Islam Hadhari Di Era ‘Realiti TV’.

Posted: Februari 14, 2007 in komen, think tank thought

Manifesto Islam Hadhari lahir ketika dunia berada di dalam keadaan kacau-bilau dan kalut akibat daripada aktiviti keganasan yang dimomokkan sebagai suatu ciri kebiasaan umat Islam. Sebahagian umat Islam pula seakan ‘tergamam’ dengan keadaan ini sehinggakan mereka ahirnya keliru sehingga gagal mencerminkan dirinya sebagai umat yang maju, membangun dan bertamadun tinggi kepada masyarakat sekitarnya yang berpegangan berbeza.

Islam Hadhari bukanlah satu ajaran baru, ianya adalah ajaran Islam yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah. Penggunaan istilah ‘Hadhari’ telahpun digunakan oleh ilmuan Islam sejak dari dulu lagi seperti Ibnu Khaldun dalam kitab agungnya ‘Al-Muqaddimah’ dan pemikir al-Jazair iaitu Malik Bennabi yang cenderung menggunakan istilah ‘hadhara’ yang dianggap hampir kepada maksud keseimbangan kemajuan antara aspek material dengan akhlak dan spiritual. (Siri Monografi Islam Hadhari Terengganu Bistari , m/s 3 – Idris Jusoh)

Islam Hadhari adalah Islam yang syumul atau komprehensif dengan penekanan kepada pembangunan ekonomi dan tamadun menyeluruh serta berupaya menjadi penggerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing bangsa Melayu dan umat Islam amnya.

Kelahiran Islam Hadhari ini ditengah-tengah kekacauan dunia tanpa sempadan yang dinamakan globalisasi merupakan dua pendekatan yang seakan cuba disuaikenalkan tetapi mempunyai kejanggalan yang tiada keserasian.

Sesetengah khalayak intelektual berpendapat bahawa globalisasi adalah gelombang pembaratan (westernisation) dan imperialisme, yang melibatkan proses pembudayaan yang seringkali bercanggah dengan budaya tempatan.

Era globalisasi yang melanda dunia kini merupakan suatu pendekatan berunsur pro dan kontra yang sukar disekat kemasukannya. Menerusi pendekatan dunia yang tidak bersempadan ini, dasar globalisasi begitu bebas membawa bersamanya budaya-budaya hedonisme sebagai ‘produk dagangannya’.

Lambakan program realiti TV misalnya disambut dengan pelbagai reaksi oleh masyarakat. Wujud dua kelompok masyarakat dalam mendefinisikan program realiti TV ini. Kelompok pertama melihatnya sebagai alternatif hiburan yang baik manakala kelompok kedua menganggapnya sebagai wadah penjanaan budaya hedonisme.

Akibat daripada sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat yang barangkali lebih berpihak kepada golongan kelompok yang pertama, idea-idea yang dinamakan realiti TV ini kemudiannya pula dicedok bulat-bulat sebagai salah satu strategi pemasaran.

Pencedokan dari program realiti ini secara tidak sedar mampu merobek budaya hidup dan cara hidup masyarakat yang berpegang kepada nilai-nilai murni bertunjangkan adat resam dan agama. Ia juga berupaya meranapkan sistem dan cara interaksi yang akhirnya memutuskan jalinan budaya dan nilai agama Islam sedikit demi sedikit.

Realiti televisyen hari ini seakan-akan membenarkan apa yang pernah diucapkan oleh Marshall McLuhan seorang teoris media bahawa dunia elektronik yang saling bergantungan telah melahirkan semula dunia dalam imej perkampungan global.

Apakah kotak bodoh, label yang pernah diberikan kepada televisyen dahulu, hari ini telah berubah wajah lalu menjadi pengancam sosial dan pengaruhnya menjadi begitu berbahaya kepada masyarakat?

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri menegur keghairahan TV tempatan meniru pelbagai rancangan realiti yang beliau anggap boleh melentur semangat dan nilai ketimuran, lebih-lebih lagi sifat kesopanan Melayu. Ketika merasmikan Seminar Pemikir Media dan Wawasan 2020, beliau menyatakan bahawa kerajaan memandang serius kemunculan program hiburan realiti yang dikhuatiri boleh mengancam budaya masyarakat timur dan meruntuhkan akhlak masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan stesen-stesen televisyen tempatan supaya tidak terlalu didorong oleh pertimbangan komersial dan pasaran semata-mata sehingga mengabaikan soal etika dan moral rakyat.

“Kita tidak perlu mengikut budaya Barat secara membuta tuli termasuk mencedok secara bulat-bulat rancangan seperti Mencari Cinta, Mentor dan Akademi Fantasia yang adegan-adegannya melencong daripada kebiasaan dan adat resam budaya orang Timur.”

Cendekiawan dan budayawan juga turut sangsi, program demikian yang mengkhayalkan hingga boleh mewujudkan budaya hedonistik yang membawa kepada terhakisnya sifat kemanusiaan. Program itu pula jelas mengabaikan nilai tradisional Melayu yang kaya dengan budi bahasa dan sopan santun.

Ungku Aziz dengan sinis menyatakan bahawa Akademi Fantasia adalah satu cara baru orang Melayu Islam berubah dan berfikir. Katanya, dahulu, mereka tidak melompat-lompat, berpeluk-peluk dan menangis seperti sekarang.

Dengan sinis beliau menambah: “Mereka berubah cumanya ia tidak memberikan manfaat kepada negara.”

