Masih ada yang sayang

Posted: Februari 9, 2007 in Artikel, think tank thought

Baru-baru ini media massa gempar dengan paparan berita seorang bayi lelaki ditinggalkan di tepi jalan. Bayi lelaki itu ditinggalkan keseorangan dipercayai sebaik sahaja dilahirkan kerana masih terdapat kesan darah dan tali pusat ditubuh kecil itu. Malang kerana bayi itu tidak sempat melihat dunia kerana ketika dijumpai, bayi tersebut telahpun meninggal dunia dipercayai kerana kesejukan.

Pelbagai pihak mempersoalkan perlakuan kebinatangan ibu bapa bayi yang sanggup membuang bayinya ibarat sampah itu. Masing-masing menghamburkan rasa geram dan sedih di atas perlakuan tersebut dengan menyatakan bahawa itu tidak dapat diterima akal dan menyimpang daripada perlakuan manusiawi. Ada yang menyatakan, perlakuan seperti itu antara lain disebabkan oleh keadaan tertekan dan ketakutan ibu bayi malang itu yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan akibat daripada keterlanjuran.

Sememangnya perlakuan ini tidak dapat diterima terutamanya oleh masyarakat yang menjunjung budaya Timur yang menganjurkan sikap dan norma-norma terpuji. Perlakuan ini pastinya akan mengundang kritikan dan pandangan sinis. Tidak kurang juga berganggapan perkara ini sebagai perlakuan yang tidak bermoral dan sebagai barah yang mampu membunuh peradaban dan budaya Timur yang dipegang sejak zaman berzaman.

Penulis tidak dapat mencari statistik terkini berkenaan kes pembuangan bayi ini. Tetapi mengikut statistik tahun 2000, dalam tempoh enam bulan iaitu dari bulan Januari hingga Jun, sebanyak 36 bayi dijumpai di seluruh negara dengan Selangor telah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 12 bayi diikuti dengan Kuala Lumpur sebanyak lima bayi dan Sabah sebanyak empat bayi.
Dalam jangka masa sepuluh tahun iaitu dari tahun 1990 hingga 2000, sebanyak 595 kes dicatatkan dan jumlah ini meningkat setiap tahun dengan kadar purata lebih kurang 40 hingga 70 bayi dibuang. Kebanyakan kes pembuangan bayi dikesan berpunca daripada keterlanjuran. Penulis percaya, saban tahun, jumlah kes menunjukkan meningkat secara terus-menerus.

Jika dapat diterbalikkan masa, mahu sahaja dinasihati ‘ibu bapa yang tidak matang itu’ supaya jika tidak mampu atau tidak mahu dipelihara bayinya itu, alangkah baiknya sekiranya bayi tersebut diberikan kepada wanita muda atau anak dara yang sudi mengambil bayi itu sebagai anak angkat dan kemudian dijadikan pula sebagai anak susuannya. Seperti mana trend masa kini yang semakin popular.

Trend ibu susuan-anak susuan ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan wanita bujang yang berkerjaya. Perkembangan ini tidak dapat tidak, menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat umum tidak kurang juga oleh kerajaan sendiri. Pada pandangan mereka, sudahlah mengambil anak angkat sebelum berkahwin, kini mahu disusuinya pula!

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sendiri memandang kecenderungan ini sebagai suatu yang kurang baik terutamanya dari segi struktur sosial. Beliau lebih percaya kepada cara sedia kala iaitu institusi keluarga adalah terdiri daripada pasangan yang berkahwin yang mana kemudiannya akan melahirkan dan mempunyai zuriat dari darah daging mereka sendiri.

Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa kebanyakan wanita bujang yang ingin memiliki anak angkat ini telah menetapkan hati mereka untuk menjadi ibu tunggal dan tidak mahu berkahwin. Dengan memiliki anak angkat, kehidupan mereka dikira telah sempurna tanpa perlu seorang lelaki yang bergelar suami. Ia juga dilihat sebagai luar daripada fitrah manusia.

Namun, naluri keibuan yang kuat oleh wanita bujang ini, menafikan segala pandangan dan tohmahan yang mendatang. Mereka dengan penuh keyakinan berasakan bahawa kasih sayang mampu diberikan tidak tumpah seperti ibu kandung sendiri. Daripada dibiarkan bayi-bayi malang ini ditinggalkan ditepi-tepi jalan menunggu masa digonggong dan dihurungi anjing dan semut, adalah lebih mulia sekiranya diberikan pada mereka yang mahu memelihara dan menyusukan dengan penuh kasih sayang.

