Dilema Seorang Wanita

Posted: Februari 14, 2007 in Artikel

Raja New Zealand ialah seorang wanita; Queen Elizabeth II yang bertakhta di Istana Buckingham, London, United Kingdom. Baginda diwakili ketua negara New Zealand di Wellington iaitu Gabenor Jeneral, Silvia Cartwright, seorang wanita. Ketua kerajaannya, Perdana Menteri Helen Clark juga seorang wanita. Begitu juga dengan Ketua Hakim Negara, Sian Elias, seorang wanita.

Di Malaysia, 49.1 peratus daripada 25.6 juta penduduk adalah wanita dengan separuh daripadanya berada dalam lingkungan usia 24 tahun ke bawah. Namun, penyertaan wanita berusia antara 19 hingga 55 tahun dalam bidang pekerjaan di negara ini masih kecil iaitu hanya kira-kira 47 peratus, berbanding negara maju lain yang melebihi 60 peratus. Itulah yang membezakan wanita Malaysia dengan New Zealand.

Analisa ke atas pekerja wanita mengikut kategori pada 2003 menunjukkan majoriti wanita lebih tertumpu pada pekerjaan dengan gaji dan kemahiran rendah iaitu 17.7 peratus dalam bidang perkeranian dan 17.4 peratus dalam pekerjaan perkhidmatan. Jelas, bahawa penyataan ini turut memperlihatkan perbezaan jurang yang ketara antara wanita Malaysia dengan New Zealand.

Perhalusi penyataan ini: Kira-kira 72.9 peratus daripada graduan menganggur hari ini adalah wanita manakala bakinya 27.1 adalah lelaki.

Nyata sekali, walaupun graduan wanita cemerlang dalam pendidikan tetapi cabaran sebenar hanya bermula apabila mereka meninggalkan universiti. Tentu ada silapnya apabila 70 peratus graduan menganggur dengan jumlah 80,000 adalah wanita.

Mengapa keadaan ini berlaku? Mengapa graduan wanita seolah ‘tidak laku’ di pasaran pekerjaan?

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk G Palanivel yang menyatakan bahawa lelaki dikatakan lebih berkemahiran dari segi kepimpinan dan hubungan antara individu yang memudahkan mereka mendapat pekerjaan mungkin merupakan jawapan bagi soalan di atas.

Jika diteliti, walaupun pembabitan wanita dalam pasaran buruh meningkat dari 44.8 peratus pada 2000 kepada 46.7 peratus pada 2002 dan 47.7 peratus pada 2003 dengan jumlah wanita yang bekerja dengan jumlah gaji tinggi juga semakin meningkat, misalnya peratus wanita dalam pengurusan dan jawatan kanan turut meningkat dari 5.0 peratus pada 2000 kepada 5.3 peratus pada 2003, secara jelasnya golongan wanita masih berdepan banyak halangan untuk memperoleh pengiktirafan dan penghargaan atas usaha mereka.

Penglibatan wanita di dalam pasaran pekerjaan tidak dapat disangkal. Sejak tahun 70-an apabila negara beralih kepada sektor perindustrian, wanita merupakan kumpulan besar yang membantu pembangunan ekonomi negara .

Tetapi malangnya, segelintir masyarakat sering meragui kebolehan dan kemampuan wanita untuk memikul tanggungjawab yang berat dan mencabar umpamanya sebagai seorang pemimpin, ketua organisasi yang memiliki kuasa untuk menentukan dasar awam, membuat keputusan dan sebagainya. Mereka terus menganggap bahawa wanita hanya layak diberikan tanggungjawab sebagi penyokong dan pembantu sahaja.

Selain itu, suasana kerja yang ada kini seakan tidak peka kepada keperluan wanita sehinggakan wanita tidak dapat terus kekal dalam pekerjaan dan menggunakan kepakaran dan kemahiran yang mereka miliki untuk membantu memesatkan lagi pembangunan negara.

