Kecanggihan yang Menekan Umat Manusia

Posted: Februari 14, 2007 in think tank thought

Kemunculan internet telah mengizinkan dan membuka pintu kepada pelbagai jenis maklumat, ideologi, propaganda dan pornografi disebarkan melalui jaringannya yang tiada sempadan. Realitinya, dunia tanpa sempadan ini menjanjikan seribu satu peluang, ancaman, kesejahteraan, kemusnahan, keamanan dan peperangan.

Tidak kurang juga, kemampuannya itu menimbulkan rasa gerun kepada sebahagian pihak pemerintah di sesetengah negara yang selama ini mendokong ideologi kuku besi dengan mengongkong kebebasan bersuara, berfikir dan bertindak yang sepatutnya dinikmati setiap unit masyarakat dunia.

Akibat daripada kecanggihan sistem perhubungan ini juga memperlihatkan sistem dan rangkaian maklumat kini terdedah kepada pelbagai ancaman dan serangan. Keadaan ini mewujudkan isu baru tentang keselamatan sebagaimana Amerika Syarikat telah meletakkan perlindungan daripada serangan berasaskan siber dan teknologi tinggi ini sebagai salah satu keutamaannya ekoran tragedi 11 September.

Seorang pakar strategi dan kuasa ketenteraan, Eliot A. Cohen menyatakan bahawa walaupun zaman teknologi maklumat ini menjanjikan kecekapan yang semakin meningkat, namun, keselamatan negara akan lebih sukar diuruskan. Dalam erti kata lain, teknologi maklumat bukan sahaja meleburkan sempadan komunikasi dan aliran maklumat, tetapi juga meleburkan sempadan keselamatan dan kedaulatan sesebuah negara.

Tafsiran kepada peperangan pada masa kini tidak terikat hanya kepada peperangan dari segi kekuatan ketenteraan dan strateginya sahaja tetapi kini peperangan ditafsirkan dengan pengertian yang lebih luas ruang lingkupnya. Kekuatan teknologi maklumat yang meliputi kecanggihan alat komunikasi internet disamping kepakaran golongan yang dipanggil penggodam merupakan ‘senjata rahsia’ yang sangat besar maknanya kepada sistem keselamatan sesebuah negara yang berdaulat.

Peperangan zaman moden ini membolehkan sesiapa sahaja yang mempunyai kepakaran dalam dunia kecanggihan ini mampu membolosi sistem maklumat individu, organisasi malahan negara lain hanya dengan duduk dikerusi dan sebuah komputer dihadapannya.

Sebagai contoh, seperti apa yang berlaku kepada Amerika Syarikat ketika negara tersebut sedang bersiap sedia dengan angkatan tenteranya di bumi Parsi. Situasi itu telah memperlihatkan betapa kecekapan dan ilmu perngetahuan terhadap komputer dan internet dapat mengatasi kecanggihan kelengkapan ketenteraan. Pencerobohan oleh penggodam ini telah berlaku terhadap lebih 500 sistem komputer tentera, kerajaan dan sektor swasta negara tersebut dan sekali gus melumpuhkan seluruh perjalanan pentadbiran negara besar itu.

Pembangunan dari sudut teknologi sistem maklumat ini juga, meningkatkan kemungkinan pencerobohan sesuatu sistem dengan lebih pantas; dengan kesan yang sangat luas dan dalam, selain sukar dijejaki. Namun, Malaysia sebagai contoh, tidak langsung memperuntukkan suatu rang undang-undang yang berperanan sebagai ‘penapis’ segala maklumat di dalam internet.

Malahan, Malaysia melalui Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga mengisytiharkan jaminan kerajaan kepada syarikat-syarikat Koridor Raya Multimedia bahawa ia tidak akan menyekat atau menapis sebarang maklumat di dalam internet. Prinsip ini adalah berdasarkan pendapat bahawa pengawalan maklumat hanya akan memberi kesan yang negatif kepada perkembangan teknologi maklumat di negara ini.

Tiada penapisan bermaksud semua golongan individu boleh menggunakan internet tanpa disekat dan diselia termasuklah penjenayah siber: ‘hacker’ atau penggodam. Akibat daripada tiadanya sebarang seliaan dan tapisan daripada pihak berkuasa ini sangatlah hebat. Mengambil beberapa contoh peristiwa akibat daripada ‘kebebasan’ ini ialah sebagaimana zaman pemerintahan Suharto yang tumbang dimana antara penyumbang kepada kejatuhan empayar besar ini adalah datang daripada golongan aktivis siber Indonesia.

Selain itu, tragedi yang berlaku di antara pelampau Hindu dan Islam di India pada awal tahun 1990-an yang menyaksikan satu masjid dirobohkan adalah disebabkan oleh penggunaan kaset video dan internet oleh pihak pelampau terbabit untuk menyebarkan mesej tertentu kepada kumpulan sasaran mereka.

Peranan yang dimainkan para penggodam di dalam krisis pertikaian di antara negara India dan Pakistan mengenai isu perebutan Kashmir juga adalah antara contoh hasil ‘manfaat’ yang diperoleh daripada ketiadaan seliaan dan penapisan daripada pihak kerajaan. Menurut Hindustan Times News, menerusi jaringan internet, penggodam dari Pakistan telah menceroboh 477 laman sesawang milik negara India yang mana 270 laman sesawang diceroboh hanya dalam jangka masa satu bulan sahaja!

Sebagai timbal balas, penggodam daripada India yang menggelarkan diri mereka ‘Indian Snakes’ telah menyebarkan cecacing yang diberi nama ‘cyber revenge’ yang diberi tugas menceroboh dan mengganggu gugat sistem maklumat serta data milik kerajaan Pakistan.

Situasi-situasi yang dinyatakan di atas membuatkan penulis tidak dapat lari daripada berfikir; adakah suatu yang mustahil bagi dunia ini berada di dalam keadaan yang mana manusia tidak menekan antara satu sama lain? Adakah kecanggihan ini merupakan suatu kesilapan?

Komen-komen
  1. home depot gift card berkata:

    I read this piece of writing fully concerning the comparison of newest
    and preceding technologies, it’s amazing article.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s