Agama Islam sendiri tiada halangan dengan mengambil contoh kehidupan awal Rasulullah s.a.w juga disusui oleh ibu susuan iaitu Halimah Sa’adiah dan Thuwaybah. Keharusan menyusukan bayi bersandarkan surah An-Nisa ayat 23. Ayat ini tidak menghadkan status ibu susuan sama ada yang berkahwin atau yang belum berkahwin (sumber: Ulasan daripada Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, Berita Harian, Internet, 11 Januari 2007).

Justeru, asalkan niat tidak menyimpang daripada ajaran agama yang sebenar seperti kes di atas ataupun bagi menolong golongan yang kurang berkemampuan seperti keluarga miskin yang mempunyai anak yang ramai dan sebagainya, sudah pasti akan dikurniakan ganjaran yang setimpal oleh Allah s.w.t.

Dari segi perubatan, wanita selepas mencapai umur baligh dengan bantuan ubatan, kekuatan mental dan usaha berterusan, berpotensi menghasilkan susu badan seterusnya menyusukan bayi sama ada bayi yang dilahirkannya sendiri atau anak angkat.

Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI) misalnya turut mengalakkan program penyusuan badan di mana setakat ini telah berjaya memberikan peluang kepada 600 orang wanita bujang sejak tahun 1995. Daripada jumlah tersebut, 10 peratus permintaan diterima di kalangan anak dara atau wanita berkerjaya yang tidak pernah berkahwin.

Terdapat dua cara atau teknik yang digunakan bagi menggalakkan pengeluaran susu badan iaitu dengan menggunakan alat bantuan penyusuan serta memakan ubat-ubatan tertentu. Alat bantuan susuan ini digunakan bertujuan bagi memanipulasi otak bayi kononnya air susu yang diberikan adalah hasil daripada susu badan. Kekerapan menggunakan teknik ini akan merangsang pengeluaran susu sebenar.

Selain itu, terdapat sejenis ubat yang dipanggil motilium yang berupaya meningkatkan pengeluaran hormon prolactin. Hormon ini berupaya merangsang sel-sel dalam payu dara wanita bagi mengeluarkan susu.

Pada pendapat penulis, isu penyusuan wanita bujang ini terhadap anak angkat mereka perlu dipandang pro dan kontra. Asalkan sahaja ia tidak melanggar syarak dan undang-undang ia seharusnya disokong. Tetapi, ia juga memerlukan penilaian dan pemantauan yang berterusan daripada pelbagai pihak bagi memastikan struktur institusi kekeluargaan sedia ada tidak dipinggirkan.

Jika difikirkan, trend ini bukan sahaja mulia, ia juga berupaya jika tidak membanteras secara total, setidak-tidaknya dapat mengurangkan kes pembuangan anak yang kian meningkat pada masa ini. Memperlihatkan bahawasanya masih ada pihak yang prihatin, sudi menyayangi dan melindungi anak-anak malang ini!

Komen-komen
  1. zeeha berkata:

    gejala ini makin teruk

  2. Liya berkata:

    Pernah terfikir untuk melakukan pkara yg sma..dan masih mempertimbangkannya..

  3. Think tank berkata:

    fikir-fikirkan…

  4. sindhuja berkata:

    this thing is getting worse from day to day….. our government has to do something to solve this problem.

  5. melur berkata:

    kes ini semakin menjadi2 skrg ek.naper ar? tak tau nk salahkan siapakan?…liya pernah terfikir nk buat perkara ni ker..fikir dulu liya.msh byk jln penyelesaian yg dpt di ambil

  6. Think tank berkata:

    setuju dengan saudari melur…

  7. piggy berkata:

    masyarakat kita sepatutnya lebih perbuka kepada gay kerana ia tidak akan mendatangkan masalah seperti buang bayi. betul?

  8. Think tank berkata:

    persoalannya bukan masalah tetapi soal dosa…wallahua’lam…

  9. Beetlejuice berkata:

    Memang geram bila baca ttg kes buang bayi. Bagaimana sanggup campak darah daging sendiri ke sungai… etc. Saya yg dah ada dua anak kecil ni pun, terasa ngilu bila terbayangkan jika situasi tu berlaku kpd saudara terdekat. Harap pasangan kekasih fikir ttg masa depan ‘zuriat’ dan bukan sekadar nak buat ‘zuriat’ dan buang bila terlanjur..
    Apa perasaan anda jika ibu bapa anda membuang anda spt itu?????

  10. Think tank berkata:

    setuju…hiba rasanya jika terjadi kepada darah daging sendiri…nauzubillah…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s