Penghalang bagi wanita dalam pasaran sektor pekerjaan sememangnya telah wujud sejak dahulu lagi. Terdapat tujuh sebab yang menjadi penghalang untuk memperkasakan wanita iaitu dari segi pendidikan, kemiskinan, kesihatan, keganasan, pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan, diskriminasi undang-undang yang masih belum berubah dan pandangan serta stereotaip negatif ke atas wanita.

Sementara itu kecenderungan wanita untuk berhenti kerja selepas melahirkan anak pertama juga adalah satu aliran berterusan di Malaysia, menyebabkan peratusan wanita bekerja di negara ini berkurangan.

Lazimnya, kerjaya wanita semakin merundum sebaik memasuki tahun ke lima dalam bidang pekerjaan apabila terpaksa memilih antara kerjaya dan perkahwinan. Maka tidak hairanlah majoriti wanita yang mengetuai tangga korporat adalah balu, janda atau andartu.

Sementara itu, wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Dr Richard Leete berkata,
berdasarkan standard antarabangsa, kadar cuti bersalin selama 60 hari adalah masih rendah. Malah, laporan ILO menyebut Malaysia adalah antara 25 daripada 152 negara menyediakan cuti bersalin selama 60 hari atau kurang.

Ini berbeza dengan beberapa negara Asia lain yang memberi cuti bersalin lebih panjang seperti China selama 90 hari, India (12 minggu), Iran (empat bulan), Laos (tiga bulan), Myanmar (12 minggu), Pakistan (12 minggu), Filipina (60-78 hari), Thailand (90 hari) dan Vietnam (120 hari).

Bagaimanapun, kadar faedah perubatan yang diterima antara negara berkenaan juga berbeza iaitu China (100 peratus), India (100 peratus), Iran (66 peratus), Laos (100 peratus), Myanmar (66 peratus), Pakistan (100 peratus), Filipina (100 peratus) Thailand (50 peratus) dan Vietnam (100 peratus).

Langkah kerajaan bagi mewujud dan menyediakan lebih banyak skim dan kemudahan terutama dari aspek kesihatan dan kebajikan untuk menggalakkan lebih ramai wanita di negara ini menyertai alam pekerjaan amat dialu-alukan.

Kemudahan bertujuan membolehkan wanita, khususnya suri rumah bekerja dengan lebih selesa itu termasuk skim bersalin, kesihatan, cuti, penyediaan pusat asuhan kanak-kanak, bekerja dari rumah, bekerja sambilan dan bekerja separuh hari dilihat sebagai suatu langkah prihatin kerajaan terhadap golongan wanita.

Kesimpulannya tidak boleh dipertikaikan lagi, wanita memainkan peranan yang penting dalam membangunkan negara. Mereka juga mengurus kerja rumahtangga dan mendidik anak-anak. Tugas ini secara tidak langsung adalah saham yang besar dalam usaha untuk membekalkan sumber manusia yang berkualiti untuk pembangunan negara.

Justeru, apa yang penting di sini pihak yang bertanggungjawab terutama majikan di sektor awam mahupun swasta seharusnya peka terhadap keperluan pekerja wanita dan peranan mereka dalam tugas harian, tugas sosial dan tugas kekeluargaan mereka di samping mengubah persepsi negatif mereka terhadap golongan wanita selama ini.

Komen-komen
  1. Man berkata:

    wanita pada masa kini semakin gemilang

  2. Excellent blog here! Also your web site loads up very fast!
    What web host are you using? Can I get your affiliate link
    to your host? I wish my web site loaded up as quickly as yours lol

  3. Reva berkata:

    Pretty portion of content. I just stumbled upon your site
    and in accession capital to claim that I acquire actually enjoyed account your weblog
    posts. Anyway I’ll be subscribing in your feeds or even I success you access persistently rapidly.

    Reva

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s