama belia yang mencari pekerjaan dalam suasana yang semakin kompetitif.

Melihat kepada tuntutan dan keperluan semasa, suatu perubahan adalah amat digalakkan. Ini kerana menerusinya, golongan belia dapat mempertingkatkan diri dengan pelbagai kemahiran demi menghadapi persekitaran yang sentiasa berubah.

Justeru, demi mencapai matlamat tersebut pembelajaran sepanjang hayat harus dijadikan sebagai suatu gaya hidup supaya golongan belia ini tidak ketinggalan untuk sentiasa mempunyai kemahiran terbaru. Anjakan paradigma ini adalah merupakan suatu keperluan bagi mengajak generasi muda melihat kemahiran sebagai sesuatu yang perlu untuk berjaya dalam hidup.

Pembelajaran sepanjang hayat kini merupakan prinsip teras pendidikan moden di seluruh dunia. Pembelajaran sepanjang hayat merupakan satu perjalanan dengan laluan-laluan pembelajaran yang berbeza-beza, baik dari segi akademik, teknikal mahupun vokasional. Pembelajaran sepanjang hayat bukan satu sistem pendidikan tetapi ia merupakan prinsip yang menjadi teras kepada sesuatu sistem pendidikan.

Komen-komen
  1. WAWA berkata:

    ARTIKEL YANG BAGUS……….TERDAPAT ISI2 YG BEGITU BERNAS…….

  2. Think tank berkata:

    terima kasih…:)

  3. faros fazlin berkata:

    wajar diteruskan kerana kita kekurangan tenaga kerja mahir……..ramai remaja kita tidak berminat terhadap kerja2 yg bg mereka memberikan pulangan gaji yg sedikit………remaja kita terlalu memilih kerja sedangkan kelulusan mereka tidak sehebat mana………

  4. jefri mejan berkata:

    pengisian bagus, moga-moga boleh membentuk belia kita…

  5. rah berkata:

    mmg m,canatlaaa…

  6. anis berkata:

    isi-isi yang cukup bernas dan banyak membantu saya untuk membuat esei ttg belia…terima kasih..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s