Profesor Hamdan Adnan turut menyelar sikap segelintir remaja Melayu Islam yang menjadikan sesetengah peserta program realiti TV sebagai contoh paling ideal. Sedangkan menurutnya, orang Barat sendiri mengakui dan mengiktiraf Nabi Muhammad s.a.w sebagai model yang paling ideal dan tokoh paling berpengaruh seperti Michael H Hart dalam bukunya The 100 – A Ranking Of The Most Influential Persons In History.

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Kamu telah mengikuti sunnah orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggakan mereka masuk ke dalam lubang biawak kamu tetap mengikuti mereka. Kami bertanya: Wahai Rasulullah, apakah yang kamu maksudkan itu adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani? Baginda bersabda: Kalau bukan mereka, siapa lagi?” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah melarang kita dari mengikuti jejak langkah Yahudi dan Kristian dan mencela sesiapa sahaja yang mengikuti cara hidup mereka, meniru kebiasaan mereka, tradisi dan lambang mereka. Ini adalah dalil yang tersirat bahawa larangan mengikut jejak langkah mereka oleh kaum Muslimin.

Syariah menekankan lagi pengharaman ini dengan menerangkan bahawa barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia adalah salah seorang dari kalangan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda, “Barang siapa menyerupai satu kaum maka mereka adalah dari mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Hakisan terhadap pegangan budaya ketimuran dan agama Islam menerusi trend cedokan ini perlukan kepada penekanan terhadap iman dan takwa. Islam tidak sama sekali menidakkan keupayaan budaya hiburan sebagai medium bagi memenuhi tuntutan hakiki manusia selagi tidak melangkaui batas-batas agama.

Justeru, menerusi Islam Hadhari penekanan kepada pembangunan – pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban dititikberatkan. Peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan yang berkualiti.

Media perlu diungguli oleh akal budi dan kematangan manusia yang benar-benar berwawasan, memahami dan menghayati erti ketamadunan Barat dan keaslian Timur. Mereka perlulah memahami erti modeniti dan bertunjangkan Islam Hadhari iaitu ketamadunnan serta kegemilangan peradaban Islam dan Melayu atau budaya dan tamadun Timur.

Memanfaatkan media sama ada media elektronik ataupun cetak sebagai sebuah media dakwah bukanlah satu kerja yang mudah. Ia memerlukan sokongan dan perhatian daripada semua pihak. Hanya dengan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi, maka barulah usaha yang diketengahkan kepada masyarakat akan benar-benar menghasilkan sesuatu yang berfaedah dan dihargai oleh semua.

Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah media perlu menampil dan menyiarkan lebih banyak lagi program-program ilmiah yang berteraskan syariat bagi mendidik minda dan hati kerana ini secara tidak langsung akan memberi impak positif dalam pembentukan sahsiah masyarakat yang terpuji dan boleh diteladani agar dapat menjalani kehidupan seperti mana dituntut oleh agama.

Allah s.w.t dengan berfirman dalam al-Quran “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Surah Thaha:124)

Tuntutan dari ayat ini adalah wajib kepada kita untuk senantiasa menjadikan al-Quran dan petunjuk Allah sebagai neraca dalam melakukan amalan, kerana dalam ayat ini ada zam (celaan) yang memberikan petunjuk bahawa si pelaku akan di humban ke neraka.

Sekadar halwa minda:

Apabila mereka berkata-kata…

“Program realiti televisyen yang semakin banyak disajikan kepada masyarakat menyebabkan golongan remaja sanggup menghabiskan masa dan wang semata-mata untuk ‘tenggelam’ dalam dunia keseronokan.” (Naib Canselor Universiti Sains Malaysia. Profesor Datuk Dzulkifli Abdul Razak Utusan Malaysia, Rabu, 3 Ogos 2005).

Kata Datuk Kementerian Seni, Kebudayaan dan Warisan: “Kita orang Timur. Kita harus kekalkan nilai-nilai ketimuran!”

Kata tokoh budaya: “Orang Melayu selama ini terkenal dengan sifat pemalu.”

Kata bekas juara program realiti TV: “Dapat merapatkan hubungan kekeluargaan apabila ahli keluarga berkumpul untuk menonton rancangan ini.”

Kata Datuk stesen-stesen TV: “Kami orang berniaga. Kenalah jaga ‘rating’.”

Kata Datuk syarikat-syarikat komunikasi: “Kami orang berniaga. Nak kena buat untung juga.”

Kata pengacara: “Juri cuma beri dia 10 markah. Dan dia tak tersenaraipun dalam tiga yang terbaik. Tapi, disebabkan dia dapat undi SMS sebanyak 70%, dia menang!”

Kata peserta berbakat (yang tak menang): “Hah labu, kalau tak malu, kau pergilah ambil hadiah tu!”

Kata penonton: “Boo! Juri bodoh!! Boo!!”

Kata juri: “Aku tak pilih dia tau. *#@!!”

Kata aku: “Kita mencari yang terbaik dari sekumpulan yang terbaik. Itu matlamatnya. Konon. Dan siapapun kita, sebagai masyarakat, kita mempunyai tanggungjawab sosial. Oleh itu, cukuplah jika undian SMS hanya mencakupi 20% daripada markah keseluruhan. Para juri mestilah dari kalangan mereka yang ahli. Dan. Jika peserta-peserta rancangan realiti TV mahu berpelukan – pergi sewa hotel murah! Sebab kau buat aku berfantasi macam-macamlah. *&@#!!”

DRAMA SEBABAK:

Ayah; “Siapa yang terkeluar pada minggu ni?”
Anak: “Marsya!”
Ayah: “Siapa Perdana Menteri Malaysia yang keempat?”
Anak: “Aaaa… Mahathir Lokman…”

Pang! (Sumber: blog dari sinaganaga)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s